Memaparkan catatan dengan label Harta. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Harta. Papar semua catatan

Sabtu, 26 September 2026

Bukan hadiah cinta itu adalah pinjaman, lelaki diperintah bayar lebih RM1 juta kepada bekas kekasih

Bukan hadiah cinta itu adalah pinjaman, lelaki diperintah bayar lebih RM1 juta kepada bekas kekasih


Mahkamah Tinggi Singapura memerintahkan seorang guru tuisyen juga pekerja kafe membayar balik S$321,116.40 (RM1,024,027.88) kepada bekas teman wanitanya selepas mendapati wang itu adalah pinjaman, bukannya hadiah atas dasar kasih sayang.


Hakim Alex Wong membuat keputusan itu pada Khamis lalu selepas mendapati Chee Wei Jun memang berniat membayar semula wang berkenaan, selain sengaja menggambarkan dirinya sebagai individu berstatus lebih tinggi bagi menarik perhatian wanita itu.


Mahkamah mendapati Teow Seok Phen, seorang pengurus kewangan, terpedaya dengan gambaran berkenaan dan perkara itu antara faktor mendorongnya meminjamkan wang kepada Chee.


Pasangan itu berkenalan menerusi platform janji temu dalam talian Coffee Meets Bagel pada Jun 2023 sebelum menjalin hubungan tidak lama kemudian.


Sepanjang hubungan itu, Teow memindahkan wang menerusi PayNow, memberikan wang tunai serta membenarkan Chee menggunakan kad kreditnya.


Teow mendakwa dia menyerahkan hampir semua wang simpanannya, selain membuat pendahuluan tunai dan pemindahan baki kad kredit untuk membantu Chee yang mendakwa akaun banknya dibekukan selepas mengklik pautan penipuan.


Chee mendakwa wang itu diberikan atas dasar kasih sayang kerana Teow memahami masalah kewangannya. Dia turut menafikan menggunakan kad kredit wanita itu kecuali sekali.


Bagaimanapun, mahkamah mendapati Chee beberapa kali berjanji membayar semula wang berkenaan, termasuk menerusi mesej WhatsApp. Dalam mesej pada Ogos 2023, dia berjanji membayar balik sepenuhnya setiap bantuan diterimanya.


Hakim Wong turut mendapati Teow menyimpan rekod jumlah wang yang dipinjamkan, sekali gus menyokong keterangannya bahawa wang itu bukan hadiah.


Mahkamah juga mendapati Chee cuba menggambarkan dirinya sebagai individu lebih berada, termasuk mendakwa bekerja dalam bidang penerbangan dan merujuk dirinya sebagai orang kenamaan (VIP) di hotel serta premis lain.


Menurut hakim, kenyataan itu bertujuan menarik perhatian Teow dan menampilkan Chee sebagai individu lebih penting daripada kedudukannya sebenar sebagai guru tuisyen dan pekerja kafe.


Chee turut mendakwa dia menandatangani dokumen pengakuan hutang di bawah paksaan, selain mendakwa keluarga Teow mengugutnya. Bagaimanapun, mahkamah mendapati tiada bukti mencukupi untuk menyokong pembelaan itu.


Mahkamah menerima bahawa Chee menerima S$268,794 (RM857,142.42) menerusi pindahan wang dan tunai, manakala perbelanjaan kad kredit termasuk faedah ditetapkan sebanyak S$87,322.40 (RM278,469.27).


Selepas mengambil kira bayaran balik S$35,000 (RM111,614.25) yang dibuat Chee pada Mac 2024, mahkamah memutuskan dia masih berhutang S$321,116.40 (RM1,024,048.51) kepada Teow.

Polis dipuji kembalikan jam Rolex emas tercicir kepada pemilik, bernilai lebih RM250,000

Polis dipuji kembalikan jam Rolex emas tercicir kepada pemilik, bernilai lebih RM250,000


Polis sempadan di Lapangan Terbang Antarabangsa Da Nang di Vietnam mengambil masa kurang 30 minit untuk mengesan pemilik jam tangan Rolex emas yang tertinggal di kawasan pemeriksaan keselamatan lapangan terbang itu, lapor VnExpress.


Sarjan Kanan Nguyen Duc Hoang menemukan jam tangan berkenaan di kawasan pemeriksaan keselamatan pada 17 September sebelum memaklumkan kepada pihak atasannya, menurut Polis Pintu Sempadan lapangan terbang itu pada Selasa.


Beliau kemudian bekerjasama dengan kakitangan terminal untuk membuat pengumuman mengenai barangan tercicir, menyemak rakaman kamera keselamatan dan menghubungi syarikat penerbangan terbabit.


Pemilik jam itu ialah Long Jianming, penumpang penerbangan AirAsia AK641 menuju ke Kuala Lumpur.


Beliau menerima semula jam berkenaan ketika pesawat bersiap untuk menutup pintunya. Jianming menganggarkan nilai jam tangan itu melebihi 1.6 bilion dong Vietnam (RM251,156).


Gambar polis menunjukkan jam itu ialah Rolex Cosmograph Daytona 126508-0004 yang diperbuat daripada emas kuning 18 karat.


Menurut laman web Rolex, jam tangan berkenaan dijual pada harga AS$55,200 (RM225,116) di Amerika Syarikat.


Sehari sebelum itu, pasukan keselamatan domestik unit berkenaan turut memulangkan barangan milik dua penumpang lain yang tertinggal, dengan nilai keseluruhan hampir 200 juta dong Vietnam (RM31,361).

Sabtu, 12 September 2026

Skandal seks, penyelewengan babit ketua sami Thailand: Aset RM26.4 juta disita

Skandal seks, penyelewengan babit ketua sami Thailand: Aset RM26.4 juta disita


Skandal membabitkan bekas ketua sami sebuah kuil terkenal di Thailand semakin melebar selepas polis menyita aset bernilai kira-kira 215 juta baht (RM26.4 juta) dalam siasatan penyelewengan dana kuil dan pengubahan wang haram.


Phra Wachirayan Wi, 66, bekas ketua sami Wat Phutthaisawan di Ayutthaya ditahan bersama seorang wanita berusia 47 tahun yang disyaki membantu menukar dan menyembunyikan wang berkenaan.


Siasatan terbaharu turut mengesan deposit bank melebihi 290 juta baht (RM35.7 juta) yang dikaitkan dengan bekas ketua sami tersebut.


Antara aset yang ditemukan pihak berkuasa termasuk wang tunai, jongkong emas, barang kemas dan puluhan geran tanah.


Bagaimanapun, polis masih menyiasat sumber serta pemilikan aset berkenaan bagi menentukan bahagian yang merupakan harta peribadi dan yang sebenarnya dimiliki kuil.


Siasatan terhadap Phra Wachirayan bermula pada pertengahan Julai selepas polis menerima maklumat tanpa nama berhubung dakwaan salah laku dan penyalahgunaan dana Wat Phutthaisawan.



Ketua penyiasat, Pattanasak Bupphasuwan berkata, polis mengenal pasti dua aliran wang membabitkan resit sumbangan yang dikeluarkan atas nama kuil tersebut.


Kira-kira 89 juta baht (RM10.9 juta) diterima bagi tujuan pengubahsuaian kuil, manakala 2.8 juta baht (RM344,732) lagi diperoleh menerusi bayaran bagi azimat Buddha dan barangan suci lain.


Jumlah keseluruhan 91.8 juta baht (RM11.3 juta) itu bagaimanapun didakwa tidak pernah dimasukkan ke dalam akaun kuil.


"Wang daripada kedua-dua sumber itu tidak masuk ke akaun kuil, walaupun satu baht," kata Pattanasak.


Siasatan kini diperluaskan bagi menjejaki aliran wang, akaun bank, aset serta individu lain yang mungkin mempunyai kaitan dengan kes tersebut.


Pesuruhjaya Biro Siasatan Pusat (CIB), Nattasak Chaowanasai berkata, langkah itu bertujuan mengenal pasti pihak lain yang terbabit selain membantu memulihkan keyakinan masyarakat terhadap agama Buddha.


Kes berkenaan turut mencetuskan kontroversi selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan Phra Wachirayan melakukan hubungan seks dengan wanita terbabit di kediamannya tersebar dan disiarkan media Thailand.


Sami Buddha di Thailand terikat dengan ikrar untuk hidup membujang dan meninggalkan pemilikan harta benda.


Phra Wachirayan yang turut dikenali sebagai Luang Pho Atichot dilucutkan status sebagai sami sejurus selepas ditahan.


Wat Phutthaisawan merupakan kuil diraja terkenal yang dibina sejak abad ke-14 dan mempunyai ramai pengikut termasuk pegawai kerajaan, ahli perniagaan, polis serta anggota tentera.


Phra Wachirayan juga terkenal menghasilkan azimat Buddha dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dilaporkan antara individu yang pernah memakai hasil buatannya.


Skandal terbaharu itu kembali mencetuskan perhatian terhadap pengurusan kewangan institusi agama di Thailand selepas negara tersebut digemparkan tahun lalu dengan kes seorang wanita yang didakwa memeras ugut sekurang-kurangnya 11 sami selepas melakukan hubungan seks dengan mereka, membabitkan hampir AS$12 juta (RM48) juta dana kuil.

Jumaat, 11 September 2026

Siasatan penyelewengan RM12.3 juta, ketua sami ditahan bongkar seks atas meja makan

Siasatan penyelewengan RM12.3 juta, ketua sami ditahan bongkar seks atas meja makan


Seorang bekas ketua sami berusia 66 tahun yang didakwa menyeleweng 100 juta baht (kira-kira RM12.32 juta) daripada sebuah kuil terkenal di Ayutthaya ditahan polis pada Khamis bersama seorang wanita yang dipercayai membantunya menguruskan wang berkenaan, lapor Bangkok Post.


Polis turut menemukan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan bekas ketua sami itu melakukan hubungan intim dengan wanita terbabit di kediamannya.


Polis menyerbu kediaman warga emas itu di Wat Phutthaisawan, sebuah biara diraja purba di subdaerah Samphao Lom, daerah Muang pada jam 6 pagi.


Pesuruhjaya Biro Siasatan Pusat (CIB), Polis Leftenan Jeneral Natthasak Chaowanasai berkata, siasatan bermula selepas pihaknya menerima aduan berhubung dakwaan penyalahgunaan dana kuil dan penyerahan wang kepada seorang rakan wanita untuk disembunyikan menggunakan nama orang lain.


Katanya, siasatan secara sulit menemukan bukti yang menyokong dakwaan berkenaan yang mana siasatan mendapati ketua sami itu didakwa mengeluarkan lebih 20 resit sumbangan atas nama kuil tanpa kebenaran menyebabkan kerugian keseluruhan kira-kira 100 juta baht (kira-kira RM12.32 juta) dalam tempoh lebih dua tahun.



Menurut polis, wanita yang ditahan itu dipercayai membantu bekas ketua sami berkenaan menguruskan wang yang diselewengkan. Puluhan juta baht dilaporkan mengalir menerusi akaun bank wanita itu setiap tahun.


Dia ditahan atas pertuduhan bersubahat dengan pegawai negeri dalam aktiviti haram. Mengikut undang-undang, ramai sami dianggap pegawai negeri kerana menerima elaun bulanan daripada kerajaan.


Warga emas berkenaan dilantik sebagai ketua sami Wat Phutthaisawan pada 2022 dan turut dikenali dalam perdagangan azimat kerana menghasilkan azimat Buddha terkenal termasuk syiling "Nuea Duang" yang menjadi rebutan ramai penganut.


Selepas ditahan, dia diiringi ke dewan perkahwinan kuil sebelum jubah putih disediakan untuk upacara pelucutan jawatan sami. Suspek kemudian kembali menggunakan nama asalnya sebelum ditahan polis dan dibawa ke CIB untuk siasatan lanjut.


Penyiasat mendakwa bekas ketua sami itu turut menyalahgunakan hasil jualan azimat serta barangan keagamaan lain dengan memindahkan wang berkenaan ke akaun peribadi manakala resit sumbangan dikeluarkan atas nama kuil yang dikatakan menyerupai modus operandi dalam skandal berprofil tinggi membabitkan Wat Phrabat Namphu di Lop Buri yang mengalami kerugian dianggarkan 10 bilion baht (RM1.298 bilion).


Pemeriksaan di rumah pembantu wanita itu di daerah Khlong Luang, Pathum Thani pula membawa kepada penyitaan 35 azimat emas, jongkong emas dan barang kemas seberat 90 baht (1.36 kilogram) bernilai kira-kira 6.04 juta baht (kira-kira RM742,000).


Polis turut merampas wang tunai 3.6 juta baht (kira-kira RM443,000), tiga telefon bimbit, iPad, dokumen tanah dan bank, buku simpanan, dokumen pelaburan, polisi insurans serta dokumen berkaitan emas dan loteri.


Penyiasat berkata, kes itu mungkin turut membabitkan dua atau tiga individu lain termasuk lebih daripada seorang Wanita manakala seorang pentadbir awam Wat Phutthaisawan, Chettha Ninsukhum, turut dibawa ke CIB untuk disoal siasat, namun dia enggan menjawab soalan wartawan sebelum dibawa masuk ke bangunan berkenaan.

Khamis, 10 September 2026

15 tahun jaga cucu tanggung perbelanjaan harian, ibu tuntut RM217,000 daripada anak

15 tahun jaga cucu tanggung perbelanjaan harian, ibu tuntut RM217,000 daripada anak

(Foto Hiasan)

Seorang wanita di timur China mengambil tindakan undang-undang terhadap anak lelakinya dengan menuntut pampasan lebih 360,000 yuan (RM217,000) selepas menghabiskan 15 tahun menjaga cucu perempuannya.


Kes itu mencetuskan perdebatan di China mengenai tanggungjawab datuk dan nenek dalam penjagaan cucu serta kewajipan ibu bapa terhadap anak.


Mahkamah di Shanghai pada April mendedahkan butiran kes yang difailkan tahun lalu membabitkan wanita berusia lingkungan 60-an, Xu, terhadap anak lelakinya yang hanya dikenali sebagai Liang.


Xu, yang telah bercerai dengan suaminya, tinggal bersama Liang. Selepas Liang bercerai pada 2014, Xu kemudian mengambil alih sebahagian besar tanggungjawab membesarkan cucunya.


Menurut laporan Xinmin Evening News, Xu turut menanggung perbelanjaan harian, kos perubatan dan pendidikan cucunya sepanjang tempoh berkenaan.


Dalam tuntutannya, Xu mendakwa anaknya tidak mempunyai rasa tanggungjawab terhadap keluarga serta gagal melaksanakan kewajipan sebagai seorang bapa.


Bagaimanapun, Liang menegaskan beliau telah berusaha menyara anaknya mengikut kemampuan, terutama ketika pendapatannya ketika itu hanya sekitar 3,000 yuan (RM1,800) sebulan.


Konflik semakin memuncak selepas Liang berkahwin semula dan berpindah bersama isteri baharunya, menyebabkan anak perempuannya terus berada di bawah jagaan Xu.


Selepas 15 tahun menguruskan cucunya, Xu berkata, tekanan kewangan menyebabkan beliau tidak lagi mampu meneruskan tanggungjawab tersebut dan memutuskan untuk menuntut pampasan daripada anaknya.


Pakar undang-undang berkata, pertikaian mengenai bayaran penjagaan oleh datuk dan nenek bukan bertujuan mengkomersialkan hubungan kekeluargaan, sebaliknya membantu menjelaskan tanggungjawab setiap pihak.


Kes itu turut mencetuskan perbincangan lebih luas mengenai perubahan struktur keluarga di China, khususnya apabila datuk dan nenek semakin kerap mengambil alih tugas penjagaan anak akibat kekangan ekonomi dan pekerjaan ibu bapa.

Isnin, 24 Ogos 2026

Lelaki hadapi 55 pertuduhan gagal jelaskan wang RM107,440 dalam akaun bank

Lelaki hadapi 55 pertuduhan gagal jelaskan wang RM107,440 dalam akaun bank


Seorang lelaki didakwa di dua Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini atas 55 pertuduhan kerana gagal memberikan penjelasan munasabah berkaitan wang berjumlah RM107,440 dalam akaun bank miliknya.


Muhamad Fadzli Wahab, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas semua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi dan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.


Tertuduh didakwa memiliki wang antara RM800 hingga RM5,000 dalam akaun miliknya yang disyaki diperoleh secara curang daripada pemiliknya dan gagal memberi penjelasan memuaskan berhubung keseluruhan wang RM107,440 dalam akaun miliknya.


Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di mesin deposit tunai (CDM) Maybank Taman Ria Jaya, Sungai Petani antara 16 Februari 2023 hingga 26 Jun 2025.


Peguam tertuduh memohon mahkamah mengenakan ikat jamin rendah kerana anak guamnya hanya bekerja di kedai makan dengan upah RM50 sehari, selain menanggung tiga anak berusia antara 10 hingga 17 tahun yang masih bersekolah.


Pihak pembelaan turut memaklumkan tertuduh memberikan kerjasama sepanjang siasatan polis dan tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan RM29,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes 27 September depan.

Khamis, 20 Ogos 2026

Sindiket lombong emas haram diketuai 'Mak Siti' di Marang raih RM13,000 sehari tumpas

Sindiket lombong emas haram diketuai 'Mak Siti' di Marang raih RM13,000 sehari tumpas


Sindiket perlombongan emas haram yang dipercayai mampu meraih hasil sehingga RM13,000 sehari tumpas apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 15 individu dalam serbuan Op Gali Mega Zon Timur di Bukit Kor, Marang, hari ini.


Dalam operasi itu, PGA turut merampas pelbagai peralatan perlombongan termasuk jentera berat yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM449,000.


Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, 11 warga asing dan empat lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 40 tahun ditahan.


Katanya, siasatan awal mendapati operasi di kawasan seluas 4.05 hektar itu dikendalikan seorang wanita warga Kemboja dikenali sebagai 'Mak Siti' sejak kira-kira sebulan lalu.


"Serbuan dijalankan dua pegawai dan 10 anggota PGA Batalion 9 dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).


"Kita merampas sebuah jentera berat, lapan pam air, tiga generator, dua mesin pengayak emas dan sebuah mesin pemecah batu.


Warga asing yang ditahan pula membabitkan seorang warga Vietnam dan 10 rakyat Kemboja," katanya pada sidang media di lokasi operasi.



Menurutnya, sindiket menggali lubang sedalam kira-kira enam meter sebelum tanah dan batu dibawa ke kawasan pemprosesan menggunakan jentera berat.


Katanya, bahan itu kemudian dihancurkan, dibersihkan, ditapis dan diayak bagi mengasingkan emas sebelum dijual kepada seorang pembeli tempatan yang dikenali sebagai 'Pak Lang'.


"Siasatan mendapati mereka mampu memperoleh sehingga 40 gram emas sehari.


"Penemuan ini menunjukkan kegiatan perlombongan emas haram di Bukit Kor bukan lagi berskala kecil, sebaliknya mempunyai rantaian operasi tersusun daripada penggalian, pemprosesan, pengasingan emas sehingga pemasaran," katanya.


Beliau berkata, siasatan turut dijalankan terhadap pemilik tanah berkenaan.

Selasa, 18 Ogos 2026

Lapan pekerja binaan menemukan syiling dan jongkong emas bernilai RM42 juta di tapak kilang

Lapan pekerja binaan menemukan syiling dan jongkong emas bernilai RM42 juta di tapak kilang


Lapan pekerja binaan menemukan syiling dan jongkong emas bernilai sembilan juta euro (kira-kira 42.3 juta) di Belgium pada Selasa minggu lalu, menurut pihak berkuasa.


Memetik CNN, emas berkenaan ditemukan di bawah sebuah bangunan yang sedang mereka ubah suai di bandar Dendermonde, kira-kira 31 kilometer (km) barat laut Brussels.


Selepas penemuan itu dibuat, pelajar yang bekerja secara sambilan dalam bidang pembinaan, Kobe Phillips, menghubungi pemilik hartanah yang kemudian menghubungi polis.


Phillips berkata, dia menemukan emas berkenaan ketika menjalankan kerja di situ. Dia pada mulanya menyangka emas itu adalah syiling satu euro yang disusun kemas dalam satu barisan sebelum melihat satu jongkong emas kecil melekat pada tukul mereka.


Ketua Daerah Polis Dendermonde, Patrick Feys berkata, harta karun itu terdiri daripada kira-kira 40 jongkong emas dan 4,000 syiling emas yang ditemukan tersembunyi di struktur asas sebuah kilang bir lama.



Pejabat Pendakwa Raya Flanders Timur memaklumkan, polis dipanggil kerana nilai emas yang tinggi dan emas berkenaan kini disimpan di lokasi selamat serta dikawal.


Gambar yang dimuat naik di laman Facebook polis Dendermonde menunjukkan sebuah baldi logam dipenuhi syiling emas dan sebuah meja dipenuhi jongkong emas.


Dalam pada itu, Feys berkata, sebahagian jongkong emas itu mempunyai cop bertarikh sekitar 1960-an, manakala syiling berkenaan memaparkan raja serta tarikh yang berbeza.


Katanya, penemuan itu turut mendorong beberapa individu yang berpotensi menjadi penuntut untuk tampil dengan pelbagai dokumen bagi membuktikan mereka adalah keturunan pemilik emas berkenaan.


"Kami sudah menerima beberapa rakyat yang mahu menuntut emas itu dengan pelbagai dokumen untuk membuktikan bahawa mereka adalah keturunan," katanya.


Siasatan polis sedang dijalankan bagi menentukan sama ada terdapat unsur jenayah dalam kes berkenaan.


Gambar yang dimuat naik di laman Facebook polis Dendermonde menunjukkan sebuah baldi logam dipenuhi syiling emas.

Isnin, 3 Ogos 2026

Simpan medal Piala Dunia 1966 kena bayar cukai lebih RM1 juta

Simpan medal Piala Dunia 1966 kena bayar cukai lebih RM1 juta

 

Anak kepada legenda bola sepak England, Jack Charlton mendakwa dia terpaksa melepaskan pingat juara Piala Dunia milik bapanya bagi mengelakkan dikenakan cukai pusaka sebanyak £200,000 (RM1.10 juta).


Jack Charlton, abang kepada seorang lagi legenda England, Bobby Charlton, beraksi di posisi pertahanan tengah ketika England menewaskan Jerman Barat 4-2 pada final Piala Dunia FIFA 1966.


Jack meninggal dunia pada usia 85 tahun 2020 selepas menghidap limfoma dan demensia.


Anaknya, John Charlton menerima pingat juara Piala Dunia 1966 itu menerusi wasiat bapanya tetapi dia menyerahkan semula pingat berkenaan kepada ibunya yang kini berusia 91 tahun, Pat Charlton bagi mengelakkan cukai pusaka yang tinggi.


"Lucunya, saya dan Eddie (Howe) baru-baru ini berbual mengenai pingat ayah," kata John dalam temu bual bersama talk SPORT.


"Saya rasa hanya ayah saya dan pak cik Bobby yang masih menyimpan pingat mereka. Yang lain semuanya sudah tidak memilikinya."


Apabila ditanya di mana pingat milik bapanya berada, John berkata: "Saya ada pingat itu. Tetapi ada sedikit masalah. Ia memang diwasiatkan kepada saya, namun pihak cukai mahu saya membayar £200,000 sebagai Cukai Pusaka."


Ditanya sama ada dia terpaksa menjual pingat itu, John menjawab:


"Tidak. Saya serahkan semula kepada ibu saya kerana selagi beliau menyimpannya, saya tidak perlu membayar cukai itu.


"Ada seorang wartawan dari Daily Mirror yang sedang membantu kami menyelesaikan perkara ini. Isu yang sama turut dihadapi keluarga atlet Olimpik dan sebagainya.


"Jika keluarga mereka mahu mewariskan pingat emas itu kepada generasi seterusnya, mereka juga perlu membayar Cukai Pusaka. Perkara ini sedang cuba diperbetulkan."


John turut mendedahkan bahawa jersi final, pingat serta topi rasmi England milik bapanya disimpan dengan selamat.


"Saya juga memiliki jersinya. Jersi dan pingat itu disimpan di tempat yang sangat selamat.


"Begitu juga topi England yang diterimanya. Untuk kejohanan itu, dia hanya menerima satu topi rasmi, dan itulah satu-satunya yang masih disimpan. Topi-topi lain semuanya telah dihadiahkan kepada orang lain."


Jack meninggal dunia ketika berusia 85 tahun pada 2020. - Foto AFP.

Jumaat, 10 Julai 2026

Sindiket warga asing: SPRM beku 14 akaun bank, sita aset RM2.5 juta

Sindiket warga asing: SPRM beku 14 akaun bank, sita aset RM2.5 juta


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 14 akaun bank terdiri lima akaun syarikat dan sembilan akaun perbankan milik beberapa individu dianggarkan berjumlah kira-kira RM1.1 juta.


Ia susulan siasatan ke atas 33 individu terdiri daripada pegawai penguat kuasa, penjawat awam, orang awam dan warga asing kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, termasuk melindungi warga asing, salah guna pas lawatan sosial dan kemuka dokumen mengandungi butir matan palsu.


Menurut sumber, operasi bersepadu yang dijalankan Rabu lalu melalui Bahagian Perisikan dan SPRM Negeri (Wilayah Persekutuan Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka) itu turut menyita pelbagai aset berjumlah kira-kira RM1.4 juta.


"Sitaan yang dilakukan hari ini termasuk wang tunai berjumlah RM393,150; mata wang Indonesia 18 juta Rupiah (RM4,050); 10 unit kereta mewah dan tiga unit motosikal dianggarkan bernilai kira RM1.8 juta; 14 keping emas (berat 1 gram setiap satu) dianggarkan bernilai kira-kira RM8,300; dan 80 unit pelbagai jenis barangan kemas seperti gelang tangan serta cincin bernilai kira-kira RM118,500.


"Turut disita tiga unit jam tangan bernilai kira-kira RM42,200; satu unit beg tangan mewah bernilai kira-kira RM9,000; dan 17 unit telefon bimbit bernilai kira-kira RM48,000," katanya hari ini.


Menurutnya, sehingga hari ini sebanyak sembilan kertas siasatan sudah dibuka. SPRM turut menahan seorang lagi penguat kuasa di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya semalam untuk membantu siasatan.


"Bagaimanapun beliau dilepaskan dengan jaminan SPRM," katanya.


Rabu lalu melalui Op Layer (SPRM Putrajaya), Op Dalang (SPRM Selangor), Op Raider (Negeri Sembilan) dan Op Genuine (Melaka), SPRM menahan seramai 38 individu untuk membantu siasatan, dan 33 daripadanya direman.


Antara wang tunai yang dirampas dalam serbuan SPRM di empat negeri Rabu lalu. - Foto SPRM.

Jumaat, 3 Julai 2026

Keputusan tangguh prosiding kebankrapan Najib dan anak ditetapkan 4 September ini

Keputusan tangguh prosiding kebankrapan Najib dan anak ditetapkan 4 September ini


Rayuan Datuk Seri Najib Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka untuk menangguhkan prosiding kebankrapan akan diputuskan pada 4 September ini.


Prosiding itu dimulakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selepas kedua-dua mereka gagal melunaskan tunggakan cukai masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta.


Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Dr Alwi Abdul Wahab menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Peguam Kanan LHDN Norhisham Ahmad.


Dua lagi hakim turut bersidang dalam panel sama ialah Datuk Dr Shahnaz Sulaiman dan Datuk Ong Chee Kwan.


Pada 17 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak rayuan bekas perdana menteri itu dan anaknya untuk menangguhkan prosiding kebankrapan terhadap mereka.


Pesuruhjaya Kehakiman Suhendran Sockanathan@Saheran Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati tiada sebarang kemudaratan lain yang mewajarkan penangguhan.


Pada 16 Oktober 2023, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Najib dan anaknya perlu melunaskan cukai tertunggak selepas menolak rayuan mereka untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.


Terdahulu, Muhammad Shafee memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya dikenakan taksiran cukai tambahan sebanyak RM1.69 bilion walaupun telah membayar cukai pendapatan.


Beliau berkata, taksiran yang terlalu tinggi itu dibuat berasaskan sumbangan daripada Arab Saudi yang diterima Najib dan dipulangkan semula selepas pilihan raya umum.


Muhammad Shafee berkata sumbangan itu, yang sepatutnya dikecualikan daripada cukai, telah 'tersilap' dianggap sebagai pendapatan tambahan dan seterusnya dikenakan cukai.


"Kami telah membangkitkan perkara ini sejak awal lagi, tetapi mereka (LHDN) tidak pernah menjawab bagaimana mereka mengira (taksiran cukai tambahan itu)," katanya.


Beliau sehubungan itu memohon mahkamah memberikan penangguhan prosiding kebankrapan sementara menunggu pendengaran di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) supaya Najib dapat mencabar taksiran cukai berkenaan.


Katanya, anak guamnya akan menghadapi masalah untuk mendapatkan khidmat peguam dan perlu membuat pembayaran melalui sumber lain jika diisytiharkan bankrap.


Sementara itu, Norhisham berhujah bahawa walaupun jumlah yang dikenakan terhadap Najib sememangnya tinggi, ia bukan alasan yang sah untuk membolehkan prosiding kebankrapan ditangguhkan.


Beliau berkata, jumlah yang besar tidak dengan sendirinya merupakan keadaan istimewa yang mewajarkan penangguhan.


"Undang-undang menetapkan beliau perlu membayar terlebih dahulu dan mempertikaikannya kemudian," katanya.


Pada 2020, dua Mahkamah Tinggi yang berasingan membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus bagi menuntut tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin bagi tempoh antara 2011 hingga 2017.


Penghakiman terus ialah keputusan yang dibuat oleh mahkamah berdasarkan hujahan bertulis tanpa memanggil saksi memberi keterangan dalam perbicaraan.


LHDN memfailkan saman terhadap Najib, menuntut pemimpin politik itu membayar jumlah berkenaan bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.


LHDN melalui kerajaan Malaysia juga telah memfailkan writ saman terhadap Nazifuddin pada 24 Julai 2019, mendakwa anak Najib itu belum membayar cukai untuk tahun taksiran selama tujuh tahun bermula dari 2011, seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

Khamis, 2 Julai 2026

Bra, seluar dalam emas, wang RM232 juta ditemukan di rumah ahli politik

Bra, seluar dalam emas, wang RM232 juta ditemukan di rumah ahli politik


Satu serbuan besar-besaran antirasuah di Iraq membongkar penemuan harta luar biasa, termasuk pakaian dalam yang diperbuat daripada emas. Serbuan itu juga mengakibatkan penahanan 47 individu berprofil tinggi, termasuk ahli parlimen, pegawai kanan, dan penjawat awam. 


Operasi berisiko tinggi itu, yang dilancarkan di bawah arahan kerajaan Perdana Menteri Ali Al-Zeidi, telah mencetuskan kejutan dalam landskap politik negara berkenaan. 


Menurut laporan media daripada haberler.com dan beberapa agensi lain, pasukan keselamatan yang melaksanakan waran geledah di rumah ahli parlimen Hind Al-Abbasi dan telah menemui harta kekayaan yang amat mengejutkan. 


Rampasan yang didakwa itu merangkumi wang tunai sebanyak AS$57 juta (RM232 juta), 27 kilogram emas tulen, dan beberapa helai pakaian dalam yang diperbuat daripada emas. 


Walaupun Hind Al-Abbasi disenaraikan secara rasmi sebagai ahli parlimen di laman web rasmi badan perundangan tersebut, pihak berkuasa Iraq masih belum mengesahkan butiran sensasi yang spesifik ini secara rasmi, lapor News.Az memetik RU News.


Serbuan tersebut dijalankan oleh pasukan keselamatan di Baghdad dan beberapa wilayah lain, menyasarkan penjawat awam yang disyaki terlibat dalam rasuah sistemik dan penyalahgunaan dana awam secara meluas.


Sementara itu, Ali Al-Zeidi menegaskan kembali pendirian pentadbirannya mengenai perkara itu, dengan menyatakan bahawa kerajaan tetap bertekad sepenuhnya untuk meneruskan perjuangan menentang rasuah tanpa sebarang kompromi. 


Beliau menegaskan bahawa siasatan yang sedang dijalankan ini adalah sangat dinamik dan boleh berkembang untuk menyasarkan lebih banyak suspek dalam beberapa hari mendatang.

Isnin, 16 Mac 2026

Lelaki bersenjata cuba samun kedai emas di Petaling Jaya mati ditembak

Lelaki bersenjata cuba samun kedai emas di Petaling Jaya mati ditembak


Seorang lelaki maut selepas ditembak pengawal keselamatan ketika cuba merompak sebuah kedai emas dalam kejadian di Petaling Jaya pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.59 pagi itu, suspek yang bersenjatakan pisau dipercayai cuba melarikan barangan kemas sebelum berlaku pergelutan dengan pengawal keselamatan di premis berkenaan.


Beliau berkata, pergelutan itu menyebabkan pengawal keselamatan melepaskan tembakan sehingga mencederakan suspek.


"Suspek cedera akibat tembakan yang dilepaskan dan pengawal keselamatan itu turut mengalami kecederaan akibat pergelutan.


"Suspek dan pengawal keselamatan yang terlibat telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Shamsudin berkata, pada pukul 11.53 pagi suspek telah disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital.


"Bedah siasat ke atas mayat suspek akan dijalankan di PPUM pada 17 Mac bagi mengetahui punca kematian.


"Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan bersenjata dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960," katanya.


Justeru itu katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya bagi membantu siasatan berhubung dengan kes ini.

Ahad, 15 Mac 2026

 Kerajaan Persekutuan komited tunaikan hak hasil 40 peratus kepada Sabah - Anwar

Kerajaan Persekutuan komited tunaikan hak hasil 40 peratus kepada Sabah - Anwar


Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Persekutuan kekal komited menghormati dan menunaikan komitmen pemberian tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah kepada rakyat negeri ini.


Perdana Menteri berkata tidak ada sebarang rundingan berhubung perkara terbabit kerana kerajaan sudah memberi jaminan tegas berhubung komitmen itu.


"Jawapan saya begini. Kita tidak merayu kes 40 peratus (hak hasil) itu, itu sudah tutup kes... tiada perbincangan. Setakat ini, kita telah memberikan jaminan jelas dan tegas bahawa ia komitmen yang kukuh.


"Ia adalah keputusan yang saya umumkan dalam Kabinet dan juga di Parlimen... tiada rundingan. Kita komited untuk menunaikan komitmen 40 peratus kepada rakyat Sabah," katanya berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama YAB Perdana Menteri bertempat di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2 Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu hari ini.


Pada 17 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengiktiraf hak Sabah untuk menerima 40 peratus daripada hasil bersih Persekutuan yang diperoleh daripada negeri itu bagi tempoh antara 1974 hingga 2021, yang sering dirujuk sebagai "tahun-tahun yang hilang."


Perdana Menteri memaklumkan dalam penghakiman itu terdapat beberapa isu yang mempersoalkan peranan pemimpin Persekutuan.


"Keputusan penghakiman itu ada isu menyinggung, malah mempertikaikan peranan pemimpin-pemimpin sejak zaman Tun Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Datu Mustapha Harun, Tun Fuad Stephen, Tan Sri Haris Salleh, Tan Sri Pairin Kitingan, juga pemimpin yang dipilih oleh rakyat Sabah.


"Ia tidak wajar, itu pandangan kita. Oleh itu, kita membawa perkara ini ke mahkamah untuk mendapatkan penjelasan.


"Adakah ia menjejaskan isu 40 peratus? Perkara itu tidak timbul sama sekali. Isu 40 peratus sudah pun selesai dan kita tidak akan mempertikaikannya," katanya.

Sabtu, 14 Mac 2026

Elon Musk sah individu terkaya dalam sejarah manusia yang pernah direkodkan

Elon Musk sah individu terkaya dalam sejarah manusia yang pernah direkodkan


Nilai bersih kekayaan Elon Musk dianggarkan AS$839 bilion (kira-kira RM3.3 trilion) menjadikannya individu terkaya yang pernah direkodkan, kata Forbes pada Rabu lalu.


Musk menduduki tangga teratas senarai Indeks Bilionair Forbes untuk tahun kedua berturut-turut selepas kekayaannya meningkat kira-kira AS$500 bilion (kira-kira RM2.0 trilion) dalam 12 bulan lalu, didorong oleh kenaikan penilaian Tesla dan SpaceX.


Beliau adalah individu pertama yang melepasi nilai bersih kekayaan AS$800 bilion (kira-kira RM3.1 trilion) dan berpotensi menjadi trilionair pertama di dunia.


Lonjakan kekayaan Musk mencerminkan 2025 yang bergelora untuk Tesla apabila harga sahamnya merosot akibat boikot pengguna terhadap sokongan Musk kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan ahli politik sayap kanan lain.


Dalam pada itu, saham Tesla pulih pada separuh kedua 2025 selepas Musk meletakkan jawatan dalam pentadbiran Trump.


Difahamkan, penyokong Tesla percaya syarikat itu berpotensi untuk pertumbuhan luar biasa kerana akses Musk kepada teknologi pemanduan autonomi dan kecerdasan buatan.


Pemegang saham Tesla tetap menyokong Musk dan meluluskan pakej gaji bernilai sehingga AS$1 trilion (kira-kira RM3.9 trilion) jika sasaran pengeluaran dan penilaian dicapai, meningkatkan bahagian Musk dalam syarikat kepada kira-kira 25 peratus.


Musk pernah mencadangkan beliau mungkin keluar dari Tesla tanpa pakej itu kerana mahu pegangan yang cukup untuk mempunyai 'pengaruh kuat' ketika membina 'tentera robot'.


Beliau berkata, kurang daripada 0.1 peratus kekayaannya berada dalam bentuk tunai.


Seorang pakar dari Universiti Maryland, Prof Madya David Kirsch berkata, anggaran kekayaan Musk adalah 'sangat spekulatif' kerana sebahagian besar bergantung pada aset ekuiti yang penilaiannya bergantung kepada pertumbuhan yang dijangka.


Difahamkan, kekayaan Musk adalah lebih tiga kali ganda berbanding individu seterusnya dalam senarai Forbes, yang kini mencatat rekod 3,428 bilionair, majoritinya tokoh teknologi.


Pengasas bersama Google, Larry Page dan Sergey Brin, masing-masing di tangga kedua dan ketiga dengan AS$257 bilion (kira-kira RM1 trilion) dan AS$237 bilion (kira-kira RM0.9 trilion), manakala Jeff Bezos keempat dengan AS$224 bilion (kira-kira RM0.9 trilion) dan Mark Zuckerberg kelima dengan AS$222 bilion (kira-kira RM0.9 trilion).


Trump meningkat ke tangga ke-645 daripada 700 setahun lalu dengan kekayaan dianggarkan AS$6.5 bilion (kira-kira RM25.6 bilion), didorong oleh pelaburan kripto dan pembatalan penalti sivil AS$518 (kira-kira juta RM2.0 bilion), kata Forbes.

Selasa, 10 Mac 2026

Harga minyak tinggi: Subsidi dijangka meningkat RM5 bilion setiap 3 bulan

Harga minyak tinggi: Subsidi dijangka meningkat RM5 bilion setiap 3 bulan


Kerajaan berpotensi menanggung tambahan beban subsidi di antara RM3 bilion hingga RM5 bilion bagi setiap suku tahun, sekiranya harga petrol RON95 terus dikekalkan pada kadar RM1.99 seliter ketika harga minyak mentah global mula melepasi paras AS$100 setong.


Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata kenaikan harga minyak dunia akan meningkatkan kos subsidi kerajaan jika harga runcit bahan api domestik tidak diselaraskan.


"Jika kerajaan mahu mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter ketika harga minyak dunia meningkat, beban subsidi kerajaan boleh bertambah sekitar RM3 bilion hingga RM5 bilion bagi tempoh tiga bulan," katanya.


Mohd Sedek berkata, impak sebenar kepada ekonomi dunia dan Malaysia pula akan bergantung kepada tempoh serta skala krisis geopolitik yang berlaku.


Beliau mengandaikan krisis hanya menjejaskan kawasan Asia Barat dan berlanjutan sekitar tiga bulan, namun keadaan itu masih berpotensi memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi global serta meningkatkan tekanan inflasi.


"Walaupun harga minyak yang lebih tinggi boleh meningkatkan hasil petroleum negara serta potensi dividen, tetapi ia tidak berlaku serta-merta kepada kedudukan fiskal kerajaan," katanya.


Pada masa sama, Mohd Sedek berkata, nilai ringgit dijangka kekal stabil, namun pasaran saham mungkin menjadi lebih berhati-hati apabila harga minyak melepasi AS$100 setong kerana pelabur akan menilai semula premium risiko dan jangkaan keuntungan syarikat.


Harga minyak kelmarin melonjak lebih 25 peratus ke paras tertinggi sejak pertengahan 2022 selepas beberapa negara pengeluar utama mengurangkan bekalan, selain kebimbangan terhadap gangguan berpanjangan kepada penghantaran minyak susulan perang yang semakin meluas antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan Iran.


Pasaran tenaga menjadi sangat cemas kerana krisis itu berlaku di sekitar Selat Hormuz, laluan yang biasanya menyalurkan kira-kira 20 peratus daripada bekalan minyak dunia.


Gangguan pergerakan kapal tangki serta peningkatan risiko keselamatan telah memperlahankan aktiviti penghantaran, sekali gus menyebabkan pembeli di Asia paling terdedah memandangkan kebergantungan tinggi mereka terhadap minyak mentah dari Asia Barat.


Semalam, niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat AS$24.96 atau 27 peratus kepada AS$117.65 setong pada 0451 GMT, berada di landasan untuk mencatat lonjakan harian terbesar dalam sejarah, manakala niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS naik AS$25.72 atau 28.3 peratus kepada AS$116.62 setong.


Sementara itu, Perunding Kanan Global Asia Consulting, Samirul Ariff Othman, berkata kenaikan harga minyak mentah global melepasi paras AS$100 setong disifatkan sebagai situasi 'pedang dua mata' kepada Malaysia kerana ia berpotensi meningkatkan hasil negara, namun pada masa sama memberi tekanan kepada inflasi dan kos sara hidup rakyat.


Katanya, sebagai negara pengeluar minyak, Malaysia berpeluang menikmati peningkatan pendapatan eksport serta hasil kerajaan sekiranya harga komoditi itu kekal tinggi.


Beliau berkata, manfaat itu datang terutamanya melalui dividen dan cukai daripada syarikat minyak nasional, PETRONAS, yang boleh membantu memperkukuh kedudukan fiskal kerajaan dan menyokong imbangan perdagangan negara.


"Apabila harga minyak meningkat, pendapatan kerajaan daripada sektor minyak dan gas biasanya turut bertambah, sekali gus memberi ruang kepada kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan fiskal serta menyokong ekonomi negara," katanya.



Namun, beliau menegaskan bahawa kenaikan harga minyak global turut membawa implikasi negatif kepada ekonomi domestik kerana ia lazimnya meningkatkan kos bahan api, pengangkutan dan logistik.


"Situasi ini boleh memberi tekanan kepada harga makanan serta kos sara hidup rakyat, khususnya apabila kos operasi perniagaan meningkat dan akhirnya dipindahkan kepada pengguna," katanya.


Samirul berkata, dalam keadaan Malaysia masih mengekalkan subsidi bahan api, harga minyak dunia yang tinggi juga boleh meningkatkan beban fiskal kerajaan sekiranya harga runcit domestik terus dikawal.


Beliau menjelaskan, cabaran utama kepada kerajaan ialah memastikan manfaat daripada harga minyak yang tinggi dapat dimanfaatkan untuk memperkukuh ekonomi negara, sambil pada masa sama mengurus kesan inflasi dan tekanan kos terhadap rakyat serta perniagaan.