Selasa, 12 Oktober 2021

Sebuah Keluarga Dikejutkan Kemunculan Seekor Beruang Dalam Rumah Mereka


Sebuah keluarga di Kanada terkejut apabila mendapati seekor beruang hitam berdiri di hadapan meja di dalam sebuah bilik kediaman mereka, lapor akhbar Daily Star pada 10 Oktober 2021.


Menurut Sean Reddy, ketika kejadian, mereka sekeluarga terdengar bunyi bising sebelum menyedari ada seekor beruang berkeliaran di sekitar bilik dalam rumah mereka.


"Anak bongsu saya keluar dari pintu hadapan dan bertanya apa yang kami sedang lakukan kerana dia terdengar seperti bunyi cakaran di dalam rumah.


"Anak lelaki sulung saya kemudiannya berlari masuk ke dalam rumah dan dia keluar semula memberitahu bahawa terdapat seekor beruang di dalam rumah," kata Reddy.


Dia kemudiannya dapat mendengar bunyi seperti beruang tersebut sedang mendengus di bahagian meja komputer di dalam bilik anaknya, di mana terdapat hidangan bijirin yang dibiarkan di dalam mangkuk.



"Kami terdengar bunyi mangkuk itu pecah kerana terjatuh di atas lantai. Saya mula berfikir bahawa beruang tersebut sedang memusnahkan bilik," katanya.


Ujar Reddy, dia kemudiannya berjaya menutup pintu bilik tersebut dengan harapan beruang itu dapat keluar menerusi tingkap.


Bagaimanapun, harapannya meleset sama sekali kerana tingkap bilik sedang tertutup, sekali gus menyebabkan mereka terpaksa menyekat bahagian laluan tengah di dalam rumah dan membiarkan beruang itu keluar melalui pintu depan.


Selepas beruang itu keluar dan menghilangkan diri, Reddy mendapati bahawa beruang tersebut masuk ke dalam rumah dengan cara memecahkan tingkap dan merangkak ke dalam.


Kawasan tempat tinggal Reddy merupakan lokasi yang sering menjadi tumpuan beruang. Pakar haiwan Alberta Fish and Wildlife telah memasang perangkap di jalan sekiranya beruang itu datang semula.


Beruang tersebut berdiri agak lama di hadapan meja di dalam bilik sebelum memecahkan sebuah mangkuk yang mengandungi bijirin. - Foto Sean Reddy.


EmoticonEmoticon