Ahad, 14 September 2025

Wang KWSP lesap, rugi RM537,000 penyelia kilang diperdaya sindiket melalui telefon


Seorang penyelia kilang berusia 59 tahun berputih mata apabila wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM400,000 miliknya lesap selepas diperdaya sindiket penyamaran melalui panggilan telefon.


Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, kejadian itu berlaku apabila mangsa menerima panggilan daripada individu yang kononnya menyamar sebagai ejen insurans dan pegawai polis pada 31 Ogos 2024.


Menurutnya, suspek mendakwa kononnya mangsa sedang disiasat oleh pihak polis kerana terlibat dalam membuat tuntutan insurans palsu di sebuah hospital swasta di Selangor.


"Mangsa kemudian diarahkan membuka akaun simpanan di sebuah bank dan memindahkan wang KWSP berjumlah RM400,000 ke akaun tersebut, selain turut menyerahkan akses penggunaan akaun kepada suspek.


"Hasil siasatan mendapati terdapat 21 transaksi pemindahan wang ke lapan akaun bank berbeza, dengan jumlah keseluruhan RM400,000 antara 5 hingga 11 September 2024," katanya ketika dihubungi hari ini (Ahad).


Tambah beliau, mangsa sekali lagi terperdaya apabila membuat 56 transaksi ke 30 akaun bank berbeza melibatkan jumlah keseluruhan RM137,000 antara 9 Februari hingga 12 September 2025.


"Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas suspek gagal dihubungi, dengan kerugian keseluruhan dialaminya berjumlah RM537,000," katanya.


Beliau berkata, mangsa kemudiannya tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman pada Ahad dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


Dalam pada itu, Mohd Razi menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan panggilan telefon daripada pihak yang tidak dikenali.


"Orang ramai disaran membuat semakan nombor telefon atau akaun bank yang meragukan melalui aplikasi Semak Mule. Selain itu, hubungi talian National Scam Response Centre (NSRC) 997 untuk pengesahan sebelum melakukan sebarang transaksi," katanya.


EmoticonEmoticon