Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Kurniawan Naim Moktar akan memberi tumpuan terhadap kempen berskala besar pada minggu kedua berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan.
Beliau yang lebih mesra dipanggil Naim berkata, kempen minggu pertama berjalan lancar dan lawatan sudah dilakukan ke semua 19 Pusat Daerah Mengundi (PDM) meskipun berdepan pelbagai cabaran geografi yang mencabar.
Katanya, sepanjang minggu pertama berkempen, pihaknya memberi tumpuan terhadap usaha mengenal pasti permasalahan rakyat secara langsung ketika turun padang untuk menyantuni rakyat.
"Kinabatangan ini unik. Terpaksa membadai lautan, merentasi sungai dan juga hutan untuk sampai ke PDM. Alhamdulilah, setakat hari ini hampir semua PDM saya pergi dan lawat, insya-Allah ada perkembangan positif.
"Pada minggu pertama saya beriltizam untuk mengetahui permasalahan agar kerja dapat dijalankan dengan baik. Saya lihat dengan mata saya sendiri untuk memastikan permasalahan dapat didengari, difahami dan juga dirasai," katanya pada Program Malam Galau di Dataran Kinabatangan malam tadi.
Mohd Kurniawan mengakui cabaran besar yang dihadapi penduduk luar bandar termasuk laluan jalan raya yang teruk, ketiadaan pengangkutan darat sehingga terpaksa bergantung dengan bot serta kekurangan akses kepada perkhidmatan kesihatan.
Katanya, ada antara kawasan yang terlalu sukar dilalui sehingga memberi kesan besar terhadap keselamatan dan kesejahteraan penduduk.
"Kesukaran itu jelas terlihat apabila saya masuk ke kampung. Apatah lagi bagi mereka yang tinggal di situ dan menjadi laluan utama mereka.
"Kalau saya boleh gambarkan sehingga ada yang meninggal dalam kereta oleh kerana laluan jalan raya yang begitu teruk, tiada akses kesihatan di kampung terpencil dan itu sudah pasti menyedihkan dan menyentuh hati," katanya.
Mengulas mengenai manifesto, Mohd Kurniawan berkata, setakat ini 10 intipati utama sudah dirangka dan jumlah itu berkemungkinan bertambah selepas lawatannya ke setiap PDM selesai.
Katanya, antara fokus utama manifesto itu ialah memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memandangkan beliau sendiri adalah graduan aliran berkenaan, selain menambah pusat belia dan institusi pengajian tinggi di Kinabatangan.
"Keutamaan saya adalah menangani kos sara hidup dan memperkukuh ekonomi masyarakat setempat supaya pembangunan dapat dirasai secara menyeluruh," katanya.


EmoticonEmoticon