Memaparkan catatan dengan label Global. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Global. Papar semua catatan

Ahad, 25 Oktober 2026

Dipeluk suami, wanita patah lima tulang rusuk akibat osteoporosis

Dipeluk suami, wanita patah lima tulang rusuk akibat osteoporosis

 

Seorang wanita di China mengalami kecederaan serius apabila lima tulang rusuknya patah dan satu lagi mengalami keretakan halus selepas dipeluk suaminya sendiri.


Menurut laporan media, kejadian berlaku apabila wanita itu memberitahu suaminya yang hanya dikenali sebagai Wang bahawa dia berasa sejuk.


Wang kemudian memeluk isterinya seperti biasa untuk memberikan kehangatan, namun pasangan itu terkejut apabila terdengar bunyi retakan sebelum wanita berkenaan tiba-tiba terduduk kesakitan dan sukar untuk berdiri.


Pada mulanya, wanita itu menyangka kecederaan berkenaan hanya ketegangan otot biasa. Namun, selepas menahan kesakitan selama sehari, dia akhirnya mendapatkan rawatan di hospital.


Pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer (CT) mendapati lima tulang rusuknya patah, manakala satu lagi mengalami keretakan halus.


Doktor memaklumkan kecederaan itu berpunca daripada osteoporosis yang teruk sehingga menyebabkan tulangnya terlalu rapuh dan mudah patah walaupun akibat tekanan ringan.


Wanita itu dibenarkan pulang dengan bekalan ubat serta tampalan bagi membantu proses pemulihan. Dia juga dinasihatkan supaya berehat sepenuhnya dan tidak memerlukan pembedahan.


Menurut Wang, isterinya mempunyai berat badan antara 45 hingga 50 kilogram serta sering mengamalkan diet ketat, termasuk tidak mengambil makan malam.


Wanita itu juga dikatakan minum kopi setiap hari, jarang keluar rumah dan sentiasa menutup seluruh tubuh ketika berada di luar bagi mengelakkan cahaya matahari.


Doktor menjelaskan bahawa kekurangan pendedahan kepada cahaya matahari boleh menjejaskan penghasilan vitamin D, yang penting untuk membantu penyerapan kalsium dan mengekalkan kekuatan tulang.


Menurut Cleveland Clinic, osteoporosis ialah penyakit yang menyebabkan ketumpatan tulang berkurangan, sekali gus menjadikan tulang lebih lemah dan meningkatkan risiko patah.


Kini, wanita berkenaan memberi tumpuan kepada proses pemulihan di rumah serta mula mengubah gaya hidup dengan lebih kerap mendapatkan cahaya matahari dan memastikan pengambilan kalsium mencukupi.

Ahad, 18 Oktober 2026

Sangka isteri curang, lelaki mengamuk tembak lelaki rupa-rupanya anak sendiri

Sangka isteri curang, lelaki mengamuk tembak lelaki rupa-rupanya anak sendiri


PHNOM PENH - Tindakan seorang pegawai kanan Kementerian Galian dan Tenaga Kemboja melepaskan tembakan akibat mengesyaki isterinya menjalinkan hubungan sulit berakhir dengan kejutan apabila lelaki yang ditembaknya rupa-rupanya anak kandungnya sendiri.


Menurut laporan Khmer Times, kejadian berlaku di sebuah kampung di pinggir Phnom Penh pada Rabu lalu, selepas lelaki terbabit dipercayai bertindak agresif kerana dibelenggu syak wasangka terhadap isterinya.


Insiden tegang itu bermula apabila penduduk mendakwa melihat sebuah kereta Ford mengejar sebuah Toyota Prius sebelum merempuh bahagian belakang kenderaan berkenaan.


Aksi kejar-mengejar itu berakhir apabila kedua-dua kereta tiba di jalan mati, sekali gus mencetuskan pertengkaran yang semakin memuncak.


Dalam keadaan berang, lelaki berkenaan kemudian mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah lelaki yang disangkanya mempunyai hubungan sulit dengan isterinya.


Malangnya, satu daripada tembakan itu mengenai bahagian abdomen mangsa.


Keadaan bertukar mengejutkan apabila suspek menghampiri mangsa dan menyedari lelaki yang terbaring akibat tembakan itu sebenarnya anak kandungnya sendiri.


Mangsa segera dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan, manakala suspek ditahan polis bagi membantu siasatan.


Kejadian itu mencetuskan perhatian kerana tindakan terburu-buru akibat syak wasangka bukan sahaja membawa kepada insiden berdarah, malah mengakibatkan seorang bapa menembak anaknya sendiri.

Isnin, 5 Oktober 2026

Lelaki warga Vietnam ditahan disyaki terbabit 200 kes pecah rumah di Jepun

Lelaki warga Vietnam ditahan disyaki terbabit 200 kes pecah rumah di Jepun


Polis Metropolitan Tokyo menahan seorang lelaki warga Vietnam yang disyaki terbabit dalam rangkaian kes pecah rumah secara besar-besaran di ibu negara dan 10 wilayah lain di Jepun membabitkan 69 juta yen (kira-kira RM1.79 juta), lapor Tokyo Reporter.


Menurut laporan media tempatan, suspek dikenali sebagai Tran Thanh Hai, 31, yang tidak bekerja dan tidak mempunyai kediaman tetap.


Dia dipercayai bertindak sebagai pemandu khas bagi kumpulan penjenayah yang turut dianggotai sekurang-kurangnya tiga lagi lelaki warga Vietnam.


Tran ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes pecah rumah dan mencuri susulan kejadian di sebuah kediaman di Bandar Sanjo, wilayah Niigata pada Oktober tahun lalu yang menyaksikan wang tunai kira-kira 100,000 yen (kira-kira RM2,500) dilarikan.


Ketika disoal siasat, Tran mengaku melakukan perbuatan berkenaan dan memberitahu bahawa dia direkrut menyertai kumpulan itu ketika berada di sebuah premis permainan pachinko.


"Saya direkrut di sebuah premis pachinko di wilayah Gunma oleh seseorang yang menawarkan 'pekerjaan memandu jarak jauh'.


"Saya memandu ke seluruh Jepun dan menerima ganjaran antara 60,000 yen (kira-kira RM1,500) hingga 100,000 yen (kira-kira RM2,500) bagi setiap perjalanan," katanya kepada pegawai penyiasat.


Polis mendapati Tran datang ke Jepun pada 2022 menerusi program latihan teknikal anjuran kerajaan, namun menetap di negara itu secara haram selepas tinggal lebih masa sejak tahun berikutnya.


Pihak berkuasa percaya kumpulan berkenaan aktif menyasarkan dan menceroboh rumah tidak berpenghuni sejak awal Jun tahun lalu.


Kumpulan itu disyaki terbabit dalam lebih 200 kes pecah rumah di Tokyo, Saitama, Chiba, Gunma, Tochigi, Ibaraki, Fukushima, Niigata, Nagano, Yamanashi dan Shizuoka.


Secara keseluruhan, siri kecurian berkenaan mengakibatkan kerugian wang tunai dan barangan berharga yang dianggarkan bernilai 69 juta yen (kira-kira RM1.79 juta).


Polis kini meneruskan siasatan terhadap kes jenayah lain yang mungkin dilakukan kumpulan berkenaan selain aktif mengesan rakan subahat Tran yang masih bebas.

Rabu, 30 September 2026

Aksi duduk atas penyu cetus kontroversi, lelaki berdepan tindakan undang-undang

Aksi duduk atas penyu cetus kontroversi, lelaki berdepan tindakan undang-undang


Tindakan pelancong lelaki duduk di atas seekor penyu sambil menunjukkan ototnya selain memegang anak haiwan itu membawa padah apabila dia kini berdepan tindakan undang-undang di Oman.


Rakaman yang turut dikongsi media tempatan bagi meningkatkan kesedaran menunjukkan pelancong terbabit duduk di atas belakang seekor penyu sambil menunjukkan otot bahunya.


Pada masa sama, dia dilihat memegang seekor anak penyu dengan sebelah tangannya.


Khaleej Times melaporkan, perbuatan lelaki terbabit dirakam di kawasan Ras Al Hadd sebelum video berkenaan tular di media sosial dan mendapat perhatian pihak berkuasa negara itu.


Pihak Berkuasa Alam Sekitar Oman memaklumkan, tindakan diambil selepas pihaknya memantau rakaman yang tersebar dan mendapati perbuatan berkenaan melanggar undang-undang serta peraturan perlindungan hidupan liar negara itu.


"Kita mengingatkan orang ramai supaya tidak menyentuh, mendekati atau mengganggu penyu bagi memastikan keselamatan haiwan itu serta memelihara habitat semula jadinya


"Perlindungan biodiversiti adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan kesedaran dan komitmen semua pihak termasuk rakyat tempatan, penduduk serta pelancong.


"Pengunjung perlu melaporkan sebarang pelanggaran atau perbuatan yang boleh memudaratkan hidupan liar kerana tindakan yang mengancam haiwan serta habitat semula jadi tidak akan diterima," katanya.


Ras Al Hadd yang terletak di wilayah Sur, Sharqiya kira-kira 350 kilometer dari Muscat menjadi lokasi antara 6,000 hingga 12,000 penyu datang bertelur sepanjang musim panas dari Jun hingga Oktober setiap tahun.


Kawasan itu menjadi habitat empat jenis penyu iaitu penyu agar, penyu lipas, penyu karah dan penyu tempayan manakala penyu belimbing turut ditemui di perairan berhampiran pantai Oman.


Penyu agar antara spesies paling banyak ditemui di Ras Al Hadd dengan haiwan berkenaan menghabiskan sebahagian besar kehidupannya di laut sebelum kembali ke daratan ketika musim panas untuk bertelur.

Rabu, 23 September 2026

Dalam dinding, lantai dan perabot ada RM14.94 juta, 34 individu ditahan dalam serbuan awal pagi

Dalam dinding, lantai dan perabot ada RM14.94 juta, 34 individu ditahan dalam serbuan awal pagi


Pihak berkuasa Itali menemukan wang tunai berjumlah 3.2 juta euro (kira-kira RM14.94 juta) yang disembunyikan di dalam dinding, lantai dan perabot sebuah pangsapuri di Napoli pada Isnin, dalam serbuan awal pagi yang membawa kepada penahanan 34 individu.


Pegawai penguat kuasa undang-undang anti-mafia menemukan wang tunai dalam bentuk wang kertas 50 euro di sebuah kediaman di Caivano, menurut kenyataan polis tentera Napoli Carabinieri kepada CNN.


Bongkah wang kertas yang dibalut dengan selofan dan disusun kemas di bawah jubin lantai serta laci tersembunyi di dalam almari pakaian itu dikeluarkan menggunakan baldi plastik sebelum dimasukkan ke dalam kenderaan kalis peluru.


Polis turut menemukan 11 jam tangan mewah jenama Rolex, senjata api dan peralatan menjual dadah dalam serbuan berkenaan, kata pegawai pada sidang media di Napoli pada Isnin.


Serbuan itu adalah sebahagian daripada operasi sulit selama beberapa bulan yang diketuai pendakwa raya anti-mafia Neapolitan, Nicola Gratteri.


Menurut Gratteri, pihak berkuasa turut memintas talian telefon bimbit milik anggota mafia yang dipenjarakan selepas peranti berkenaan diseludup masuk oleh ahli keluarga.


"Bagi membuktikan kepentingan operasi ini, di satu kediaman sahaja, kami merampas wang tunai 3.2 juta euro (kira-kira RM14.94 juta) selain jam tangan berharga," katanya.


Pihak berkuasa memaklumkan maklumat berkenaan diperoleh daripada pemberi maklumat yang memberikan bukti kepada pendakwa raya sebagai pertukaran untuk mendapatkan perlindungan.


Mereka yang ditahan didakwa anggota kumpulan Angelino clan yang dikatakan sudah meresap ke Caivano sehingga pentadbiran tempatan terpaksa diletakkan di bawah pentadbiran kehakiman tahun lalu, kata Gratteri.


Menurut kenyataan Carabinieri, 34 individu itu dituduh atas kesalahan persatuan jenayah berunsur mafia, pengedaran dadah, pemerasan dan pemilikan dadah untuk tujuan pengedaran.


Pihak berkuasa turut membongkar kaedah kumpulan itu yang menggunakan sistem "keusahawanan" dengan menempatkan individu secara bergilir-gilir bagi menjalankan kegiatan haram.


Wang yang dirampas akan dimasukkan ke dalam "Tabung Keadilan" negara bagi menyokong mangsa jenayah terancang. Bagaimanapun, Gratteri berseloroh bahawa sebahagian wang berkenaan sepatutnya digunakan untuk menampung kos pemintasan talian.


"Saya terfikir apabila menteri mahu mengurangkan pemintasan talian bagi menjimatkan wang. Namun dengan 3.2 juta euro (kira-kira RM14.94 juta) yang ditemukan hari ini dan akan disalurkan terus ke Tabung Keadilan, kami sudah membayar kos pemintasan talian selama sembilan tahun di Napoli sahaja. Kami perlu menjalankan beberapa lagi operasi seperti ini," katanya.


Serbuan itu berlaku ketika kerajaan memperkenalkan "Model Caivano" pada 2023 bagi memulihkan bandar berkenaan dan mencegah jenayah. Namun, selepas penahanan itu, beberapa ahli pembangkang menyifatkan perkembangan berkenaan sebagai kegagalan inisiatif itu termasuk Ahli Parlimen Francesco Borrelli yang berkata realiti siasatan menunjukkan keadaan berbeza daripada dakwaan kemenangan muktamad terhadap jenayah terancang.

Ahad, 20 September 2026

Penempatan diroboh, ratusan keluarga Rohingya hilang tempat tinggal di India

Penempatan diroboh, ratusan keluarga Rohingya hilang tempat tinggal di India


Ratusan keluarga Rohingya berdepan kehilangan tempat tinggal selepas diarahkan mengosongkan penempatan sementara di kawasan Karyani Talab, Narwal di Jammu, India.


Penduduk dilihat merobohkan pondok, struktur kayu dan kedai serta mengemas barangan selepas pemilik tanah meminta mereka meninggalkan kawasan berkenaan susulan notis pihak berkuasa.


Seorang anggota komuniti Rohingya mendakwa, kira-kira 350 hingga 500 keluarga yang menghuni sekitar 80 hingga 90 pondok sementara telah diminta berpindah.


Sebahagian daripada mereka dikatakan sudah menetap di kawasan itu antara 15 hingga 16 tahun.


Menurut penduduk, notis tersebut dikeluarkan kepada pemilik tanah yang menyewakan tapak kepada keluarga Rohingya.


Notis berkenaan dilaporkan mempersoalkan tindakan pemilik tanah membenarkan warga asing menetap di kawasan itu selain mendakwa tanah tersebut diperuntukkan bagi kegunaan pertanian dan tidak boleh disewakan untuk tujuan kediaman.


Rohingya Human Rights Initiative pula mendakwa, kira-kira 350 tempat perlindungan telah dirobohkan, menjejaskan hampir 1,800 individu.


Kumpulan itu mendakwa keluarga terbabit tidak diberikan penempatan alternatif yang selamat dan sesuai, menyebabkan sebahagian mereka mempertimbangkan untuk berpindah ke kawasan lain di India termasuk Hyderabad atau ke Bangladesh.


Data kerajaan yang dibentangkan kepada sebuah jawatankuasa peringkat tinggi menunjukkan seramai 7,656 Rohingya dikenal pasti di seluruh Jammu dan Kashmir, termasuk 6,737 di wilayah Jammu dan 919 di Lembah Kashmir.


Rohingya Human Rights Initiative kini menggesa pihak berkuasa dan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menghentikan pengusiran lanjut sehingga kesan kemanusiaannya dinilai serta menyediakan penempatan alternatif kepada keluarga terjejas.


Bagi keluarga yang kehilangan kediaman, persoalan utama kini ialah ke mana mereka harus pergi selepas tempat yang menjadi kediaman selama bertahun-tahun tidak lagi dapat diduduki.

Rabu, 16 September 2026

Wanita didakwa simbah sebaldi najis manusia ke arah jiran kerana cemburu

Wanita didakwa simbah sebaldi najis manusia ke arah jiran kerana cemburu

 

Hanya kerana cemburu, seorang wanita didakwa sanggup membawa baldi berisi najis manusia sebelum menyimbah kandungannya ke arah jirannya, lapor Benin Web TV.


Suspek, Yirsi Esperanza Machado Rivera, 50, ditahan selepas kejadian pada 7 September dan berdepan pertuduhan menceroboh kediaman berpenghuni serta mendatangkan kecederaan.


Berdasarkan laporan penahanan yang dipetik NBC Miami dan People, kedua-dua wanita berkenaan tinggal di unit bersebelahan dalam treler rumah di Royal Country Mobile Homes, bahagian barat laut Miami-Dade County.


Machado Rivera didakwa mengetuk pintu rumah jirannya sebelum menuduh mangsa mempunyai hubungan sulit dengan suaminya.


Suspek kemudian didakwa menceroboh masuk ke kediaman berkenaan tanpa kebenaran sebelum menolak penghuni terbabit.


Penyiasat mendakwa Machado Rivera selepas itu menyimbah kandungan baldi berkenaan ke arah mangsa. Seorang saksi dilaporkan memberitahu polis bahawa suspek menyatakan dia menyediakan bekas itu untuk menyimbah kandungannya ke muka mangsa.


Bagaimanapun, Machado Rivera menafikan dakwaan berkenaan ketika disoal siasat dengan mendakwa menggunakan baldi itu kerana tandas rumahnya rosak dan cuba membuang kandungannya selepas menerima aduan mengenai bau busuk.


Suspek turut menafikan menceroboh rumah jirannya atau menyimbah kandungan baldi itu ke arah mangsa selain mendakwa kepalanya dipukul menggunakan kayu pemukul ketika pertengkaran berlaku.


Machado Rivera dihadapkan ke hadapan Hakim Mindy Glazer pada 8 September sebelum majistret memerintahkan dia ditahan tanpa jamin serta melarang sebarang hubungan dengan pengadu.


Machado Rivera masih berada dalam tahanan sehingga 13 September di Pusat Tahanan Turner Guilford Knight, menurut rekod dalam talian yang disemak People.


Semua dakwaan terhadapnya masih berupa pertuduhan dan tidak membuktikan kesalahannya, manakala suspek dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Selasa, 15 September 2026

Pemburu haram mati tersepit di tengah-tengah sekumpulan gajah

Pemburu haram mati tersepit di tengah-tengah sekumpulan gajah


Nasib seorang suspek pemburu haram berakhir dengan tragedi apabila dia dipercayai tersepit di tengah-tengah sekumpulan gajah di Taman Negara Kruger di Afrika Selatan, lapor Independent Online (IOL).


Jurucakap Taman Negara Afrika Selatan (SANParks) JP Louw berkata, lelaki berkenaan ditemukan meninggal dunia di kawasan semak pada hujung minggu lalu, kira-kira enam kilometer dari kawasan pintu masuk taman negara itu.


Katanya, penemuan itu dibuat selepas kedua-dua lelaki terbabit menceroboh masuk ke Kruger secara haram melalui kawasan Pafuri di bahagian utara taman berkenaan pada Jumaat.


Mereka kemudian berjalan masuk ke kawasan sekumpulan gajah berkenaan sebelum kedua-duanya melarikan diri ke arah berbeza dan terpisah.


Lelaki yang terselamat berjaya keluar dari taman berkenaan dan pulang ke rumah sebelum memaklumkan rakan subahatnya hilang serta dia ada terdengar jeritan mangsa.


Louw berkata, perkara itu kemudian dilaporkan kepada polis sebelum lelaki terbabit ditahan dengan bantuan masyarakat tempatan.


Katanya, suspek mengaku menceroboh taman itu secara haram dan membawa renjer dari pos renjer Pafuri kembali ke lokasi mereka terpisah.


"Renjer mengikut jejak dari Sungai Luvuvhu sejauh kira-kira enam kilometer ke dalam taman," katanya.


Mayat lelaki berkenaan kemudian ditemukan terbaring di penghujung laluan itu.


Louw berkata, renjer turut menemukan rangka seekor seladang ketika pencarian yang dipercayai SANParks dibunuh oleh kedua-dua lelaki terbabit.


Katanya, polis akan meneruskan siasatan termasuk pemeriksaan forensik bagi mengenal pasti punca kematian lelaki berkenaan.

Ahad, 6 September 2026

Dua beradik maut selepas keluarga pilih rawatan mistik untuk rawat demam panas

Dua beradik maut selepas keluarga pilih rawatan mistik untuk rawat demam panas

(Foto Ilustrasi)

Dua beradik lelaki meninggal dunia selepas keluarga mereka dipercayai memilih rawatan mistik bagi mengubati demam panas yang dialami sebelum keadaan mereka semakin kritikal dan dikejarkan ke hospital.


India Today melaporkan kedua-dua mangsa masing-masing berusia 15 dan 10 tahun mengalami demam bersama ibu mereka, Sangeeta Devi, kira-kira tiga hingga empat hari lalu.


Bagaimanapun, keluarga berkenaan dipercayai menganggap penyakit itu berpunca daripada kuasa ghaib dan mendapatkan khidmat seorang pengamal ritual tantrik untuk menjalankan upacara serta bacaan mantera di rumah.


Rawatan berkenaan dilaporkan dilakukan selama tiga hari, namun keadaan ketiga-tiga mereka terus merosot.


Apabila dua beradik itu tidak sedarkan diri, keluarga segera membawa mereka ke Hospital Sadar Ramgarh sebelum doktor mengesahkan kedua-duanya meninggal dunia.


Sementara itu, keadaan ibu mereka turut kritikal dan Sangeeta dirujuk ke Rajendra Institute of Medical Sciences (RIMS), Ranchi untuk mendapatkan rawatan lanjut.


Punca sebenar penyakit yang menyebabkan tiga anggota keluarga itu jatuh sakit masih belum dikenal pasti.


Susulan kejadian itu, Pegawai Pembangunan Blok Patratu, Manoj Gupta, mengunjungi kampung berkenaan dan menemui keluarga mangsa.


Beliau memberi jaminan bantuan kepada keluarga berkenaan selain memaklumkan usaha akan dilakukan bagi menyediakan pampasan mengikut peraturan kerajaan.


Dalam pada itu, pasukan Jabatan Kejuruteraan Kesihatan Awam turut mengambil sampel air daripada pam tangan berhampiran selepas tiga anggota keluarga itu jatuh sakit pada waktu hampir sama.


Sampel berkenaan akan diperiksa bagi menentukan sama ada pencemaran air atau jangkitan mempunyai kaitan dengan kejadian itu.

Sabtu, 5 September 2026

Jeritan misteri dalam lori sampah akhirnya terungkai

Jeritan misteri dalam lori sampah akhirnya terungkai


Tiada siapa menyangka jeritan meminta tolong yang kedengaran dari sebuah lori sampah membawa kepada penemuan seorang lelaki yang tertimbus di bawah timbunan sampah yang telah dimampatkan.


Seorang pejalan kaki segera menahan pemandu lori Recology dan memaklumkan bahawa dia terdengar suara seseorang ketika kejadian di Mason Street pada awal pagi Rabu lalu.


Operasi menyelamat kemudiannya dijalankan dengan disertai kira-kira 25 anggota bomba mengambil masa lebih dua jam untuk mengeluarkan sampah dari dalam lori secara manual.


Laporan awal Jabatan Bomba San Francisco mendapati lelaki itu berada di dalam sebuah tong sampah sebelum diangkat secara mekanikal dan dicurahkan ke dalam lori.


Punca individu itu berada di dalam tong sampah masih disiasat.


"Dia mungkin sedang mencari makanan atau barangan lain," kata jurucakapnya.


Lelaki berkenaan kini dirawat Hospital Besar Zuckerberg San Francisco dan keadaannya dilaporkan agak serius.

Khamis, 3 September 2026

Lelaki ditahan atas dakwaan curi duit penumpang ketika dalam penerbangan

Lelaki ditahan atas dakwaan curi duit penumpang ketika dalam penerbangan


Polis Hong Kong menahan seorang lelaki kerana disyaki mencuri mata wang asing bernilai hampir HK$6,000 (kira-kira RM3114.50) ketika dalam penerbangan dari Thailand.


Kejadian disaksikan seorang penumpang yang didakwa merakam dan melaporkannya kepada kru.


Polis berkata lelaki berusia 57 tahun itu ditahan atas dakwaan mencuri selepas penerbangan HK Express mendarat di bandar raya berkenaan sejurus sebelum tengah malam pada Rabu.


Polis menganggarkan mata wang itu bernilai kira-kira HK$6,000, namun satu sumber menyatakan jumlah tersebut adalah 25,000 baht, yang bersamaan dengan HK$5,885 (kira-kira RM3,035.56).


Sumber dalaman itu berkata suspek didakwa berjalan dari bahagian belakang pesawat untuk membuka ruang penyimpanan barang di hadapan kabin.


"Dia menyelongkar sebuah beg hitam, lalu mengambil wang tunai daripada beg tersebut dan memasukkannya ke dalam poketnya," kata sumber itu.


South China Morning Post difahamkan seorang lagi penumpang dipercayai menyaksikan kecurian itu, merakamnya menggunakan telefon pintar dan memaklumkannya kepada petugas.


Sumber dalaman itu menambah pramugari kemudiannya mengenal pasti pemilik beg tersebut dan memaklumkan kakitangan lapangan terbang untuk membuat laporan polis.


Pasukan siasatan jenayah daerah polis lapangan terbang kini sedang menyiasat kes berkenaan.

Rabu, 2 September 2026

Bekas menteri dipenjara 7 tahun guna wang kerajaan beli makanan tengah hari kepada pengundi

Bekas menteri dipenjara 7 tahun guna wang kerajaan beli makanan tengah hari kepada pengundi


Sebuah mahkamah Sri Lanka pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap bekas menteri penerbangan negara itu kerana didakwa menggunakan AS$2,500 (RM11,000) wang kerajaan untuk membeli makanan tengah hari kepada pengundi yang menghadiri satu perhimpunan parti pemerintah.


Piyankara Jayaratne, 61, turut didenda AS$615 (RM2,500) kerana meminta Sri Lankan Catering, sebuah syarikat milik kerajaan, menanggung kos makanan bagi perhimpunan Hari Pekerja bekas Presiden Mahinda Rajapaksa pada 2014.


Hakim Mahkamah Tinggi Colombo, Mohamed Mihal berkata, Jayaratne telah mengkhianati amanah awam yang diberikan kepadanya demi memenuhi cita-cita peribadinya dengan membiayai perhimpunan Rajapaksa.


"Mahkamah tidak akan teragak-agak untuk menjatuhkan hukuman penjara yang memberi mesej tegas kepada wakil rakyat yang melakukan kesalahan seperti ini," katanya.


Kes terhadap Jayaratne difailkan pada 2019. Beliau berdepan dua lagi pertuduhan membabitkan pembelian pesawat Airbus pada 2013 dan penggunaan dana kerajaan untuk mencetak kad ucapan peribadi.


Keputusan terbaharu Mahkamah Tinggi itu dibuat ketika Presiden Anura Kumara Dissanayake, yang mengambil alih jawatan pada 2024, sedang melancarkan tindakan besar-besaran membanteras rasuah.


Dua bekas menteri Kabinet sudah dipenjarakan sehingga 20 tahun kerana kesalahan rasuah, manakala beberapa bekas timbalan menteri turut menjalani hukuman penjara yang panjang.


Pada Isnin, bekas Menteri Kewangan, Ravi Karunanayake ditahan kerana didakwa meletakkan kakitangan peribadinya dalam senarai gaji kerajaan.


Seorang lagi bekas menteri, Keheliya Rambukwella ditahan kerana didakwa membantu dalam pencurian sebuah batu suci yang berusia berabad-abad dari istana raja Sinhala terakhir di pulau itu.


Semua ahli keluarga terdekat bekas Presiden Mahinda Rajapaksa sedang disiasat atau berdepan pendakwaan atas tuduhan pengubahan wang haram, rasuah dan pembunuhan. Keluarga Rajapaksa menafikan semua tuduhan tersebut.

Isnin, 31 Ogos 2026

Wanita diculik, dirogol, dibunuh kemudian dibuang dalam perigi, 4 suspek ditahan

Wanita diculik, dirogol, dibunuh kemudian dibuang dalam perigi, 4 suspek ditahan


Seorang wanita berusia 21 tahun di Karnataka, India dipercayai diculik, dirogol dan dibunuh selepas keluar dari rumah sebelum mayatnya ditemukan di dalam sebuah perigi di kawasan pertanian.


Kejadian berlaku di kampung Hokrani, daerah Raichur kira-kira jam 7 malam waktu tempatan pada 19 Ogos lalu, menurut laporan polis yang dibuat oleh bapa mangsa, Thimmareddy.


Mangsa yang dikenali sebagai Ashwini baru pulang ke rumah bersama ibu bapanya sekitar jam 6 petang waktu tempatan selepas mereka

 bekerja di ladang.


Menurut laporan polis, Ashwini yang sudah menamatkan pengajian Ijazah sarjana muda kemudian mengadu sakit perut sebelum keluar membawa bekas air untuk membuang air di kawasan tanah kerajaan berhampiran rumah.


Namun, dia tidak kembali. Ibunya yang keluar mencari kemudian menemukan selipar dan bekas air milik Ashwini di kawasan berhampiran.


Keluarga mangsa meneruskan pencarian sepanjang malam sebelum menerima maklumat keesokan paginya bahawa satu mayat ditemukan di dalam sebuah perigi. Ahli keluarga yang tiba di lokasi kemudian mengesahkan mayat tersebut ialah Ashwini.


Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tanpa pakaian dan tertiarap di dalam perigi, manakala wajahnya mengalami kecederaan termasuk luka pada bahagian bibir atas.


Polis menamakan empat suspek dalam laporan kes berkenaan iaitu Gundya, 22; Mahanthesh, 22; Veeresh, 23; dan Mundargi Basawaraj yang berusia sekitar 45 tahun.


Kesemua mereka merupakan penduduk kampung yang sama dengan mangsa. Empat suspek itu kini ditahan bagi membantu siasatan.


Menurut polis, seorang daripada suspek didakwa sudah mengaku terlibat dalam jenayah tersebut dan akan dibawa ke mahkamah.


Pihak berkuasa masih menyiasat keadaan sebenar yang membawa kepada kematian Ashwini. Mangsa dilaporkan baru bertunang kira-kira sebulan sebelum kejadian.

Sabtu, 29 Ogos 2026

Polis Myanmar tahan suspek curi 17 penyaman udara Hospital Besar Mandalay

Polis Myanmar tahan suspek curi 17 penyaman udara Hospital Besar Mandalay


Polis menahan individu yang mencuri 17 unit penyaman udara dari Hospital Besar Mandalay, menurut laporan Asia News Network.


Pegawai di Balai Polis No 8, Perbandaran Chan Aye Tha San, membuat laporan pada 6 Ogos selepas 17 unit penyaman udara dilaporkan hilang dari beberapa jabatan di Hospital Besar Mandalay.


Ini termasuk jabatan kecemasan, jabatan X-ray utama, bilik darjah sementara jabatan kecemasan dan dewan bedah utama. Susulan itu, polis menjalankan siasatan bagi menahan suspek pencuri penyaman udara.


Hasil siasatan mendapati seorang individu yang sedang menanggalkan sebuah unit penyaman udara di kawasan kuil berhampiran hospital ditahan untuk disoal siasat kerana disyaki terbabit dalam kes itu.


Siasatan lanjut mendapati suspek adalah pekerja perkhidmatan penyaman udara dan mencuri unit penyaman udara dari beberapa jabatan di hospital itu selama beberapa hari.


Dia menanggalkannya satu demi satu, mengangkutnya dalam jumlah yang banyak serta mengambil paip tembaga mengikut kesempatan termasuk pada waktu siang.


"Kes kecurian itu tidak berlaku dalam satu hari. Jika mereka hendak mencuri radiator, paip tembaga dan pemampat satu demi satu pada waktu siang, mereka akan menanggalkannya.


"Mereka juga menanggalkannya tanpa pemampat. Kipas, dandang gas, paip tembaga, motor, gegelung dan komponen lain turut ditanggalkan apabila mereka mempunyai masa," kata pegawai penyiasat.


Menurutnya, suspek mahir membaiki penyaman udara.


"Bagaimana seorang pencuri biasa boleh bertindak begitu pantas? Mereka mencurinya dengan begitu kemas sehingga kehilangan itu hanya disedari apabila penyaman udara hendak digunakan.


"Mereka tidak mungkin dapat membuka unit-unit tersebut satu demi satu tanpa kemahiran berkenaan.


"Oleh sebab itu, jumlah kes yang dibuka oleh balai polis adalah sebanyak 17," kata pegawai penyiasat berhubung perbuatan suspek.


Difahamkan, seorang kakitangan pembersihan hospital dan seorang ahli keluarganya turut terbabit dalam pencurian unit penyaman udara itu.


Mereka sudah ditahan dan sedang disiasat di Balai Polis Bandar No 8 di bawah Seksyen 6(1) Akta Perlindungan Harta Awam (PA) 110/2026.

Sabtu, 22 Ogos 2026

Remaja hilang ditemui mati dibunuh, alat sulit dibuang dalam kolam

Remaja hilang ditemui mati dibunuh, alat sulit dibuang dalam kolam


Pihak berkuasa berjaya membongkar kes pembunuhan seorang remaja di India yang didakwa berkait perdagangan organ, namun kini berdepan cabaran menjejaki alat sulit mangsa yang dipotong suspek dan dibuang ke dalam sebuah kolam.


Menurut polis di Bhopal, penemuan bahagian tubuh berkenaan penting sebagai bahan bukti yang boleh mengukuhkan kes di mahkamah.


Bagaimanapun, operasi pencarian berdepan kesukaran berikutan kedalaman kolam dan kewujudan pelbagai hidupan akuatik.


Suspek memberitahu pihak berkuasa, mereka memotong dan mengeluarkan kedua-dua bahagian sulit mangsa sebelum memasukkannya ke dalam beg plastik. Bagaimanapun, mereka gagal mencari pembeli dan terpaksa membuang bungkusan itu ke dalam kolam.


Mangsa dilaporkan hilang beberapa hari sebelum mayatnya dalam keadaan tidak sempurna ditemui di kawasan Chhota Talab pada 11 Ogos lalu.


Siasatan awal menunjukkan wujud konspirasi berkaitan perdagangan organ manusia.


Menurut polis, sekumpulan lelaki membunuh remaja itu, mencacatkan jasadnya dan merancang menghantar bahagian tubuh yang dipotong ke luar negara.


Polis mengesyaki mangsa mungkin diperdaya dengan tawaran sekitar 20 juta rupee (RM845,00), namun motif sebenar masih disiasat.


Pihak berkuasa memaklumkan bahagian tubuh yang dipotong masih belum ditemui walaupun pencarian dilakukan di beberapa lokasi.

Isnin, 10 Ogos 2026

Seorang pengarah filem 'hilang' 40 hari ditahan polis, didakwa rogol pelakon berulang kali

Seorang pengarah filem 'hilang' 40 hari ditahan polis, didakwa rogol pelakon berulang kali


Selepas 40 hari melarikan diri, seorang pengarah dan penerbit filem berusia 73 tahun akhirnya ditahan polis di sebuah rumah ladang di Mahabaleshwar pada Sabtu selepas didakwa merogol seorang pelakon berulang kali sejak empat tahun lalu.


Menurut laporan Times of India, pengarah dan penerbit filem India, Shakeel Noorani ditahan selepas polis mengesan lokasinya di Medha, daerah Satara.


Dia kemudian dibawa ke mahkamah oleh polis Malwani dan direman sehingga 12 Ogos bagi membantu siasatan.


Polis menggunakan Seksyen 64(2)(M) Kanun Keseksaan Bharatiya (BNS) berkaitan rogol, Seksyen 123 kerana menyebabkan kecederaan menggunakan racun, Seksyen 351(2) berkaitan ugutan jenayah dan Seksyen 88 kerana menyebabkan keguguran.


Berdasarkan laporan, wanita terbabit membuat laporan polis dengan mendakwa Noorani mengundangnya ke kediamannya di Malwani kira-kira empat tahun lalu atas alasan mahu membincangkan skrip filem.


Wanita itu mendakwa, minumannya kemudian dicampur bahan menyebabkan dia tidak sedarkan diri sebelum Noorani didakwa merogolnya.


Menurutnya, selepas sedar, Noorani didakwa menunjukkan rakaman serangan seksual itu menerusi telefon bimbit sebelum mengugut untuk menyebarkannya sekiranya dia membuat laporan polis atau memberitahu keluarganya.


Wanita berkenaan turut mendakwa, rakaman tersebut kemudiannya digunakan untuk mengugutnya dan memaksanya melakukan hubungan seksual berulang kali.


Dia juga mendakwa, Noorani beberapa kali memberikan pil perancang selepas kejadian terbabit dan mendakwa mengalami keguguran.


Menurut pegawai polis Malwani, pihaknya menjalankan siasatan sejak laporan dibuat dan mengesan Noorani selepas menggunakan bantuan teknikal.


"Pasukan polis turut melakukan pemeriksaan di rumah anaknya di Lokhandwala, Andheri namun dia tidak ditemui.


"Dengan bantuan teknikal, kami mengesan lokasinya di sebuah rumah ladang di Medha, daerah Satara. Pasukan polis Medha kemudian menahannya sebelum kami mengambil alih tahanan," katanya.


Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) Zon 2, Sandip Ghuge berkata, pihaknya mengumpulkan maklumat berkaitan kes berkenaan sejak laporan dibuat.


Bagaimanapun, peguam Noorani, Vikas Singh Goar menafikan dakwaan berkenaan dan mendakwa anak guamnya telah dikenakan tuduhan secara palsu.


Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana kes tersebut kini berada dalam prosiding mahkamah.


Noorani pernah mengarahkan beberapa filem Bollywood termasuk Vishnu Devaa (1991), Shreeman Aashique (1993), Bade Dilwala (1999) dan Joru Ka Ghulam (2000).


Shakeel Noorani didakwa merogol seorang pelakon wanita berulang kali. - Foto kredit Times Of India.