Rabu, 7 Julai 2021

Tentera AS Pergi Tanpa Ucap 'Selamat tinggal' Tinggalkan Ribuan Kereta Perisai Dan 3.5 Juta Barang


Tentera Amerika Syarikat (AS) meninggalkan Pangkalan Udara Bagram secara 'senyap' minggu lepas tanpa memberitahu kerajaan Afghanistan. Pangkalan Tentera Udara Bagram merupakan pusat keselamatan utama yang sebelum ini menempatkan puluhan ribu tentera AS.


Menurut lapor BBC News pada 6 Julai 2021, Komander baharu pangkalan Bagram, Jeneral Mirassadullah Kohistani berkata, AS meninggalkan Bagram pada Jumaat lalu jam 3 pagi (waktu tempatan), dan hanya diketahui oleh tentera Afghanistan beberapa jam kemudian.


Mereka berdepan dengan cabaran yang sangat besar dan perlu pikul tanggungjawab itu demi masa depan Afghanistan. Tentera Afghanistan kini bertanggungjawab menjaga Pangkalan Tentera Udara Bagram, yang dibina pertama kali oleh AS untuk tentera Afghanistan ketika era Perang Dingin pada 1950-an.


Kenderaan tahan lasak jalan berpasir dan lumpur  (MRAP) juga ditinggalkan di Bagram. - Foto AFP.

Menurut Mirassadullah, berita itu juga diketahui oleh Taliban yang kini bergerak menuju Bagram. Katanya, mereka sudah menjangkakan Taliban akan menyerang pangkalan itu. Dia turut mengatakan bahawa ada laporan Taliban melakukan 'pergerakan luar bandar' berhampiran pangkalan udara.


"Jika hendak dibandingkan dengan AS, sangat besar perbezaan itu dan tentera Afghanistan tidak akan menjadi sekuat tentera AS. Namun, berdasarkan kebolehan dan keupayaan kami, tentera Afghanistan akan cuba melakukan yang terbaik dan berkhidmat untuk rakyat," katanya.


Jelas Mirassadullah, mereka hanya tahu pasukan terakhir tentera AS meninggalkan negara ini pada minggu lalu. Mereka pergi tanpa mengucapkan 'selamat tinggal' dan membiarkan tentera Afghanistan 'terpinga-pinga' mengenai apa yang perlu dilakukan.


Mirasadullah juga yakin bahawa 3,000 anggota tentera dibawah jagaannya mampu menentang Taliban, biarpun mereka sudah menerima laporan mengenai rancangan serangan kumpulan militan tersebut.


Seorang tentera Afghanistan memeriksa barang-barang ditinggalkan tentera AS di Pangkalan Udara Bagram. - Foto EPA.

Tentera Amerika Syarikat Tinggalkan Ribuan Kenderaan


Pasukan tentera AS meninggalkan Afghanistan lebih awal dari tarikh rasmi 11 September 2021 seperti yang diumumkan oleh Presiden Joe Biden awal tahun ini. Kira-kira 3,500 tentera AS dan 7,000 askar NATO mulai berundur di negara itu yang ditempatkan sejak 20 tahun lalu.


Di Bagram, menurut Jeneral Mirassadullah Kohistani, AS meninggalkan sekitar 3.5 juta barang. Barang-barang tersebut termasuk puluhan ribu air botol, minuman tenaga, dan makanan 'meal, ready to eat' atau dikenali sebagai MRE untuk anggota tentera.


Lapor agensi berita Associated Press, AS juga meninggalkan ribuan kereta awam tanpa kunci serta ratusan kenderaan perisai. Senjata dan peluru kecil diserahkan kepada pasukan Afghanistan, dan beberapa stok peluru telah diletupkan.


Bagram turut mempunyai kemudahan penjara dan dilaporkan mampu menampung kira-kira 5,000 tahanan. Pengkalan ini dibangunkan oleh AS untuk Afghanistan pada tahun 1950-an, tetapi diambil alih oleh Soviet Union ketika Tentera Merah menyerang pada tahun 1979.


Bagram pernah dikendalikan oleh pemerintah Afghanistan yang disokong oleh Moscow, kemudian kumpulan mujahidin. Taliban kemudian mengambil alih Bagram ketika kumpulan itu berkuasa pada pertengahan 1990-an.


Tentera AS meninggalkan ribuan kereta awam tanpa kunci di Bagram. - Foto Reuters.

Namun, ketika AS menyerang Afghanistan dan menggulingkan Taliban pada tahun 2001, pangkalan udara itu diperluas dan berubah menjadi pangkalan penentangan terhadap Taliban.


Pada 29 Februari 2020, kerajaan AS dan Taliban menandatangani satu perjanjian keamanan yang menetapkan tarikh pengunduran askar-askar AS dari negara tersebut. Berdasarkan perjanjian berkenaan, AS akan mengundurkan semua anggota tenteranya dalam tempoh 14 bulan.


Sebagai pertukaran, kumpulan Taliban yang sebelum ini pernah menawan Kabul serta menguasai sebahagian Afghanistan pada tahun 1990-an, pula berjanji untuk menghalang kumpulan-kumpulan pengganas beroperasi di wilayah kekuasaan mereka.


Tentera AS meninggalkan ribuan kereta awam tanpa kunci di Bagram. - Foto Reuters.

Tentera AS juga meninggalkan ratusan kenderaan perisai di Bagram. - Foto EPA.

Klinik dengan pelbagai peralatannya ditinggalkan di Bagram. - Foto Reuters.

Tentera Afghanistan mengawasi Pangkalan Udara Bagram, setelah tentera AS pergi. - Foto EPA.


EmoticonEmoticon