Rabu, 21 Julai 2021

Asteroid Sebesar Sebuah Stadium Dijangka Melintasi Bumi Hujung Minggu Ini

Asteroid Sebesar Sebuah Stadium Dijangka Melintasi Bumi Hujung Minggu Ini

Gambar Hiasan.

Tidak dapat dinafikan bahawa asteroid selalu menimbulkan rasa ingin tahu di kalangan peminat ruang angkasa. Terbaru, Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) mengesan satu asteroid besar.


Asteroid itu yang dinamakan 2008 GO20 dikatakan mempunyai ukuran tiga kali lebih besar dari Taj Mahal atau sebesar sebuah stadium menuju ke orbit Bumi.


Walau bagaimanapun, para saintis yang kini memantau pergerakan asteroid yang mencecah saiz sehingga 220 meter lebar itu mengatakan bahawa tidak ada yang perlu dibimbangkan.


Menurut NASA, asteroid itu dijangka terbang melintasi orbit Bumi tanpa menimbulkan sebarang ancaman pada Sabtu ini kira-kira pukul 11.35 malam waktu Malaysia.


Walaupun kebarangkalian asteroid ini menghantam Bumi sangat rendah kerana berjarak 0,04 au (unit astronomi) dari Bumi. Para saintis NASA masih memerhatikan pergerakan batu angkasa tersebut.


2008 GO20 itu berstatus asteroid Apollo iaitu asteroid yang memiliki lebar orbit antara Bumi dan Matahari sehingga memungkinkan ia tidak hanya menghampiri Bumi, tetapi juga melintasi orbit planet ini.


Asteroid itu dijangka melintasi Bumi pada kelajuan 8 kilometer sejam. Satu lagi asteroid (2020 PMZ) yang didakwa seluas Jambatan Golden Gate di San Francisco pernah melintasi bumi pada September 2020.


NASA mengesan asteroid besar yang lebarnya hingga 220 meter dan menuju ke orbit Bumi. - Foto Daily Star/Getty Images.
Britain Beri Amaran Kepada China, Kerah Armada Penggempur Paling Kuatnya Ke Jepun

Britain Beri Amaran Kepada China, Kerah Armada Penggempur Paling Kuatnya Ke Jepun


LONDON, 21 Julai - Britain mengumumkan hari ini bahawa kumpulan kapal penggempur paling kuatnya akan melawat lima pelabuhan di Jepun dan memberi amaran kepada China berhubung sebarang ancaman terhadap kebebasan belayar di perairan rantau Asia Pasifik.


Lapor CNN, kumpulan penggempur terdiri daripada kapal-kapal perang Tentera Laut Diraja Britain dan diketuai kapal pengangkut pesawat, HMS Queen Elizabeth yang membawa jet F-35B akan menuju ke perairan berkenaan.


Selepas menyertai latihan tentera bersama tentera-tentera laut sekutunya, armada gempur itu akan melawat lima pelabuhan di Jepun September ini, kata beberapa pegawai semasa lawatan Setiausaha Pertahanan Britain, Ben Wallace ke Tokyo.


Sebagai tambahan, Britain memutuskan untuk mengerahkan dua kapal perang secara kekal sebagai peronda luar pesisir, HMS Spey dan HMS Tamar yang akan memulakan kerahan tetap ke rantau tersebut bulan depan dan disokong oleh kapal-kapal perang dari Australia, Jepun serta Singapura.


HMS Queen Elizabeth berlabuh di Portsmouth, selatan England pada 5 Jun 2019. - Foto AFP.

"United Kingdom (UK) akan menghantar dua kapal perang secara kekal di rantau itu tahun ini," kata Menteri Pertahanan Britain, Ben Wallace dalam satu pengumuman bersama dengan rakan sejawatnya di Jepun, Nobuo Kishi.


China menuntut kedaulatan ke atas hampir keseluruhan Laut China Selatan sekali gus mencetuskan kemarahan jiran-jirannya dan mengundang bantahan luar termasuk daripada kerajaan Amerika Syarikat.


Wallace berkata, Britain mempunyai 'tanggungjawab' untuk mendesak kebebasan belayar apabila kumpulan penggempur itu belayar merentasi Laut China Selatan menuju ke Jepun.


"Bukan rahsia lagi bahawa China mengawasi dan mencabar kapal-kapal yang melakukan pelayaran di perairan antarabangsa di laluan tidak menyalahi undang-undang (Laut China Selatan)," katanya kepada akhbar The Times di Tokyo.


"Kita menghormati China dan kita harap, China menghormati kita. Kita akan belayar di mana dibenarkan oleh undang-undang antarabangsa," tegasnya.


HMS Queen Elizabeth berlepas dari sebuah pangkalan tentera laut di Portsmouth, England pada September tahun lalu. - Foto Agensi.

Ikan 'Misteri' Berwarna Oren Seberat 45kg Ditemukan Di Pantai AS

Ikan 'Misteri' Berwarna Oren Seberat 45kg Ditemukan Di Pantai AS


Seekor ikan gergasi berwarna oren dan perak terang yang spesiesnya tidak pernah dilihat sebelum ini, ditemukan terdampar di sebuah pantai di utara Oregon, Amerika Syarikat (AS).


Lapor Daily Star pada 19 Julai 2021, beberapa kakitangan dari Seaside Aquarium telah mengenal pasti ikan gergasi berbentuk bulat dengan sisik berwarna oren itu sebagai opah.


Penolong Pengurus Seaside Aquarium, Tiffany Boothe berkata, ikan seberat 45 kilogram (kg) dan berukuran kira-kira satu meter panjang merupakan pertama seumpamanya ditemukan di kawasan pantai itu.


Menurut Boothe, pihaknya tidak pasti bagaimana ikan itu mati namun menyatakan ikan itu berada dalam keadaan baik sebelumnya. Pengurusan Seaside Aquarium turut memuat naik hantaran mengenai penemuan ikan gergasi itu di laman Facebooknya.


Sementara itu, ahli biologi dari Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Nasional (NOAA) Perikanan memberitahu portal Stuff bahawa pakar percaya perubahan iklim mungkin menjadi antara faktor penemuan ikan gergasi itu di pantai tersebut.



Katanya, hal itu kerana spesies ikan tersebut biasanya ditemukan di perairan tropika dan sub-tropika. Opah yang juga dikenali sebagai 'moonfish' boleh membesar lebih dari enam kaki.


Menurut NOAA lagi, ikan pemangsa itu diyakini sejenis spesies ikan berdarah panas kerana mempunyai saluran darah di insang yang memungkinkannya mengedarkan darah hangat ke seluruh tubuhnya. Masih banyak yang belum diketahui mengenai ikan ini termasuk jangka hayatnya.


"Hanya sedikit penyelidikan mengenai biologi dan ekologi asas opah telah dilakukan. Penemuan bangkai ikan ini akan membantu penyelidikan lebih lanjut dapat dijalankan," katanya.


Menurut Boothe, Ikan itu akan dibekukan hingga akhir tahun ini, dan mengatakan para pelajar akan berpeluang membedah ikan tersebut, dengan bantuan dari Columbia River Maritime Museum.


"Isi perut dapat membantu menentukan apa yang dimakan ikan tersebut dan di mana mereka tinggal. Kerangka ikan akan disimpan dan dipamerkan," kata Tiffany Boothe.


Ikan gergasi seberat 45kg ditemukan di sebuah pantai di utara Oregon. - Foto Seaside Aquarium.
Empangan China Berdekatan Bandar Boleh Pecah Bila-Bila Masa, Jejaskan 7 Juta Penduduk

Empangan China Berdekatan Bandar Boleh Pecah Bila-Bila Masa, Jejaskan 7 Juta Penduduk


BEIJING - Pihak berkuasa China memberi amaran sebuah empangan di Luoyang 'boleh pecah pada bila-bila masa' berikutan hujan lebat berterusan. Empangan Yihetan itu boleh menjejaskan kira-kira tujuh juta penduduk di Luoyang sekiranya pecah.


Sehubungan itu, ketenteraan China mengerahkan pasukan ke lokasi empangan tersebut dan melakukan strategi pemindahan banjir.


"Pada 20 Julai (semalam), berlaku retakan sepanjang 20 meter di empangan Yihetan, selain bahagian tebing sungai turut mengalami kerosakan teruk. Keadaan itu menyebabkan empangan berkenaan boleh runtuh pada bila-bila masa," menurut kenyataan tentera.


Ribut yang melanda juga menyaksikan berlakunya kejadian banjir besar. Hingga kini sekurang-kurangnya 12 orang maut dan lima cedera selepas hujan lebat mencetuskan banjir di bandar Zhengzhou di wilayah Henan, semalam.


Beberapa imej yang disiarkan dalam portal media tempatan menunjukkan stesen tren bawah tanah dinaiki banjir setinggi para leher orang dewasa.



Fenomena hujan lebat hingga mencetuskan banjir adalah kejadian bermusim yang sering terjadi di China, yang menyebabkan kerosakan harta benda, ladang pertanian bahkan hingga meragut nyawa.


Bagaimanapun, keadaan bertambah teruk sejak beberapa dekad lalu. Salah satunya adalah kesan daripada pembinaan empangan berkenaan yang memusnahkan kawasan hutan di sekitar.


Menurut pihak berkuasa, curahan hujan kali ini adalah yang paling lebat sejak rekod bermula 60 tahun lalu, di mana bandar berkenaan menerima taburan bersamaan purata hujan setahun dalam tempoh hanya tiga hari.


Tentera China Beri Amaran, Empangan Berdekatan Bandar Dihuni 7 Juta Orang Boleh Runtuh Bila-bila Masa.

Hujan lebat mencetuskan banjir besar di bandar Zhengzhou di wilayah Henan, semalam.

Selasa, 20 Julai 2021

Pada Tahun 2024, Sesiapa Saja Boleh Menganjurkan Majlis Perkahwinan Di Angkasa Lepas

Pada Tahun 2024, Sesiapa Saja Boleh Menganjurkan Majlis Perkahwinan Di Angkasa Lepas


Permulaan pelancongan ruang angkasa oleh Syarikat Space Perspective berjaya melengkapkan penerbangan ujian tanpa pemandu pertama, pada hari Jumaat (16 Julai 2021) dengan balon raksasa yang akan membawa manusia ke pinggir angkasa.


Syarikat itu melancarkan prototaip balon stratosferiknya sejauh 20 batu di atas Florida pada pukul 5:23 pagi (waktu tempatan), meletakkan jadual untuk penerbangan uji kru pertama pada tahun 2023 dan komersial pertama pada tahun 2024.


Menurut lapor akhbar Daily Mail 18 Julai 2021, bakal pasangan pengantin baharu dijangka boleh menganjurkan majlis perkahwinan mereka di angkasa lepas menjelang tahun 2024.



Majlis perkahwinan unik itu akan diadakan di dalam sebuah belon angkasa lepas bersaiz stadium padang ragbi yang terapung pada ketinggian 30 kilometer (km) di atas paras laut.


Syarikat Space Perspective berpangkalan di Florida kini menjual tiket penerbangan dengan kapsulnya pada harga AS$125,000 (RM528,000) yang akan menyajikan pemandangan Bumi yang menakjubkan.


Kapsul dibawa oleh belon angkasa gergasi itu boleh memuatkan hingga lapan tetamu ke ruang stratosfera untuk perjalanan yang mengambil masa enam jam.


Pakej tersebut sudah pun dibeli oleh beberapa pelanggan untuk acara kumpulan dan ada juga yang ingin mengadakan majlis perkahwinan mereka di sana. Tiket pakej itu mula dijual sejak akhir Jun lalu.



Penumpang akan menikmati pemandangan Bumi 360 darjah ketika berada di dalam kapsul yang dilengkapi dengan bilik mandi, bar dan akses Wi-Fi.


Space Perspective yang diketuai oleh pasangan suami isteri Taber MacCallum dan Jane Poynter baru-baru ini memberitahu majalah Observer mengenai sambutan menggalakkan yang diterima sejak pakej penerbangan itu mula dijual.


"Ini akan menjadi satu pengalaman yang gila. Belon akan berlepas dari Pusat Angkasa Kennedy dan mengambil masa lebih kurang dua jam untuk sampai pada ketinggian 30 km.


"Semasa proses menuju ke puncak, anda akan dapat melihat sejauh 724 km ke setiap arah, bermakna anda akan melihat seluruh semenanjung Florida, Bahamas dan Teluk Mexico," kata Poynter.


Permulaan pelancongan ruang angkasa Space Perspective berjaya melengkapkan penerbangan ujian tanpa pemandu pertama pada hari Jumaat dengan balon raksasa yang akan segera membawa manusia ke stratosfera. - Foto Space Perspective.

Belon angkasa lepas sebesar stadium padang ragbi dan akan terapung 30 kilometer dari paras laut. - Foto Space Perspective.


Belon angkasa gergasi itu boleh memuatkan 8 tetamu ke ruang stratosfera untuk perjalanan yang mengambil masa 6 jam. - Foto Space Perspective.
Ajal ketika mahu swafoto, wanita terjatuh di air terjun

Ajal ketika mahu swafoto, wanita terjatuh di air terjun


Seorang influencer (Bintang Instagram) media sosial, maut selepas terjatuh di air terjun di hadapan rakan-rakannya ketika cuba mengambil swafoto untuk dikongsi dengan 6,000 pengikut Instagramnya.


Daily Star melaporkan, Sofia Cheung, 32, jatuh dari ketinggian 4.68 meter di air terjun Tsing Dai berhampiran Yuen Long, Hong Kong, pada hari Sabtu minggu lalu (10 Julai 2021).


Dia menghabiskan masa bersama tiga rakannya di Taman Ha Pak Lai, sebelum tragedi itu berlaku. Dalam akaun Instagram Sofia dipenuhi aktiviti mendaki, berkayak, menjelajah, aktiviti luar, dan fotografi. Gambar dia naik ke puncak air terjun itu untuk mengambil foto turut dikongsinya.


Bagaimanapun, dia dikatakan kehilangan keseimbangan dan jatuh ke dalam air. Rakannya segera memanggil pasukan kecemasan, dan paramedik membawa Sofia ke sebuah hospital di Hong Kong.



Tetapi, dia disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital. Akaun Instagramnya menyatakan, 'hidup semestinya tidak menyenangkan' dan dipenuhi dengan gambar dia menikmati masa-masa lalunya.


Foto terakhir yang dikongsi dari akaunnya dengan 6,314 pengikutnya pada 9 Julai dan sejak itu dibanjiri dengan mesej takziah.


"Saya fikir hari-hari yang lebih baik akan datang. Saya akan merindui perbualan anda setiap hari. Saya selalu mencintaimu. Berehatlah dengan tenang Sofia yang cantik," tulis seorang pengikut yang patah hati.


Puluhan yang lain menyertakan ucapan 'RIP' (Rest In Peace) dengan banyak emoji untuk mengingati individu yang berusia 32 tahun itu.


Antara foto aksi Sofia Cheung, sebelum ini. - Foto Agensi.
China ancam perang menggunakan bom nuklear secara berterusan ke atas Jepun

China ancam perang menggunakan bom nuklear secara berterusan ke atas Jepun


Pegawai-pegawai Parti Komunis China memberi amaran keras akan menggunakan bom nuklear ke atas Jepun jika negara Matahari Terbit itu cuba mempertahankan Taiwan daripada serangan China.


Menurut lapor akhbar Daily Star pada 19 Julai 2021, kelmarin, Jawatankuasa Perbandaran Baoji iaitu bandar utama di wilayah Shaanxi memuat naik video amaran itu menerusi saluran perkongsian video tentera tempatan dikenali dengan nama 'Liu Jun Tao Lue'.


Video tersebut mempunyai tajuk bermaksud 'Sekiranya ada campur tangan Jepun dalam usaha menyatukan semula Taiwan, serangan nuklear perlu dilaksanakan segera.' Bagaimanapun, video kontroversi yang disiarkan pada hari Ahad lalu itu telahpun dipadam.


"Jika Jepun berani campur tangan dalam usaha membebaskan Taiwan, maka kami akan mengerahkan askar, pesawat dan kapal perang. Kami akan memulakan perang besar-besaran terhadap negara itu.


"Kami akan menggunakan bom nuklear secara berterusan sehingga Jepun menyerah kalah tanpa syarat. Kami akan menyerang sehingga Jepun sedar ia tidak mampu membayar harga peperangan ini," ujar klip video itu.


Meskipun video itu telah dipadamkan dari media sosial, ia sempat mengumpulkan sekitar dua juta tontonan. Aktivis hak asasi manusia, Jennifer Zeng membuat salinan video itu dengan sari kata bahasa Inggeris dan memuat naiknya di laman Twitter.


"Negara kita (China) berada di tengah-tengah perubahan besar yang belum pernah berlaku dalam satu abad dan semua kebijaksanaan, taktik dan strategi politik perlu disesuaikan untuk melindungi kebangkitan negara kita secara damai.


"Sekiranya Jepun berperang dengan China untuk kali ketiga, rakyat China akan membalas dendam dengan cara paling dahsyat," kata Zheng.


Video itu diakhiri amaran untuk menghukum Perdana Menteri, Jepun Yoshihide Suga, mantan Perdana Menteri, Shinzo Abe dan Timbalan Perdana Menteri, Taro Aso yang berhasrat merebut kembali Pulau Diaoyu dan Ryukyu yang kini di bawah pemerintahan China.


Kenyataan keras pegawai-pegawai Parti Komunis China terhadap Tokyo itu adalah susulan kenyataan oleh pegawai kerajaan Jepun bahawa mereka akan mempertahankan Taiwan jika negara pulau itu diserang oleh China.


Menteri Pertahanan Jepun, Nabuo Kishi dan timbalannya, Yasuhide Nakayama menyokong supaya Jepun terlibat membantu Taiwan jika pulau itu diserang oleh China.


Minggu lepas, Timbalan Perdana Menteri Jepun Taro Aso berkata sebarang serangan oleh China terhadap Taiwan akan turut menjejaskan Tokyo dan seterusnya memanggil usaha bersepadu untuk mempertahankan Taiwan.


Kapal selam nuklear kelas Jin jenis 094A milik Angkatan Laut Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) berada di perairan Qingdao, wilayah Shandong di timur China pada 23 April 2019. - Foto AFP.
Lelaki Terkejut Jumpa Haiwan Aneh Menyerupai Anak Naga Di Celah Batu

Lelaki Terkejut Jumpa Haiwan Aneh Menyerupai Anak Naga Di Celah Batu


Naga adalah makhluk mitos yang paling terkenal di dunia. Misteri kewujudan naga sebagai makhluk mistik yang memiliki kuasa sakti sememangnya mencetuskan fenomena membingungkan di seluruh dunia.


Hal ini disebabkan jasad makhluk mitos itu masih gagal ditemui di mana-mana pelosok dunia tetapi kisah legenda membabitkan naga wujud dan diceritakan dalam budaya pelbagai bangsa di seluruh dunia.


Beberapa tahun lalu, seorang lelaki terkejut menemui haiwan aneh menyerupai anak naga di celah batu. Ketika itu dia mula yakin bahawa haiwan yang ditemui mungkin anak naga 'makhluk mitologi'. Penemuan tersebut membuatkan lelaki ini ingin tahu dengan lebih mendalam tentang haiwan tersebut.



Dia melakukan carian maklumat berkaitan haiwan itu di internet, dan malangnya haiwan berkenaan bukan anak naga seperti yang diharapkannya. Haiwan aneh yang memiliki sisik menyerupai naga itu sebenarnya dikenali sebagai cicak armadillo.


Haiwan yang unik dan jarang dilihat ini ditemui oleh lelaki tersebut ketika cicak armadillo itu terperangkap di antara retakan dua batuan. Sewaktu ditemui, haiwan unik ini langsung tidak cuba melarikan diri dengan bersembunyi dan sebagainya.


Tetapi, ia akan menggigit ekornya sebelum menggulungkan badan menjadi bola dan bergolek untuk melarikan diri. Disebabkan itu, cicak armadillo turut diberikan gelaran lain iaitu 'cicak gigit ekor'. Dikatakan spesies cicak armadillo ini berasal di kawasan batu pasir yang terletak di Afrika Selatan.


Walaupun haiwan ini memiliki bentuk badan yang pelik, ianya seringkali dijadikan sebagai haiwan peliharaan. Sisik yang terdapat pada badan cicak armadillo turut membuatkan orang sering tersalah anggap haiwan ini sebagai tenggiling dan yang mengelarnya 'anak naga'.


Satu lagi fakta menarik mengenai spesies armadillo ini adalah ia tidak mengawan dengan terlalu kerap. Jadi, haiwan-haiwan ini boleh hidup sendirian tanpa adanya pasangan. Secara tak langsung, kadar pembiakan cicak armadillo juga agak perlahan, dilaporkan hanya satu hingga dua ekor sahaja dalam setahun.



Di samping itu, ada juga segelintir manusia sanggup berhabis duit yang banyak semata-mata untuk mendapatkan haiwan luar biasa ini. Beberapa tahun kebelakangan, berlaku peningkatan aktiviti penjualan dan mengeksport cicak armadillo ini.


Kini, ia boleh didapati di seluruh dunia dan harga bagi seekor cicak armadillo pasti akan mengejutkan anda. Walaupun haiwan ini kelihatan agak mengerikan bagi sesetengah individu, ia sebenarnya boleh menukar tingkah lakunya setelah membiasakan diri dengan manusia.


Dalam erti kata lain, cicak armadillo yang telah biasa hidup bersama manusia tidak akan terlalu melindungi diri atau menggulungkan badannya untuk melarikan diri dan bersembunyi. Namun begitu, bukankah lebih baik sekiranya kita membiarkan haiwan yang diancam kepupusan ini hidup bebas di habitatnya. Sumber: Era Baru (March 2018).



Isnin, 19 Julai 2021

Suami isteri tidur atas pokok 10 hari elak dimakan beruang

Suami isteri tidur atas pokok 10 hari elak dimakan beruang


Sepasang suami isteri di Rusia terpaksa hidup 'diselubungi ketakutan' selama 10 hari dan kelaparan di atas pokok ketika bersembunyi daripada seekor beruang coklat, lapor akhbar Mirror pada 17 Julai 2021.


Anton dan Nina Bogdanov yang mengembara ke sebuah hutan di Banniye Springs, Wilayah Kamchatka, terperangkap selepas kenderaan pacuan empat roda milik mereka tersekat dalam lopak lumpur.


Disebabkan tiada sebarang liputan telefon bimbit, kedua-dua mereka terpaksa berjalan ke sebuah pusat pelancong untuk meminta bantuan. Ketika dalam perjalanan seekor beruang tiba-tiba muncul lalu mengejar mereka.


"Beruang itu berjalan di belakang kami, dan kami langsung tidak menyedarinya. Ia bergerak dengan amat perlahan. Suami saya adalah yang pertama ternampak beruang itu. Pada mulanya, kami berjaya menakutkannya, namun ia datang kembali dan mengejar kami," ujar Nina.


Mereka kemudiannya berlari sejauh hampir 200 meter ke arah sebatang sungai, namun terpaksa memanjat sebatang pokok untuk menyelamatkan diri apabila beruang itu hampir menangkap mereka.



"Pemangsa itu hampir membunuh Anton. Saya membuang botol air untuk mengalihkan perhatian haiwan itu. Anton mengambil kesempatan untuk memanjat pokok," katanya.


Beruang itu kemudiannya mengawal bawah pokok tempat Nina dan Anton bersembunyi sehingga memaksa mereka mengambil giliran untuk tidur bagi memastikan haiwan itu tidak bertindak ganas.


Kata Nina, ketika beruang itu bergerak jauh, mereka mengambil kesempatan cuba berlari ke arah sungai, namun usaha untuk ke tebing sungai tidak berjaya apabila beruang itu mengejar dan memaksa mereka memanjat di atas pokok semula.


Keadaan itu berterusan sehingga 10 hari sebelum mereka diselamatkan oleh sebuah kenderaan yang kebetulan melalui jalan itu dan berjaya menghalau beruang tersebut.


"Saya menangis kegembiraan sebaik melihat terdapat kenderaan lain datang menghampiri dan menyelamatkan kami," kata Nina.


Berdasarkan data dari pemerintah Wilayah Kamchatka, empat orang diserang oleh beruang pada tahun 2020 lalu dengan dua kematian. Wilayah ini merupakan 'rumah' bagi 23, 000 beruang.


Nina dan Anton sedang membersihkan diri sejurus diselamatkan. - Foto The Siberian Times.

Ahad, 18 Julai 2021

Anak kambing lahir dengan 8 kaki gemparkan penduduk

Anak kambing lahir dengan 8 kaki gemparkan penduduk

Anak kambing lapan kaki yang dilahirkan pada khamis lalu.

Seekor anak kambing yang baru dilahirkan pada 15 Julai 2021 lalu di Parganas Bangaon, India, telah mencuri perhatian apabila mempunyai lapan kaki dan dua pinggul.


Menurut lapor India Today pada 16 Julai 2021, mengatakan kambing itu dimiliki oleh Saraswati Mondal yang turut meternak lembu di rumahnya.


Katanya, pada pagi Khamis lalu, seekor kambing miliknya melahirkan dua ekor anak dengan satu daripadanya dilahirkan dengan lapan kaki, manakala satu lagi dalam keadaan normal.


Bagaimanapun, kambing yang dilahirkan dalam keadaan luar biasa itu meninggal dunia beberapa minit selepas itu.


"Ini adalah kejadian pertama yang saya saksikan sendiri. Selepas lima minit dilahirkan, bayi kambing itu mati. Namun, ibu dan bayi kambing lain masih hidup dan berada dalam keadaan baik," katanya.


Ibu dan bayi kambing lain masih hidup dan berada dalam keadaan baik.

Kelahiran aneh itu bukan kali pertama berlaku di dunia. Sebelum ini kambing berkaki lapan pernah dilahirkan pada 2014 di sebuah ladang di Croatia dan pada 2019 di Desa Pasi Keubeudom, Aceh.


Pada Mei 2014, seekor anak kambing dilahirkan dengan keadaan tidak normal di sebuah ladang di Croatia. Kambing itu mempunyai lapan kaki dan pelbagai jenis kelamin, iaitu betina dan jantan.


Kambing itu, yang dilahirkan dengan keadaan pelik milik Zoran Paparic, seorang petani di Kutjevo, timur laut Croatia. Menurut doktor haiwan tempatan, kambing berkaki lapan itu sebenarnya kembar tetapi dilahirkan melekat dan tidak sempurna.


Pada November 2019 pula, seekor anak kambing dilahirkan dengan mempunyai lapan kaki di ladang penduduk di Desa Pasi Keubeudom, Aceh. Kelahiran itu telah mengejutkan penduduk tempatan sehingga sempat tural di media sosial.


Anak kambing menpunyai lapan kaki yang dilahirkan di di Desa Pasi Keubeudom, Aceh pada November 2019.

Seekor anak kambing dilahirkan dengan keadaan tidak normal di sebuah ladang di Croatia pada Mei 2014.