Jumaat, 9 Oktober 2026

Warga asing sewa motosikal orang tempatan RM200 sebulan

Warga asing sewa motosikal orang tempatan RM200 sebulan


Segelintir pemilik motosikal tempatan dipercayai menyewakan kenderaan mereka kepada warga asing pada kadar RM200 sebulan bagi memudahkan golongan itu berulang-alik ke tempat kerja.


Perkara itu didedahkan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Zulkifly Ismail menerusi Ops Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) yang dijalankan di sekitar Georgetown bermula pukul 5 hingga 10 pagi tadi.


Menurutnya, dalam operasi tersebut sebanyak 694 kenderaan yang digunakan warga asing terdiri Myanmar, Bangladesh, India dan Indonesia telah diperiksa dan 74 daripadanya telah disita.


"Kesalahan paling banyak dikesan ialah memandu tanpa lesen yang sah dengan 158 tindakan, diikuti 50 kesalahan melibatkan lesen kenderaan motor yang tamat tempoh.


"Daripada pemeriksaan yang dijalankan, ada kenderaan milik warga asing sendiri dan ada juga yang dimiliki warga tempatan sebelum disewakan kepada warga asing pada kadar kira-kira RM200 sebulan," katanya pada sidang akhbar di JPJ Batu Uban, hari ini.


Dalam pada itu, katanya lagi, pihaknya turut mengesan seorang warga asing yang membeli motosikal menggunakan nama sendiri walaupun tidak mempunyai lesen memandu.


"Penunggang motosikal terbabit merupakan warga Bangladesh berusia dalam lingkungan 30-an dan dia baru tiga hari membeli motosikal secara ansurans dari kedai," katanya rata-rata warga asing yang ditahan dalam operasi itu terdiri daripada pekerja kontrak dan kilang.


Katanya lagi, kebanyakkan warga asing memberi alasan yang mereka memerlukan motosikal untuk berulang-alik ke tempat kerja.


"Keperluan tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk melanggar undang-undang jalan raya," tambahnya tindakan menyita kenderaan dilaksanakan mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

pegawai, anggota polis dituduh semula, tidak mengaku ambil dadah

pegawai, anggota polis dituduh semula, tidak mengaku ambil dadah


Seorang pegawai dan 11 anggota polis dituduh semula di Mahkamah Majistret Sungai Petani, semalam atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan, dua tahun lalu.


Tertuduh ialah Muhammad Shabri Salamat, 32, Syamsul Ismail, 29, S. Sarvindran, 30, Mohammad Muizzuddin Mohamad Taib, 31;, Khairol Nizam Mohamad, 36, Mohd. Arami Aluwi, 36, dan Muhammad Azri Zakariya, 37.


Lima lagi ialah G. Selva Kumar, 38, Wan Muneer Abdullah, 38, Muhammad Hazri Ramle, 42, Mohd Fazly Long, 47, dan Mohd Khairi Zakaria, 57.


Mereka yang berpangkat inspektor, sarjan, koperal dan lans koperal bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di dua mahkamah berasingan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman dan Noor Fazlina Musa.


Mereka dituduh semula semalam setelah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bagi pertuduhan tersebut di Mahkamah Majistret Sungai Petani pada April lalu.


Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan tanpa kebenaran memasukkan dadah jenis ketamin dan methylenedioxymethamphetamine (MDMA) ke dalam badan di sebuah premis di Aman Square, Sungai Petani antara pukul 4.20 pagi hingga 7.23 pagi, 2 Oktober 2024.


Pendakwaan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000, jika sabit kesalahan.


Sementara itu, ketika prosiding di hadapan Majistret Noor Fazlina, peguam, Datuk Suhaimi Ibrahim yang mewakili lapan tertuduh memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya dituduh semula selepas kes tersebut diputuskan sebagai DNAA pada peringkat setelah dua saksi memberi keterangan dengan perbicaraan dijalankan secara serentak.


Seterusnya, Timbalan Pendakwa Raya, Adlin Sufiya Kamaruzzaman menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.


Suhaimi kemudian memohon jaminan dikurangkan memandangkan semua anak guamnya kini digantung tugas sehingga kes selesai.


Peguam, Suhaimi dan Mohd Khairul Fairuz Rahman mewakili lapan tertuduh, manakala peguam, Burhanudeen Abdul Wahid mewakili empat tertuduh.


Majistret di kedua-dua mahkamah membenarkan jaminan antara RM1,800 hingga RM2,000 kepada setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 November sebagai tarikh pengurusan kes.


Media pada 3 Oktober 2024 melaporkan Polis Diraja Malaysia menggantung tugas 12 pegawai dan anggota polis yang positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Sungai Petani pada 2 Oktober.


Ketua Polis Negara ketika itu iaitu Tan Sri Razarudin Hussein berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota yang terbabit kes jenayah dan masalah disiplin.

'Saya mohon maaf cemarkan nama baik Yusof Haslam' - Tisha Shamshir

'Saya mohon maaf cemarkan nama baik Yusof Haslam' - Tisha Shamshir


Pelakon Gerak Khas 2.0, Tisha Shamshir memohon maaf kepada penerbit, Datuk Yusof Haslam susulan kes dadah membabitkan dirinya yang menjejaskan kredibiliti pengarah terkenal itu.


Tisha atau nama sebenarnya, Shanorbiah Shamsir Alam, 40, berkata permohonan maaf serupa juga ditujukan kepada ahli keluarganya berikutan kes yang kini masih dibicarakan di mahkamah.


"Saya ingin memohon maaf kerana saya sedar perkara ini sedikit sebanyak telah mencemarkan nama baik majikan saya, Datuk Yusof Haslam. Saya juga ingin meminta maaf kepada keluarga saya. Saya doakan yang terbaik sahaja.


"Apa pun, ujian daripada Allah itu memang hebat, memang berat. Saya terima dengan hati terbuka dan harap saya kuatlah," kata Tisha selepas sebutan semula kesnya di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, semalam.


Begitupun, pelakon juga penyanyi enggan mengulas lanjut mengenai prosiding berkenaan selain hanya meminta ruang untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.


"Saya tidak mahu memberikan apa-apa kenyataan. Maaf, saya minta maaf. Saya cuma nak menjalani kehidupan seperti biasa," ujarnya.


Pada masa sama, Tisha meminta netizen agar tidak terburu-buru menghukum seseorang tanpa mengetahui perkara sebenar.


"Apa yang boleh saya katakan di sini, kita semua manusia biasa. Kita tidak terlepas daripada melakukan kesalahan atau kekhilafan. Saya minta netizen di luar sana janganlah terlalu cepat untuk menghukum seseorang," katanya.


Ditanya mengenai kesan kontroversi tersebut terhadap kerjayanya, Tisha mengakui perkara itu sedikit sebanyak memberi impak terhadap perjalanan profesional sebagai pelakon.


"Sedikit sebanyak memang ada," katanya.


Semalam, pelakon itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 8.10 pagi berbaju kebaya moden serba biru, berkaca mata hitam dan diiringi pengawal peribadi. Hasil prosiding, mahkamah menetapkan 10 November depan untuk sebutan semula kes.


Pada 7 Julai lalu, pelakon drama bersiri Gerak Khas 2.0 itu ditahan bersama beberapa individu lain di sebuah bilik VIP di sebuah pusat hiburan di ibu negara dan didapati positif dadah jenis methamphetamine.


Serbuan menerusi Op Noda itu dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan kerjasama IPD Dang Wangi pada pukul 3.15 pagi.


Susulan itu, tertuduh, Tisha mengaku tidak bersalah ketika perbicaraan kes di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pada 10 Julai lalu dan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ainna Maryam Norazman mencadangkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin warganegara.


Tisha yang diwakili peguam bela, Nik Azhar Nik Adib memohon jumlah jaminan rendah dengan mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan semalam sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tiga beranak maut: Exora rempuh belakang lori yang berhenti di bahu kiri jalan - Polis

Tiga beranak maut: Exora rempuh belakang lori yang berhenti di bahu kiri jalan - Polis


Polis mengesahkan kemalangan maut membabitkan tiga beranak di Bukit Talang, Jalan Raja Musa, Kuala Selangor pada Khamis berlaku selepas Proton Exora dipandu seorang wanita merempuh belakang sebuah lori yang berhenti di bahu kiri jalan kerana tayar pecah.


Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan kira-kira jam 1.30 tengah hari itu berlaku ketika Proton Exora itu dalam perjalanan dari arah Bestari Jaya menghala ke Tanjong Karang.


"Akibat kemalangan itu, tiga mangsa daripada Proton Exora iaitu pemandu wanita berusia 44 tahun, penumpang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


"Seorang lagi penumpang Proton Exora mengalami kecederaan dan kesemua mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang," katanya dalam kenyataan, semalam.


Azaharudin berkata, polis menerima maklumat mengenai kemalangan maut itu kira-kira jam 2.39 petang.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh Pegawai Penyiasat, Inspektor Norzalikha Ghazali.


"Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Selangor atau mana-mana balai polis berhampiran.


"Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu atau menunggang kenderaan serta mematuhi peraturan jalan raya," tambah beliau.

Khamis, 8 Oktober 2026

'Saya bos dia', majikan warga Bangladesh tidak puas hati pekerja ditahan JPJ

'Saya bos dia', majikan warga Bangladesh tidak puas hati pekerja ditahan JPJ


Tindakan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan operasi membanteras kesalahan jalan raya membabitkan warga asing di sekitar ibu negara bertukar tegang apabila berdepan provokasi ketika pemeriksaan dilakukan.


Insiden itu berlaku semasa Operasi Pemandu Warga Asing (Pewa) yang dijalankan JPJ Kuala Lumpur termasuk Unit FALCON bermula jam 9 pagi.


Semasa beberapa warga asing dikumpulkan di satu kawasan sekitar Sentul bagi pemeriksaan, datang seorang lelaki dipercayai warga Bangladesh bersama wanita tempatan yang mengaku sebagai majikan kepada pekerjanya yang ditahan.


"Saya bos dia. Dia ada permit, saya mahu ambil kereta dia bawa tadi. Dia cuma bawa sekejap mahu pergi 'car wash' saja. Sekejap saja," katanya yang tidak berpuas hati selepas pekerjanya warga Bangladesh ditahan ketika memandu Toyota Unser.


Bagaimanapun, majikan terbabit terdiam selepas anggota operasi memaklumkan pekerjanya tiada lesen memandu sebelum beredar dengan rasa tidak berpuas hati.


Operasi dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur itu mengesan pelbagai kesalahan lalu lintas terutamanya tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.


Tinjauan media mendapati ada antara warga asing ditahan memandu lori Roll On Roll Off (roro) selain motosikal yang membawa muatan seperti tong gas.


Bahkan ketika operasi ada antara penunggang motosikal warga asing ini berpura-pura pengsan kononnya mahu elak ditahan.


Ada antara penunggang terbabit dikenakan saman antara lima hingga tujuh saman atas pelbagai kesalahan.


Seorang lelaki warga India yang ditahan berkata, dia bekerja di kedai runcit dan diupah RM60 sehari bagi membuat penghantaran tong gas.


"Saya tahu salah tiada lesen, pasport pula ada pada bos. Bos bayar RM60 sehari, setiap trip ada komisen RM2 macam itu," kata penunggang motosikal Honda EX5 itu.


Sementara itu, Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, 47 kenderaan disita membabitkan motosikal, kereta dan kenderaan barangan selain 273 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan.


"Keseluruhan yang ditahan membabitkan pemandu, pembonceng serta kelindan ialah seramai 58 orang antaranya membabitkan warga Myanmar, Kemboja, India, Pakistan, Bangladesh serta Indonesia.


"Semua kenderaan yang terlibat akan disita dan kes akan dibawa ke mahkamah sehingga selesai," katanya.


Tegasnya, JPJ turut memberi jaminan akan terus memperhebat operasi pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta membanteras penyalahgunaan kenderaan untuk tujuan komersial yang melanggar undang-undang.

Tonto didakwa berikan suapan RM62,900 kepada tiga polis trafik

Tonto didakwa berikan suapan RM62,900 kepada tiga polis trafik


Seorang lelaki dipercayai tonto dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini, atas 55 pertuduhan memberi suapan berjumlah keseluruhan RM62,900 kepada tiga anggota polis trafik antara 2022 hingga awal tahun ini.


Tertuduh, Ang Lie Giap, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.


Mengikut pertuduhan, Lie Giap didakwa secara rasuah memberikan suapan iaitu wang berjumlah antara RM700 hingga RM2,000 kepada tiga anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan Pejabat Peronda Lebuhraya (EMPV) KESAS.


Ia sebagai dorongan tidak melakukan pemeriksaan ke atas lori semasa sekatan jalan raya.


Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara Januari 2022 hingga Februari 2026 di beberapa cawangan bank di Klang dan Shah Alam.


Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.


Sabit kesalahan, boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan didenda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi.


Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa' Zamri manakala tertuduh diwakili peguam K Theivaendran.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM15,000 dengan seorang penjamin, melaporkan diri ke Pejabat SPRM serta tidak mengganggu saksi kes.

Terputus hubungan sejak September, ibu terkejut mayat anak ditemui dalam semak

Terputus hubungan sejak September, ibu terkejut mayat anak ditemui dalam semak


Mayat remaja lelaki dipercayai mangsa bunuh dengan kesan cedera di muka dan kepala ditemui di semak berhampiran Jalan Harvard di Gurun, Sungai Petani, hari ini.


Mayat Muhammad Haikal Mohd Shahrilnizam, 18, ditemui lengkap berpakaian sukan hitam dan kuning oleh orang awam jam 8 pagi tadi.


Ibu mangsa, Azura Zor, 41, berkata, dia terkejut apabila anggota polis datang ke rumahnya di Guar Chempedak dan menunjukkan gambar mayat lelaki untuk pengecaman.


Pada mulanya dia menyangka polis datang ke rumah untuk menahan anak sulungnya itu.


"Saya tak tahu anak saya itu tinggal di mana. Saya pernah cuba menghubunginya atau menghantar kiriman WhatsApp namun tiada jawapan.


"Kami cuba mencarinya namun tidak jumpa sehinggalah polis datang memaklumkan perkara itu.


"Polis beritahu anak saya ditemui terbaring di tepi jalan di lokasi kejadian pagi tadi," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, hari ini.


Menurutnya, hubungan dia dengan anaknya itu tiada sebarang masalah dan arwah pernah berkerja di kedai roti canai di Guar Chempedak.


"Namun kami terputus hubungan selepas anak keluar dari rumah sejak bulan lalu," katanya.


Menurutnya, suami, Mohd Shahrilnizam Che Sharif, 41, pernah menerima mesej WhatsApp daripada seseorang yang meminta wang sebanyak RM200.


"Mesej itu berkemungkinan dihantar kenalan anak saya itu. Namun kami tidak mengetahui tujuan permintaan itu.


"Arwah memang tiada masalah dengan kami malah dia suka bergurau dengan adik-adiknya. Kalau betul anak saya dibunuh, saya harap tindakan setimpal dikenakan terhadap pelakunya," katanya.


Terdahulu, jenazah Muhammad Haikal dibawa keluar dari Jabatan Forensik HSB sejurus selesai urusan bedah siasat sekitar jam 5.45 petang.


Jenazah dijangka dikebumikan selepas solat Isyak malam ini di Tanah Perkuburan Islam di Guar Chempedak.


Sementara itu, adik lelaki kedua mangsa yang masih berpakaian sekolah tidak dapat menahan sebak hingga terpaksa ditenangkan ahli keluarga sebaik melihat jenazah abangnya di bilik mayat.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, satu sidang media akan diadakan Ahad ini oleh Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berhubung kejadian itu.

Guru dituduh lakukan jenayah seksual terhadap tiga pelajar lelaki

Guru dituduh lakukan jenayah seksual terhadap tiga pelajar lelaki


Guru lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan persetubuhan luar tabii terhadap tiga pelajar lelaki berusia 17 tahun.


Tertuduh, Mohd Shafie Mohamad, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.


Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dan persetubuhan luar tabii terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun lapan bulan.


Perbuatan itu dilakukan di sebuah hotel di Kota Bharu dan di dalam bilik tidur sebuah rumah di Kampung Tok Berlian, Bachok pada Jun tahun lalu, April dan 17 September lalu.


Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun enam bulan di sebuah rumah di Kampung Tok Berlian, Bachok pada pertengahan Ogos lalu.


Bagi pertuduhan kelima, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 17 tahun lima bulan di rumah sama jam 6 petang pada 26 Ogos lalu.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika disabitkan kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Arina Razali, manakala Mohd Shafie diwakili peguam, Nurul Samhana Aidenan.


Terdahulu, Siti Arina tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan berkenaan disifatkan sangat serius.


Nurul Samhana bagaimanapun memohon jaminan dengan alasan tertuduh menghidap penyakit kencing manis kronik yang memerlukan suntikan insulin tiga kali sehari dan darah tinggi.


"Tertuduh seorang penjawat awam dan mempunyai seorang isteri yang juga seorang guru namun masih belum dikurniakan cahaya mata.


"Sebagai penjawat awam, saya percaya tertuduh akan memberi komitmen terhadap kes ini dan memohon ikat jamin yang minimum untuk kelima-lima pertuduhan itu," katanya.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM23,000 dengan seorang penjamin untuk kelima-lima pertuduhan termasuk syarat tambahan iaitu perlu mengemukakan alamat tempat tinggal tetap, tidak menganggu saksi pendakwaan dan mangsa selain melaporkan diri di balai polis berdekatan dua bulan sekali.


Mahkamah menetapkan 10 November depan untuk sebutan semula kes.

Kerajaan Indonesia disaman, didakwa cuai akibatkan jerebu

Kerajaan Indonesia disaman, didakwa cuai akibatkan jerebu


Kerajaan Indonesia dituduh melakukan ‘kecuaian besar’ berhubung jerebu beracun akibat kebakaran hutan yang menyelubungi sebahagian Pulau Borneo dalam kes mahkamah yang bermula di Pontianak, Kalimantan Barat, Rabu lalu.


Empat plaintif, termasuk cawangan tempatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Orang Asal AMAN, memfailkan saman tindakan kelas itu bulan lalu di sebuah mahkamah di Pontianak, dengan Presiden, Prabowo Subianto dan Gabenor Kalimantan Barat antara 10 defendan.


Wilayah itu terjejas teruk akibat kebakaran dan asap yang menyebabkan sekolah ditutup, selain memaksa ratusan orang mendapatkan rawatan perubatan akibat masalah berkaitan pernafasan.


Peguam plaintif, Glorio Sanen berkata, selepas pendengaran pertama, kes itu adalah satu langkah untuk menangani masalah kebakaran tahunan yang sebahagian besarnya dipersalahkan terhadap kemusnahan hutan dan didorong tahun ini oleh episod fenomena cuaca El Nino yang sangat kuat sehingga menyebabkan kemarau.


Indonesia selama beberapa minggu bergelut untuk mengawal kebakaran yang memusnahkan kawasan luas di Sumatera, Papua dan Borneo, menyebabkan jerebu tebal sehingga sampai ke Malaysia dan Singapura.


Menurut wartawan AFP yang berada di mahkamah, tiada seorang pun defendan hadir pada pendengaran itu.


Dalam pada itu, Glorio berkata, pihaknya sedih dan kesal dengan ketidakhadiran mereka, namun memahami keadaan jerebu itu mungkin menyebabkan mereka tidak dapat mendarat di Pontianak.


Ratusan penerbangan turut terjejas akibat asap berbau busuk berkenaan.


Sementara itu, menurut dokumen mahkamah yang dilihat AFP, plaintif menuduh kerajaan melakukan ‘kecuaian besar’ kerana gagal menangani masalah yang berulang setiap tahun itu.


Mereka mahu kerajaan mengisytiharkan keadaan itu sebagai bencana nasional bagi membolehkan langkah pemulihan dan rehabilitasi secara menyeluruh dilaksanakan, termasuk menanggung kos penjagaan kesihatan penduduk yang terjejas.


Difahamkan juga, saman serupa yang difailkan tahun lalu di sebuah mahkamah di Sumatera Selatan sebelum ini ditolak.

Pertandingan siapa mampu tidur paling nyenyak tawar hadiah lebih RM51,000

Pertandingan siapa mampu tidur paling nyenyak tawar hadiah lebih RM51,000


Ketika Jepun sering dikaitkan dengan masalah kurang tidur, puluhan peserta menyertai pertandingan unik yang menguji siapa mampu melelapkan mata paling cepat dan tidur paling nyenyak.


Pertandingan dikenali sebagai Matt Race itu dianjurkan syarikat tilam, Koala Sleep Japan di Tokyo pada Isnin dengan hadiah utama bernilai lebih dua juta yen (RM51,630).


Dalam acara berkenaan, peserta dilengkapi alat pengesan tidur sebelum berbaring di atas tilam untuk tidur sehingga maksimum 90 minit.


Pemenang ditentukan berdasarkan dua kriteria utama, iaitu seberapa cepat peserta berjaya tertidur dan sejauh mana mereka dapat mencapai tidur yang nyenyak.


Suasana pertandingan turut direka bagi membantu peserta berehat dengan pencahayaan malap, manakala alat pemantauan dipasang pada kepala mereka bagi merekod corak tidur.


Sebahagian peserta turut membawa patung permainan ke atas tilam bagi membantu mereka lebih selesa ketika cuba melelapkan mata.


Pengarah Kreatif Koala Sleep Japan, Riichiro Nakama berkata, acara itu dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mendapatkan tidur mencukupi.


"Jepun sering digambarkan sebagai negara yang mengalami kekurangan tidur dan masyarakat di sini memang sangat rajin.


"Dengan menjadikannya satu acara seperti ini, kami berharap orang ramai dapat tidur bersama-sama dan pada masa sama meningkatkan minat terhadap isu tidur," katanya.