Polis Kelantan menahan tiga beranak membabitkan seorang ibu bersama dua anaknya dan merampas 108,000 biji pil yaba dan 37 kilogram (kg) ketum membabitkan nilai RM1.62 juta menerusi serbuan di sebuah rumah di Kampung Pauh Panji pada Rabu lalu.
Kesemua mereka yang ditahan iaitu dua wanita dan seorang lelaki berusia 19 hingga 60 tahun selepas intipan selama seminggu dilakukan pihak polis sebelum serbuan dilakukan jam 12.20 tengah hari.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata ketika serbuan dilakukan, tiga beranak berkenaan berada di dalam rumah itu.
"Pemeriksaan di rumah berkenaan menemui 18 bungkusan yang mengandungi 108,000 biji dipercayai pil yaba dan 37 kg daun ketum.
"Hasil soal siasat setakat ini mendapati bekalan dadah berkenaan milik suspek lelaki berusia 19 tahun, manakala kakaknya serta ibunya tidak mengaku. Bagaimanapun siasatan lanjut masih dilakukan.
"Kita percaya suspek mendalangi kegiatan pengedaran dadah ini sejak Mei lalu dan modus operandi yang dilakukan adalah bekalan dadah akan ditransit atau disimpan di rumah berkenaan sebelum diedar kepada pelanggan," katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.
Beliau berkata, hasil ujian air kencing terhadap ketiga-tiga suspek adalah negatif dan kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
"Selain rampasan dadah, kita turut menyita sebuah motosikal dan akan menyita harta suspek yang dikuatiri hasil daripada kegiatan pengedaran dadah.
"Kesemua suspek kini ditahan reman selama 14 hari sehingga 24 September dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan saki baki suspek sindiket berkenaan.
"Bekalan dadah yang dirampas itu boleh digunakan kepada 120,000 penagih," katanya.
EmoticonEmoticon