Khamis, 22 Julai 2021

Jet Baharu Rusia Mampu Saingi Jet AS F-35, Namun Dijual 7 Kali Lebih Rendah


Rusia memperkenalkan sebuah jet pejuang baharu digelar sebagai 'Checkmate' yang mampu memberi saingan hebat kepada jet F-35 milik tentera Amerika Syarikat (AS). Jet pejuang jenis Sukhoi itu mampu melancarkan serangan serentak ke atas enam sasaran.


Lapor berita CNN pada 20 Julai 2021, pesawat itu dipersembahkan kepada Presiden, Vladimir Putin terlebih dahulu sebelum dilancarkan ketika pameran udara tahunan yang diadakan di luar Moscow pada Selasa lalu.


Sebelum ini, beberapa media melaporkan, jet pejuang itu dibina pada Mei tahun lalu. Berdasarkan rakaman video pelancaran, jet itu dibina dalam waktu yang singkat.


Beberapa laporan mendakwa jet pejuang itu dibina oleh syarikat pertahanan dan teknologi, Rostec bersama United Aircraft Corporation yang dikendalikan oleh negara itu.



"Tugas kami adalah untuk memastikan pesawat ini ditawarkan kepada ramai pelanggan bermula 2026," kata Pengarah United Aircraft Corporation, Yury Slyusar.


Rostec menggambarkan pesawat itu sebagai jet pejuang enjin tunggal generasi kelima yang menggabungkan penyelesaian inovatif termasuk teknologi kepintaran buatan (AI).


Jelas syarikat itu, jet pejuang itu mampu menyerang hingga enam sasaran secara serentak di darat, udara atau laut walaupun mengalami gangguan elektronik yang kuat.


Jet pejuang berharga antara AS$25 juta (RM105 juta) hingga AS$30 juta (RM127 juta), mampu membawa dron dan melancarkannya semasa penerbangan. 


Menurut Slyusar, beliau menjangkakan untuk menerima kira-kira 300 tempahan jet dalam tempoh 15 tahun akan datang, terutamanya dari Asia Barat, Asia dan Amerika Latin untuk harga tujuh kali lebih rendah berbanding jet F-35.


Prototaip jet pejuang jenis Sukhoi yang dikenali sebagai Checkmate. - Foto AFP.


EmoticonEmoticon