Selasa, 14 Oktober 2025

2 tahun bersekedudukan dengan tukang rumah warga asing hingga lahir anak

2 tahun bersekedudukan dengan tukang rumah warga asing hingga lahir anak


Wanita dicekup pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas disyaki bersekedudukan dengan lelaki warga asing hingga melahirkan anak.


Serbuan dilakukan pada 10 pagi semalam di sebuah rumah, di Muar, yang ketika itu didiami wanita berusia 30-an bersama pasangannya dari negara jiran yang bekerja sebagai tukang rumah.


Menurut JAINJ, ketika serbuan dilakukan didapati seorang lelaki berusia lingkungan 40-an dalam keadaan berkain pelikat tanpa baju, manakala terdapat seorang wanita hanya berkemban dengan kain batik.


Katanya, ketika serbuan itu, lelaki terbabit cuba melarikan diri melalui pintu belakang namun berjaya dikejar penguat kuasa.


"Hasil pemeriksaan mendapati pasangan itu tinggal di rumah terbabit sejak dua tahun lalu.


"Siasatan lanjut juga mendapati wanita berkenaan ada melahirkan seorang anak di sebuah hospital yang kini berusia tiga bulan dan mempunyai sijil lahir," katanya dalam satu kenyataan.


Menurutnya, pasangan itu mendakwa mereka sudah bernikah di negara jiran namun mereka gagal mengemukakan surat pernikahannya.


"Gambar yang ditunjukkan sambil memakai baju raya meragukan dan ia bukan gambar ketika mereka akad nikah.


"Pasangan itu juga tidak dapat mengingati tarikh pernikahan mereka.


"Selain itu, penguat kuasa juga meminta wanita itu menunjukkan pasport ke negara jiran namun dia memberitahu memasukinya secara gelap.


"Justeru, pasangan itu ditahan bagi membantu siasatan dan mereka akan didakwa mengikut Seksyen 23 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.


"Hukumannya adalah denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara atau sebatan ataupun ketiga-tiga hukuman terbabit, jika didapati bersalah," katanya.


Penguatkuasa JAINJ menyerbu rumah didiami wanita dan tukang rumah warga asing, semalam. - Foto JAINJ.

Isnin, 13 Oktober 2025

Lelaki mengamuk bawa pisau pemotong daging diberkas polis

Lelaki mengamuk bawa pisau pemotong daging diberkas polis


Suasana di Taman Jasa, Ijok, Kuala Selangor pada petang semalam kecoh apabila seorang lelaki tiba-tiba mengamuk sambil memegang pisau pemotong daging sebelum berjaya ditenangkan polis yang bergegas ke lokasi kejadian.


Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajuddin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 6 petang memaklumkan tentang kejadian seorang lelaki mengamuk dan cuba menyerang orang awam di kawasan perumahan berkenaan.


"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Bestari Jaya bergegas ke lokasi dan mendapati suspek sedang menjerit sambil memegang pisau pemotong daging.


"Anggota polis berjaya menenangkan keadaan sebelum menahan lelaki itu tanpa sebarang kecederaan berlaku kepada mana-mana pihak," katanya dalam satu kenyataan hari ini (Isnin).


Azaharudin berkata, suspek kini direman enam hari bermula Isnin hingga Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.


Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-3289 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran.


Terdahulu tular video di media sosial satu rakaman memaparkan detik cemas ketika polis terpaksa mengeluarkan pistol bagi menenangkan seorang lelaki yang mengamuk sambil memegang pisau pemotong daging dalam kejadian berkenaan.


Menerusi video 30 saat itu, beberapa anggota polis tiba dan menghalakan senjata api ke arah suspek sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak kejadian tidak diingini.


Polis memberkas suspek mengamuk sambil memegang pisau pemotong daging di Taman Jasa, Ijok pada Ahad. - Foto Sinar Harian.
Pengantin lelaki luar biasa, pecah batu bata guna kepala depan isteri

Pengantin lelaki luar biasa, pecah batu bata guna kepala depan isteri


Seorang pengantin lelaki mengundang perhatian ramai kerana memecahkan batu bata dengan kepalanya di hadapan isteri untuk memikat wanita berkenaan, lapor portal berita Lambe Turah.


Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @officiallambeturah menunjukkan pengantin lelaki meminta izin daripada isterinya untuk memecahkan bata.


Selepas diberi kebenaran, dia menghantuk kepalanya dengan kuat sehingga bata-bata tersebut pecah.


Pengantin perempuan tersenyum dan menutup mulutnya dengan tangan seolah-olah terpukau dengan kekuatan si suami. 


Rakaman itu mencatatkan lebih 41,500 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi. 


"Nasib baik pecah, kalau tidak mesti malu," kata seorang netizen. 


"Saya yang malu," kata pengguna media sosial lain.


Tangkap layar video menunjukkan pengantin lelaki memecahkan bata untuk membuat calon isterinya terpukau. - Foto TikTok.

Ahad, 12 Oktober 2025

Penduduk serbu rumah penternak, mahu lihat anak lembu kepala dua

Penduduk serbu rumah penternak, mahu lihat anak lembu kepala dua


Seorang penternak haiwan di Bondowoso, wilayah Jawa Timur terkejut apabila seekor lembu betina peliharaannya melahirkan anak berkepala dua, lapor portal berita Times Indonesia.


Anak lembu itu dilahirkan di Desa Kerang pada pagi semalam.


Pemilik haiwan dikenali sebagai Fauzi berkata, rumahnya dikunjungi penduduk setempat dari pagi hingga petang semata-mata untuk menyaksikan anak lembu itu.


"Meskipun dilahirkan secara tidak normal, anak lembu itu masih hidup. Saya memberikan susu perahan daripada induknya dengan menggunakan botol susu.


"Proses kelahiran berlangsung selama 20 minit dengan bantuan doktor veterinar dan penduduk tempatan," kata Fauzi. 


Tambah Fauzi, haiwan yang mempunyai kelainan genetik jarang hidup lebih lama terutamanya jika terdapat luka di kepala.


"Kalau otaknya satu, ia mampu hidup lama. Namun, kalau terdapat dua otak, peluang hidupnya tipis," katanya.


Anak lembu berkepala dua itu dilahirkan di Desa Kerang pada pagi semalam. - Foto Times Indonesia.
Disangka biawak, lelaki nyaris diserang king cobra di rumahnya

Disangka biawak, lelaki nyaris diserang king cobra di rumahnya

 

Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila seekor ular tedung selar sepanjang empat meter hampir menyerangnya dalam kejadian di Kampung Che Wal, Telekong di Kuala Krai semalam.


Kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu berlaku ketika lelaki berusia lingkungan 50-an tersebut sedang membersihkan kawasan rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi pelik.


Ketua Operasi, Pegawai Bomba Sukarelawan Guchil, Mohd Hamdan Mahadi berkata, pada peringkat awal mangsa menyangkakan haiwan tersebut adalah biawak, namun terkejut apabila mendapati ia seekor ular.


"Kehadiran reptilia itu disedari semasa lelaki berkenaan mahu mengusirnya keluar.


"Ular tersebut bertindak agresif dan cuba menyerang mangsa sebelum menyusur ke arah dapur dan bersembunyi di bawah rak pinggan," katanya ketika dihubungi hari ini.


Menurut beliau, lelaki berkenaan kemudian menghubungi Bomba Sukarelawan Guchil untuk mendapatkan bantuan.


Beliau berkata, pasukan mengambil masa kira-kira dua minit untuk menangkap ular tedung selar berkenaan.


Ujarnya, reptilia itu akan dibebaskan semula ke kawasan habitat asal yang jauh dari kediaman penduduk kampung.


"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memastikan kawasan rumah bersih kerana keadaan cuaca sekarang mendorong ular mencari tempat perlindungan di kawasan kediaman," katanya.


Mohd Hamdan menunjukkan ular tedung selar yang hampir menyerang seorang lelaki di Kampung Che Wal, Telekong, Kuala Krai pada Sabtu. - Foto Bomba.

Sabtu, 11 Oktober 2025

Tatakelola baik, subsidi bersasar tingkat hasil kerajaan sebanyak RM31 bilion tanpa perlu naik cukai

Tatakelola baik, subsidi bersasar tingkat hasil kerajaan sebanyak RM31 bilion tanpa perlu naik cukai


Pendekatan berkesan kerajaan dalam pengurusan kewangan negara membolehkan hasil sebanyak RM31 bilion dijana tanpa perlu memperkenal atau menaikkan kadar cukai sedia ada yang akan membebankan rakyat, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.


Beliau berkata, jumlah itu sekali gus memberi gambaran positif kepada usaha kerajaan menerusi tiga tonggak utama Ekonomi Madani iaitu menaikkan siling pertumbuhan negara, menaikkan lantai taraf hidup rakyat serta tatakelola baik dan reformasi sektor awam.


"Bagaimana kerajaan mendapatkan hasil RM31 bilion? pertama, RM15.5 bilion daripada tatakelola mengurangkan ketirisan dan melaksanakan (perolehan) mengikut prosedur, seperkara lagi juga RM15.5 bilion diperoleh apabila disasarkan subsidi kepada kumpulan yang tepat, sama ada elektrik, RON95 atau diesel.


"Bererti ini pengurusan kewangan menarik dan kreatif, RM31 bilion yang sebelum ini tidak ada, dapat diperoleh tanpa kerajaan perlu menaikkan atau tambah cukai baru," katanya ketika ditemui di Wisma Bernama di Kuala Lumpur semalam.


Ahmad berkata, ia sekali gus memberi ruang kepada kerajaan memperuntukkan lebih banyak perbelanjaan kepada kebajikan rakyat terutamanya dalam sektor penting seperti prasarana, kesihatan dan pendidikan, seperti mana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat semalam.


Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2026 memaklumkan tatakelola baik Kerajaan Madani termasuk melibatkan aktiviti penguatkuasaan serta rampasan dan penalti, sejumlah RM15.5 bilion wang yang disakau dan dirompak dapat dikembalikan dalam tempoh dua tahun.


Beliau berkata, langkah penyasaran subsidi pula berjaya menjimatkan dana negara sekitar RM15.5 bilion ringgit setahun, seterusnya membolehkan kerajaan menyalurkan dana lebih tinggi dalam skop kebajikan, kos sara hidup serta pelaburan prasarana untuk rakyat.


Ahmad ketika diwawancara hos Sherkawi Jirim pada Analisis Belanjawan 2026 Malaysia Madani di Wisma Bernama, pada Jumaat. - Foto Bernama.
Identiti objek misteri meluncur laju merentasi sistem suria diketahui 2 minggu lagi

Identiti objek misteri meluncur laju merentasi sistem suria diketahui 2 minggu lagi


Identiti sebuah objek misteri yang meluncur laju merentasi sistem suria akan diketahui dalam masa dua minggu lagi, lapor portal berita Daily Star semalam.


Seorang profesor Universiti Harvard memberi amaran, ia mungkin kapal angkasa makhluk asing yang berbahaya dan menyamar sebagai komet.


Profesor astronomi Avi Loeb berkata, terdapat 30 hingga 40 peratus kemungkinan objek dinamakan 3I/ATLAS itu dibina oleh makhluk asing yang mahu mengancam manusia.


Menurutnya, objek itu ibarat kisah ‘Trojan Horse’, sama seperti kuda kayu gergasi dalam mitos Yunani purba.


Namun, kajian terbaru Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mengesan kewujudan air yang terpercik daripada objek tersebut.


Ia dipercayai sebuah batu angkasa tetapi masih belum disahkan.


Gambar fail objek misteri 3I/ATLAS. - Foto NASA/ ESA/Hubble.

Jumaat, 10 Oktober 2025

Duda berkhalwat dengan isteri orang sembunyi atas penyaman udara hotel elak dicekup

Duda berkhalwat dengan isteri orang sembunyi atas penyaman udara hotel elak dicekup


Cubaan seorang lelaki melarikan diri melalui tingkap bilik sebuah hotel gagal selepas dicekup pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana disyaki berkhalwat dengan wanita berstatus isteri orang.


Tindakan lelaki berusia 40-an itu dikesan selepas penguat kuasa JAINJ ternampak kelibatnya dalam keadaan berseluar tetapi tidak berbaju sambil berdiri atas penyaman udara di luar bilik hotel di tingkat dua.


Malah lelaki terbabit juga mengeluarkan kata-kata kesat kerana tidak puas hati terhadap penguat kuasa yang sudah mengepungnya di belakang hotel itu.


Menurut JAINJ, tangkapan dilakukan pada jam 1.30 pagi tadi, hasil maklumat awam dan risikan dijalankan bagi membendung kegiatan maksiat.


"Sebaik tiba, penguat kuasa mengetuk pintu bilik dan kira-kira 10 minit, seorang wanita berpakaian lengkap membukanya. Pada mulanya penguat kuasa mendapati hanya seorang wanita berada dalam bilik berkenaan.


"Ketika itu, keadaan tingkap terbuka sebelum kedengaran teriakan suara seorang penguat kuasa yang ditugaskan mengawal di belakang hotel ketika operasi itu.


"Penguat kuasa itu menyuluh dan mendapati seorang lelaki cuba meloloskan diri dengan berdiri di atas kompresor penyaman udara. Lelaki itu juga marah kerana cubaan melarikan diri tidak berhasil," katanya dalam kenyataan.


Katanya lagi, dengan bantuan penguat kuasa, lelaki berjaya ditarik masuk ke bilik melalui tingkap.


"Hasil soal siasat mendapati, lelaki itu berstatus duda dan bekerja di Kluang manakala wanita berusia 30-an adalah isteri orang dan mempunyai seorang anak. Wanita itu dilaporkan bekerja di daerah lain.


"Dia (wanita) memberitahu datang ke sini (Kluang) kerana mahu membeli barang dan berehat di hotel sementara pulang ke rumah.


"Bilik hotel disewanya berada di tingkat 2 dan tindakan lelaki itu mengundang bahaya sekiranya terjatuh kerana di bawah ada longkang simen dan jalan tar.


"Pasangan ini ditangkap dan akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dengan denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.


Penguat kuasa JAINJ mengetuk pintu bilik hotel dan menahan duda serta isteri orang kerana berkhalwat. - Foto JAINJ.

Khamis, 9 Oktober 2025

Warga emas rugi RM5.9 juta lepas diperdaya serah kad ATM kepada 'polis'

Warga emas rugi RM5.9 juta lepas diperdaya serah kad ATM kepada 'polis'


Lelaki warga emas kerugian RM5.9 juta selepas terpedaya sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan pegawai polis pada Mei lalu.


Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, lelaki berusia 73 tahun yang juga pesara sebuah syarikat swasta itu diperdaya pihak berkenaan yang mendakwa mangsa terbabit dengan kes penggubahan wang haram.


Menurutnya, mangsa menerima panggilan daripada individu yang mendakwa pihak NFCC Putrajaya memaklumkan perkara itu dan kemudian talian disambungkan kepada pegawai kanan polis yang mendakwa dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak.


"Suspek mengatakan mangsa disyaki terbabit aktiviti penggubahan wang haram dan perlu mengisytiharkan harta serta simpanan miliknya.


"Pada Jun lalu, mangsa diarahkan membuka empat akaun bank di bank berbeza dan memasukkan wang simpanannya ke semua akaun bank itu.


"Mangsa turut diarahkan memberi maklumat perbankan kepada pihak itu," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, selepas itu mangsa diarahkan untuk memasukkan semua kad ATM itu ke dalam satu sampul surat dan meninggalkan sampul itu di sebuah padang permainan di USJ 22/1, di Subang Jaya.


Katanya, warga emas itu kemudian berasa curiga dan kemudian memberitahu perkara itu kepada anaknya sebelum dia dimaklumkan pihak berkenaan adalah 'scammer'.


"Mangsa kerugian RM5,996,586.51 dan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. Susulan itu, kes disiasat mengikut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.


Shazeli berkata, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan penipuan yang menyamar sebagai penjawat awam secara atas dalam talian.


Katanya, masyarakat turut dinasihatkan tidak mudah percaya panggilan telefon daripada penjawat awam kerana sebarang transaksi membabitkan pihak berkuasa hanya ecara fizikal sama ada di balai polis atau pejabat kerajaan berkaitan saja.


"Jangan mendedahkan sebarang maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan dan perbankan melalui panggilan telefon atau mesej sekaligus tidak melakukan pindahan wang kepada pihak tidak dikenali.


"Orang ramai juga disaran menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk sebarang semakan, nasihat dan aduan berhubung panggilan yang diterima," katanya.

Datuk sempat tikam kepala king cobra sebelum rebah

Datuk sempat tikam kepala king cobra sebelum rebah


Seorang petani di Sukabumi, wilayah Jawa Barat maut akibat dipatuk seekor ular tedung selar (king cobra) selepas bertarung dengan reptilia itu berhampiran kawasan rumahnya, lapor laman berita Tribunnews semalam.


Lelaki dikenali sebagai Ocang, 73, ditemukan sudah tidak bernyawa di luar rumahnya Isnin lalu.


Tidak jauh dari mayat Ocang, bangkai seekor ular tedung selar sepanjang 4 meter ditemukan dengan keadaan kepalanya ditikam dengan tongkat kayu.


Seorang jiran, Libra Rustiana berkata, reptilia itu sudah tiga kali datang ke rumah Ocang dan cuba memakan ayam peliharaan lelaki itu.


"Ular itu sebelum ini ditemukan di dalam reban ayam Ocang, sudah tiga kali ular itu datang. 


"Ocang terpaksa membunuh ular itu," kata Libra sambil menambah, mayat warga emas itu ditemukan pada pukul 6 pagi (waktu tempatan) dengan kesan gigitan ular.


Keadaan bangkai ular tedung selar yang ditikam Ocang. - Foto RadarJabar.