Rabu, 21 Julai 2021

Ikan 'Misteri' Berwarna Oren Seberat 45kg Ditemukan Di Pantai AS


Seekor ikan gergasi berwarna oren dan perak terang yang spesiesnya tidak pernah dilihat sebelum ini, ditemukan terdampar di sebuah pantai di utara Oregon, Amerika Syarikat (AS).


Lapor Daily Star pada 19 Julai 2021, beberapa kakitangan dari Seaside Aquarium telah mengenal pasti ikan gergasi berbentuk bulat dengan sisik berwarna oren itu sebagai opah.


Penolong Pengurus Seaside Aquarium, Tiffany Boothe berkata, ikan seberat 45 kilogram (kg) dan berukuran kira-kira satu meter panjang merupakan pertama seumpamanya ditemukan di kawasan pantai itu.


Menurut Boothe, pihaknya tidak pasti bagaimana ikan itu mati namun menyatakan ikan itu berada dalam keadaan baik sebelumnya. Pengurusan Seaside Aquarium turut memuat naik hantaran mengenai penemuan ikan gergasi itu di laman Facebooknya.


Sementara itu, ahli biologi dari Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Nasional (NOAA) Perikanan memberitahu portal Stuff bahawa pakar percaya perubahan iklim mungkin menjadi antara faktor penemuan ikan gergasi itu di pantai tersebut.



Katanya, hal itu kerana spesies ikan tersebut biasanya ditemukan di perairan tropika dan sub-tropika. Opah yang juga dikenali sebagai 'moonfish' boleh membesar lebih dari enam kaki.


Menurut NOAA lagi, ikan pemangsa itu diyakini sejenis spesies ikan berdarah panas kerana mempunyai saluran darah di insang yang memungkinkannya mengedarkan darah hangat ke seluruh tubuhnya. Masih banyak yang belum diketahui mengenai ikan ini termasuk jangka hayatnya.


"Hanya sedikit penyelidikan mengenai biologi dan ekologi asas opah telah dilakukan. Penemuan bangkai ikan ini akan membantu penyelidikan lebih lanjut dapat dijalankan," katanya.


Menurut Boothe, Ikan itu akan dibekukan hingga akhir tahun ini, dan mengatakan para pelajar akan berpeluang membedah ikan tersebut, dengan bantuan dari Columbia River Maritime Museum.


"Isi perut dapat membantu menentukan apa yang dimakan ikan tersebut dan di mana mereka tinggal. Kerangka ikan akan disimpan dan dipamerkan," kata Tiffany Boothe.


Ikan gergasi seberat 45kg ditemukan di sebuah pantai di utara Oregon. - Foto Seaside Aquarium.


EmoticonEmoticon