Jumaat, 15 Oktober 2021

Anak Pasang Kunci Basikal Pada Leher Ibu, Terpaksa Meminta Bantuan Polis Membuka Kunci Tersebut

Anak Pasang Kunci Basikal Pada Leher Ibu, Terpaksa Meminta Bantuan Polis Membuka Kunci Tersebut


Baru-baru ini, sebuah video menjadi tular dalam media sosial di China memaparkan seorang wanita yang datang ke balai polis, bagi meminta bantuan untuk membuka kunci basikal pada lehernya.


Menerusi laporan Utusan Malaysia, kejadian itu berlaku pada 7 Oktober 2021 lalu, apabila anak lelaki wanita tersebut yang berusia empat tahun dikatakan tiba-tiba memasang kunci itu pada leher ibunya.


Kemudian, kunci basikal tersebut tidak dapat dibuka kerana kanak-kanak itu telah menukar nombor kod asal dan terlupa nombor kod terbaru pada kunci itu.


"Saya sedang membersihkan tandas ketika anak saya tiba-tiba memasukkan kunci basikal ke leher saya. Pada mulanya saya berasa ia lucu dan cuba membukanya, namun gagal.


"Saya tahu nombor kod rantai itu, namun tidak dapat membukanya kerana anak saya sudah menukarnya, selain dia juga tidak mengingati apa nombornya," katanya.


Wanita tersebut mula panik dan terus pergi ke balai polis untuk mendapatkan bantuan. Setibanya di balai polis, anggota bertugas juga tidak dapat membuka kunci tersebut dan mereka menghubungi bomba.


Tidak lama kemudian, kunci itu dapat dibuka dan wanita tersebut menzahirkan rasa lega. Video wanita itu menjadi tular dalam media sosial di China dan kebanyakan pengguna menasihatkan supaya mengawasi perlakuan anak supaya tidak berlaku perkara tidak diingini.



Khamis, 14 Oktober 2021

Lupa Makan Ubat, Pesakit Mental Bersenjatakan Sebilah Pisau Mengamuk Di Pasar Raya

Lupa Makan Ubat, Pesakit Mental Bersenjatakan Sebilah Pisau Mengamuk Di Pasar Raya


Seorang lelaki bersenjatakan sebilah pisau bertindak memecahkan barangan di sebuah pasar raya di Sibu Jaya, Sarawak, dipercayai mengalami masalah mental, lapor Harian Metro, hari ini.


Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintendan Collin Babat berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 1.15 tengah hari semalam, apabila suspek berusia 37 tahun itu masuk ke dalam pasar raya berkenaan dan mengamuk dengan bersenjatakan sebilah pisau.


"Suspek bertindak memecahkan barang-barang di dalam kedai sebelum mengacukan pisau ke arah dua juruwang wanita yang berada di kaunter pembayaran. Dua pekerja itu kemudiannya melarikan diri sebelum suspek menghempaskan mesin wang ke lantai," katanya.



Beliau berkata, tindakan berani orang awam yang berada di tempat kejadian berjaya menahan suspek sebelum diserahkan kepada pihak polis.


Collin berkata, tindakan suspek itu tidak mendatangkan sebarang kecederaan kepada orang ramai dan jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM2,500.


Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek merupakan memegang kad psikiatri. Suspek juga dipercayai tidak mengambil ubat untuk kesihatan mentalnya seperti yang dijadualkan.


Collin berkata, pisau yang digunakan suspek juga berjaya dirampas dan suspek turut direman untuk siasatan lanjut mengikut Sesyen 393 Kanun Keseksaan.


Barangan pasar raya di Sibu Jaya yang dipecahkan dan suspek berjaya ditahan orang ramai sebelum diserahkan kepada polis semalam. - Foto Melvin Joni.
Banglo Mewah Dijadikan Pusat Hiburan, 16 Pelacur Warga Asing Ditahan

Banglo Mewah Dijadikan Pusat Hiburan, 16 Pelacur Warga Asing Ditahan


KUALA LUMPUR - Polis menggempur sebuah unit banglo di Taman Yari, Jalan Klang Lama, yang dijadikan pusat hiburan serta pelacuran dan menahan 16 pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam dalam satu serbuan pada malam 12 Oktober 2021.


Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya melakukan risikan terhadap aktiviti sindiket berkenaan selama beberapa hari sebelum melakukan serbuan.


Katanya, serbuan pada 8.45 malam itu turut menahan juruwang di premis itu serta enam lelaki tempatan yang bertindak sebagai pengangkut wanita-wanita itu ke banglo berkenaan atau dikenali sebagai 'transporter'.


"Kesemua mereka yang ditahan dalam operasi noda itu berumur lingkungan 21 hingga 31 tahun dengan sindiket didapati menawarkan khidmat penghantaran GRO untuk berhibur serta menyediakan kediaman mewah untuk menawarkan perkhidmatan seks," katanya.


Seorang lelaki yang juga transporter berusia 20-an memaklumkan dia dibayar RM100 bagi menghantar wanita berkenaan ke banglo terbabit. Katanya, dia dimaklumkan mengenai kerja itu oleh rakannya dan dia diminta membawa enam wanita dari lokasi mereka di Cheras ke rumah banglo itu.


"Bagi setiap trip (perjalanan pergi dan balik), saya membawa tiga wanita dengan bayaran RM100. Kenderaan yang digunakan bagi membawa mereka adalah kereta saya sendiri," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, di sini, awal pagi semalam.


Mohamad Noor berkata, hasil siasatan mendapati aktiviti mempromosikan kegiatan pelacuran itu turut dibuat secara dalam talian dengan menggunakan aplikasi Telegram.


Beliau berkata, premis banglo yang diserbu itu dilengkapi dengan peralatan-peralatan hiburan seperti lampu disko, meja pool dan lain-lain kelengkapan, juga terletak di dalam kawasan taman perumahan mewah serta disewa dengan harga RM3,600 sehari.


"GRO yang bertindak menjadi peneman pelanggan minum dan berhibur serta menawarkan perkhidmaan seks dengan bayaran RM1,300 hingga RM2,500 kepada pelanggan.


"Pemeriksaan dilakukan mendapati hanya seorang daripada 16 wanita warga Vietnam yang ditahan tidak mempunyai pasport. Pada masa sama, kami turut menyiasat sekiranya ada berlaku kegiatan penyalahgunaan dadah dalam serbuan ini," katanya.


Kes disiasat di bawah Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan, Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.


Antara wanita yang ditahan dalam serbuan berkenaan. - Foto Nurul Hidayah Bahaudin.
Dompet Hilang Lebih 50 Tahun Ditemui Semula Dan Dipulangkan Kepada Pemilik

Dompet Hilang Lebih 50 Tahun Ditemui Semula Dan Dipulangkan Kepada Pemilik


Polis di Kansas, Amerika Syarikat (AS) memulangkan semula sebuah dompet yang hilang lebih 50 tahun kepada pemilik asalnya, lapor portal News18 pada 11 Oktober 2021.


Jabatan Polis Great Bend menerusi satu hantaran di Facebook memaklumkan dompet itu ditemui baru-baru ini oleh seorang penduduk, dan diserahkan kepada pegawai polis di Great Bend, sebuah bandar di Kansas.


Jelas polis, pihaknya menemukan beberapa dokumen penting dalam dompet itu termasuk Kad Keselamatan Sosial dan lesen memandu yang sudah tamat tempoh pada tahun 1974.


Dalam catatan Facebook pada 8 Oktober, Jabatan Polis Great Bend memaklumkan bahawa pemilik dompet buatan tangan itu berjaya dihubungi, kini tinggal di Lawrence, Kansas.


"Pemilik berkenaan memberitahu kami bahawa dia kehilangan dompet itu pada awal 1970an. Dia juga sangat gembira dapat semula dompet yang hilang," jelas hantaran itu.


Kejadian serupa berlaku pada Februari tahun ini di San Diego, sebuah bandar California, AS. Seorang lelaki berusia 91 tahun, Paul Grisham mendapatkan dompetnya semula yang hilang lebih 53 tahun lalu, pada tahun 1960-an.


Dompet itu dijumpai di belakang sebuah loker pada tahun 2014 di Stesen McMurdo di Pulau James Ross di Antartika. Dompet itu mengandungi kad pengenalan Tentera Lautnya dan lesen memandu serta dokumen lain yang membuktikan identitinya sebagai pemilik dompet tersebut.

Rabu, 13 Oktober 2021

Wanita Sedang Tidur Nyaris Maut Dihempap Meteorit Yang Jatuh Dari Langit Menembusi Bumbung Rumahnya

Wanita Sedang Tidur Nyaris Maut Dihempap Meteorit Yang Jatuh Dari Langit Menembusi Bumbung Rumahnya


Seorang wanita di Kanada nyaris dihempap batu meteorit yang jatuh menembusi bumbung rumahnya, yang mendarat di bantal bersebelahan ketika dia sedang tidur.


Lapor Daily Mail pada 12 Oktober 2021, ketika kejadian, Ruth Hamilton terbangun selepas mendengar bunyi dentuman kuat pada siling rumah dan debu di wajahnya pada 4 Oktober lalu.


"Saya bangun dari katil dan memasang lampu, ketika itu saya tidak pasti apa yang sudah berlaku," katanya kepada Victoria News.


Dilaporkan, sebelum kejadian itu, para penduduk menikmati pemandangan meteor di Tasik Louise yang terletak kira-kira 84 kilometer jauhnya dari rumah Hamilton.


Jelas Hamilton, dia melihat sebuah bongkah batu di bantal bersebelahan tempat tidurnya sebelum menghubungi talian kecemasan 911 untuk mendapatkan bantuan.


Selepas itu, Hamilton dan seorang pegawai membuat panggilan untuk mengesahkan sama ada serpihan itu dari tapak pembinaan di Kicking Horse Canyon.


"Kami menghubungi pihak pengurusan projek untuk mengetahui sekiranya mereka meletupkan sesuatu ketika kerja pembinaan.


"Namun, mereka mendakwa melihat satu cahaya terang di langit meletup dan menyebabkan dentuman itu," kata Hamilton.


Seorang anggota polis yang tiba di tempat kejadian pula memeriksa batu itu. Beliau kemudian mendapati batu itu bukan datang dari kawasan sebuah pembinaan. Ia membuat kesimpulan bahawa batu tersebut kemungkinan berasal dari meteorit.


Akhirnya, mereka berpuas hati dan percaya batu yang jatuh menembusi bumbung rumahnya adalah meteorit. Hamilton tidak mengalami sebarang kecederaan dan merancang untuk menyimpan batu itu sebagai kenangan bagi cucunya.


Sementara itu, sebuah syarikat insurans Hamilton menyatakan ia akan melihat sama ada meteor itu terkandung dalam perjanjian insurans diri wanita tersebut.


Menurut Pusat Kajian Meteorit Universiti Negeri Arizona, meteor ialah batu dari asteroid yang mengorbit matahari di angkasa lepas.


Meteorit yang jatuh menembusi bumbung rumah Ruth Hamilton, yang mendarat di bantal bersebelahan tempat tidurnya. - Foto Ruth Hamilton.

Seketul batu dipercayai meteorit jatuh dari bumbung sebuah rumah milik seorang wanita di Kanada baru-baru ini. - Foto Ruth Hamilton.
Pelancong Terkejut Menyaksikan Kejadian 'Rare' Jerung Gigit Kaki Aligator

Pelancong Terkejut Menyaksikan Kejadian 'Rare' Jerung Gigit Kaki Aligator


Sekumpulan pelancong di Carolina Selatan, Amerika Syarikat terkejut apabila menyaksikan seekor jerung menggigit seekor aligator di kawasan perairan berhampiran sebuah dermaga di Pulau Hilton Head.


Menurut laporan akhbar The Sun pada 8 Oktober 2021 , detik-detik mencemaskan antara dua haiwan berbahaya itu berjaya dirakam oleh salah seorang daripada kumpulan pelancong tersebut yang sedang memberi makan kepada aligator itu.


Dalam sekelip mata, seekor jerung secara tiba-tiba muncul dari bawah air dan mengelilingi aligator tersebut sebelum menggigit kaki kiri haiwan itu dan menyebabkannya melompat.


Aligator yang mungkin berada dalam 'mood' baik itu tidak melawan dan kelihatan tidak cedera, sebaliknya terus terapung di permukaan air, sementara jerung tersebut mendekati aligator itu beberapa kali sebelum berlalu dari situ.


"Saya terkejut melihat kejadian itu, jadi saya merakamnya dengan telefon untuk ditunjukkan kepada keluarga dan rakan-rakan," kata perakam video tersebut, Cory Conlon.



Selasa, 12 Oktober 2021

Sebuah Keluarga Dikejutkan Kemunculan Seekor Beruang Dalam Rumah Mereka

Sebuah Keluarga Dikejutkan Kemunculan Seekor Beruang Dalam Rumah Mereka


Sebuah keluarga di Kanada terkejut apabila mendapati seekor beruang hitam berdiri di hadapan meja di dalam sebuah bilik kediaman mereka, lapor akhbar Daily Star pada 10 Oktober 2021.


Menurut Sean Reddy, ketika kejadian, mereka sekeluarga terdengar bunyi bising sebelum menyedari ada seekor beruang berkeliaran di sekitar bilik dalam rumah mereka.


"Anak bongsu saya keluar dari pintu hadapan dan bertanya apa yang kami sedang lakukan kerana dia terdengar seperti bunyi cakaran di dalam rumah.


"Anak lelaki sulung saya kemudiannya berlari masuk ke dalam rumah dan dia keluar semula memberitahu bahawa terdapat seekor beruang di dalam rumah," kata Reddy.


Dia kemudiannya dapat mendengar bunyi seperti beruang tersebut sedang mendengus di bahagian meja komputer di dalam bilik anaknya, di mana terdapat hidangan bijirin yang dibiarkan di dalam mangkuk.



"Kami terdengar bunyi mangkuk itu pecah kerana terjatuh di atas lantai. Saya mula berfikir bahawa beruang tersebut sedang memusnahkan bilik," katanya.


Ujar Reddy, dia kemudiannya berjaya menutup pintu bilik tersebut dengan harapan beruang itu dapat keluar menerusi tingkap.


Bagaimanapun, harapannya meleset sama sekali kerana tingkap bilik sedang tertutup, sekali gus menyebabkan mereka terpaksa menyekat bahagian laluan tengah di dalam rumah dan membiarkan beruang itu keluar melalui pintu depan.


Selepas beruang itu keluar dan menghilangkan diri, Reddy mendapati bahawa beruang tersebut masuk ke dalam rumah dengan cara memecahkan tingkap dan merangkak ke dalam.


Kawasan tempat tinggal Reddy merupakan lokasi yang sering menjadi tumpuan beruang. Pakar haiwan Alberta Fish and Wildlife telah memasang perangkap di jalan sekiranya beruang itu datang semula.


Beruang tersebut berdiri agak lama di hadapan meja di dalam bilik sebelum memecahkan sebuah mangkuk yang mengandungi bijirin. - Foto Sean Reddy.

Ahad, 10 Oktober 2021

Gali Parit Tengah Jalan, Pemandu Jengkaut Berang Rempuh Ford Ranger

Gali Parit Tengah Jalan, Pemandu Jengkaut Berang Rempuh Ford Ranger


Baru-baru ini, sebuah rakaman video tular di media sosial memaparkan sebuah jengkaut merempuh kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger, dinaiki dua beranak di kebun kelapa sawit dekat Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Labu Kubong, Teluk Intan, Rabu lalu.


Berikutan itu, polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan. Tangkapan ke atas suspek berusia 47 tahun dan dua lelaki berusia 28 tahun itu dijalankan oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak pada jam 4.05 petang pada Sabtu.


Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian itu bermula selepas suspek tidak berpuas hati dengan mangsa berusia 24 tahun kerana mengorek jalan di tepi kebunnya untuk dijadikan parit sebagai laluan air.


Katanya, mangsa memberitahu suspek yang laluan itu dibuat kerana kawasan tersebut telah dinaiki air tambahan lagi, ia berada dalam kawasan kebunnya yang seluas 1.8 hektar.


"Semasa mangsa dan bapanya tiba di kebun mereka pada pukul 2.30 petang, Rabu lalu, mereka mendapati laluan yang digali pada sebelah pagi telah ditimbus oleh suspek dan beberapa individu lain.


"Mangsa dan bapanya telah menjelaskan kepada suspek tujuan laluan berkenaan digali namun lelaki itu tidak berpuas hati sehingga menyebabkan pertengkaran mulut sebelum dia bertindak menampar leher mangsa.


"Pada masa sama, jengkaut yang digunakan untuk menimbus laluan itu telah melanggar kereta Ford Ranger milik bapa mangsa, sehingga kenderaan itu mengalami kerosakan sebelum pemandunya turun dan mengejar bapa mangsa menggunakan tukul besi," katanya.


Menurut Ahmad Adnan, siasatan mendapati, laluan yang digali oleh mangsa adalah laluan utama bagi pekebun-pekebun kelapa sawit di kawasan berhampiran. Katanya, mangsa telah mengorek lubang di tengah laluan untuk mengalirkan air agar air tidak bertakung di kawasan kebun miliknya.


Jelasnya, disebabkan parit di gali di tengah jalan, maka ia menyukarkan pekebun sawit yang lain kerana terpaksa menggunakan laluan jauh untuk pergi kebun mereka. Tanah mangsa berkeluasan lebih kurang 1.8 hektar di mana tanah itu adalah milik bapanya dan diusahakan oleh lelaki itu untuk penanaman anak pisang.


Tambah beliau, bertindak atas laporan yang dibuat mangsa, ketiga-tiga suspek diberkas polis semalam dan reman akan dipohon di Mahkamah Masjistret Teluk Intan hari ini. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323/427/506 Kanun Keseksaan kerana mencederakan, khianat dan ugutan jenayah. - Sumber Utusan Malaysia.


Sebuah jengkaut melanggar kenderaan pacuan empat roda berikutan pertengkaran membabitkan sekumpulan individu dan dua beranak di kebun kelapa sawit di RTB Labu Kubong, Teluk Intan.
Gagal Cubaan Potong Kenderaan Lain Ketika 'Uji Jentera' Di Jalan Ulu Yam Sebabkan Kemalangan

Gagal Cubaan Potong Kenderaan Lain Ketika 'Uji Jentera' Di Jalan Ulu Yam Sebabkan Kemalangan


Cubaan sebuah kereta memotong kenderaan di hadapan sehingga memasuki laluan bertentangan akhirnya membawa padah apabila bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan di Jalan Ulu Yam, Batu 23, Gombak, hari ini.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, kejadian berlaku pukul 8.06 pagi ketika sebuah kereta jenis Mitsubishi Lancer dari arah Batu Caves sedang dalam perjalanan ke Ulu Yam.


"Ketika melalui kawasan kejadian, pemandu Mitsubishi Lancer berkenaan cuba untuk memotong sebuah Perodua Bezza namun gagal lalu bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.


"Akibat itu, pemandu serta dua penumpang Perodua Bezza warga Vietnam berusia 24 hingga 30 tahun mengalami kecederaan. Kemalangan itu turut melibatkan sebuah kereta jenis Volkswagen.


"Pemandu Perodua Bezza patah pada bahu dan kaki manakala salah seorang daripada penumpangnya mengalami patah pada leher," katanya dalam kenyataan hari ini. 


Menurut Azman, ketiga-tiga mereka kini sedang mendapatkan rawatan di Zon Kuning Hospital Selayang. Pemandu Mitsubishi Lancer dan Volkswagen yang masing-masing berusia 32 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu lori berusia 51 tahun pula luka di bahagian kaki.


"Semua pihak yang terlibat telah membuat laporan polis kecuali mereka yang menaiki kereta Perodua Bezza kerana masih mendapatkan rawatan di hospital. Siasatan berhubung kejadian dijalankan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Menerusi rakaman video berdurasi 44 saat yang tular hari ini di media sosial, kelihatan tiga buah kereta dipercayai sedang 'menguji jentera' sebelum salah sebuah daripadanya bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.


Tangkap layar kemalangan yang dirakam kamera pengguna jalan raya di Ulu Yam, Selangor, hari ini.
4 Tahun Kumpul Duit Syiling, Peniaga Jalanan Mampu Beli Kereta Idaman Secara Tunai

4 Tahun Kumpul Duit Syiling, Peniaga Jalanan Mampu Beli Kereta Idaman Secara Tunai


Yang berkemampuan dan wang simpanan berlonggok mungkin membeli kenderaan secara tunai adalah perkara biasa. Namun, tidak bagi peniaga kecil, impian untuk membeli kereta idaman bukannya mudah untuk dicapai.


Lebih-lebih lagi harga kenderaan yang diidamkan bukanlah murah. Untuk membeli kereta tersebut, usaha itu memerlukan simpanan yang banyak dan memakan masa bertahun-tahun.


Tidak dinafikan ramai yang mengambil jalan mudah dengan membuat pinjaman bank untuk membeli kereta idaman dan sanggup menanggung hutang secara bulanan.


Kisah penuh inspirasi seorang lelaki yang bekerja sebagai peniaga jalanan di Kota Makassar, Asriadi Syamsuddin bersama isterinya yang membawa beberapa botol air mineral penuh berisi duit syiling ke pusat jualan kereta membuatkan ramai terpegun.


Asriadi mengakui bahawa dia mempunyai niat sejak tahun 2018 untuk mendapatkan kereta Toyota Rush, dan dia menyimpan duit syiling sejak 2018. Dia mengatakan bahawa duit syiling itu diperoleh daripada pembeli setiap hari.




"Saya berniaga di tepi jalan dan duit syiling yang diterima daripada pelanggan, saya simpan dalam botol mineral. Memang niat mahu beli kereta sendiri. Tidak terasa sudah empat tahun saya menabung duit syiling ini kerana saya tidak pernah mengira jumlahnya.


"Apabila saya melihat bekas air yang digunakan untuk menyimpan duit syiling sudah penuh, barulah saya keluarkan dan mendapati bahawa jumlahnya mencecah ratusan juta rupiah.


"Untuk ke pusat jualan kereta, saya terpaksa pinjam kereta jiran kerana perlu mengangkut botol air mineral yang berat," kata Asriadi.


Ketika membawa wang tabungan ke bilik pameran kereta Toyota di bandar, para pekerja di sana telah membantu Asriadi mengira jumlah yang diperlukan untuk membeli kereta idamannya.


"Ini satu situasi luar biasa kerana pihak kami tidak pernah menerima pelanggan yang membeli kenderaan secara tunai menggunakan duit syiling.


"Namun, Asriadi membawa wang yang cukup iaitu 271 juta rupiah (RM79,269) untuk membolehkannya memiliki kereta Toyota Rush," jelas seorang pekerja Toyota bernama Nur, menerusi laporan laman SuaraSulSel.id pada 28 September 2021.


Asriadi mengakui bahawa dia mempunyai niat sejak tahun 2018 untuk mendapatkan kereta Toyota Rush.