Khamis, 8 Julai 2021

Lelaki tinggal dalam hutan selama 30 tahun dan tidak berhubung dunia luar


Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah yang dapat digambarkan mengenai kesusahan dan keperitan seorang warga emas yang mendiami pondok usang dalam hutan di sebuah kebun getah berhampiran Jalan Trolak-Slim River di Perak.


Rashid Mat Sah, 66, yang berasal dari Kota Tinggi, Johor merantau ke Slim River untuk mencari kerja selepas ibu bapanya berpisah. Dia mengakui tinggal di pondok itu kira-kira 30 tahun lalu yang dibinanya sendiri menggunakan zink dan kayu terpakai.


"Apabila tiba di kawasan ini, saya mengikut seorang lelaki untuk berkerja di dusun durian. Saya mendapat upah dengan menjaga dan membersihkan dusun yang dipajaknya," katanya ketika ditemui.


Menceritakan kehidupannya kini, menurut Rashid, pada waktu malam, dia akan menyalakan pelita manakala air hujan pula digunakan untuk mandi dan memasak.



Rashid berkata, dia bersyukur kerana ada seorang guru yang sering membantunya membeli barangan keperluan asas, walaupun pondoknya terletak di dalam kawasan hutan sejauh kira-kira 1.5 kilometer dari jalan besar.


"Guru berkenaan mempunyai ladang getah di lokasi berhampiran dan saya selalu meminta bantuannya. Memang sunyi tinggal seorang diri di hutan, saya hanya bertemankan anjing yang dibela sebagai kawan selain untuk menjaga keselamatan," katanya.


Menurut Rashid, dokumen pengenalan dirinya tiada sejak lahir, dan selepas bapanya meninggal ibunya pula tidak dapat dikesan membuatkan dia terpaksa tinggal bersama nenek sebelum merantau. Selama berpuluh tahun tinggal di pondok itu, dia tidak tahu langsung apa yang berlaku di luar.


"Saya bukan tidak mahu keluar sesekali ke pekan dan sebagainya namun disebabkan ketiadaan dokumen pengenalan diri, ia menghalang saya berbuat demikian. Kalau boleh saya nak sangat ada kad pengenalan," katanya.



Jelasnya, duit diperoleh dengan bekerja mengambil upah menjaga kebun berhampiran pondok yang dibina di atas tanah pemilik kebun terbabit. Katanya lagi, dia sudah biasa dengan tempat itu, dan akan tetap duduk di situ. "Biarlah saya kerja jaga kebun ini pun tak apa," katanya.


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim Mohd Zaidi Aziz yang melawat Rashid berkata, beliau mengetahui keadaan lelaki itu selepas dimaklumkan orang awam.


"Hasil kunjungan ke pondok Rashid, saya dapati kehidupannya memang daif. Saya akan bantunya untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri bagi memudahkan urusan dan bantuan," katanya.


Menurut beliau, sementara menunggu urusan menyiapkan dokumen pengenalan diri, pihaknya akan terus membantu Rashid. Berkaitan bekalan air, beliau akan cuba menggali perigi untuk mendapatkan bekalan air bersih.


Katanya, pihaknya juga akan bawa Rashid ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan dan merawat penyakit kulit dialami yang dipercayai berpunca daripada anjing yang dibelanya, dan membina kandang anjing untuk mengelakkan ia tinggal dalam pondok bersama Rashid.


Rashid menunjukkan air hujan yang ditadah di dalam sebuah tong untuk digunakan bagi membersihkan diri berhampiran pondoknya.

Rashid menunjukkan dapur di luar pondok yang digunakan untuk memasak makanan dan air hujan yang ditadah.


EmoticonEmoticon