Sabtu, 10 Julai 2021

Kira-Kira 11,000 Pokok Musang King Siap Ditebang Minggu Depan


RAUB, 10 Julai - Operasi menebang pokok durian Musang King yang ditanam secara haram dianggarkan berjumlah kira-kira 11,000 pokok di tanah seluas 101 hektar di Hutan Simpan Kekal Batu Talam di sini dijangka siap sepenuhnya minggu depan.


Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Nor Azirim Ahmad berkata, berdasarkan kerja memusnahkan yang telah melebihi 85 hektar sehingga petang semalam menyaksikan aktiviti menebang dijangka siap lebih awal berbanding jadual pada 3 Ogos depan.


"Aktiviti menebang mula berjalan lancar pada Selasa lalu terutama selepas kehadiran anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertanggungjawab mengawal dalam kawasan Hutan Simpan Batu Talam termasuk mengadakan dua sekatan jalan raya (SJR) di laluan masuk ke hutan simpan berkenaan.



"Selepas aktiviti menebang selesai sepenuhnya kerja menanam pokok hutan akan dilakukan segera yang mana beberapa spesies pokok hutan sudah dikenal pasti seperti meranti temak nipis," katanya di sini, hari ini.


Operasi memusnahkan pokok durian Musang King di kawasan Hutan Simpan Kekal Batu Talam seluas 101 hektar dimulakan pada 3 Julai lalu yang dijangka berakhir 2 Ogos depan.


Menurut Nor Azirim, kehadiran lebih ramai penebang terdiri daripada kakitangan JPNP disetiap daerah di negeri ini melancarkan kerja memusnahkan pokok durian.


Beliau memberitahu, hampir 100 kakitangan JPNP menyertai Operasi Pamah dibantu anggota Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) yang menjalankan kerja menebang secara berterusan menggunakan mesin gergaji berantai.


Katanya, aktiviti menebang sebenarnya dilakukan hanya dalam masa lima hari sahaja kerana tindakan provokasi selain jambatan yang dirosakkan menyebabkan kerja menebang tergendala.


"Faktor hujan pada sebelah petang selain angin kencang turut menjejaskan kelancaran aktiviti menebang yang jadual asal mengambil masa sebulan untuk siapkan," katanya.



Operasi Tebang Pokok Durian Dibuat Mengikut Undang-Undang


Operasi memusnahkan ladang durian haram dalam Hutan Simpan Kekal Batu Talam dekat Raub yang dilaksanakan sejak Sabtu lalu, dibuat oleh kerajaan negeri selepas mendapat pandangan penasihat undang-undang.


Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pandangan penasihat undang-undang itu dirujuk kerana dakwaan kononnya operasi penguatkuasaan di situ melanggar perintah Mahkamah Rayuan.


"Operasi penguatkuasaan ini dijalankan selepas mendapat pandangan perundangan daripada Pejabat Penasihat Undang-undang (LA) Negeri yang sebelum itu merujuk kembali perkara ini ke Mahkamah Rayuan.


"Ia sebenarnya tidak (melanggar perintah mahkamah) kerana kerja penguatkuasaan dilakukan di luar kawasan kebun durian yang dimaksudkan yang dimiliki oleh Royal Pahang Durian Resoruces PKPP Sdn Bhd," katanya.


Kerja menebang pokok durian Musang King pada operasi musnah kebun haram di Hutan Simpan Batu Talam.


EmoticonEmoticon