Rabu, 7 Julai 2021

'Kebun Haram' Kawalan Anggota PGA Lancarkan Operasi Tebang Durian Musang King


KUANTAN, 7 Julai - Kehadiran anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) jelas memberikan kesan besar apabila operasi tebang dan musnah ladang durian haram kini berjalan lancar, dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub.


Sebelum ini, provokasi melampau pekebun yang menceroboh hutan itu pada hari kedua operasi menyebabkan perasaan bimbang menghantui petugas yang terbabit dalam usaha tebang dan musnah tanaman itu.


Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Nor Azirim Ahmad berkata, petugas jabatan itu bersemangat menjalankan operasi penguatkuasaan selepas kehadiran anggota PGA sejak semalam.



Beliau difahamkan, seramai 30 anggota PGA menyertai operasi itu mulai semalam dan hari ini seramai 30 lagi turut sama bergabung menjaga keselamatan petugas yang berada di dalam Hutan Simpan Batu Talam.


Katanya, anggota polis dan PGA turut mengadakan dua sekatan jalan raya (SJR) di laluan utama masuk ke kawasan terbabit, selain kawalan membabitkan jambatan konkrit yang sebelum ini dua kali dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.


"Saya berharap operasi kini berjalan lancar tanpa sebarang gangguan mana-mana pihak dan provokasi oleh pihak tidak bertanggungjawab tidak berulang lagi. Hari ini juga kita menambah lebih 30 petugas JPNP daripada beberapa daerah untuk turut sama menyertai operasi musnah.


"Menjadikan keseluruhannya seramai 65 petugas yang terlibat dalam operasi berkenaan yang bermula 3 Julai lalu dan dijangka mengambil masa sehingga 2 Ogos ini, petugas dibahagikan kepada beberapa kumpulan penebang," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.


Nor Azirim yang turut menyertai operasi itu, berkata kehadiran anggota Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) melancarkan lagi aktiviti menebang pokok durian kerana mereka berkemahiran tinggi dan mempunyai lebih kelengkapan.


Beliau berkata, pihaknya berharap operasi musnah kebun durian Musang King yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Batu Talam seluas kira-kira 101 hektar dapat diselesaikan secepat mungkin lebih awal yang tetapkan sebelum ini.


Dua anggota PGA berkawal di ladang durian dekat Hutan Simpan Kekal Batu Talam, Raub. - Foto Utusan.

Aktiviti penebangan pokok durian di Hutan Simpan Batu Talam di Raub berjalan lancar hari ini. - Foto Kosmo.

Anggota penebang menjalankan kerja menebang pokok durian musang king dalam Hutan Simpan Batu Talam. - Foto Mohd Rafi Mamat.


EmoticonEmoticon