Rabu, 23 Julai 2025

Harimau Malaya 'Uji' Palestin, Singapura ganti Piala CAFA 2025


Pasukan di ranking 98 dunia, Palestin sah bakal menguji skuad Harimau Malaya pada aksi jendela antarabangsa September ini.


Perkara itu disahkan pengendali negara, Peter Cklamovski kepada pihak media ketika sesi santai minum petang bersamanya di Petaling Jaya, hari ini.


Katanya, selain Palestin, sebuah lagi pasukan adalah Singapura yang kini menghuni ranking 159 dunia.


Ujarnya, dua aksi berkenaan bakal menggantikan penyertaan Malaysia di Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025 yang terpaksa menarik diri saat akhir.


"Kami sudah ada dua perlawanan yang boleh disahkan. Satu menentang Singapura, babitkan aksi derbi. Perlawanan kedua pula menentang pasukan dalam ranking 100 terbaik dunia, Palestin," katanya.


Ditanya mengenai pemilihan dua pasukan terbabit, Cklamovski tegaskan kedua-dua negara itu mampu meningkatkan mutu permainan pasukan.


"Sekali lagi, saya rasa kita menghormati setiap lawan, tetapi apabila kita menentang Singapura, ia akan menjadi perlawanan penuh emosi, suasana di stadium akan hebat, ia perlawanan bermakna dan cabaran yang baik untuk kami.


"Palestin juga sama, negara yang penuh emosi dan patriotik dan kami mahu mencabar diri menentang mereka.


"Sekali lagi, dengan asas membina identiti pasukan, terus membangunkan permainan kerana apa yang kami lakukan menentang Vietnam bagus. Kami bermain bola yang baik, menjaringkan empat gol menewaskan seteru 4-0," katanya.


pengendali negara, Peter Cklamovski bersama media dalam sesi minum petang. - Foto Harian Metro.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon