Sabtu, 10 Julai 2021

Kehadiran Buaya Gemparkan Penduduk Di Taman Perumahan

Kehadiran Buaya Gemparkan Penduduk Di Taman Perumahan


KOTA KINABALU, 10 Julai - Seekor buaya masuk ke Taman Perumahan Bitsa Ridge, Luyang di sini, telah gemparkan penduduk. Bagaimanapun mereka berasa lega apabila buaya yang masuk ke kawasan itu berjaya ditangkap Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) malam tadi.


Penduduk kawasan itu mendakwa terlihat reptilia terbabit di kawasan perumahan terbabit pada 7.30 malam sebelum menghubungi JHLS untuk mendapatkan bantuan.


Penolong Pengarah JHLS Dr Sen Nathan berkata, sepasukan anggotanya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima aduan kehadiran buaya tersebut di hadapan sebuah rumah penduduk.


Menurutnya, setibanya di lokasi ditemukan seekor buaya sepanjang dua meter di kawasan semak berhampiran perumahan berkenaan.



"Operasi menangkap reptilia itu segera dijalankan dan dan usaha itu dilakukan tanpa sebarang masalah.


"Buaya berkenaan kemudiannya dibawa ke Pusat Penyelamatan Hidupan Liar di Potuki, Lok Kawi untuk penjagaan dan rawatan yang diperlukan," katanya di sini, hari ini.


Dr Sen berkata, buaya berkenaan akan dijaga buat sementara waktu sebelum ia lepaskan di habitat yang sesuai.


"Sehubungan itu, kita mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak yang membantu dari segi kewangan untuk operasi hidupan liar seperti ini," katanya.


Kakitangan JHL Sabah menangkap buaya sepanjang dua meter di Taman Perumahan Bitsa Ridge, Luyang, Kota Kinabalu. Foto JHLS.

Pelik Tapi Benar, Fosil Ikan Paus ditemukan di Tengah Padang Pasir

Pelik Tapi Benar, Fosil Ikan Paus ditemukan di Tengah Padang Pasir


Hampir seluruh wilayah Mesir adalah gurun pasir kecuali daerah di sekitar aliran Sungai Nil. Maka, tidak hairanlah banyak peninggalan sejarah negara ini terletak kawasan gurun, seperti piramid dan sphinx yang menjadi tarikan kepada jutaan pelancong.


Selain piramid, salah satunya tarikan pelancong adalah 'Wadi Al-Hitan' atau Lembah Paus. Lembah terpencil ini terletak di gurun Barat, kira-kira 150 kilometer barat daya Kaherah. Di sekitar gurun ini terdapat beberapa fosil dan tulang paus yang dipercayai sudah berusia jutaan tahun.


Penemuan fosil paus di gurun tersebut menjelaskan salah satu misteri terbesar evolusi paus sebelum kemunculan ikan paus sebagai mamalia laut. Fosil ini mengesahkan teori evolusi, bahawa ikan paus di lautan masa kini bermula dengan kehidupan sebagai mamalia darat.



Dari hasil penyelidikan, fosil Archaeoceti (sub-paus yang sekarang telah pupus) di Wadi Al-Hitan merupakan tahap evolusi terakhir dari mamalia darat ke laut. Fosil itu memaparkan bentuk badan yang sangat menyerupai ikan paus. Namun, ia masih mempunyai struktur primitif tertentu, seperti tengkorak dan gigi, serta kaki belakang.


Ini jelas menggambarkan bentuk dan kehidupan ikan paus semasa peralihannya. Fosil haiwan purba lain seperti beberapa spesies ikan dan penyu juga ditemui di lembah tersebut. Ini menunjukkan bahawa lembah di sekitar Wadi Al-Hitan pernah menjadi lembangan besar yang terendam air.


Kira-kira 40 hingga 50 juta tahun yang lalu lembah ini mungkin sebahagian dari laut Mediterranean. Namun, lama kelaman ia bertukar menjadi gurun apabila berlaku endapan tebal batu pasir dan batu kapur yang kini terdapat pada formasi batuan di Wadi Al-Hitan.



Kajian geologi telah dilakukan di kawasan itu sejak tahun 1800-an, dan fosil kerangka pertama dijumpai sekitar tahun 1830 tetapi tidak pernah dikumpulkan kerana akses ke lokasi sukar pada masa itu. Pada mulanya, rangka fosil dianggap kerangka reptilia laut yang besar, namun pada tahun 1902 fosil itu dikenal sebagai ikan paus purba berkaki empat.


Pelancong yang datang ke Wadi Al-Hitan dapat melihat fosil dengan mata kasar. Fosil itu hanya tergeletak di tanah, pun begitu pemerintah Mesir sangat melindungi fosil-fosil itu dengan mengenakan denda sangat besar pada sesiapa yang memusnahkannya.


Kira-kira 1,000 pelancong setiap tahun datang ke Wadi Al-Hitan yang kini menjadi tapak Warisan Dunia Unesco, untuk melihat fosil paus purba berkenaan. Penyelidikan mengenai fosil masih dijalankan hingga kini.




Kira-Kira 11,000 Pokok Musang King Siap Ditebang Minggu Depan

Kira-Kira 11,000 Pokok Musang King Siap Ditebang Minggu Depan


RAUB, 10 Julai - Operasi menebang pokok durian Musang King yang ditanam secara haram dianggarkan berjumlah kira-kira 11,000 pokok di tanah seluas 101 hektar di Hutan Simpan Kekal Batu Talam di sini dijangka siap sepenuhnya minggu depan.


Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Nor Azirim Ahmad berkata, berdasarkan kerja memusnahkan yang telah melebihi 85 hektar sehingga petang semalam menyaksikan aktiviti menebang dijangka siap lebih awal berbanding jadual pada 3 Ogos depan.


"Aktiviti menebang mula berjalan lancar pada Selasa lalu terutama selepas kehadiran anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertanggungjawab mengawal dalam kawasan Hutan Simpan Batu Talam termasuk mengadakan dua sekatan jalan raya (SJR) di laluan masuk ke hutan simpan berkenaan.



"Selepas aktiviti menebang selesai sepenuhnya kerja menanam pokok hutan akan dilakukan segera yang mana beberapa spesies pokok hutan sudah dikenal pasti seperti meranti temak nipis," katanya di sini, hari ini.


Operasi memusnahkan pokok durian Musang King di kawasan Hutan Simpan Kekal Batu Talam seluas 101 hektar dimulakan pada 3 Julai lalu yang dijangka berakhir 2 Ogos depan.


Menurut Nor Azirim, kehadiran lebih ramai penebang terdiri daripada kakitangan JPNP disetiap daerah di negeri ini melancarkan kerja memusnahkan pokok durian.


Beliau memberitahu, hampir 100 kakitangan JPNP menyertai Operasi Pamah dibantu anggota Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) yang menjalankan kerja menebang secara berterusan menggunakan mesin gergaji berantai.


Katanya, aktiviti menebang sebenarnya dilakukan hanya dalam masa lima hari sahaja kerana tindakan provokasi selain jambatan yang dirosakkan menyebabkan kerja menebang tergendala.


"Faktor hujan pada sebelah petang selain angin kencang turut menjejaskan kelancaran aktiviti menebang yang jadual asal mengambil masa sebulan untuk siapkan," katanya.



Operasi Tebang Pokok Durian Dibuat Mengikut Undang-Undang


Operasi memusnahkan ladang durian haram dalam Hutan Simpan Kekal Batu Talam dekat Raub yang dilaksanakan sejak Sabtu lalu, dibuat oleh kerajaan negeri selepas mendapat pandangan penasihat undang-undang.


Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pandangan penasihat undang-undang itu dirujuk kerana dakwaan kononnya operasi penguatkuasaan di situ melanggar perintah Mahkamah Rayuan.


"Operasi penguatkuasaan ini dijalankan selepas mendapat pandangan perundangan daripada Pejabat Penasihat Undang-undang (LA) Negeri yang sebelum itu merujuk kembali perkara ini ke Mahkamah Rayuan.


"Ia sebenarnya tidak (melanggar perintah mahkamah) kerana kerja penguatkuasaan dilakukan di luar kawasan kebun durian yang dimaksudkan yang dimiliki oleh Royal Pahang Durian Resoruces PKPP Sdn Bhd," katanya.


Kerja menebang pokok durian Musang King pada operasi musnah kebun haram di Hutan Simpan Batu Talam.

Jumaat, 9 Julai 2021

Didakwa 'Lembu Terkecil Di Dunia' Gemparkan Ribuan Penduduk Berpusu-Pusu Datang Melihatnya

Didakwa 'Lembu Terkecil Di Dunia' Gemparkan Ribuan Penduduk Berpusu-Pusu Datang Melihatnya


Ribuan penduduk mengabaikan Perintah Kawalan Pergerakan 'lockdown' untuk memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 di Bangladesh, semata-mata untuk melihat seekor lembu bernama Rani. Pemiliknya mendakwa lembu itu adalah terkecil di dunia.


Lembu jenis Bhutan setinggi 51 sentimeter (cm) dan berat 28 kilogram berusia 23 bulan itu telah menjadi tular di media sosial, setelah akhbar dan stesen televisyen tempatan melaporkan mengenai lembu tersebut di sebuah ladang berhampiran Dhaka.


Menurut lapor BBC News, hari ini, lebih dari 15,000 orang dilaporkan mengunjungi Rani di ladang ternakan di Charigram, dekat ibu kota Dhaka. Pengurus ladang Hasan Howladar telah mendaftarkan Rani ke 'Guinness Book of Records' sebagai 'lembu terkecil di dunia'.



"Saya tidak pernah melihat perkara seperti ini seumur hidup saya," kata seorang pengunjung, Rina Begum, kepada pemberita.


Hasan membeli Rani tahun lalu dari ladang lain di daerah Naogaon di barat laut Bangladesh. Dia mengatakan bahawa lembu betina itu sukar berjalan serta takut dengan lembu-lembu lain, dan terpaksa dipisahkan dari kawanan lain.


"Ia tidak makan banyak. Ia makan sedikit dedak dan jerami dua kali sehari. Ia suka berkeliaran di luar kandang dan kelihatan gembira ketika kami membawanya," kata Hasan.


Gelaran sebagai lembu terkecil di dunia kini dipegang oleh Manikyam, dari negara India, dengan tinggi badannya 61.1cm dari tapak kaki ke tengkuk.


Menurut Hasan, orang-orang dari 'Guinness Book of Records' akan mengunjungi ladangnya tahun ini, untuk memeriksa sama ada Rani layak mendapat gelaran sebagai 'lembu terkecil di dunia' ataupun sebaliknya.


Hanya beberapa minggu sebelum Hari Raya Aidiladha, timbul persoalan adakah Rani akan dijual sebagai korban. Tetapi pemilik ladang mengatakan mereka tidak mempunyai rancangan untuk melepaskannya.


Pemilik Rani telah mengajukan permohonan ke Guinness Book of Records untuk menyatakannya sebagai lembu terkecil di dunia. - Foto AFP/Getty Images.

Rani hanya setinggi 51 sentimeter dan berat 28 kilogram. - Foto AFP/Getty Images.

Rani lebih pendek jika dibandingkan dengan seekor kambing dewasa. - Foto AFP/Getty Images.
Lagi Batu Berlian Besar Ditemukan Di Botswana, Cipta Rekod Baru Ketiga Terbesar Di Dunia

Lagi Batu Berlian Besar Ditemukan Di Botswana, Cipta Rekod Baru Ketiga Terbesar Di Dunia

Berlian seberat 1,174 karat ditemukan di Botswana pada 12 Jun 2021 lalu. - Foto Agensi.

GABORONE, 9 Julai - Sebutir batu berlian yang besar seberat 1,174 karat ditemukan di sebuah kawasan perlombongan batu berharga di Botswana pada 12 Jun lalu, sekali gus menjadi berlian kedua 'bersize besar' ditemukan di negara ini dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.


Syarikat perlombongan Lucara Diamond dalam kenyataan memaklumkan, berlian itu ditemukan di lombong Karowe pada bulan lalu, dan diserahkan kepada Kabinet Bostwana di ibu negara tersebut, menerusi satu acara kelmarin (8 Julai 2021).


Pengarah Urusan syarikat itu, Nassem Lahri berkata, batu berlian tersebut menduduki tempat ketiga terbesar yang pernah ditemui di dunia. Berlian itu lebih besar daripada berlian 1,098 karat yang juga ditemukan di Botswana pada awal Jun lalu.


Sebelum ini, firma berlian Debswana berkata, ia menemui batu berlian seberat 1,098 karat di negara tersebut pada 1 Jun lalu, sekali gus menjadikan berlian itu yang ketiga terbesar di dunia. Bagaimanapun pada 16 Jun, pelombong menemukan berlian yang lebih besar seberat 1,174 karat.


Setakat ini, batu berlian terbesar pernah ditemui ialah Cullinan seberat 3,106 karat yang ditemukan di Afrika Selatan pada tahun 1905. Batu berlian Cullinan kemudian dipotong menjadi sembilan bahagian dan menjadi perhiasan kebesaran diraja Britain.


Batu berlian kedua terbesar di dunia juga ditemui di Botswana pada tahun 2019 oleh sebuah syarikat perlombongan batu berharga tersebut, yang sebesar sebiji bola tenis dan seberat 1,758 karat. Bostwana yang terletak di Afrika ialah pengeluar utama berlian di dunia.


Presiden Botswana, Mokgweetsi Masisi dilaporkan menghadiri majlis untuk melihat berlian 1,174 karat tersebut. Pengarah Urusan Lucara Diamond, Naseem Lahri berkata, penemuan berlian terbaharu itu mencipta sejarah tersendiri untuk negara ini.


Presiden Botswana Mokgweetsi Masisi memegang berlian 1,098 karat ditemukan 1 Jun 2021 lalu. - Foto AFP.

Batu berlian Cullinan seberat 3,106 karat yang dipotong menjadi sembilan bahagian. - Foto Google.
600 Kambing Biri-Biri Jadi Mangsa Kajian Makhluk Asing

600 Kambing Biri-Biri Jadi Mangsa Kajian Makhluk Asing

Gambar hiasan (Getty Images).

Adakah benar bahawa makhluk asing atau alien ini benar-benar wujud? Usaha untuk mencari atau memburu alien ini telah dijalankan sejak berdekad lamanya. Pelbagai cara dilakukan untuk menjejaki bentuk dan kewujudan mereka melalui gelombang radio dan sebagainya.  


Terbaru, lapor akhbar Daily Star pada 3 Julai 2021, Carl Nally, seorang pemburu objek terbang tidak dikenali (UFO) mendakwa, makhluk asing telah membunuh ribuan kambing biri-biri di Britain dalam beberapa siri eksperimen aneh yang dijalankan.


Nally, yang menyiasat insiden kematian kira-kira 600 ekor kambing biri-biri di sebuah ladang di utara Ireland berkata, dalam tempoh beberapa tahun lepas, ratusan petani melaporkan banyak kejadian haiwan ternakan mereka mati secara misteri.


Beberapa kambing biri-biri ditemui dengan keadaan lidah dipotong, dan ada yang ditemukan di luar wilayah. Polis yang menyiasat dengan kejadian itu turut bingung, tetapi Nally berpendapat pembunuh haiwan-haiwan itu sebenarnya terdiri daripada makhluk asing.


Dalam buku yang ditulisnya, Circle Of Deceit: A Terrifying Alien Agenda In Ireland And Beyond, Nally dan penulis bersama, Dermot Butler mendakwa, makhluk asing sedang melakukan eksperimen terhadap kambing biri-biri.


"Kami telah mengkaji dan menyiasat sebuah ladang yang menyaksikan 600 ekor haiwan di situ telah menjadi mangsa prosedur pembedahan aneh dalam tempoh 20 tahun, di mana beberapa bahagian badannya dikeluarkan. 


"Kami percaya teknologi yang digunakan dalam pembedahan tersebut adalah amat canggih dan berasal dari dunia lain. Kebimbangan buat masa ini adalah berkemungkinan manusia pula bakal menjadi mangsa seterusnya.


"Manusia berdepan dengan insiden pembedahan sama yang dilakukan ke atas pelbagai spesies haiwan menggunakan teknologi kecerdasan yang sangat canggih, tidak dikenali dan hebat," katanya.


Kambing biri-biri didakwa menjadi mangsa eksperimen makhluk asing dengan mengeluarkan bahagian badan haiwan tersebut. (Getty Images).

Khamis, 8 Julai 2021

'Spiderman' Panjat Kondominium Hingga Tingkat 19 Ada 18 Rekod Jenayah

'Spiderman' Panjat Kondominium Hingga Tingkat 19 Ada 18 Rekod Jenayah


JOHOR BAHRU, 8 Julai - Seorang lelaki beraksi ala 'Spiderman' dengan memanjat hingga ke tingkat 19 kondominium Aliff Residence, Tampoi, gemparkan penduduk. Lelaki itu memanjat bangunan berkenaan dari satu tingkat ke tingkat lain dipercayai untuk melakukan kegiatan jenayah.


Kejadian berkenaan dirakam penduduk menerusi satu video berdurasi 53 saat yang tular dalam media sosial. Rakaman itu memaparkan lelaki tersebut dilihat memanjat naik ke luar bangunan dari tingkat 14 hingga ke tingkat 18 sebelum turun semula ke tingkat 14.


Seorang penduduk tempatan yang enggan dikenali berkata, lelaki itu cuba memasuki rumahnya dan mengugut akan mencederakan kalau tidak membuka 'sliding door' beranda rumahnya.


"Kebetulan 'sliding door' rumah saya rosak, saya dan anak cuba menutupnya dari dalam manakala pencuri berkenaan cuba membuka dan mengugut beliau ada pistol.


"Manalah kita jangka pencuri boleh naik hingga ke tingkat tinggi dari beranda ke beranda bangunan kondominium seperti ini," katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.



Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II, Nordatul Badrol Abd. Rahman berkata, suspek ditahan penduduk setempat ketika berada di beranda tingkat 19.


"Seramai 14 anggota yang tiba ke lokasi kejadian mendapati suspek telah ditahan orang awam ketika dipercayai cuba untuk memecah masuk salah sebuah rumah berkenaan.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, suspek berusia 27 tahun itu juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine. Suspek disahkan sebagai orang dikehendaki polis dengan memiliki 18 rekod jenayah lampau.


Katanya, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam seorang lelaki ditahan selepas didakwa melakukan pencerobohan rumah kediaman bertingkat pada pukul 5.40 petang, semalam.


"Dalam penahanan itu, polis turut merampas satu peket kecil mengandungi dadah syabu seberat 430 gram, sebuah Toyota Vios, lima unit alat kawalan jauh kereta pelbagai jenama, tujuh jam tangan dan sebilah parang," katanya dalam kenyataan.


Tambah Rupiah, kejadian itu disedari penduduk pada pukul 4 petang sebelum individu berkenaan ditahan kira-kira setengah jam kemudian. Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Aksi seorang lelaki yang dirakam sedang memanjat bangunan sebuah kondominium untuk melakukan jenayah sebelum berjaya diberkas di Kondominium Aliff Residence, Tampoi, Johor Bahru.
Lelaki tinggal dalam hutan selama 30 tahun dan tidak berhubung dunia luar

Lelaki tinggal dalam hutan selama 30 tahun dan tidak berhubung dunia luar


Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah yang dapat digambarkan mengenai kesusahan dan keperitan seorang warga emas yang mendiami pondok usang dalam hutan di sebuah kebun getah berhampiran Jalan Trolak-Slim River di Perak.


Rashid Mat Sah, 66, yang berasal dari Kota Tinggi, Johor merantau ke Slim River untuk mencari kerja selepas ibu bapanya berpisah. Dia mengakui tinggal di pondok itu kira-kira 30 tahun lalu yang dibinanya sendiri menggunakan zink dan kayu terpakai.


"Apabila tiba di kawasan ini, saya mengikut seorang lelaki untuk berkerja di dusun durian. Saya mendapat upah dengan menjaga dan membersihkan dusun yang dipajaknya," katanya ketika ditemui.


Menceritakan kehidupannya kini, menurut Rashid, pada waktu malam, dia akan menyalakan pelita manakala air hujan pula digunakan untuk mandi dan memasak.



Rashid berkata, dia bersyukur kerana ada seorang guru yang sering membantunya membeli barangan keperluan asas, walaupun pondoknya terletak di dalam kawasan hutan sejauh kira-kira 1.5 kilometer dari jalan besar.


"Guru berkenaan mempunyai ladang getah di lokasi berhampiran dan saya selalu meminta bantuannya. Memang sunyi tinggal seorang diri di hutan, saya hanya bertemankan anjing yang dibela sebagai kawan selain untuk menjaga keselamatan," katanya.


Menurut Rashid, dokumen pengenalan dirinya tiada sejak lahir, dan selepas bapanya meninggal ibunya pula tidak dapat dikesan membuatkan dia terpaksa tinggal bersama nenek sebelum merantau. Selama berpuluh tahun tinggal di pondok itu, dia tidak tahu langsung apa yang berlaku di luar.


"Saya bukan tidak mahu keluar sesekali ke pekan dan sebagainya namun disebabkan ketiadaan dokumen pengenalan diri, ia menghalang saya berbuat demikian. Kalau boleh saya nak sangat ada kad pengenalan," katanya.



Jelasnya, duit diperoleh dengan bekerja mengambil upah menjaga kebun berhampiran pondok yang dibina di atas tanah pemilik kebun terbabit. Katanya lagi, dia sudah biasa dengan tempat itu, dan akan tetap duduk di situ. "Biarlah saya kerja jaga kebun ini pun tak apa," katanya.


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim Mohd Zaidi Aziz yang melawat Rashid berkata, beliau mengetahui keadaan lelaki itu selepas dimaklumkan orang awam.


"Hasil kunjungan ke pondok Rashid, saya dapati kehidupannya memang daif. Saya akan bantunya untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri bagi memudahkan urusan dan bantuan," katanya.


Menurut beliau, sementara menunggu urusan menyiapkan dokumen pengenalan diri, pihaknya akan terus membantu Rashid. Berkaitan bekalan air, beliau akan cuba menggali perigi untuk mendapatkan bekalan air bersih.


Katanya, pihaknya juga akan bawa Rashid ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan dan merawat penyakit kulit dialami yang dipercayai berpunca daripada anjing yang dibelanya, dan membina kandang anjing untuk mengelakkan ia tinggal dalam pondok bersama Rashid.


Rashid menunjukkan air hujan yang ditadah di dalam sebuah tong untuk digunakan bagi membersihkan diri berhampiran pondoknya.

Rashid menunjukkan dapur di luar pondok yang digunakan untuk memasak makanan dan air hujan yang ditadah.
Misteri Kewujudan 'Mata Sahara' Dipercayai Berusia 100 Juta Tahun Yang Terletak Di Tengah Padang Pasir

Misteri Kewujudan 'Mata Sahara' Dipercayai Berusia 100 Juta Tahun Yang Terletak Di Tengah Padang Pasir


Gurun Sahara adalah destinasi paling terkenal di Afrika, tetapi adakah anda tahu ada fenomena misteri di sana? Kewujudan 'pusaran gergasi' yang kelihatan seperti mata lembu dan menonjol di gurun tersebut. Formasi geologi aneh itu terbentang di kawasan gurun seluas kira-kira 48 kilometer terletak di negara Mauritania, Afrika Barat.


Dikenali sebagai Mata Sahara (The Eye of Sahara) atau Richat Structure, pertama kali dikesan oleh para angkasawan ketika misi Gemini IV pada tahun 1965. Dalam misi itu, para angkasawan juga diminta untuk memgambil gambar beberapa sudut bumi.


Pada saat mengambil gambar di bahagian barat Sahara, satelit Landsat berjaya merakam imej jelas yang memaparkan bulatan 'gergasi' seakan 'mata'. Penemuan itu telah didedahkan kepada umum secara kiraan kasar mengenai ukuran, tinggi dan luasnya.


Penemuan bentuk misteri tersebut pastinya menimbulkan persoalan dan teori dalam kalangan penduduk di dunia sehingga ada yang mendakwa bahawa ia merupakan sebahagian dari kota Atlantis yang hilang. Bagaimanapun, beberapa ahli geologi menpunyai teori yang berlainan.



Salah satunya adalah, ahli geologi percaya bahawa bulatan yang digelar 'Mata Sahara' itu merupakan kawah hentaman asteroid dan letusan gunung berapi tetapi tidak ada bukti yang terarah pada kedua teori itu. Walau bagaimanapun, kajian yang dilakukan pada batu yang terdapat di dalam struktur itu menunjukkan bahawa ia merupakan earth-based sepenuhnya iaitu terhasil daripada proses geologi.


Disebabkan itu, mereka juga telah membuat kesimpulan bahawa ia merupakan kubah geologi (geologic dome) yang mengandungi batuan yang berusia sekurang-kurangnya 100 juta tahun iaitu tidak lama sebelum munculnya kehidupan di bumi.


Batu-batuan ini termasuk endapan igneus (lapisan gunung berapi) serta lapisan sedimen. Beberapa tahun yang lalu pula, ahli geologi menemui beberapa jenis batuan beku di kawasan pembentukan mata itu termasuk yang dikenali sebagai kimberlite, carbonatites, basalt hitam dan rhyolites.



Batu-batu purba yang terdapat dalam kubah geologi itu telah memberikan sedikit maklumat kepada para penyelidik mengenai asal usulnya. Pembentukannya yang paling awal adalah bermula ketika Pangea (superbenua) mula terpisah.


Ketika Pangea pecah, perairan Lautan Atlantik mulai mengalir ke wilayah ini. Ia menyebabkan berlakunya tolakan dari dalam magma dan mantel bumi sehingga membentuk kubah berbatu dengan bulatan yang dikelilingi oleh lapisan batu pasir.


Keunikannya itu menjadi daya tarikan buat pelancong dan ahli geologi tetapi disebabkan ia berada di kawasan gurun yang kering dengan curahan hujan yang sedikit, ia tidak 'diancam' oleh manusia. Sehingga kini, ia dianggap sebagai misteri dan masih menjadi perdebatan ramai pihak dengan pelbagai teori.


Rabu, 7 Julai 2021

Tentera AS Pergi Tanpa Ucap 'Selamat tinggal' Tinggalkan Ribuan Kereta Perisai Dan 3.5 Juta Barang

Tentera AS Pergi Tanpa Ucap 'Selamat tinggal' Tinggalkan Ribuan Kereta Perisai Dan 3.5 Juta Barang


Tentera Amerika Syarikat (AS) meninggalkan Pangkalan Udara Bagram secara 'senyap' minggu lepas tanpa memberitahu kerajaan Afghanistan. Pangkalan Tentera Udara Bagram merupakan pusat keselamatan utama yang sebelum ini menempatkan puluhan ribu tentera AS.


Menurut lapor BBC News pada 6 Julai 2021, Komander baharu pangkalan Bagram, Jeneral Mirassadullah Kohistani berkata, AS meninggalkan Bagram pada Jumaat lalu jam 3 pagi (waktu tempatan), dan hanya diketahui oleh tentera Afghanistan beberapa jam kemudian.


Mereka berdepan dengan cabaran yang sangat besar dan perlu pikul tanggungjawab itu demi masa depan Afghanistan. Tentera Afghanistan kini bertanggungjawab menjaga Pangkalan Tentera Udara Bagram, yang dibina pertama kali oleh AS untuk tentera Afghanistan ketika era Perang Dingin pada 1950-an.


Kenderaan tahan lasak jalan berpasir dan lumpur  (MRAP) juga ditinggalkan di Bagram. - Foto AFP.

Menurut Mirassadullah, berita itu juga diketahui oleh Taliban yang kini bergerak menuju Bagram. Katanya, mereka sudah menjangkakan Taliban akan menyerang pangkalan itu. Dia turut mengatakan bahawa ada laporan Taliban melakukan 'pergerakan luar bandar' berhampiran pangkalan udara.


"Jika hendak dibandingkan dengan AS, sangat besar perbezaan itu dan tentera Afghanistan tidak akan menjadi sekuat tentera AS. Namun, berdasarkan kebolehan dan keupayaan kami, tentera Afghanistan akan cuba melakukan yang terbaik dan berkhidmat untuk rakyat," katanya.


Jelas Mirassadullah, mereka hanya tahu pasukan terakhir tentera AS meninggalkan negara ini pada minggu lalu. Mereka pergi tanpa mengucapkan 'selamat tinggal' dan membiarkan tentera Afghanistan 'terpinga-pinga' mengenai apa yang perlu dilakukan.


Mirasadullah juga yakin bahawa 3,000 anggota tentera dibawah jagaannya mampu menentang Taliban, biarpun mereka sudah menerima laporan mengenai rancangan serangan kumpulan militan tersebut.


Seorang tentera Afghanistan memeriksa barang-barang ditinggalkan tentera AS di Pangkalan Udara Bagram. - Foto EPA.

Tentera Amerika Syarikat Tinggalkan Ribuan Kenderaan


Pasukan tentera AS meninggalkan Afghanistan lebih awal dari tarikh rasmi 11 September 2021 seperti yang diumumkan oleh Presiden Joe Biden awal tahun ini. Kira-kira 3,500 tentera AS dan 7,000 askar NATO mulai berundur di negara itu yang ditempatkan sejak 20 tahun lalu.


Di Bagram, menurut Jeneral Mirassadullah Kohistani, AS meninggalkan sekitar 3.5 juta barang. Barang-barang tersebut termasuk puluhan ribu air botol, minuman tenaga, dan makanan 'meal, ready to eat' atau dikenali sebagai MRE untuk anggota tentera.


Lapor agensi berita Associated Press, AS juga meninggalkan ribuan kereta awam tanpa kunci serta ratusan kenderaan perisai. Senjata dan peluru kecil diserahkan kepada pasukan Afghanistan, dan beberapa stok peluru telah diletupkan.


Bagram turut mempunyai kemudahan penjara dan dilaporkan mampu menampung kira-kira 5,000 tahanan. Pengkalan ini dibangunkan oleh AS untuk Afghanistan pada tahun 1950-an, tetapi diambil alih oleh Soviet Union ketika Tentera Merah menyerang pada tahun 1979.


Bagram pernah dikendalikan oleh pemerintah Afghanistan yang disokong oleh Moscow, kemudian kumpulan mujahidin. Taliban kemudian mengambil alih Bagram ketika kumpulan itu berkuasa pada pertengahan 1990-an.


Tentera AS meninggalkan ribuan kereta awam tanpa kunci di Bagram. - Foto Reuters.

Namun, ketika AS menyerang Afghanistan dan menggulingkan Taliban pada tahun 2001, pangkalan udara itu diperluas dan berubah menjadi pangkalan penentangan terhadap Taliban.


Pada 29 Februari 2020, kerajaan AS dan Taliban menandatangani satu perjanjian keamanan yang menetapkan tarikh pengunduran askar-askar AS dari negara tersebut. Berdasarkan perjanjian berkenaan, AS akan mengundurkan semua anggota tenteranya dalam tempoh 14 bulan.


Sebagai pertukaran, kumpulan Taliban yang sebelum ini pernah menawan Kabul serta menguasai sebahagian Afghanistan pada tahun 1990-an, pula berjanji untuk menghalang kumpulan-kumpulan pengganas beroperasi di wilayah kekuasaan mereka.


Tentera AS meninggalkan ribuan kereta awam tanpa kunci di Bagram. - Foto Reuters.

Tentera AS juga meninggalkan ratusan kenderaan perisai di Bagram. - Foto EPA.

Klinik dengan pelbagai peralatannya ditinggalkan di Bagram. - Foto Reuters.

Tentera Afghanistan mengawasi Pangkalan Udara Bagram, setelah tentera AS pergi. - Foto EPA.