Isnin, 19 Januari 2026

Pegawai kanan imigresen didakwa terima rasuah RM140,000 lepas kemasukan 56 warga Bangladesh

Pegawai kanan imigresen didakwa terima rasuah RM140,000 lepas kemasukan 56 warga Bangladesh


Seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM140,000 antara 3 hingga 15 Mei 2025.


Mastura Aziz, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.


Wanita itu didakwa menerima suapan wang masing-masing RM12,500, RM47,500, RM52,500 dan RM27,500 daripada seorang lelaki warga asing di empat lokasi dan tarikh berasingan pada Mei 2025.


Wang itu didakwa sebagai upah tertuduh yang ketika itu selaku Timbalan Penolong Pengarah Imigresen di Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal Satu, melepaskan kemasukan 56 warga Bangladesh ke Malaysia tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan JIM.


Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah pusat beli belah di Sepang; Pusat Penjaja Kota Warisan Bandar di Bandar Baru Salak Tinggi dan sebuah stesen minyak di Persiaran Warisan Maju masing-masing pada 3, 7, 11 dan 15 Mei 2025.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.


Kesalahan itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Irna Julieza Maaras menawarkan jaminan RM50,000, selain wanita itu perlu dikenakan syarat tambahan.


Bagaimanapun peguam Datuk Geethan Ram Vincent memohon supaya jaminan dikurangkan kepada RM10,000 dengan mengambil kira anak guamnya tidak pernah gagal untuk hadir, setiap kali dipanggil memberi keterangan dan sedia memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan mahkamah.


Mohd Nasir kemudiannya menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan wanita itu perlu melapor diri ke pejabat SPRM terdekat sebulan sekali serta menetapkan 25 Feb untuk sebutan semula kes.

Ahad, 18 Januari 2026

PRK Kinabatangan: Keutamaan saya tangani kos sara hidup, perkukuh ekonomi masyarakat - Naim Moktar

PRK Kinabatangan: Keutamaan saya tangani kos sara hidup, perkukuh ekonomi masyarakat - Naim Moktar


Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Kurniawan Naim Moktar akan memberi tumpuan terhadap kempen berskala besar pada minggu kedua berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan.


Beliau yang lebih mesra dipanggil Naim berkata, kempen minggu pertama berjalan lancar dan lawatan sudah dilakukan ke semua 19 Pusat Daerah Mengundi (PDM) meskipun berdepan pelbagai cabaran geografi yang mencabar.


Katanya, sepanjang minggu pertama berkempen, pihaknya memberi tumpuan terhadap usaha mengenal pasti permasalahan rakyat secara langsung ketika turun padang untuk menyantuni rakyat.


"Kinabatangan ini unik. Terpaksa membadai lautan, merentasi sungai dan juga hutan untuk sampai ke PDM. Alhamdulilah, setakat hari ini hampir semua PDM saya pergi dan lawat, insya-Allah ada perkembangan positif.


"Pada minggu pertama saya beriltizam untuk mengetahui permasalahan agar kerja dapat dijalankan dengan baik. Saya lihat dengan mata saya sendiri untuk memastikan permasalahan dapat didengari, difahami dan juga dirasai," katanya pada Program Malam Galau di Dataran Kinabatangan malam tadi.


Mohd Kurniawan mengakui cabaran besar yang dihadapi penduduk luar bandar termasuk laluan jalan raya yang teruk, ketiadaan pengangkutan darat sehingga terpaksa bergantung dengan bot serta kekurangan akses kepada perkhidmatan kesihatan.


Katanya, ada antara kawasan yang terlalu sukar dilalui sehingga memberi kesan besar terhadap keselamatan dan kesejahteraan penduduk.


"Kesukaran itu jelas terlihat apabila saya masuk ke kampung. Apatah lagi bagi mereka yang tinggal di situ dan menjadi laluan utama mereka.


"Kalau saya boleh gambarkan sehingga ada yang meninggal dalam kereta oleh kerana laluan jalan raya yang begitu teruk, tiada akses kesihatan di kampung terpencil dan itu sudah pasti menyedihkan dan menyentuh hati," katanya.


Mengulas mengenai manifesto, Mohd Kurniawan berkata, setakat ini 10 intipati utama sudah dirangka dan jumlah itu berkemungkinan bertambah selepas lawatannya ke setiap PDM selesai.


Katanya, antara fokus utama manifesto itu ialah memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memandangkan beliau sendiri adalah graduan aliran berkenaan, selain menambah pusat belia dan institusi pengajian tinggi di Kinabatangan.


"Keutamaan saya adalah menangani kos sara hidup dan memperkukuh ekonomi masyarakat setempat supaya pembangunan dapat dirasai secara menyeluruh," katanya.


Keadaan jalan yang perlu ditempuhi Naim bersama jentera kempen BN ketika menggunakan pikap untuk bertemu penduduk Kampung Karamuak di Tongod dalam Parlimen Kinabatangan. - Foto ihsan Mohd Kurniawan Naim Moktar.
'DAP tak kacau parti lain, hanya fokus parti sendiri' - Anthony Loke

'DAP tak kacau parti lain, hanya fokus parti sendiri' - Anthony Loke


DAP tidak pernah mencampuri urusan parti komponen lain dan hanya memberi fokus kepada hala tuju parti berkenaan dalam membangunkan negara.


Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, DAP sangat menghormati prinsip untuk tidak mengendahkan isu dalaman parti lain dalam Kerajaan Perpaduan.


"Sejak bila kita kacau? Kita pun tak kacau parti orang lain. Kita fokus kepada parti kita sendiri. Kita tak kacau mana-mana parti lain.


"Urusan parti masing-masing adalah urusan mereka. Jadi, kita memang menghormati prinsip bahawa tidak campur tangan dalam isu dalaman parti masing-masing.


"Jika mereka punya isu dalaman, itu masalah parti masing-masing. Saya tak pernah pun komen berkenaan dengan parti lain ataupun keputusan, hala tuju parti ataupun gabungan mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Tahunan DAP Selangor, di Klang hari ini.


Beliau berkata demikian ketika memberi reaksi kepada kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mengingatkan parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan supaya menjaga tutur kata dan mengelak membuat kenyataan biadab yang boleh menyakitkan hati ahli UMNO.


Wan Rosdy berkata, parti itu tidak pernah mencampuri isu dalaman parti lain, justeru parti lain juga tidak boleh sama sekali mencampuri urusan UMNO.


Ucapan beliau itu, yang merujuk kepada kenyataan seorang pemimpin Kerajaan Perpaduan, meraikan keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, disambut sorakan dan tepukan gemuruh daripada perwakilan.


Sementara itu, Loke dalam ucapannya turut mempersoalkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang hanya membincangkan mengenai DAP.


"Saya rasa seperti DAP adakan Konvensyen sejak empat hari lalu. Parti lain yang adakah perhimpunan agung, tapi perbincangan semua pasal DAP.


"Saya nak ingatkan rakan dalam UMNO, kalau nak hujah gunalah fakta yang tepat. Jangan salahkan DAP tanpa bukti kukuh. Jangan semua salah DAP, apa (yang berlaku dalam kerajaan) yang tak betul semua salah DAP," katanya.


Loke menambah, kebanyakan isu yang dikaitkan dalam PAU tidak ada kena mengena dengan DAP.


"Politiklah secara matang, berhujah dengan fakta betul. Isu Khazanah, Tabung Haji (TH) yang disebut bukannya salah DAP. Contohnya isu Khazanah, ketika PH 1.0 tiada seorang pun wakil DAP dalam Khazanah boleh buat keputusan, jadi mengapa salahkan DAP?


"Kedua isu TH, Pengerusinya bukan dalam kalangan orang DAP, itu hakikatnya. TH sudah mengalami masalah kewangan sebelum 2018 lagi.


"Jadi, Kementerian Kewangan yang dipimpin oleh Lim Guan Eng ketika itu cadangkan penubuhan syarikat tujuan khas (SPV) dan dapatkan kelulusan Kabinet untuk terbitkan bon sekali gus menyuntik dana tambahan kepada TH. Ini adalah fakta," katanya.


Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke (tengah) dan Pengerusi DAP Selangor, Ng Sze Han (tiga dari kanan) bersama barisan kepimpinan pada Konvensyen Tahunan DAP Selangor 2026 di Centro Klang. - Foto Harian Metro.

Sabtu, 17 Januari 2026

'Kalau Ketua Menteri suruh letak jawatan, saya letak jawatan' - Exco DAP Melaka

'Kalau Ketua Menteri suruh letak jawatan, saya letak jawatan' - Exco DAP Melaka


"Kalau Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh suruh saya letak jawatan, saya akan letak jawatan." Demikian ujar Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Allex Seah daripada DAP.


Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan yang akan diambil susulan pengumuman Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang melepaskan jawatan sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka berkuat kuasa minggu depan selepas mendapat desakan beberapa pihak.


Menurut Allex, jawatan yang disandangnya ketika ini adalah hasil pelawaan Ketua Menteri Melaka atas semangat memperkukuh Kerajaan Perpaduan serta mendapat restu pucuk pimpinan DAP, termasuk Setiausaha Agungnya, Anthony Loke.


Tegas beliau, jawatan tersebut tidak akan dilepaskan hanya kerana desakan mana-mana pihak sama ada daripada pembangkang atau pihak yang tidak mempunyai kaitan dengan Kerajaan Perpaduan.


"Dalam mana-mana kerajaan negeri, sekiranya seseorang Exco itu tidak lagi mendapat kepercayaan Ketua Menteri, Menteri Besar atau parti sendiri, jawatan tersebut akan digugurkan secara automatik.


"Jadi, selagi tiada permintaan daripada pucuk pimpinan parti dan Ketua Menteri, isu ini tidak timbul walaupun ada pihak cuba membangkitkan sentimen politik," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jelajah Porsche di Dataran Sejarah Ayer Keroh hari ini, sebagai menjawab pertanyaan media mengenai pendirian DAP sekiranya diminta melepaskan jawatan oleh Ketua Menteri.


Terdahulu, media melaporkan Pas Melaka menggesa DAP negeri itu membuktikan pendirian moral dan integriti politik mereka dengan melepaskan jawatan Eco dan Timbalan Speaker DUN Melaka.


Ahli Jawatankuasa Lajnah Politik Pas Melaka, Datuk Kamaruddin Sedik berkata, ia selari tindakan berprinsip Dr Akmal yang meletak jawatan Exco Melaka secara sukarela.


Allex berkata, fokus utamanya kini adalah untuk terus berkhidmat kepada rakyat serta memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan di Melaka.


"Apa yang penting ialah kita menumpukan kerja untuk masyarakat, mengurangkan sentimen politik dan terus memperkukuh perpaduan supaya kerajaan ini kekal stabil," katanya.


Pada Khamis, Dr Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Exco Melaka.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, peletakan jawatan tersebut dibuat bagi membolehkannya memberi fokus kepada perjuangan menentang DAP.

Jumaat, 16 Januari 2026

Menteri Indonesia dakwa Singapura tidak senang lihat ekonomi negaranya maju

Menteri Indonesia dakwa Singapura tidak senang lihat ekonomi negaranya maju


Menteri Koordinator Bidang Perekonomian Indonesia, Airlangga Hartarto, mendakwa terdapat negara jiran yang tidak senang melihat kemajuan ekonomi Indonesia, dengan Singapura disebut sebagai contoh utama.


Kenyataan itu disampaikan semasa acara road to Jakarta Food Security Summit (JFSS) 2026 di Jakarta Selatan, pada 13 Januari 2026.


Menurut beliau, semakin aktif Indonesia menyertai perjanjian perdagangan bebas dan blok dagang antarabangsa, semakin jelas ketidakselesaan pihak-pihak tertentu di negara jiran.


"Singapura tidak suka jika Indonesia terlibat dalam semua perjanjian perdagangan bebas.


"Malah, terdapat usaha-usaha untuk menghalang kemajuan kita," kata Airlangga, walaupun beliau tidak menjelaskan secara terperinci bentuk gangguan yang dimaksudkan.


Beliau menekankan bahawa langkah Indonesia membuka akses pasaran ke pelbagai negara akan diteruskan, selaras dengan arahan Presiden Prabowo Subianto.


Berdasarkan kajian firma Switzerland, Indonesia mencatat antara pembukaan pasaran terbesar di dunia pada 2025.


Airlangga menyorot kejayaan Indonesia memeterai perjanjian Comprehensive Economic Partnership Agreement (CEPA) bersama Kesatuan Eropah dan Kanada, selain perjanjian perdagangan bebas dengan pihak Ekonomi Eurasia (Free Trade Agreement).


Indonesia juga sedang mempersiapkan memorandum of understanding untuk CEPA bersama United Kingdom.


Indonesia kini merupakan anggota blok perdagangan Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) yang melibatkan 10 negara ASEAN serta lima rakan strategik: China, Jepun, Korea Selatan, Australia, dan New Zealand.


Di peringkat antarabangsa, Indonesia sedang melalui proses 'technical review' untuk menjadi anggota Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) - organisasi yang kini dianggotai 38 negara, mewakili 46 peratus KDNK dunia dan 70 peratus perdagangan global.


Thailand disebut sedang mengikuti jejak langkah Indonesia dalam usaha bergabung.


Selain itu, Indonesia turut menyertai The Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership (CPTPP), walaupun masih ketinggalan berbanding Singapura, Malaysia, dan Vietnam.


"Maka, Indonesia kini berada di posisi terdepan berbanding negara ASEAN lain dalam perlumbaan perdagangan bebas global," jelas Airlangga.


Langkah-langkah ini memperkukuh kedudukan ekonomi Indonesia di pentas global, sambil mengekalkan momentum pertumbuhan dan integrasi perdagangan antarabangsa, walaupun menghadapi persaingan dan ketidakselesaan dari negara jiran.

Monyet ceroboh stadium, najis burung atas gelanggang, udara kotor cemari Terbuka India

Monyet ceroboh stadium, najis burung atas gelanggang, udara kotor cemari Terbuka India

 

India sejak sekian lama dianggap sebagai salah satu negara kuasa besar badminton dunia. Namun kini, kejadian najis burung di gelanggang serta kehadiran monyet di tempat duduk penonton semasa kejohanan Super Siri Terbuka India menimbulkan keraguan sama ada India negara yang sesuai untuk menganjurkan Kejohanan Dunia pada Ogos ini.


Seekor monyet dilihat berada di tempat duduk penonton di Stadium Tertutup Indira Gandhi semasa kejohanan Terbuka India yang sedang berlangsung kelmarin, sekali gus menyebabkan penganjur menerima kritikan memalukan.


Dalam tiga hantaran Instagram Story yang dimuat naik oleh jurugambar Azlynna Dewi, seekor monyet kelihatan berada di tempat duduk penonton tidak jauh dari gelanggang yang digunakan oleh beberapa pemain badminton terbaik dunia.


"Ya, seekor monyet memasuki kawasan penonton dan duduk di tempat duduk emas. Ia berada di situ selama 10 minit, dan sebaik sahaja kami menerima aduan, kami segera mengalihkannya," kata seorang pegawai.


"Monyet itu tidak mencederakan sesiapa. Keadaan agak gelap, jadi tiada siapa menyedarinya. Apabila ia dikesan, kami segera mengeluarkannya," kata jurucakap kejohanan kepada India Express.


Tetamu tidak diundang di Stadium Tertutup Indira Gandhi itu bukan satu-satunya masalah yang dihadapi penganjur kejohanan.


Pemain Denmark, Mia Blichfeldt, mengkritik tahap kebersihan di venue tersebut pada hari pembukaan, dengan najis burung turut dikesan di arena latihan dan juga arena utama.


Pemain nombor dua dunia, Anders Antonsen, turut memuat naik di media sosial bahawa pencemaran udara yang teruk di New Delhi memaksanya menarik diri daripada pertandingan, dan beliau kemudiannya dikenakan denda sebanyak AS$5,000 oleh BWF (Persekutuan Badminton Dunia).


Masalah yang timbul menunjukkan ketidakcekapan pihak penganjur sekali gus menyebabkan peminat sukan di negara itu berasa kecewa.


India selaku negara tuan rumah pada asalnya dijadualkan menganjurkan Piala Sudirman pada 2023.


Namun, akibat semua acara di China dibatalkan pada tahun 2021, Piala Sudirman dipindahkan ke Vantaa, Finland, manakala edisi 2023 diberikan kepada Suzhou, China.


India dipilih sebagai tuan rumah Kejohanan Dunia 2026 berikutan pemindahan hak penganjuran Piala Sudirman 2023 tersebut.


Namun, susulan masalah tak sepatutnya timbul di Terbuka India , persoalannya kini ialah sama ada BWF sanggup mengambil risiko berdepan dengan satu lagi kemungkinan memalukan dengan menganjurkan Kejohanan Dunia di New Delhi.


Seekor monyet berada di tempat duduk penonton di Kompleks Sukan Indira Gandhi yang menjadi venue Badminton Terbuka India Super750. - Foto Instagram.
Dua beradik wanita dicekup isi petrol berulang

Dua beradik wanita dicekup isi petrol berulang


Tindakan dua beradik wanita melakukan pengisian minyak petrol secara berulang di sebuah stesen minyak di Tumpat membawa padah apabila mereka dicekup pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan dalam Ops Gempur Barang Kawalan kira-kira jam 1.57 tengah hari pada Rabu.


Timbalan Pengarah KPDN negeri, Aswadi Jaafar berkata, kegiatan mencurigakan itu dikesan hasil risikan pasukan yang mengesan sebuah kereta jenis Proton Wira membuat pengisian petrol secara berulang sebelum bertindak mengekori kenderaan berkenaan.


Menurut beliau, kenderaan tersebut diekori sehingga ke Kampung Jubakar Darat, Tumpat sebelum pemeriksaan dijalankan dan mendapati ia dipandu oleh seorang wanita berusia 33 tahun bersama adiknya, 23, yang bertindak sebagai pembantu.


"Hasil pemeriksaan menemui lima tong jerikin disyaki berisi minyak petrol di dalam but kenderaan berkenaan.


"Kami turut menemui sebuah tangki minyak yang dipercayai telah diubah suai dan diperbesarkan bagi tujuan penyimpanan petrol," katanya ketika dihubungi pada Khamis.


Menurut Aswadi, pihaknya menyita kenderaan terbabit berserta kunci, kira-kira 125 liter petrol dalam lima tong jerikin serta tambahan 125 liter petrol daripada tangki ubah suai, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak 250 liter.


Beliau berkata, kedua-dua wanita terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan telah ditangkap mengikut peruntukan akta yang sama.


"KPDN Kelantan memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan kerana tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi," katanya.


Hasil pemeriksaan menemui lima tong jerikin berisi minyak petrol di dalam but kereta, selain tangki minyak telah diubah suai. - Foto KPDN.

Khamis, 15 Januari 2026

Suami ditangkap, diam-diam jual barang milik isteri

Suami ditangkap, diam-diam jual barang milik isteri


Seorang lelaki di Sumbawa, wilayah Nusa Tenggara Barat diberkas selepas menjual motosikal dan komputer riba milik isterinya tanpa pengetahuan wanita itu, lapor laman berita Kompas.


Suspek yang dikenali sebagai SB, 45, menjual barangan tersebut yang sebelumnya digadaikan oleh seorang individu lain kepada isterinya.


Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Sumbawa, Inspektor Pertama Andy Nur Rosihan Alfajri berkata, kejadian bermula apabila seorang rakan sekerja bernama Deni Pamika menggadaikan sebuah motosikal Honda Supra dan sebuah komputer riba jenama Acer kepada mangsa pada harga 3 juta rupiah (RM720) pada Disember 2025. 


"Namun, tanpa pengetahuan mangsa, suspek menjual motosikal dan komputer riba itu kepada pihak lain dengan harga 500,000 rupiah (RM120). 


"Seterusnya pada 5 Januari lalu, pelaku menjual motosikal Honda Scoopy milik isterinya pada harga 2 juta rupiah (RM480)


"Akibat kejadian ini, mangsa mengalami kerugian keseluruhan sebanyak 12 juta rupiah (RM2,880) dan akhirnya memilih untuk melaporkan suaminya ke Ibu Pejabat Polis Sumbawa untuk prosiding undang-undang," kata Andy.

Rabu, 14 Januari 2026

Buruh dan nelayan dituduh rogol remaja 15 tahun

Buruh dan nelayan dituduh rogol remaja 15 tahun


Dua lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan bawah umur, awal Januari lalu.


Tertuduh, Amirul Hakimi Hashim, 25, yang juga buruh mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu, manakala, Abdin Syakirin Hassan, 31, yang bekerja sebagai nelayan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.


Mengikut pertuduhan dalam prosiding berasingan, mereka didakwa merogol mangsa yang sama iaitu seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di RPT Batu Mengkebang dan di tepi jalan RPT Batu Mengkebang, Kuala Krai.


Amirul Hakimi didakwa merogol mangsa jam 3.30 petang pada 4 Januari 2026, manakala Abdin Syakirin didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira 3.30 petang, pada 3 Januari 2026.


Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat, jika disabitkan kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mazlan, manakala Amirul Hakimi tidak diwakili peguam dan Abdin Syakirin diwakili peguam Wan Amani Wan Azimin.


Terdahulu, pendakwaan tidak mencadangkan sebarang jaminan kepada kedua-dua tertuduh, namun Wan Amani memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin kerana tiada risiko melarikan diri dan hanya bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan tidak menentu serta menjaga ibu bapa yang uzur.


Mahkamah membenarkan Abdin Syakirin diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Februari untuk serahan dokumen, manakala 28 Januari ini untuk fakta dan jatuh hukum bagi pengakuan Amirul Hakimi.


Abdin Syakirin (dua dari kiri) dan Amirul Hakimi (tengah) didakwa di Mahkamah Seskyen Kota Bharu pada Rabu atas pertuduhan berasingan merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di lokasi berbeza di Kuala Krai pada awal Januari lalu. - Foto Sinar Harian.
SPRM fokus pulih aset negara, tumpu kes berprofil tinggi

SPRM fokus pulih aset negara, tumpu kes berprofil tinggi


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggariskan hala tuju strategik baharu bagi tempoh lima tahun akan datang dengan meletakkan keutamaan tertinggi terhadap pemulihan aset negara serta pembanterasan jenayah kewangan berskala besar.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pendekatan penguatkuasaan yang lebih agresif dan berimpak tinggi ini diambil memandangkan negara dianggarkan mengalami kerugian mencecah RM277 bilion dalam tempoh enam tahun lalu akibat kecurian, ketirisan dana awam dan jenayah kewangan.


Menurutnya, fokus SPRM kini terarah kepada kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan kehilangan aset negara demi memastikan pembersihan menyeluruh terhadap amalan rasuah yang merugikan kerajaan.


"Isu kritikal rasuah tetap wujud walaupun ada harapan ia berkurangan. Justeru, SPRM perlu terus menggembleng tenaga dan sumber bagi memastikan usaha memulihkan aset serta membawa pelaku ke muka pengadilan dapat dilaksanakan secara berkesan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu segmen Sembang Tamu MACCfm bertajuk 'SPRM 2026: Ke Mana Halatuju?' di Ibu Pejabat SPRM, di Kuala Lumpur hari ini.


Mengulas mengenai cabaran tugas, Azam memuji dedikasi warga SPRM yang kekal komited menjalankan siasatan walaupun berdepan tekanan hebat serta serangan persepsi di media sosial.


Katanya, walaupun persepsi negatif di dunia maya tidak boleh dihalang sepenuhnya, ia perlu diuruskan dengan pantas dan strategik.


Sehubungan itu, Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM telah diarahkan untuk sentiasa peka memantau sentimen dan komen di platform media sosial bagi memastikan tindak balas berkesan dapat diambil.


Menyentuh mengenai permulaan tahun 2026 yang menyaksikan pendedahan kes besar hasil maklumat awam, Azam menegaskan bahawa SPRM sebenarnya bertindak lebih awal dan mendahului dalam menjalankan siasatan kes berkenaan sebelum ia tular.


Selain aspek penguatkuasaan, Azam turut menekankan kepentingan sektor pencegahan dalam mendidik masyarakat, khususnya golongan muda, bagi menangkis maklumat tidak tepat yang boleh mempengaruhi persepsi awam.


Dalam usaha memperkukuh penyampaian maklumat, beliau turut menyuarakan hasrat untuk merangka satu pelan strategik bersama Media Prima Berhad pada tahun ini.


"Langkah ini bertujuan memastikan laporan berkaitan kes SPRM lebih tersusun, berfakta dan mempunyai kesinambungan yang jelas.


"Seluruh warga SPRM juga diingatkan agar terus mengekalkan tahap disiplin dan integriti yang tinggi dalam melaksanakan tugas demi menjayakan perjuangan membanteras rasuah di negara ini," katanya.