Pelajar tingkatan lima ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah dalam operasi bersepadu ketika pulang bercuti dari negara jiran, semalam.
Remaja berusia 17 tahun yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah menengah di Pulau Pinang dan tiga rakannya berusia 18 tahun ditahan ketika menunggang dua motosikal.
Hasil pemeriksaan mendapati keempat-empat mereka positif dadah jenis ketamin.
Dia dipercayai mengambil dadah itu dengan berkongsi rokok mengandungi bahan terlarang itu dengan tiga rakannya ketika berhibur di Thailand.
Pengarah AADK Kedah, Khairul Anwar Ahmad berkata, remaja itu ditahan di lorong motosikal jam 3.45 petang semalam di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.
Beliau berkata, ketika itu remaja terbabit dalam perjalanan pulang dari Thailand menuju ke rumahnya di Pulau Pinang selepas bercuti di negara jiran sejak Sabtu lalu.
"Hasil siasatan mendapati, remaja itu yang juga anak tunggal tinggal bersama datuk dan neneknya selepas ibu serta bapanya bercerai sejak berusia sembilan tahun.
"Dia memberi alasan ingin mencuba dadah terbabit disebabkan tekanan hidup dan perasaan ingin tahu.
"Selain itu, dia juga mengaku kali kedua mencuba dadah ini ketika kali pertama masuk ke Thailand sebelum ini," katanya ketika dihubungi hari ini.
Khairul Anwar berkata, dalam operasi itu, AADK turut menahan enam individu berusia 17 hingga 19 tahun kerana positif dadah.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya
EmoticonEmoticon