Khamis, 18 September 2025

Ketakutan penduduk berakhir, suara tangisan misteri di hutan rupanya anak orang utan

Ketakutan penduduk berakhir, suara tangisan misteri di hutan rupanya anak orang utan


Tangisan misteri dalam hutan yang membuatkan penduduk Kotawaringin Timur, wilayah Kalimantan Selatan ketakutan akhirnya terbongkar apabila bunyi itu sebenarnya berasal daripada seekor anak orang utan, lapor portal berita Radar Sampit.


Penemuan itu dibuat oleh dua penduduk tempatan sekitar pukul 11 pagi (waktu tempatan) berhampiran Desa Ramban, Khamis lalu.


Ketua Pusat Pemuliharaan Sumber Asli (BKSDA) Sampit Resort, Muriansyah berkata, Muhammad dan rakannya sedang membina pondok di dalam hutan sebelum terdengar bunyi tangisan misteri.


"Mereka menyangka tangisan itu berasal daripada kanak-kanak. Selepas menyiasat, sumber bunyi itu berasal daripada seekor anak orang utan di dalam lubang kecil.


"Kerana kasihan, haiwan itu dibawa ke rumah," kata Muriansyah.


Anak orang utan itu dipercayai berusia empat tahun, manakala badannya terlalu kurus.


Ia kemudian diserahkan kepada BKSDA Sampit Resort pada Ahad lalu.


Anak orang utan itu diserahkan kepada pihak berkuasa selepas ditemui di dalam hutan. - Foto Radar Sampit.

Rabu, 17 September 2025

Tiga beranak ditahan, ketum, pil yaba bernilai RM1.62 juta dirampas

Tiga beranak ditahan, ketum, pil yaba bernilai RM1.62 juta dirampas


Polis Kelantan menahan tiga beranak membabitkan seorang ibu bersama dua anaknya dan merampas 108,000 biji pil yaba dan 37 kilogram (kg) ketum membabitkan nilai RM1.62 juta menerusi serbuan di sebuah rumah di Kampung Pauh Panji pada Rabu lalu.


Kesemua mereka yang ditahan iaitu dua wanita dan seorang lelaki berusia 19 hingga 60 tahun selepas intipan selama seminggu dilakukan pihak polis sebelum serbuan dilakukan jam 12.20 tengah hari.


Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata ketika serbuan dilakukan, tiga beranak berkenaan berada di dalam rumah itu.


"Pemeriksaan di rumah berkenaan menemui 18 bungkusan yang mengandungi 108,000 biji dipercayai pil yaba dan 37 kg daun ketum.


"Hasil soal siasat setakat ini mendapati bekalan dadah berkenaan milik suspek lelaki berusia 19 tahun, manakala kakaknya serta ibunya tidak mengaku. Bagaimanapun siasatan lanjut masih dilakukan.


"Kita percaya suspek mendalangi kegiatan pengedaran dadah ini sejak Mei lalu dan modus operandi yang dilakukan adalah bekalan dadah akan ditransit atau disimpan di rumah berkenaan sebelum diedar kepada pelanggan," katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.


Beliau berkata, hasil ujian air kencing terhadap ketiga-tiga suspek adalah negatif dan kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.


"Selain rampasan dadah, kita turut menyita sebuah motosikal dan akan menyita harta suspek yang dikuatiri hasil daripada kegiatan pengedaran dadah.


"Kesemua suspek kini ditahan reman selama 14 hari sehingga 24 September dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.


Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan saki baki suspek sindiket berkenaan.


"Bekalan dadah yang dirampas itu boleh digunakan kepada 120,000 penagih," katanya.


Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat (tengah) menunjukkan 37 kilogram (kg) ketum dan 108,000 biji pil yaba membabitkan nilai RM1.62 juta pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kelantan. - FOTO NSTP.
Tukang cuci mengaku bersalah miliki pistol, 36 peluru tanpa permit

Tukang cuci mengaku bersalah miliki pistol, 36 peluru tanpa permit


Seorang tukang cuci di sebuah resort mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini terhadap dua pertuduhan memiliki sepucuk pistol dan 36 butir peluru hidup tanpa permit di rumahnya di Kampung Paloh, Pintu Geng pada 6 September lalu.


Tertuduh Azhar Anual, 50, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad. Mahkamah bagaimanapun menetapkan 21 Oktober sebagai tarikh fakta dan hukuman.


Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa miliki sepucuk pistol jenis Glock 26 Gen4 Austria dan memiliki 36 butir peluru hidup tanpa lesen atau permit senjata.


Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Paloh Pintu Geng jam 5 pagi pada 6 September lalu.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.


Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan juga sebat sehingga enam kali, manakala Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Mahkamah menetapkan 21 Oktober untuk hukuman dan tertuduh tidak ditawarkan jaminan.


Azhar mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap dua pertuduhan memiliki sepucuk pistol dan 36 butir peluru hidup.
Calon SPM ditahan, positif dadah lepas pulang berhibur dari Thailand

Calon SPM ditahan, positif dadah lepas pulang berhibur dari Thailand


Pelajar tingkatan lima ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah dalam operasi bersepadu ketika pulang bercuti dari negara jiran, semalam.


Remaja berusia 17 tahun yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah menengah di Pulau Pinang dan tiga rakannya berusia 18 tahun ditahan ketika menunggang dua motosikal.


Hasil pemeriksaan mendapati keempat-empat mereka positif dadah jenis ketamin.


Dia dipercayai mengambil dadah itu dengan berkongsi rokok mengandungi bahan terlarang itu dengan tiga rakannya ketika berhibur di Thailand.


Pengarah AADK Kedah, Khairul Anwar Ahmad berkata, remaja itu ditahan di lorong motosikal jam 3.45 petang semalam di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.


Beliau berkata, ketika itu remaja terbabit dalam perjalanan pulang dari Thailand menuju ke rumahnya di Pulau Pinang selepas bercuti di negara jiran sejak Sabtu lalu.


"Hasil siasatan mendapati, remaja itu yang juga anak tunggal tinggal bersama datuk dan neneknya selepas ibu serta bapanya bercerai sejak berusia sembilan tahun.


"Dia memberi alasan ingin mencuba dadah terbabit disebabkan tekanan hidup dan perasaan ingin tahu.


"Selain itu, dia juga mengaku kali kedua mencuba dadah ini ketika kali pertama masuk ke Thailand sebelum ini," katanya ketika dihubungi hari ini.


Khairul Anwar berkata, dalam operasi itu, AADK turut menahan enam individu berusia 17 hingga 19 tahun kerana positif dadah.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya

Calon SPM dari Pulau Pinang yang ditahan AADK selepas didapati positif dadah dalam pemeriksaan di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, semalam. - Foto AADK.

Selasa, 16 September 2025

Lelaki maut selepas langgar serpihan tayar pecah di lebuh raya Utara-Selatan

Lelaki maut selepas langgar serpihan tayar pecah di lebuh raya Utara-Selatan


Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas akibat daripada melanggar serpihan tayar pecah di Kilometer 50.2 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah Utara) malam tadi.


Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian berlaku pada pukul 8.15 malam ketika Muhamad Farhan Abd Rahman, 28, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dari arah Johor Bahru menuju ke arah Batu Pahat.


Katanya, ketika sampai di lokasi, mangsa dikatakan telah terlanggar serpihan tayar pecah di lorong kiri lebuh raya sehingga menyebabkannya hilang kawalan sebelum terbabas ke atas jalan.


"Akibat kejadian itu, mangsa telah mengalami kecederaan parah dibeberapa bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan dan dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat," katanya melalui kenyataan hari ini.


Menurut Bahrin lagi, Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, orang ramai yang menyaksikan kejadian ini diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.


Keadaan motosikal Yamaha 135LC yang ditunggang Muhamad Farhan Abd Rahman selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 50.2 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah Utara) malam tadi. - Foto Kosmo Online.
PM gesa hidupkan Pendekar Madani di sekolah, IPT dan IPG

PM gesa hidupkan Pendekar Madani di sekolah, IPT dan IPG


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru pengurusan sekolah, institut pengajian tinggi (IPT) serta institut pendidikan guru (IPG) di seluruh negara menyokong dan menghidupkan penubuhan kegiatan Pendekar Madani.


Beliau menerusi ucapannya pada Himpunan Pendekar Madani yang berlangsung di Politeknik Seberang Perai berkata, pihaknya berharap Kementerian Pendidikan (KPM) dapat mendukung amanat dalam menghidupkan gerakan penyatuan semangat tersebut.


"Saya percaya, Menteri Pendidikan akan bantu gerakkan kegiatan ini dan kita akan pastikan semua sekolah-sekolah kita mendukung semangat Pendekar Madani dan seterusnya di Politeknik, Institut Pendidikan Guru dan institut pendidikan tinggi.


"Kita akan hidupkan ini sebagai suatu kegiatan yang menyatukan semangat anak-anak muda. Dengan satu matlamat, mengangkat martabat dan darjat bangsa ini," katanya hari ini.


Justeru, beliau meminta supaya gerak kerja berhubung sebarang bentuk kegiatan Pendekar Madani dimulakan segera mulai tahun ini.


"Bangsa Melayu tidak akan gagal. Bangsa Melayu akan merempat. Bangsa Melayu akan terus dihina kalau tidak ada semangat bersatu, disiplin dan kekuatan.


"Saya tegaskan semula. Sejarah kita sejarah gemilang. Bila kita sebut Kesultanan Melayu, Melaka itu apa? Kuasa? Ya. Tapi kuasa kerana ilmu. Kuasa kerana kepintaran, kerana teknologi, kerana semangat dan akhlak, disiplin yang kuat.


"Itu yang harus kita tanam di dalam diri dan inilah kuasa Pendekar Madani Yang kita sebut negara madani," ujarnya.


Dalam pada itu, beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta pada tahun ini bagi tujuan menggerakkan kegiatan Pendekar Madani kepada semua badan pertubuhan silat di negara ini.


Pada majlis tersebut juga, Anwar ditabalkan sebagai Imam Khalifah Agong 'Sri Tri Buana Simanjakini Gangga Chula Sakti' oleh Datuk Dr. Raja Abdul Majid Raja Mat Isa, yang mewakili Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia.


Anwar berucap pada Himpunan Pendekar Madani di Politeknik Seberang Perai, hari ini. - Foto Kosmo Online.

Isnin, 15 September 2025

Pemancing terkejut buaya 1.5 meter muncul depan mata berhampiran sawah padi

Pemancing terkejut buaya 1.5 meter muncul depan mata berhampiran sawah padi


Penduduk di sekitar Paya Luboh, Tangga Batu di Melaka gempar apabila kelibat seekor buaya dipercayai sepanjang 1.5 meter muncul di sungai berhampiran sawah padi, tengah hari tadi.


Kemunculan reptilia itu disedari kira-kira pukul 12 tengah hari oleh sekumpulan pemancing yang sedang memancing di tebing sungai terbabit.


Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi berkata, beliau bergegas ke lokasi selepas menerima aduan penduduk mengenai kehadiran buaya berkenaan.


"Buaya berukuran kira-kira 1.5 meter itu dilihat berada di tebing sungai kecil di Paya Luboh, ia berkemungkinan naik ke kawasan berkenaan akibat banjir kilat dan fenomena air pasang, baru-baru ini.


"Sungai kecil itu sering menjadi lokasi kanak-kanak mandi serta aktiviti memancing, jadi saya segera menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Melaka untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita, hari ini.


Beliau berkata, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu turut berada di lokasi melakukan pemantauan sebelum kes diserahkan kepada pihak Perhilitan.


Sementara itu, Pengarah Perhilitan Melaka, Petra Sulai ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah menghantar kakitangan untuk mengesan reptilia berkenaan.


Kelibat seekor buaya sepanjang kira-kira 1.5 meter sempat dirakam pemancing ketika muncul di tebing sungai Paya Luboh, Tangga Batu, Melaka tengah hari tadi.
Berang ditegur merokok, lelaki serang pasangan suami isteri di restoran

Berang ditegur merokok, lelaki serang pasangan suami isteri di restoran


Seorang lelaki bertindak menyerang pasangan suami isteri selepas ditegur kerana merokok dalam sebuah restoran di Seksyen 13, Shah Alam, Khamis lalu.


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.50 malam itu, mangsa yang merupakan wanita hamil bersama suaminya tidak selesa dengan tindakan suspek yang merokok di meja berdekatan.


Beliau berkata, mangsa kemudian meminta pekerja restoran menegur perbuatan suspek itu namun tidak diendahkan.


"Selepas tiga kali ditegur oleh suami mangsa, suspek bangun dan menghampiri pasangan berkenaan.


"Suspek kemudian didakwa menghembus asap rokok ke arah mangsa sebelum berlakunya pertengkaran," katanya dalam kenyataan hari ini (Isnin).


Katanya, mangsa sempat merakam kejadian kerana bimbang suaminya dicederakan.


"Suspek kemudian bertindak menepis tangan mangsa mengakibatkan telefon bimbit mangsa terjatuh.


"Insiden itu bertukar menjadi aksi tolak-menolak sebelum suspek beredar meninggalkan restoran yang ketika itu dipenuhi pelanggan," katanya.


Menurutnya, siasatan di lokasi mendapati terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam kejadian berkenaan.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil," katanya.


Sebelum ini tular kejadian seorang lelaki bertindak menyerang pasangan suami isteri selepas berang ditegur kerana merokok dalam kejadian di sebuah restoran di Shah Alam.


Tular kejadian seorang lelaki bertindak menyerang pasangan suami isteri selepas berang ditegur kerana merokok dalam kejadian di sebuah restoran di Shah Alam. - Foto Sinar Harian.

Ahad, 14 September 2025

Pemandu warga asing tiada lesen memandu sudah 5 tahun bawa van 'haram'

Pemandu warga asing tiada lesen memandu sudah 5 tahun bawa van 'haram'


Pemandu warga asing tanpa lesen ditahan selepas dikesan menerusi Ops Gempur Kenderaan Perdagangan ketika membawa sebuah van dengan muatan besi buruk di Jalan Iskandar, Klang, semalam.


Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, lelaki warga Pakistan berusia 40-an itu mendakwa disuruh majikannya untuk membawa van berkenaan.


"Lelaki terbabit didapati tiada lesen memandu yang sah malah kenderaan dipandunya tidak mempunyai cukai jalan dan tiada perlindungan insurans.


"Pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan berkenaan mempamerkan nombor pendaftaran palsu dan semakan nombor casis mendapati didaftarkan atas sebuah syarikat," katanya.


Menurutnya, hasil soal siasat pemandu terbabit mengaku bekerja sebagai pemandu van membawa besi buruk berkenaan sejak lima tahun lalu.


Sementara itu Azrin berkata, sebanyak 75 kenderaan diperiksa terdiri daripada 30 kenderaan persendirian, perdagangan (40), dan perkhidmatan awam (lima) menerusi operasi itu yang dijalankan oleh empat anggota serta pegawai.


"Keseluruhannya 58 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu, tiada insurans, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, memandu bawah umur, dan langgar lampu isyarat merah.


"JPJ Selangor sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua aduan dan memastikan kenderaan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan," katanya.


Seorang lelaki warga Pakistan berusia 40-an ditahan kerana didapati memandu van menggunakan nombor pendaftaran palsu dan tiada lesen memandu. - Foto JPJ Selangor.
Wang KWSP lesap, rugi RM537,000 penyelia kilang diperdaya sindiket melalui telefon

Wang KWSP lesap, rugi RM537,000 penyelia kilang diperdaya sindiket melalui telefon


Seorang penyelia kilang berusia 59 tahun berputih mata apabila wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM400,000 miliknya lesap selepas diperdaya sindiket penyamaran melalui panggilan telefon.


Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, kejadian itu berlaku apabila mangsa menerima panggilan daripada individu yang kononnya menyamar sebagai ejen insurans dan pegawai polis pada 31 Ogos 2024.


Menurutnya, suspek mendakwa kononnya mangsa sedang disiasat oleh pihak polis kerana terlibat dalam membuat tuntutan insurans palsu di sebuah hospital swasta di Selangor.


"Mangsa kemudian diarahkan membuka akaun simpanan di sebuah bank dan memindahkan wang KWSP berjumlah RM400,000 ke akaun tersebut, selain turut menyerahkan akses penggunaan akaun kepada suspek.


"Hasil siasatan mendapati terdapat 21 transaksi pemindahan wang ke lapan akaun bank berbeza, dengan jumlah keseluruhan RM400,000 antara 5 hingga 11 September 2024," katanya ketika dihubungi hari ini (Ahad).


Tambah beliau, mangsa sekali lagi terperdaya apabila membuat 56 transaksi ke 30 akaun bank berbeza melibatkan jumlah keseluruhan RM137,000 antara 9 Februari hingga 12 September 2025.


"Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas suspek gagal dihubungi, dengan kerugian keseluruhan dialaminya berjumlah RM537,000," katanya.


Beliau berkata, mangsa kemudiannya tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman pada Ahad dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


Dalam pada itu, Mohd Razi menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan panggilan telefon daripada pihak yang tidak dikenali.


"Orang ramai disaran membuat semakan nombor telefon atau akaun bank yang meragukan melalui aplikasi Semak Mule. Selain itu, hubungi talian National Scam Response Centre (NSRC) 997 untuk pengesahan sebelum melakukan sebarang transaksi," katanya.