Khamis, 22 Julai 2021

Conor McGregor Tayang Kapal Layar Bernilai RM15 Juta Jenama Lamborghini

Conor McGregor Tayang Kapal Layar Bernilai RM15 Juta Jenama Lamborghini


Siapa yang tidak kenal dengan Conor McGregor dengan mulut celuparnya telah buatkan UFC terkenal di seluruh dunia. McGregor merupakan seorang jaguh dan bintang seni bela diri campuran (MMA) dunia.


Conor McGregor dianggap lagenda UFC oleh peminatnya kerana skill boxing yang tinggi dan telah menjuarai dua kategori berlainan dalam sukan gusti bebas tersebut.


Walaupun Conor McGregor tewas menentang Khabib Nurmagomedov pada 2018, diikuti pada tahun ini kecundang ketika menentang Dustin Poirier. Namun dia masih mendapat bayaran lumayan.


Jadi, tidak hairanlah McGregor menjadi atlet dengan penghasilan tertinggi sepanjang 2021. Terbaru, McGregor menayang sebuah kapal layar mewah jenama Lamborghini miliknya yang bernilai £2.6 juta (RM15 juta), lapor akhbar Daily Mail kelmarin.


Lelaki berusia 33 tahun itu berkongsi foto kapal layar Lamborghini Tecnomar 63 yang dibawa daripada tapak pembinaannya di Itali. McGregor membeli kapal layar itu pada Oktober lalu dan meluahkan rasa bangga kerana memiliki satu daripada 63 bot edisi khas yang dibina.



"Kapal layar Lamborghini saya sudah siap," demikian keterangan yang ditulis bersama gambar bot tersebut.


Tecnomar 63 direka dan dibina oleh syarikat Italian Sea Group bersama Tecnomar for Lamborghini. Kapal seberat 24 tan dengan panjang 19 meter itu boleh mencapai kelajuan 111 kilometer sejam.


Ia dikuasakan dengan enjin diesel 24.2 liter V-12, 4,000 kuasa kuda. Reka bentuk luarannya diinspirasikan daripada model Lamborghini Miura dan Countach daripada tahun 1960-an dan 1970-an.


Antara ciri istimewa kapal layar itu adalah bilik tidur peribadi di bahagian bawahnya yang menyediakan ruangan bersantai selesa ketika berlayar di lautan.


Hanya 63 buah kapal layar seperti ini yang dihasilkan.

Conor McGregor duduk di atas sayap jet peribadinya.
Jet Baharu Rusia Mampu Saingi Jet AS F-35, Namun Dijual 7 Kali Lebih Rendah

Jet Baharu Rusia Mampu Saingi Jet AS F-35, Namun Dijual 7 Kali Lebih Rendah


Rusia memperkenalkan sebuah jet pejuang baharu digelar sebagai 'Checkmate' yang mampu memberi saingan hebat kepada jet F-35 milik tentera Amerika Syarikat (AS). Jet pejuang jenis Sukhoi itu mampu melancarkan serangan serentak ke atas enam sasaran.


Lapor berita CNN pada 20 Julai 2021, pesawat itu dipersembahkan kepada Presiden, Vladimir Putin terlebih dahulu sebelum dilancarkan ketika pameran udara tahunan yang diadakan di luar Moscow pada Selasa lalu.


Sebelum ini, beberapa media melaporkan, jet pejuang itu dibina pada Mei tahun lalu. Berdasarkan rakaman video pelancaran, jet itu dibina dalam waktu yang singkat.


Beberapa laporan mendakwa jet pejuang itu dibina oleh syarikat pertahanan dan teknologi, Rostec bersama United Aircraft Corporation yang dikendalikan oleh negara itu.



"Tugas kami adalah untuk memastikan pesawat ini ditawarkan kepada ramai pelanggan bermula 2026," kata Pengarah United Aircraft Corporation, Yury Slyusar.


Rostec menggambarkan pesawat itu sebagai jet pejuang enjin tunggal generasi kelima yang menggabungkan penyelesaian inovatif termasuk teknologi kepintaran buatan (AI).


Jelas syarikat itu, jet pejuang itu mampu menyerang hingga enam sasaran secara serentak di darat, udara atau laut walaupun mengalami gangguan elektronik yang kuat.


Jet pejuang berharga antara AS$25 juta (RM105 juta) hingga AS$30 juta (RM127 juta), mampu membawa dron dan melancarkannya semasa penerbangan. 


Menurut Slyusar, beliau menjangkakan untuk menerima kira-kira 300 tempahan jet dalam tempoh 15 tahun akan datang, terutamanya dari Asia Barat, Asia dan Amerika Latin untuk harga tujuh kali lebih rendah berbanding jet F-35.


Prototaip jet pejuang jenis Sukhoi yang dikenali sebagai Checkmate. - Foto AFP.
Polis 'ajar' seorang penunggang motosikal guna ekzos bising

Polis 'ajar' seorang penunggang motosikal guna ekzos bising


Biarpun pelbagai operasi khas dan tindakan saman dilaksanakan bagi membendung masalah ekzos bising, namun ia bagaikan mencurah air ke daun keladi dalam segelintir pengguna motosikal.


Tanpa rasa bersalah mereka sanggup mengeluarkan kos melakukan ubah suai ekzos bagi mendapatkan bunyi bising yang dipercayai mencipta kepuasan ketika beraksi di atas jalan raya.


Impaknya, tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan ketidakselesaan terhadap penduduk khususnya yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan taman perumahan kos rendah.


Bercakap mengenai situasi berkenaan baru-baru ini tular menerusi media sosial satu rakaman video pendek memaparkan tindakan seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) 'mengajar' pengguna motosikal.


Dalam video berdurasi selama empat saat itu menunjukkan pihak berkuasa cuba meletakkan telinga pemuda terbabit berhampiran ekzos motosikal dipercayai miliknya.



Pada masa sama, anggota tersebut telah 'memerah throttle minyak' sehingga mengeluarkan bunyi yang sangat kuat.


Bagaimanapun, tidak dinyatakan lokasi sebenar kejadian itu dirakam, namun difahamkan ia mungkin berlaku di sekitar Sarawak berdasarkan nombor pendaftaran motosikal berkenaan.


Susulan tular klip video berdurasi selama empat saat itu, rata-rata pengguna laman sosial telah meninggalkan pelbagai komen dan reaksi yang menyokong tindakan yang dilakukan anggota itu.


Mereka menyifatkan langkah itu secara tidak langsung memberikan kesedaran kepada empunya diri dan pengguna motosikal lain terutamanya golongan yang obses melakukan ubah suai ekzos demi kepentingan diri tanpa memikirkan kesan pada orang sekeliling.


Tangkap layar aksi seorang penunggang motosikal yang dikenakan 'hukuman' oleh seorang anggota polis.

Rabu, 21 Julai 2021

Asteroid Sebesar Sebuah Stadium Dijangka Melintasi Bumi Hujung Minggu Ini

Asteroid Sebesar Sebuah Stadium Dijangka Melintasi Bumi Hujung Minggu Ini

Gambar Hiasan.

Tidak dapat dinafikan bahawa asteroid selalu menimbulkan rasa ingin tahu di kalangan peminat ruang angkasa. Terbaru, Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) mengesan satu asteroid besar.


Asteroid itu yang dinamakan 2008 GO20 dikatakan mempunyai ukuran tiga kali lebih besar dari Taj Mahal atau sebesar sebuah stadium menuju ke orbit Bumi.


Walau bagaimanapun, para saintis yang kini memantau pergerakan asteroid yang mencecah saiz sehingga 220 meter lebar itu mengatakan bahawa tidak ada yang perlu dibimbangkan.


Menurut NASA, asteroid itu dijangka terbang melintasi orbit Bumi tanpa menimbulkan sebarang ancaman pada Sabtu ini kira-kira pukul 11.35 malam waktu Malaysia.


Walaupun kebarangkalian asteroid ini menghantam Bumi sangat rendah kerana berjarak 0,04 au (unit astronomi) dari Bumi. Para saintis NASA masih memerhatikan pergerakan batu angkasa tersebut.


2008 GO20 itu berstatus asteroid Apollo iaitu asteroid yang memiliki lebar orbit antara Bumi dan Matahari sehingga memungkinkan ia tidak hanya menghampiri Bumi, tetapi juga melintasi orbit planet ini.


Asteroid itu dijangka melintasi Bumi pada kelajuan 8 kilometer sejam. Satu lagi asteroid (2020 PMZ) yang didakwa seluas Jambatan Golden Gate di San Francisco pernah melintasi bumi pada September 2020.


NASA mengesan asteroid besar yang lebarnya hingga 220 meter dan menuju ke orbit Bumi. - Foto Daily Star/Getty Images.
Britain Beri Amaran Kepada China, Kerah Armada Penggempur Paling Kuatnya Ke Jepun

Britain Beri Amaran Kepada China, Kerah Armada Penggempur Paling Kuatnya Ke Jepun


LONDON, 21 Julai - Britain mengumumkan hari ini bahawa kumpulan kapal penggempur paling kuatnya akan melawat lima pelabuhan di Jepun dan memberi amaran kepada China berhubung sebarang ancaman terhadap kebebasan belayar di perairan rantau Asia Pasifik.


Lapor CNN, kumpulan penggempur terdiri daripada kapal-kapal perang Tentera Laut Diraja Britain dan diketuai kapal pengangkut pesawat, HMS Queen Elizabeth yang membawa jet F-35B akan menuju ke perairan berkenaan.


Selepas menyertai latihan tentera bersama tentera-tentera laut sekutunya, armada gempur itu akan melawat lima pelabuhan di Jepun September ini, kata beberapa pegawai semasa lawatan Setiausaha Pertahanan Britain, Ben Wallace ke Tokyo.


Sebagai tambahan, Britain memutuskan untuk mengerahkan dua kapal perang secara kekal sebagai peronda luar pesisir, HMS Spey dan HMS Tamar yang akan memulakan kerahan tetap ke rantau tersebut bulan depan dan disokong oleh kapal-kapal perang dari Australia, Jepun serta Singapura.


HMS Queen Elizabeth berlabuh di Portsmouth, selatan England pada 5 Jun 2019. - Foto AFP.

"United Kingdom (UK) akan menghantar dua kapal perang secara kekal di rantau itu tahun ini," kata Menteri Pertahanan Britain, Ben Wallace dalam satu pengumuman bersama dengan rakan sejawatnya di Jepun, Nobuo Kishi.


China menuntut kedaulatan ke atas hampir keseluruhan Laut China Selatan sekali gus mencetuskan kemarahan jiran-jirannya dan mengundang bantahan luar termasuk daripada kerajaan Amerika Syarikat.


Wallace berkata, Britain mempunyai 'tanggungjawab' untuk mendesak kebebasan belayar apabila kumpulan penggempur itu belayar merentasi Laut China Selatan menuju ke Jepun.


"Bukan rahsia lagi bahawa China mengawasi dan mencabar kapal-kapal yang melakukan pelayaran di perairan antarabangsa di laluan tidak menyalahi undang-undang (Laut China Selatan)," katanya kepada akhbar The Times di Tokyo.


"Kita menghormati China dan kita harap, China menghormati kita. Kita akan belayar di mana dibenarkan oleh undang-undang antarabangsa," tegasnya.


HMS Queen Elizabeth berlepas dari sebuah pangkalan tentera laut di Portsmouth, England pada September tahun lalu. - Foto Agensi.

Ikan 'Misteri' Berwarna Oren Seberat 45kg Ditemukan Di Pantai AS

Ikan 'Misteri' Berwarna Oren Seberat 45kg Ditemukan Di Pantai AS


Seekor ikan gergasi berwarna oren dan perak terang yang spesiesnya tidak pernah dilihat sebelum ini, ditemukan terdampar di sebuah pantai di utara Oregon, Amerika Syarikat (AS).


Lapor Daily Star pada 19 Julai 2021, beberapa kakitangan dari Seaside Aquarium telah mengenal pasti ikan gergasi berbentuk bulat dengan sisik berwarna oren itu sebagai opah.


Penolong Pengurus Seaside Aquarium, Tiffany Boothe berkata, ikan seberat 45 kilogram (kg) dan berukuran kira-kira satu meter panjang merupakan pertama seumpamanya ditemukan di kawasan pantai itu.


Menurut Boothe, pihaknya tidak pasti bagaimana ikan itu mati namun menyatakan ikan itu berada dalam keadaan baik sebelumnya. Pengurusan Seaside Aquarium turut memuat naik hantaran mengenai penemuan ikan gergasi itu di laman Facebooknya.


Sementara itu, ahli biologi dari Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Nasional (NOAA) Perikanan memberitahu portal Stuff bahawa pakar percaya perubahan iklim mungkin menjadi antara faktor penemuan ikan gergasi itu di pantai tersebut.



Katanya, hal itu kerana spesies ikan tersebut biasanya ditemukan di perairan tropika dan sub-tropika. Opah yang juga dikenali sebagai 'moonfish' boleh membesar lebih dari enam kaki.


Menurut NOAA lagi, ikan pemangsa itu diyakini sejenis spesies ikan berdarah panas kerana mempunyai saluran darah di insang yang memungkinkannya mengedarkan darah hangat ke seluruh tubuhnya. Masih banyak yang belum diketahui mengenai ikan ini termasuk jangka hayatnya.


"Hanya sedikit penyelidikan mengenai biologi dan ekologi asas opah telah dilakukan. Penemuan bangkai ikan ini akan membantu penyelidikan lebih lanjut dapat dijalankan," katanya.


Menurut Boothe, Ikan itu akan dibekukan hingga akhir tahun ini, dan mengatakan para pelajar akan berpeluang membedah ikan tersebut, dengan bantuan dari Columbia River Maritime Museum.


"Isi perut dapat membantu menentukan apa yang dimakan ikan tersebut dan di mana mereka tinggal. Kerangka ikan akan disimpan dan dipamerkan," kata Tiffany Boothe.


Ikan gergasi seberat 45kg ditemukan di sebuah pantai di utara Oregon. - Foto Seaside Aquarium.
Empangan China Berdekatan Bandar Boleh Pecah Bila-Bila Masa, Jejaskan 7 Juta Penduduk

Empangan China Berdekatan Bandar Boleh Pecah Bila-Bila Masa, Jejaskan 7 Juta Penduduk


BEIJING - Pihak berkuasa China memberi amaran sebuah empangan di Luoyang 'boleh pecah pada bila-bila masa' berikutan hujan lebat berterusan. Empangan Yihetan itu boleh menjejaskan kira-kira tujuh juta penduduk di Luoyang sekiranya pecah.


Sehubungan itu, ketenteraan China mengerahkan pasukan ke lokasi empangan tersebut dan melakukan strategi pemindahan banjir.


"Pada 20 Julai (semalam), berlaku retakan sepanjang 20 meter di empangan Yihetan, selain bahagian tebing sungai turut mengalami kerosakan teruk. Keadaan itu menyebabkan empangan berkenaan boleh runtuh pada bila-bila masa," menurut kenyataan tentera.


Ribut yang melanda juga menyaksikan berlakunya kejadian banjir besar. Hingga kini sekurang-kurangnya 12 orang maut dan lima cedera selepas hujan lebat mencetuskan banjir di bandar Zhengzhou di wilayah Henan, semalam.


Beberapa imej yang disiarkan dalam portal media tempatan menunjukkan stesen tren bawah tanah dinaiki banjir setinggi para leher orang dewasa.



Fenomena hujan lebat hingga mencetuskan banjir adalah kejadian bermusim yang sering terjadi di China, yang menyebabkan kerosakan harta benda, ladang pertanian bahkan hingga meragut nyawa.


Bagaimanapun, keadaan bertambah teruk sejak beberapa dekad lalu. Salah satunya adalah kesan daripada pembinaan empangan berkenaan yang memusnahkan kawasan hutan di sekitar.


Menurut pihak berkuasa, curahan hujan kali ini adalah yang paling lebat sejak rekod bermula 60 tahun lalu, di mana bandar berkenaan menerima taburan bersamaan purata hujan setahun dalam tempoh hanya tiga hari.


Tentera China Beri Amaran, Empangan Berdekatan Bandar Dihuni 7 Juta Orang Boleh Runtuh Bila-bila Masa.

Hujan lebat mencetuskan banjir besar di bandar Zhengzhou di wilayah Henan, semalam.

Selasa, 20 Julai 2021

Pada Tahun 2024, Sesiapa Saja Boleh Menganjurkan Majlis Perkahwinan Di Angkasa Lepas

Pada Tahun 2024, Sesiapa Saja Boleh Menganjurkan Majlis Perkahwinan Di Angkasa Lepas


Permulaan pelancongan ruang angkasa oleh Syarikat Space Perspective berjaya melengkapkan penerbangan ujian tanpa pemandu pertama, pada hari Jumaat (16 Julai 2021) dengan balon raksasa yang akan membawa manusia ke pinggir angkasa.


Syarikat itu melancarkan prototaip balon stratosferiknya sejauh 20 batu di atas Florida pada pukul 5:23 pagi (waktu tempatan), meletakkan jadual untuk penerbangan uji kru pertama pada tahun 2023 dan komersial pertama pada tahun 2024.


Menurut lapor akhbar Daily Mail 18 Julai 2021, bakal pasangan pengantin baharu dijangka boleh menganjurkan majlis perkahwinan mereka di angkasa lepas menjelang tahun 2024.



Majlis perkahwinan unik itu akan diadakan di dalam sebuah belon angkasa lepas bersaiz stadium padang ragbi yang terapung pada ketinggian 30 kilometer (km) di atas paras laut.


Syarikat Space Perspective berpangkalan di Florida kini menjual tiket penerbangan dengan kapsulnya pada harga AS$125,000 (RM528,000) yang akan menyajikan pemandangan Bumi yang menakjubkan.


Kapsul dibawa oleh belon angkasa gergasi itu boleh memuatkan hingga lapan tetamu ke ruang stratosfera untuk perjalanan yang mengambil masa enam jam.


Pakej tersebut sudah pun dibeli oleh beberapa pelanggan untuk acara kumpulan dan ada juga yang ingin mengadakan majlis perkahwinan mereka di sana. Tiket pakej itu mula dijual sejak akhir Jun lalu.



Penumpang akan menikmati pemandangan Bumi 360 darjah ketika berada di dalam kapsul yang dilengkapi dengan bilik mandi, bar dan akses Wi-Fi.


Space Perspective yang diketuai oleh pasangan suami isteri Taber MacCallum dan Jane Poynter baru-baru ini memberitahu majalah Observer mengenai sambutan menggalakkan yang diterima sejak pakej penerbangan itu mula dijual.


"Ini akan menjadi satu pengalaman yang gila. Belon akan berlepas dari Pusat Angkasa Kennedy dan mengambil masa lebih kurang dua jam untuk sampai pada ketinggian 30 km.


"Semasa proses menuju ke puncak, anda akan dapat melihat sejauh 724 km ke setiap arah, bermakna anda akan melihat seluruh semenanjung Florida, Bahamas dan Teluk Mexico," kata Poynter.


Permulaan pelancongan ruang angkasa Space Perspective berjaya melengkapkan penerbangan ujian tanpa pemandu pertama pada hari Jumaat dengan balon raksasa yang akan segera membawa manusia ke stratosfera. - Foto Space Perspective.

Belon angkasa lepas sebesar stadium padang ragbi dan akan terapung 30 kilometer dari paras laut. - Foto Space Perspective.


Belon angkasa gergasi itu boleh memuatkan 8 tetamu ke ruang stratosfera untuk perjalanan yang mengambil masa 6 jam. - Foto Space Perspective.
Ajal ketika mahu swafoto, wanita terjatuh di air terjun

Ajal ketika mahu swafoto, wanita terjatuh di air terjun


Seorang influencer (Bintang Instagram) media sosial, maut selepas terjatuh di air terjun di hadapan rakan-rakannya ketika cuba mengambil swafoto untuk dikongsi dengan 6,000 pengikut Instagramnya.


Daily Star melaporkan, Sofia Cheung, 32, jatuh dari ketinggian 4.68 meter di air terjun Tsing Dai berhampiran Yuen Long, Hong Kong, pada hari Sabtu minggu lalu (10 Julai 2021).


Dia menghabiskan masa bersama tiga rakannya di Taman Ha Pak Lai, sebelum tragedi itu berlaku. Dalam akaun Instagram Sofia dipenuhi aktiviti mendaki, berkayak, menjelajah, aktiviti luar, dan fotografi. Gambar dia naik ke puncak air terjun itu untuk mengambil foto turut dikongsinya.


Bagaimanapun, dia dikatakan kehilangan keseimbangan dan jatuh ke dalam air. Rakannya segera memanggil pasukan kecemasan, dan paramedik membawa Sofia ke sebuah hospital di Hong Kong.



Tetapi, dia disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital. Akaun Instagramnya menyatakan, 'hidup semestinya tidak menyenangkan' dan dipenuhi dengan gambar dia menikmati masa-masa lalunya.


Foto terakhir yang dikongsi dari akaunnya dengan 6,314 pengikutnya pada 9 Julai dan sejak itu dibanjiri dengan mesej takziah.


"Saya fikir hari-hari yang lebih baik akan datang. Saya akan merindui perbualan anda setiap hari. Saya selalu mencintaimu. Berehatlah dengan tenang Sofia yang cantik," tulis seorang pengikut yang patah hati.


Puluhan yang lain menyertakan ucapan 'RIP' (Rest In Peace) dengan banyak emoji untuk mengingati individu yang berusia 32 tahun itu.


Antara foto aksi Sofia Cheung, sebelum ini. - Foto Agensi.
China ancam perang menggunakan bom nuklear secara berterusan ke atas Jepun

China ancam perang menggunakan bom nuklear secara berterusan ke atas Jepun


Pegawai-pegawai Parti Komunis China memberi amaran keras akan menggunakan bom nuklear ke atas Jepun jika negara Matahari Terbit itu cuba mempertahankan Taiwan daripada serangan China.


Menurut lapor akhbar Daily Star pada 19 Julai 2021, kelmarin, Jawatankuasa Perbandaran Baoji iaitu bandar utama di wilayah Shaanxi memuat naik video amaran itu menerusi saluran perkongsian video tentera tempatan dikenali dengan nama 'Liu Jun Tao Lue'.


Video tersebut mempunyai tajuk bermaksud 'Sekiranya ada campur tangan Jepun dalam usaha menyatukan semula Taiwan, serangan nuklear perlu dilaksanakan segera.' Bagaimanapun, video kontroversi yang disiarkan pada hari Ahad lalu itu telahpun dipadam.


"Jika Jepun berani campur tangan dalam usaha membebaskan Taiwan, maka kami akan mengerahkan askar, pesawat dan kapal perang. Kami akan memulakan perang besar-besaran terhadap negara itu.


"Kami akan menggunakan bom nuklear secara berterusan sehingga Jepun menyerah kalah tanpa syarat. Kami akan menyerang sehingga Jepun sedar ia tidak mampu membayar harga peperangan ini," ujar klip video itu.


Meskipun video itu telah dipadamkan dari media sosial, ia sempat mengumpulkan sekitar dua juta tontonan. Aktivis hak asasi manusia, Jennifer Zeng membuat salinan video itu dengan sari kata bahasa Inggeris dan memuat naiknya di laman Twitter.


"Negara kita (China) berada di tengah-tengah perubahan besar yang belum pernah berlaku dalam satu abad dan semua kebijaksanaan, taktik dan strategi politik perlu disesuaikan untuk melindungi kebangkitan negara kita secara damai.


"Sekiranya Jepun berperang dengan China untuk kali ketiga, rakyat China akan membalas dendam dengan cara paling dahsyat," kata Zheng.


Video itu diakhiri amaran untuk menghukum Perdana Menteri, Jepun Yoshihide Suga, mantan Perdana Menteri, Shinzo Abe dan Timbalan Perdana Menteri, Taro Aso yang berhasrat merebut kembali Pulau Diaoyu dan Ryukyu yang kini di bawah pemerintahan China.


Kenyataan keras pegawai-pegawai Parti Komunis China terhadap Tokyo itu adalah susulan kenyataan oleh pegawai kerajaan Jepun bahawa mereka akan mempertahankan Taiwan jika negara pulau itu diserang oleh China.


Menteri Pertahanan Jepun, Nabuo Kishi dan timbalannya, Yasuhide Nakayama menyokong supaya Jepun terlibat membantu Taiwan jika pulau itu diserang oleh China.


Minggu lepas, Timbalan Perdana Menteri Jepun Taro Aso berkata sebarang serangan oleh China terhadap Taiwan akan turut menjejaskan Tokyo dan seterusnya memanggil usaha bersepadu untuk mempertahankan Taiwan.


Kapal selam nuklear kelas Jin jenis 094A milik Angkatan Laut Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) berada di perairan Qingdao, wilayah Shandong di timur China pada 23 April 2019. - Foto AFP.