Selasa, 20 Julai 2021

China ancam perang menggunakan bom nuklear secara berterusan ke atas Jepun


Pegawai-pegawai Parti Komunis China memberi amaran keras akan menggunakan bom nuklear ke atas Jepun jika negara Matahari Terbit itu cuba mempertahankan Taiwan daripada serangan China.


Menurut lapor akhbar Daily Star pada 19 Julai 2021, kelmarin, Jawatankuasa Perbandaran Baoji iaitu bandar utama di wilayah Shaanxi memuat naik video amaran itu menerusi saluran perkongsian video tentera tempatan dikenali dengan nama 'Liu Jun Tao Lue'.


Video tersebut mempunyai tajuk bermaksud 'Sekiranya ada campur tangan Jepun dalam usaha menyatukan semula Taiwan, serangan nuklear perlu dilaksanakan segera.' Bagaimanapun, video kontroversi yang disiarkan pada hari Ahad lalu itu telahpun dipadam.


"Jika Jepun berani campur tangan dalam usaha membebaskan Taiwan, maka kami akan mengerahkan askar, pesawat dan kapal perang. Kami akan memulakan perang besar-besaran terhadap negara itu.


"Kami akan menggunakan bom nuklear secara berterusan sehingga Jepun menyerah kalah tanpa syarat. Kami akan menyerang sehingga Jepun sedar ia tidak mampu membayar harga peperangan ini," ujar klip video itu.


Meskipun video itu telah dipadamkan dari media sosial, ia sempat mengumpulkan sekitar dua juta tontonan. Aktivis hak asasi manusia, Jennifer Zeng membuat salinan video itu dengan sari kata bahasa Inggeris dan memuat naiknya di laman Twitter.


"Negara kita (China) berada di tengah-tengah perubahan besar yang belum pernah berlaku dalam satu abad dan semua kebijaksanaan, taktik dan strategi politik perlu disesuaikan untuk melindungi kebangkitan negara kita secara damai.


"Sekiranya Jepun berperang dengan China untuk kali ketiga, rakyat China akan membalas dendam dengan cara paling dahsyat," kata Zheng.


Video itu diakhiri amaran untuk menghukum Perdana Menteri, Jepun Yoshihide Suga, mantan Perdana Menteri, Shinzo Abe dan Timbalan Perdana Menteri, Taro Aso yang berhasrat merebut kembali Pulau Diaoyu dan Ryukyu yang kini di bawah pemerintahan China.


Kenyataan keras pegawai-pegawai Parti Komunis China terhadap Tokyo itu adalah susulan kenyataan oleh pegawai kerajaan Jepun bahawa mereka akan mempertahankan Taiwan jika negara pulau itu diserang oleh China.


Menteri Pertahanan Jepun, Nabuo Kishi dan timbalannya, Yasuhide Nakayama menyokong supaya Jepun terlibat membantu Taiwan jika pulau itu diserang oleh China.


Minggu lepas, Timbalan Perdana Menteri Jepun Taro Aso berkata sebarang serangan oleh China terhadap Taiwan akan turut menjejaskan Tokyo dan seterusnya memanggil usaha bersepadu untuk mempertahankan Taiwan.


Kapal selam nuklear kelas Jin jenis 094A milik Angkatan Laut Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) berada di perairan Qingdao, wilayah Shandong di timur China pada 23 April 2019. - Foto AFP.


EmoticonEmoticon