Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggariskan hala tuju strategik baharu bagi tempoh lima tahun akan datang dengan meletakkan keutamaan tertinggi terhadap pemulihan aset negara serta pembanterasan jenayah kewangan berskala besar.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pendekatan penguatkuasaan yang lebih agresif dan berimpak tinggi ini diambil memandangkan negara dianggarkan mengalami kerugian mencecah RM277 bilion dalam tempoh enam tahun lalu akibat kecurian, ketirisan dana awam dan jenayah kewangan.
Menurutnya, fokus SPRM kini terarah kepada kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan kehilangan aset negara demi memastikan pembersihan menyeluruh terhadap amalan rasuah yang merugikan kerajaan.
"Isu kritikal rasuah tetap wujud walaupun ada harapan ia berkurangan. Justeru, SPRM perlu terus menggembleng tenaga dan sumber bagi memastikan usaha memulihkan aset serta membawa pelaku ke muka pengadilan dapat dilaksanakan secara berkesan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu segmen Sembang Tamu MACCfm bertajuk 'SPRM 2026: Ke Mana Halatuju?' di Ibu Pejabat SPRM, di Kuala Lumpur hari ini.
Mengulas mengenai cabaran tugas, Azam memuji dedikasi warga SPRM yang kekal komited menjalankan siasatan walaupun berdepan tekanan hebat serta serangan persepsi di media sosial.
Katanya, walaupun persepsi negatif di dunia maya tidak boleh dihalang sepenuhnya, ia perlu diuruskan dengan pantas dan strategik.
Sehubungan itu, Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM telah diarahkan untuk sentiasa peka memantau sentimen dan komen di platform media sosial bagi memastikan tindak balas berkesan dapat diambil.
Menyentuh mengenai permulaan tahun 2026 yang menyaksikan pendedahan kes besar hasil maklumat awam, Azam menegaskan bahawa SPRM sebenarnya bertindak lebih awal dan mendahului dalam menjalankan siasatan kes berkenaan sebelum ia tular.
Selain aspek penguatkuasaan, Azam turut menekankan kepentingan sektor pencegahan dalam mendidik masyarakat, khususnya golongan muda, bagi menangkis maklumat tidak tepat yang boleh mempengaruhi persepsi awam.
Dalam usaha memperkukuh penyampaian maklumat, beliau turut menyuarakan hasrat untuk merangka satu pelan strategik bersama Media Prima Berhad pada tahun ini.
"Langkah ini bertujuan memastikan laporan berkaitan kes SPRM lebih tersusun, berfakta dan mempunyai kesinambungan yang jelas.
"Seluruh warga SPRM juga diingatkan agar terus mengekalkan tahap disiplin dan integriti yang tinggi dalam melaksanakan tugas demi menjayakan perjuangan membanteras rasuah di negara ini," katanya.

EmoticonEmoticon