Ahad, 8 November 2026

Masuk Malaysia melalui laluan haram, PATI didakwa bayar sehingga RM15,000 kepada sindiket

Masuk Malaysia melalui laluan haram, PATI didakwa bayar sehingga RM15,000 kepada sindiket


KOTA BHARU - Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diseludup masuk ke Malaysia melalui pangkalan haram dan laluan laut didakwa perlu membayar antara RM5,000 hingga RM15,000 seorang kepada ejen atau sindiket bagi mengatur perjalanan mereka.


Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, kadar bayaran itu berbeza mengikut kewarganegaraan, laluan kemasukan serta destinasi pekerjaan yang ditawarkan.


Menurutnya, berdasarkan risikan dan kes yang dikesan sepanjang tahun ini, terdapat PATI yang sanggup membayar jumlah berkenaan kepada ejen untuk memasuki negara ini secara tidak sah.


Bagaimanapun, katanya, bayaran itu bukan kadar tetap kerana ia bergantung kepada laluan digunakan dan perkhidmatan yang disediakan sindiket.


Beliau berkata, sekurang-kurangnya tujuh pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok dikenal pasti menjadi antara laluan utama kegiatan penyeludupan PATI.


Antara lokasi berkenaan ialah Pangkalan Haram Azizah, Parking, Pak Antah, MCA, Kuala Senggeng, Kedap dan Perdah.


Menurut Ahmad Radzi, sindiket tidak bergantung kepada satu laluan sahaja, sebaliknya menggunakan beberapa pangkalan haram secara serentak bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.


Katanya, apabila sesuatu laluan diperketatkan kawalan atau diserbu, mereka akan segera beralih ke laluan alternatif seperti lorong tikus, kawasan kebun, jalan kampung dan pesisir sungai.


Beliau menjelaskan, antara cabaran utama membanteras kegiatan itu ialah keadaan geografi sempadan yang luas dan kompleks, termasuk Sungai Golok yang panjang serta terbuka.


Kewujudan sungai kecil, kawasan hutan dan banyak laluan tidak sah turut menyukarkan pemantauan secara menyeluruh.


Malah, di sepanjang sempadan Kelantan sahaja terdapat ratusan pangkalan haram serta laluan alternatif yang perlu dipantau secara berterusan.


Ahmad Radzi berkata, modus operandi sindiket juga sentiasa berubah mengikut tahap kawalan keselamatan, termasuk menggunakan laluan laut dan sungai kecil bagi meneruskan kegiatan penyeludupan.


Sehubungan itu, pihak berkuasa terus mempergiat risikan dan pemantauan bagi mengekang kegiatan penyeludupan migran serta memastikan keselamatan sempadan negara terpelihara.

Aksi bakar mercun di tengah jalan raya tular, polis buru kumpulan lelaki

Aksi bakar mercun di tengah jalan raya tular, polis buru kumpulan lelaki


JOHOR BAHRU - Polis sedang mengesan sekumpulan lelaki yang disyaki membakar mercun di tengah jalan raya berhampiran lampu isyarat Taman Nesa, Skudai, awal pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Azrol Anuar Nor berkata, kejadian itu dikesan menerusi satu rakaman video yang tular di Facebook selepas dimuat naik oleh akaun Community Roda Johor-CRJ kira-kira jam 1.30 pagi.


Menurutnya, susulan penularan video berkenaan, sepasukan anggota polis digerakkan ke lokasi pada jam 1.45 pagi bagi menjalankan pemeriksaan.


Bagaimanapun, ketika polis tiba, kumpulan lelaki terbabit sudah beredar dan hanya kesan pembakaran mercun ditemukan di lokasi kejadian.


Beliau berkata, polis kini giat mengesan semua individu yang dipercayai terbabit bagi membantu siasatan, selain mengenal pasti keadaan sebenar kejadian.


Kes disiasat mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana perbuatan gopoh atau cuai berkaitan bahan letupan sehingga membahayakan nyawa atau berkemungkinan menyebabkan kecederaan kepada orang lain.


Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana perbuatan memberhentikan atau membiarkan kenderaan berada di jalan raya sehingga menyebabkan bahaya, halangan atau kesusahan tidak berpatutan kepada pengguna lain.


Azrol berkata, polis memandang serius perbuatan sedemikian dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang boleh mengancam keselamatan orang awam.


Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di talian 07-5563122 bagi membantu siasatan.

Pintu bilik dibuka selepas 5 minit diketuk, duda dan wanita bujang dicekup berduaan

Pintu bilik dibuka selepas 5 minit diketuk, duda dan wanita bujang dicekup berduaan

Gambar Ilustrasi

KULAI - Cubaan seorang lelaki berstatus duda menyembunyikan kehadiran seorang wanita di dalam bilik rumah sewa terbongkar apabila mereka ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam operasi khalwat di Senai, awal pagi semalam.

Serbuan kira-kira jam 1.10 pagi itu dilakukan susulan maklumat dan aduan penduduk setempat yang mengesyaki berlaku perbuatan tidak bermoral di rumah berkenaan.


Menurut JAINJ, ketika anggota penguat kuasa tiba, pintu utama rumah didapati tertutup rapat tetapi tidak berkunci.


Pemeriksaan kemudian diteruskan dengan mengetuk salah satu pintu bilik. Bagaimanapun, selepas kira-kira lima minit menunggu, barulah seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an membuka pintu dalam keadaan tidak berbaju dan hanya berseluar pendek.


Lebih mengejutkan, pemeriksaan di dalam bilik itu menemukan seorang wanita berusia lingkungan 20-an dari negara jiran sedang berbaring di atas katil dalam keadaan berselimut.


Lelaki berkenaan pada mulanya cuba meyakinkan anggota penguat kuasa bahawa mereka tidak melakukan sebarang kesalahan. Namun, dia gagal mengemukakan dokumen perkahwinan yang sah sebelum akhirnya mengakui hanya bertemu untuk berdua-duaan di dalam bilik tersebut.


Siasatan awal mendapati lelaki itu bekerja di Kulai, manakala wanita berkenaan yang masih bujang bekerja di Senai.


Kedua-duanya ditahan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor berkaitan kesalahan berkhalwat.


JAINJ turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi undang-undang syariah dan tidak melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan syak serta aduan masyarakat.

Sabtu, 7 November 2026

114 warga asing dicekup dalam serbuan dua premis hiburan di Bukit Mertajam

114 warga asing dicekup dalam serbuan dua premis hiburan di Bukit Mertajam


BUKIT MERTAJAM - Seramai 114 warga asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di dua premis hiburan sekitar Bukit Mertajam, Pulau Pinang.


Operasi hasil kerjasama JIM Ibu Pejabat dan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Pulau Pinang (JIMPP) itu dijalankan di dua lokasi berasingan, iaitu di Jalan Keranji, Taman Mutiara dan Jalan Kulim, Taman Machang Bubok.


Di lokasi pertama, seramai 64 individu ditahan, terdiri daripada 44 wanita warga Thailand, 14 wanita warga Laos, dua lelaki warga Myanmar, seorang lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki warga Nepal serta dua wanita transgender warga Laos.


Sementara itu, pemeriksaan di lokasi kedua membawa kepada penahanan 50 individu, membabitkan 29 wanita warga Thailand, 14 wanita warga Laos, seorang wanita warga Vietnam dan enam lelaki warga Myanmar.



Secara keseluruhan, warga Thailand mencatat jumlah tangkapan tertinggi iaitu 73 orang, diikuti warga Laos seramai 30 orang, Myanmar lapan orang, Bangladesh dan Nepal masing-masing seorang serta seorang warga Vietnam.


JIMPP dalam kenyataannya memaklumkan operasi bersepadu itu mencerminkan komitmen jabatan dalam memperkukuh penguatkuasaan melalui kerjasama strategik, perkongsian kepakaran dan tindakan menyeluruh.


Jabatan itu turut menegaskan akan meneruskan operasi serta pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen, selain menjaga kedaulatan dan keselamatan negara. - Sumber JIM Pulau Pinang.



Perselisihan faham berakhir dengan pergaduhan, dua lelaki didenda RM1,000

Perselisihan faham berakhir dengan pergaduhan, dua lelaki didenda RM1,000

Gambar Ilustrasi

KUCHING - Dua lelaki masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah melakukan gaduh gempar di tempat awam sehingga mengganggu ketenteraman awam, minggu lalu.


Majistret Ling Hui Chuan turut memerintahkan kedua-duanya dipenjara selama dua minggu sekiranya gagal membayar denda berkenaan.


Tertuduh, Azizol Abu Bakar, 35, dan Shahziman Pathi, 42, didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 2 petang pada 30 Oktober 2026 di KTLD, Jalan Merbau, Pending Industrial Estate.


Berdasarkan fakta kes, polis menerima maklumat orang awam mengenai pergaduhan itu sebelum mendapati Azizol dihantar ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan luka panjang di belakang badan.


Azizol pada awalnya mendakwa dia diserang Shahziman menggunakan senjata tajam ketika berada di sebuah kedai, namun tidak mengetahui punca kejadian dan enggan membuat laporan polis.


Siasatan lanjut mendapati kedua-dua lelaki itu mempunyai perselisihan faham sejak sekian lama, malah pernah beberapa kali bergaduh sebelum saling memprovokasi dan bersetuju untuk bertemu bagi menyelesaikan masalah mereka.


Bagaimanapun, pertemuan tersebut berakhir dengan pergaduhan di tempat awam sehingga mengganggu ketenteraman orang ramai.


Kedua-duanya ditahan pada hari kejadian dan didakwa mengikut Seksyen 159 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 160 kanun sama.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Aqila Morsalin, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Anggota polis bebas tuduhan ambil dadah sembilan tahun lalu

Anggota polis bebas tuduhan ambil dadah sembilan tahun lalu


KUCHING - Seorang anggota polis berpangkat lans koperal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin lalu daripada pertuduhan mengambil dadah jenis MDMA pada 2017.


Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes terhadap tertuduh, Muhamad Mustaqim Che Ismail, melampaui keraguan munasabah.


Mahkamah turut mengambil kira beberapa kelemahan dalam proses pengambilan, pengendalian dan pengenalpastian sampel air kencing sebelum ia dianalisis oleh ahli kimia.


Ketika menyampaikan keputusan, Nursyaheeqa berkata, beliau meneliti keterangan pihak pendakwaan pada akhir kes serta mempertimbangkan hujahan Timbalan Pendakwa Raya dan pihak pembelaan.


Sehubungan itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan mengikut Seksyen 173(f)(ii) Kanun Tatacara Jenayah, berdasarkan prinsip yang ditetapkan Mahkamah Persekutuan dalam kes Public Prosecutor lwn Mohd Radzi Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457.


Mengikut pertuduhan, Muhamad Mustaqim didakwa mengambil dadah berbahaya jenis 3,4-methylenedioxymethamphetamine (MDMA) pada jam 2.05 petang, 9 Ogos 2017, di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.


Pihak pendakwaan menutup kes pada 21 Julai 2026 selepas memanggil empat saksi untuk memberikan keterangan. Muhamad Mustaqim diwakili peguam Osman Ibrahim dan pelatih dalam kamar, Then Mei In.

9,920 peranti vape dirampas di Kota Bharu, pemandu lori lelaki 38 tahun ditahan

9,920 peranti vape dirampas di Kota Bharu, pemandu lori lelaki 38 tahun ditahan


KOTA BHARU - Cubaan menyeludup 9,920 peranti vape pelbagai jenis dan jenama bernilai RM793,600 terbongkar apabila sebuah lori yang membawa barangan itu ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jalan Sultanah Zainab, di sini, awal pagi semalam.


Dalam operasi kira-kira jam 6.30 pagi itu, seorang pemandu lori berusia 38 tahun turut ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan barangan berkenaan.


Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, operasi menerusi Op Taring Wawasan Kelantan itu dilaksanakan anggota Strike Force Kompeni B Batalion 7 PGA Kuantan dengan bantuan anggota Risik Batalion 7.


Menurutnya, pasukan operasi terlebih dahulu mengekori sebelum menahan sebuah lori Isuzu berwarna putih di tepi jalan berkenaan hasil maklumat awal.


Pemeriksaan di bahagian belakang lori menemukan beberapa kotak berwarna coklat yang mengandungi ribuan peranti vape.


Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk sebuah lori dianggarkan RM943,600.


"Siasatan awal mendapati lelaki itu menerima upah RM280 untuk membawa peranti vape berkenaan dari Kuala Lumpur sebelum barangan itu diterima di Kota Bharu.


"Peranti vape itu dipercayai akan dihantar ke Kampung Telaga Bata, Tumpat sebelum diseludup ke negara jiran, Thailand," katanya dalam kenyataan semalam.


Pemandu bersama semua rampasan kemudian diserahkan kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu untuk tindakan lanjut.


Kes disiasat mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja MPKB 1896 (Pindaan) 2000, UUK 3, berkaitan kesalahan menjalankan aktiviti menjaja tanpa lesen sah.

Jumaat, 6 November 2026

Warden sekolah berdepan dua pertuduhan amang seksual murid, mengaku tidak bersalah

Warden sekolah berdepan dua pertuduhan amang seksual murid, mengaku tidak bersalah


KOTA BHARU - Seorang guru yang bertugas sebagai warden asrama sebuah sekolah rendah di Dabong, Kuala Krai, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki berusia 11 tahun, tahun lalu.


Tertuduh, Mohd Faiz Rohizat, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.


Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di dalam bilik warden asrama sekolah berkenaan kira-kira jam 1 tengah hari pada April 2025.


Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama terhadap mangsa di lokasi yang sama kira-kira jam 4 petang pada September 2025.


Pertuduhan pertama dikemukakan mengikut Seksyen 14(b), manakala pertuduhan kedua mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.


Kedua-dua peruntukan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin, manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Fathma Nuraimi Mohamad.


Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan dengan mengambil kira keseriusan kesalahan yang dihadapi tertuduh.


Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon mahkamah membenarkan jaminan atas alasan anak guamnya merupakan penjawat awam, selain mempunyai isteri dan seorang anak berusia tiga tahun yang perlu ditanggung.


Peguam turut memaklumkan tertuduh mempunyai alamat kediaman tetap di Bachok dan tidak berisiko melarikan diri.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan beberapa syarat tambahan.


Antaranya, tertuduh perlu mengemukakan alamat kediaman tetap, tidak mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan, melapor diri di balai polis berhampiran setiap dua bulan sekali serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.


Mahkamah menetapkan 23 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Tawar khidmat seks pada polis menyamar, wanita warga China dipenjara 5 bulan, denda RM4,000

Tawar khidmat seks pada polis menyamar, wanita warga China dipenjara 5 bulan, denda RM4,000


TAWAU - Seorang wanita warga China yang menawarkan khidmat seks dengan bayaran RM700 kepada seorang lelaki, akhirnya menerima padah apabila lelaki terbabit rupa-rupanya anggota polis yang menyamar sebagai pelanggan.


Wanita berkenaan, Zhang Hong, 31, dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menawarkan perkhidmatan seks.


Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.


Mahkamah menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapannya pada 4 November lalu.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati mencari langganan bagi maksud persundalan dengan menawarkan khidmat seks kepada seorang anggota polis pada jam 10.05 malam, Rabu lalu, di sebuah pusat terapi di daerah ini.


Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Ketika merayu hukuman diringankan, tertuduh memaklumkan dia sudah bercerai dan mempunyai seorang anak perempuan berusia sembilan tahun yang kini dijaga neneknya.


Bagaimanapun, pihak pendakwaan yang dikendalikan Asisten Superintendan Jeffrey Kadisun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh.


Pendakwaan turut memohon wang tunai RM700 yang dirampas dilucut hak kepada kerajaan, selain barang kes dilupuskan dan tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia selepas selesai menjalani hukuman.


Mahkamah membenarkan permohonan berkenaan termasuk memerintahkan wang tunai RM700 dilucut hak kepada kerajaan melalui Perbendaharaan.


Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan dalam serbuan di sebuah premis terapi selepas anggota polis yang menyamar sebagai pelanggan ditawarkan perkhidmatan seks dengan bayaran RM700.

Gaji pekerja lelaki Pakistan tanpa permit, doktor didenda RM10,000

Gaji pekerja lelaki Pakistan tanpa permit, doktor didenda RM10,000


JOHOR BAHRU - Seorang doktor poliklinik swasta didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menggaji pekerja warga Pakistan tanpa permit kerja yang sah, bulan lalu.


Tertuduh, N Vigneswaran, 44, turut berdepan hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Bagaimanapun, beliau menjelaskan denda itu.


Hukuman dijatuhkan Majistret Atifah Hazimah Wahab selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggaji Adnan Khan, 34, warga Pakistan tanpa permit kerja sah di sebuah klinik di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram, kira-kira jam 1.44 pagi, 18 Oktober lalu.


Dalam prosiding berasingan, Adnan turut didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah tinggal lebih masa di negara ini mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.


Bagaimanapun, lelaki itu gagal membayar denda dan diperintahkan menjalani hukuman di Penjara Kluang.


Berdasarkan fakta kes, Adnan ditahan dalam satu operasi bersama polis dan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) ketika sedang memberikan konsultasi kepada pesakit di klinik berkenaan.


Ketika pemeriksaan, lelaki itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sebelum semakan dengan Jabatan Imigresen mengesahkan dia tidak mempunyai permit kerja yang sah.