Khamis, 17 Februari 2022

Hasil Jual Biawak, Lelaki Borong Emas Buat Perhiasan Demi Dapat Tuah


Hanya kerana terlalu obses dengan emas, seorang lelaki Vietnam, baru-baru ini tular kerana memakai barang kemas yang banyak di leher dan di tangannya, serta memilik motosikal dan sebuah kereta yang disaluti dengan emas.


Tran Duc Loi, 39, seorang ahli perniagaan dari wilayah An Giang di Vietnam, menjadi perhatian di negaranya kerana minat dengan logam berharga.


Menurut lapor Oddity Central pada 15 Februari 2022, sejak tiga tahun yang lalu, Tran, mencari rezeki dengan menjual biawak Amerika Selatan sebagai haiwan peliharaan yang mahal. Hal tersebut menyebabkan beliau mampu untuk membeli emas yang banyak.


"Dia percaya emas membawa nasib baik dalam perniagaan, dan memastikan untuk memakai perhiasan jenis itu sebanyak mungkin apabila dia keluar rumah," lapor Oddity Central.


"Pada mulanya, saya hanya memakai beberapa barang kemas, dan kemudian saya terus menambah lagi. Saya mula merasakan beratnya, tetapi saya sudah terbiasa dengannya.


"Saya cuba mencari keseimbangan, kerana aksesori emas kecil mudah pecah, manakala aksesori yang terlalu tebal berat untuk dipakai untuk jangka masa yang lama," katanya.



Selain daripada perhiasan mewah yang dipakainya setiap kali muncul dalam video TikTok, dia juga mempunyai sebuah kereta Lexus disadur emas serta beberapa motosikal yang disaluti emas.


Menurutnya, itu semua bersalut emas, dan mengakui sukar untuk meninggalkan kenderaan di luar tanpa pengawasan. Proses penyaduran emas sahaja dipercayai menelan belanja ratusan juta dong Vietnam.


Duc Loi mendedahkan bahawa dia memakai hampir dua kilogram barang kemas setiap kali keluar rumah, termasuk rantai leher berbentuk naga 250 gram, 10 cincin emas besar, gelang tebal dan jam tangan besar bersalut emas.


Jelasnya, dia tidak memakai semuanya secara sembarangan, tetapi sebaliknya bergantung pada prinsip feng shui. Ia dipercayai sebagai cara meningkatkan nasib baiknya.


Walaupun sesetengah orang mengkritik Duc Loi kerana mempamerkan kekayaannya dan menunjukkan contoh buruk kepada golongan muda, video TikToknya menjadikan lelaki itu popular di media sosial.


Beberapa klip videonya ditonton berjuta-juta orang dan ramai yang berharap mereka boleh menjadi sepertinya.


Antara koleksi emas yang dimiliki Duc Loi.


EmoticonEmoticon