Rabu, 21 Julai 2021

Britain Beri Amaran Kepada China, Kerah Armada Penggempur Paling Kuatnya Ke Jepun


LONDON, 21 Julai - Britain mengumumkan hari ini bahawa kumpulan kapal penggempur paling kuatnya akan melawat lima pelabuhan di Jepun dan memberi amaran kepada China berhubung sebarang ancaman terhadap kebebasan belayar di perairan rantau Asia Pasifik.


Lapor CNN, kumpulan penggempur terdiri daripada kapal-kapal perang Tentera Laut Diraja Britain dan diketuai kapal pengangkut pesawat, HMS Queen Elizabeth yang membawa jet F-35B akan menuju ke perairan berkenaan.


Selepas menyertai latihan tentera bersama tentera-tentera laut sekutunya, armada gempur itu akan melawat lima pelabuhan di Jepun September ini, kata beberapa pegawai semasa lawatan Setiausaha Pertahanan Britain, Ben Wallace ke Tokyo.


Sebagai tambahan, Britain memutuskan untuk mengerahkan dua kapal perang secara kekal sebagai peronda luar pesisir, HMS Spey dan HMS Tamar yang akan memulakan kerahan tetap ke rantau tersebut bulan depan dan disokong oleh kapal-kapal perang dari Australia, Jepun serta Singapura.


HMS Queen Elizabeth berlabuh di Portsmouth, selatan England pada 5 Jun 2019. - Foto AFP.

"United Kingdom (UK) akan menghantar dua kapal perang secara kekal di rantau itu tahun ini," kata Menteri Pertahanan Britain, Ben Wallace dalam satu pengumuman bersama dengan rakan sejawatnya di Jepun, Nobuo Kishi.


China menuntut kedaulatan ke atas hampir keseluruhan Laut China Selatan sekali gus mencetuskan kemarahan jiran-jirannya dan mengundang bantahan luar termasuk daripada kerajaan Amerika Syarikat.


Wallace berkata, Britain mempunyai 'tanggungjawab' untuk mendesak kebebasan belayar apabila kumpulan penggempur itu belayar merentasi Laut China Selatan menuju ke Jepun.


"Bukan rahsia lagi bahawa China mengawasi dan mencabar kapal-kapal yang melakukan pelayaran di perairan antarabangsa di laluan tidak menyalahi undang-undang (Laut China Selatan)," katanya kepada akhbar The Times di Tokyo.


"Kita menghormati China dan kita harap, China menghormati kita. Kita akan belayar di mana dibenarkan oleh undang-undang antarabangsa," tegasnya.


HMS Queen Elizabeth berlepas dari sebuah pangkalan tentera laut di Portsmouth, England pada September tahun lalu. - Foto Agensi.


EmoticonEmoticon