Sabtu, 26 Julai 2025

Pemandu wanita terjatuh ke dalam lubang benam di Singapura

Pemandu wanita terjatuh ke dalam lubang benam di Singapura


Seorang pemandu wanita dikejarkan ke hospital selepas keretanya terjatuh ke dalam sebuah lubang benam di Jalan Tanjong Katong, Singapura hari ini.


Agensi air negara Singapura, PUB dalam kenyataan di Facebook memaklumkan bahawa wanita itu berjaya diselamatkan oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan berada dalam keadaan sedar pada masa itu.


Sebuah klip video yang tular di media sosial menunjukkan kereta berkenaan hampir tenggelam sepenuhnya dalam lubang benam yang dipenuhi air.


PUB berkata kejadian berlaku sekitar 5 petang berhampiran tapak kerja milik agensi itu dan melibatkan dua lorong jalan.



"Pihak Polis, SCDF dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) kini berada di lokasi bagi mengawal keadaan," menurut kenyataan itu.


PUB turut memaklumkan bahawa dua paip utama air rosak dalam kejadian terbabit dan usaha sedang dijalankan untuk mengasingkan saluran paip yang terjejas.


Sementara itu, LTA dalam kenyataan berasingan memaklumkan semua laluan dari kedua-dua arah telah ditutup sebagai langkah berjaga-jaga dan siasatan sedang dijalankan.


"Kontraktor kami berada di lokasi untuk membantu kerja-kerja pembaikan jalan," kata LTA sambil menasihatkan pengguna jalan raya supaya menggunakan laluan alternatif buat masa ini.


Lubang benam di Jalan Tanjong Karang berhampiran kondominium One Amber. - Foto ST.
'Saya tak takut, sanggup hadapi pengadilan mahkamah' - Tun Mahathir

'Saya tak takut, sanggup hadapi pengadilan mahkamah' - Tun Mahathir


Tun Dr Mahathir Mohamad membidas tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menurutnya menjatuhkan hukuman secara terbuka berhubung isu Pulau Batu Puteh.


Dr Mahathir berkata, beliau bersedia disiasat dan dibicarakan sekiranya benar terdapat kesalahan yang dilakukan sepanjang pentadbirannya dan proses itu perlu menurut lunas undang-undang.


"Saya tak takut dan sanggup hadap mana-mana mahkamah, saya boleh pertahankan diri saya," itu tegas bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir membidas tindakan Perdana Menteri.


Menurut beliau, Malaysia mempunyai sistem kehakiman tersendiri dan bukannya dikendalikan oleh Perdana Menteri secara peribadi.


"Dia sendiri angkat diri dia seolah-olah sebagai hakim, negara kita ada mahkamah, ada hakim, ada pendakwa raya.


"Tapi Anwar tak guna mahkamah, tak guna pendakwa raya, dia angkat diri sendiri jadi hakim," katanya ketika berucap pada Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka hari ini.


Beliau berkata, tindakan Perdana Menteri itu jelas bertentangan dengan prinsip keadilan apabila seolah-olah bertindak sebagai pendakwa, hakim dan penguat kuasa dalam masa sama.


"Anwar angkat diri seolah dia hakim, jadi pendakwa, jadi polis, segala-galanya, ini bukan sistem keadilan.


"Banyak kesalahan dilakukan oleh Anwar, orang lain buat salah dia serbu, dia rampas," katanya.


Media sebelum ini melaporkan bahawa Kabinet memutuskan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu Batu Puteh atas faktor usianya yang sudah lanjut.


Bagaimanapun, jelas Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim, kerajaan bagaimanapun berpendirian Mahathir tetap bersalah kerana keputusan beliau sebagai Perdana Menteri pada 2018 yang melepaskan Batu Puteh dengan begitu mudah kepada Singapura.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai bagaimana keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2002 berkaitan kedaulatan Pulau Ligitan dan Sipadan dapat mempengaruhi penentuan sempadan maritim antara Malaysia dan Indonesia di kawasan Laut Sulawesi termasuk kedaulatan blok ND6 (Blok Y) dan ND7 (Blok Z).


Terdahulu, laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang dinyahklasifikasi dan dikeluarkan pada Disember tahun lalu mendedahkan kerajaan di bawah pentadbiran Mahathir secara sepihak membuat keputusan menarik balik permohonan bagi menyemak semula dan mentafsir keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008 yang menganugerahkan Batu Puteh kepada Singapura.


Menurut suruhanjaya itu, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.


Dr Mahathir ketika hadir Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka hari ini. - Foto Sinar Harian.

Jumaat, 25 Julai 2025

Polis tembak m*ti 2 warga asing disyaki 'kepala' geng samun, pecah rumah membabitkan 50 kes

Polis tembak m*ti 2 warga asing disyaki 'kepala' geng samun, pecah rumah membabitkan 50 kes


Dua warga asing disyaki dalang geng samun dan pecah rumah membabitkan 50 kes, maut ditembak dalam Ops Aman 6, di Jalan Semerah Padi, Cheras awal pagi tadi.


Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, dua lelaki berkenaan dipercayai perancang utama kumpulan berkenaan yang sudah mengakibatkan kerugian lebih RM3 juta.


Menurutnya, kumpulan itu dipercayai aktif terutama di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Perak, malah dua suspek terbabit disyaki sedang mencari sasaran baharu sebelum ditembak kira-kira 3.45 pagi.


"Suspek menaiki Honda Civic berwarna putih yang dicuri pada 2023 di Subang Jaya, dan dipercayai sedang mencari sasaran di kawasan itu.


"Kita cuba pintas mereka dan berlaku halangan serta tembak-menembak menyebabkan dua suspek terbabit mati," katanya pada sidang media di lokasi kejadian awal pagi hari ini.


Turut hadir, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan dan Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Ridzuan Khalid.


Fadil berkata, kumpulan itu dipercayai mempunyai kira-kira 15 ahli dan aktif melakukan kegiatan jenayah samun, pecah rumah, dan aktiviti berkaitan dadah sejak 2022.


Katanya, pemeriksaan di dalam kenderaan suspek menemukan pelbagai peralatan pecah rumah, sejumlah dadah, dan dua senjata api revolver serta senjata api semi automatik.


"Mereka ni adalah aktif melakukan samun rumah banglo unit end-lot, corner lot, menggunakan senjata api, menggunakan parang.


"Mereka juga dipercayai terbabit dengan aktiviti dadah. Pemeriksaan awal mendapati ada sejumlah dadah di dalam kenderaan, dan peralatan pecah rumah, lengkap dengan grinder, dengan mesin, semua ada.


"Turut ditemukan, balaclava, sarung tangan dan sebagainya, jadi, Alhamdulillah, setakat ini tidak ada kecederaan di pihak polis dan dipermudahkan urusan kita," katanya.


Menurutnya, siasatan setakat ini mendedahkan bahawa mereka adalah warga asing sah yang sudah menetap lama di Malaysia.


Katanya, polis giat memburu saki-baki ahli kumpulan terbabit dan pihaknya menjangkakan akan ada beberapa tangkapan membabitkan kumpulan itu dalam masa terdekat.


Polis melakukan siasatan di lokasi kejadian di Jalan Semerah Padi, Cheras di sini, hari ini. - Foto Harian Metro.
Rumah dipecah masuk, cucu Tun Mahathir rugi RM1.8 juta

Rumah dipecah masuk, cucu Tun Mahathir rugi RM1.8 juta


Cucu kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerugian kira-kira RM1.8 juta selepas kediamannya di Bukit Ledang, Kuala Lumpur di pecah masuk, kelmarin


Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan ketika dihubungi mengesahkan berhubung kejadian itu.


"Kerugian dianggarkan bernilai RM1.8 juta iaitu membabitkan kehilangan barang kemas di bilik mangsa.


"Suspek setakat ini masih belum dikenal pasti, siasatan lanjut berhubung kejadian sedang dijalankan termasuk meneiliti kamera rakaman litar tertutup (cctv) di kediaman terbabit," katanya.


Sementara itu, memetik sumber yang dilaporkan Harian Metro, kejadian disedari kira-kira jam 3 petang apabila pembantu rumah mangsa menghubunginya untuk memaklumkan bahawa pintu pagar bahagian belakang rumah telah dipotong dan bilik mangsa dimasuki pencuri.


"Mangsa kemudian membuat semakan dan mendapati terdapat kesan pecah masuk di biliknya.


"Mangsa melakukan pemeriksaan dan mendapati beberapa barang miliknya hilang," katanya.

Legenda gusti WWE, Hulk Hogan meninggal dunia

Legenda gusti WWE, Hulk Hogan meninggal dunia


Legenda gusti dunia World Wrestling Entertainment (WWE), Hulk Hogan, disahkan telah meninggal dunia semalam pada usia 71 tahun.


Hogan, yang nama sebenarnya Terry Gene Bollea, disahkan meninggal dunia selepas polis dan pasukan perubatan kecemasan (EMT) dipanggil ke kediamannya di Clearwater, Florida, pagi Khamis (24 Julai).


Menurut TMZ, panggilan kecemasan dibuat berhubung kejadian 'serangan jantung', dan sepasukan paramedik serta polis dilihat berada di luar rumah Hogan.


Hogan dikatakan diusung keluar dari rumahnya menggunakan pengusung sebelum dimasukkan ke dalam ambulans, dan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital.


Polis Clearwater belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi setakat ini, manakala punca kematian belum diumumkan.


Pihak WWE mengesahkan berita duka itu dalam satu kenyataan rasmi.


"WWE berduka cita apabila menerima berita bahawa Ahli Dewan Kemasyhuran WWE, Hulk Hogan, telah meninggal dunia.


"Sebagai salah satu ikon yang paling dikenali, Hogan telah membantu WWE mencapai pengiktirafan global pada era 1980-an.


"WWE mengucapkan takziah kepada keluarga, rakan-rakan dan peminat beliau," kata kenyataan itu.


Kesihatan Hogan sebelum ini dilaporkan semakin merosot, termasuk khabar angin yang mendakwa beliau berada dalam keadaan tenat dan koma sebelum pemergiannya.


Hulk Hogan dilaporkan sudah meninggal dunia. - Foto Reuters.

Khamis, 24 Julai 2025

Lelaki tersangkut dalam kolah bilik air diselamatkan anggota bomba

Lelaki tersangkut dalam kolah bilik air diselamatkan anggota bomba


Seorang lelaki terpaksa diselamatkan oleh anggota bomba selepas tersangkut dalam kolah bilik air di rumahnya di Pengkalan Chepa, Kota Bharu hari ini.


Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nazri Ab Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.49 petang.


"Setiba di lokasi, kami dapati mangsa yang berusia 48 tahun berada dalam kolah dengan keadaan separuh badan terperangkap.


"Mangsa difahamkan mempunyai berat sekitar 120 kilogram," katanya ketika dihubungi.


Menurut beliau, hasil maklumat daripada keluarga, lelaki itu dipercayai tergelincir ketika masuk ke tandas sebelum jatuh ke dalam kolah dan tidak dapat mengangkat dirinya keluar.


Ujarnya, usaha awal oleh bapa dan adik mangsa untuk mengeluarkannya gagal sebelum mereka mengambil keputusan menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.


Mohd Nazri memberitahu, seramai empat anggota dikerahkan dan operasi mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengangkat mangsa keluar dengan selamat.


"Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.


Seorang lelaki terpaksa diselamatkan oleh anggota bomba selepas tersangkut dalam kolah bilik air rumahnya di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, hari ini. - Foto JBPM.

Rabu, 23 Julai 2025

Harimau Malaya 'Uji' Palestin, Singapura ganti Piala CAFA 2025

Harimau Malaya 'Uji' Palestin, Singapura ganti Piala CAFA 2025


Pasukan di ranking 98 dunia, Palestin sah bakal menguji skuad Harimau Malaya pada aksi jendela antarabangsa September ini.


Perkara itu disahkan pengendali negara, Peter Cklamovski kepada pihak media ketika sesi santai minum petang bersamanya di Petaling Jaya, hari ini.


Katanya, selain Palestin, sebuah lagi pasukan adalah Singapura yang kini menghuni ranking 159 dunia.


Ujarnya, dua aksi berkenaan bakal menggantikan penyertaan Malaysia di Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025 yang terpaksa menarik diri saat akhir.


"Kami sudah ada dua perlawanan yang boleh disahkan. Satu menentang Singapura, babitkan aksi derbi. Perlawanan kedua pula menentang pasukan dalam ranking 100 terbaik dunia, Palestin," katanya.


Ditanya mengenai pemilihan dua pasukan terbabit, Cklamovski tegaskan kedua-dua negara itu mampu meningkatkan mutu permainan pasukan.


"Sekali lagi, saya rasa kita menghormati setiap lawan, tetapi apabila kita menentang Singapura, ia akan menjadi perlawanan penuh emosi, suasana di stadium akan hebat, ia perlawanan bermakna dan cabaran yang baik untuk kami.


"Palestin juga sama, negara yang penuh emosi dan patriotik dan kami mahu mencabar diri menentang mereka.


"Sekali lagi, dengan asas membina identiti pasukan, terus membangunkan permainan kerana apa yang kami lakukan menentang Vietnam bagus. Kami bermain bola yang baik, menjaringkan empat gol menewaskan seteru 4-0," katanya.


pengendali negara, Peter Cklamovski bersama media dalam sesi minum petang. - Foto Harian Metro.

Selasa, 22 Julai 2025

Buruh mengaku salah bakar basikal, cover set motor berhadapan hukumam penjara 14 tahun

Buruh mengaku salah bakar basikal, cover set motor berhadapan hukumam penjara 14 tahun


Seorang buruh mengaku salah di Mahkamah Sesyen, Kota Bharu hari ini atas tuduhan membakar basikal dan cover set motosikal abangnya, kira-kira dua minggu lalu.


Tertuduh, Mohd. Jasri Mohd. Daud, 39, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.


Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan khianat dengan api iaitu membakar sebuah basikal dan set badan motosikal milik abangnya berusia 40 tahun.


Pertuduhan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Bukit Mak Lipah, Mahligai Gunong, Bachok, kira-kira jam 6.30 petang pada 12 Julai 2025.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 17 Ogos untuk prosiding jatuh hukuman.


Anggota polis membawa Mohd. Jasri (tengah) untuk didakwa atas pertuduhan melakukan khianat dengan api di Mahkamah Sesyen
Kota Bharu hari ini. - Foto Harian Metro.

Isnin, 21 Julai 2025

Wanita amuk dihalang masuk stadium tengok konsert K-pop, G-Dragon

Wanita amuk dihalang masuk stadium tengok konsert K-pop, G-Dragon


Tindakan seorang wanita dipercayai warga asing yang cuba membuka pintu masuk Stadium Nasional Bukit Jalil secara agresif menarik perhatian orang ramai.


Menerusi hantaran di aplikasi TikTok milik @Itsnotkamelia wanita itu bertindak demikian kerana pintu stadium yang menjadi lokasi penganjuran konsert bintang K-pop, G-Dragon ditutup disebabkan melebihi waktu yang ditetapkan.


"Wanita itu mula menjerit kepada pihak pengurusan dan mengamuk kerana disekat untuk masuk ke dalam stadium.


"Pengumuman terlebih awal sudah dimaklumkan, tetapi mereka ambil mudah dan sengaja lambat. Nasib baik ada seorang rakyat tempatan yang 'sekolahkan' wanita tersebut supaya berhenti membuat kecoh," katanya.


Di ruangan komen, orang ramai meluahkan rasa tidak senang dengan perbuatan wanita tersebut kerana menghalang pihak pengurusan konsert untuk menjalankan tugas.


"Kakak yang tegur itu sangat berani ya, terima kasih orang baik," komen seorang netizen.


"Kakak baju hijau itu tegur elok-elok sahaja, tapi mereka masih cakap kuat dan tengking balik kakak itu," komen netizen lain.


Tangkap layar menunjukkan seorang wanita dipercayai warga asing cuba membuka pintu stadium secara agresif selepas dilarang pihak pengurusan konsert G-Dragon.

Ahad, 20 Julai 2025

Polis serbu parti liar dalam rumah banglo 38 individu penuntut IPTS ditahan

Polis serbu parti liar dalam rumah banglo 38 individu penuntut IPTS ditahan


Kelekaan sekumpulan penuntut institut pengajian tinggi swasta (IPTS) berhibur sambil mengambil dadah dalam satu parti persendirian di sebuah banglo di Subang Jaya mengundang padah apabila diserbu polis tengah malam tadi.


Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Azlan Wan Mamat berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menjalankan serbuan itu jam 12.30 tengah malam.


Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati seramai 38 individu membabitkan 25 warga tempatan dan 13 warga asing berusia 18 hingga 27 tahun rata-ratanya penuntut IPTS menyertai parti liar itu.


"Dalam serbuan terbabit, polis menahan empat lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 25 tahun yang disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.


"Sebanyak 6.5 gram disyaki ganja dan 1.7 gram disyaki ketamin dirampas dalam serbuan itu," katanya dalam kenyataannya malam ini.


Wan Azlan berkata, kesemua individu terbabit dibawa ke BSJN IPD Subang Jaya untuk menjalani ujian air kencing dan seramai sembilan warga tempatan dan tiga warga negara asing didapati positif dadah.


"Kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.


Antara individu yang ditahan berparti di sebuah rumah banglo di Subang Jaya. - Foto Ihsan PDRM.