Pemandu warga asing tanpa lesen ditahan selepas dikesan menerusi Ops Gempur Kenderaan Perdagangan ketika membawa sebuah van dengan muatan besi buruk di Jalan Iskandar, Klang, semalam.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, lelaki warga Pakistan berusia 40-an itu mendakwa disuruh majikannya untuk membawa van berkenaan.
"Lelaki terbabit didapati tiada lesen memandu yang sah malah kenderaan dipandunya tidak mempunyai cukai jalan dan tiada perlindungan insurans.
"Pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan berkenaan mempamerkan nombor pendaftaran palsu dan semakan nombor casis mendapati didaftarkan atas sebuah syarikat," katanya.
Menurutnya, hasil soal siasat pemandu terbabit mengaku bekerja sebagai pemandu van membawa besi buruk berkenaan sejak lima tahun lalu.
Sementara itu Azrin berkata, sebanyak 75 kenderaan diperiksa terdiri daripada 30 kenderaan persendirian, perdagangan (40), dan perkhidmatan awam (lima) menerusi operasi itu yang dijalankan oleh empat anggota serta pegawai.
"Keseluruhannya 58 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu, tiada insurans, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, memandu bawah umur, dan langgar lampu isyarat merah.
"JPJ Selangor sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua aduan dan memastikan kenderaan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan," katanya.
EmoticonEmoticon