Rabu, 16 Februari 2022

Bukan roket Elon Musk, rupanya roket China akan langgar Bulan


Sebuah roket yang dijangka merempuh Bulan pada bulan hadapan dikenal pasti sebagai roket dari China yang dilancarkan pada 2014, lapor akhbar Metro News UK pada 14 Februari 2022.


Roket tersebut pada mulanya dikatakan milik Elon Musk daripada syarikat aeroangkasa Space X. Namun, pakar astronomi menjelaskan bahawa mereka tersalah memberi ramalan mengenai roket tersebut.


Ia dikenali 2014-065B iaitu bahagian teras bagi roket Chang’e 5-T1 yang dilancarkan sejak 2014 sebagai sebahagian daripada program penerokaan Bulan agensi angkasa lepas China.


Pengumuman mengejut itu dibuat oleh ahli astronomi amatur, Bill Gray yang pertama kali mengenal pasti kesan masa depan dan mengaku kesilapannya hujung minggu lalu.


Pada bulan lalu, Gray, mengatakan kemungkinan roket milik SpaceX, Falcon 9 daripada pelancaran 2015 akan bertembung dengan Bulan pada 4 Mac ini.


Namun begitu, Gray kini mengubah kenyataannya dan percaya objek itu bukanlah serpihan SpaceX Falcon 9, seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini, sebaliknya roket lama milik China.


Objek itu mula dikesan oleh Catalina Sky Survey iaitu sebuah program yang menggunakan teleskop berhampiran Tucson, Arizona untuk mengimbas langit bagi mencari asteroid yang berpotensi menimbulkan ancaman kepada Bumi.


Tidak seperti asteroid biasa, ahli-ahli astronomi menyedari bahawa objek tersebut tidak mengorbit Matahari sebaliknya mengelilingi Bumi, menunjukkan bahawa ia adalah sampah angkasa lepas buatan manusia.


"Saya mempunyai bukti keadaan yang cukup baik untuk pengenalpastian tetapi tidak ada yang konklusif," tulis Gray dalam catatan blog baharunya. - Sumber Metro UK.


Objek misteri yang bakal merempuh Bulan adalah sampah buatan manusia dan dipercayai serpihan roket yang dilancarkan China pada 2014. - Foto Autoevalution (Animasi komputer).


EmoticonEmoticon