Ahad, 14 Disember 2025

Abang kandung buntingkan dua adik sekali gus


Seorang lelaki berusia 21 tahun ditahan polis selepas dipercayai melakukan jenayah seksual sehingga menghamilkan dua adik kandungnya sendiri dalam kejadian yang dipercayai berlaku secara berulang sejak 2016 hingga 2024 di Nagari Air Bangis, Kecamatan Sungai Beremas, Kabupaten Pasaman Barat, Sumatera Barat.


Suspek dikenali sebagai SF, dilaporkan menghamilkan dua mangsa, masing-masing SB, 20, dan SN,15. Kes itu terbongkar dan mencetuskan kekecohan awam pada Rabu, 10 Disember 2025, sebelum menjadi tular di media sosial.


Timbalan Ketua Polis Pasaman Barat, Kompol Cairul Amri, mengesahkan suspek ditahan pada malam hari yang sama (Rabu), kira-kira jam 9 malam waktu tempatan, di kawasan Simpang Air Balam, Kecamatan Koto Balingka, selepas polis menerima pengakuan langsung daripada mangsa.


Sebelum itu, sekitar jam 3 petang waktu tempatan, penduduk setempat hadir ke Balai Polis Sungai Beremas susulan salah faham yang menimbulkan ketegangan apabila bapa mangsa disyaki sebagai pelaku. Demi keselamatan, polis memindahkan keluarga berkenaan ke lokasi selamat.


Namun, pada sekitar jam 7 malam waktu tempatan hari yang sama, kedua-dua mangsa tampil bersama ibu bapa mereka dan menjelaskan bahawa pelaku sebenar ialah abang kandung mereka sendiri.


Susulan pengakuan tersebut, polis segera melancarkan operasi memburu sebelum menahan suspek tanpa sebarang tentangan. Kes kini disiasat secara menyeluruh, termasuk tempoh penderaan dan motif kejadian.


Polis memberi jaminan siasatan dijalankan secara profesional dan telus, manakala mangsa serta keluarga diberikan perlindungan keselamatan dan sokongan psikologi.


Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi dan menyerahkan sepenuhnya proses keadilan kepada pihak berkuasa.


Suspek (lima dari kanan) kini sudah ditahan. - Foto Agensi.


EmoticonEmoticon