Rabu, 13 Oktober 2021

Wanita Sedang Tidur Nyaris Maut Dihempap Meteorit Yang Jatuh Dari Langit Menembusi Bumbung Rumahnya


Seorang wanita di Kanada nyaris dihempap batu meteorit yang jatuh menembusi bumbung rumahnya, yang mendarat di bantal bersebelahan ketika dia sedang tidur.


Lapor Daily Mail pada 12 Oktober 2021, ketika kejadian, Ruth Hamilton terbangun selepas mendengar bunyi dentuman kuat pada siling rumah dan debu di wajahnya pada 4 Oktober lalu.


"Saya bangun dari katil dan memasang lampu, ketika itu saya tidak pasti apa yang sudah berlaku," katanya kepada Victoria News.


Dilaporkan, sebelum kejadian itu, para penduduk menikmati pemandangan meteor di Tasik Louise yang terletak kira-kira 84 kilometer jauhnya dari rumah Hamilton.


Jelas Hamilton, dia melihat sebuah bongkah batu di bantal bersebelahan tempat tidurnya sebelum menghubungi talian kecemasan 911 untuk mendapatkan bantuan.


Selepas itu, Hamilton dan seorang pegawai membuat panggilan untuk mengesahkan sama ada serpihan itu dari tapak pembinaan di Kicking Horse Canyon.


"Kami menghubungi pihak pengurusan projek untuk mengetahui sekiranya mereka meletupkan sesuatu ketika kerja pembinaan.


"Namun, mereka mendakwa melihat satu cahaya terang di langit meletup dan menyebabkan dentuman itu," kata Hamilton.


Seorang anggota polis yang tiba di tempat kejadian pula memeriksa batu itu. Beliau kemudian mendapati batu itu bukan datang dari kawasan sebuah pembinaan. Ia membuat kesimpulan bahawa batu tersebut kemungkinan berasal dari meteorit.


Akhirnya, mereka berpuas hati dan percaya batu yang jatuh menembusi bumbung rumahnya adalah meteorit. Hamilton tidak mengalami sebarang kecederaan dan merancang untuk menyimpan batu itu sebagai kenangan bagi cucunya.


Sementara itu, sebuah syarikat insurans Hamilton menyatakan ia akan melihat sama ada meteor itu terkandung dalam perjanjian insurans diri wanita tersebut.


Menurut Pusat Kajian Meteorit Universiti Negeri Arizona, meteor ialah batu dari asteroid yang mengorbit matahari di angkasa lepas.


Meteorit yang jatuh menembusi bumbung rumah Ruth Hamilton, yang mendarat di bantal bersebelahan tempat tidurnya. - Foto Ruth Hamilton.

Seketul batu dipercayai meteorit jatuh dari bumbung sebuah rumah milik seorang wanita di Kanada baru-baru ini. - Foto Ruth Hamilton.


EmoticonEmoticon