Seorang lelaki terpaksa diselamatkan oleh anggota bomba selepas tersangkut dalam kolah bilik air di rumahnya di Pengkalan Chepa, Kota Bharu hari ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nazri Ab Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.49 petang.
"Setiba di lokasi, kami dapati mangsa yang berusia 48 tahun berada dalam kolah dengan keadaan separuh badan terperangkap.
"Mangsa difahamkan mempunyai berat sekitar 120 kilogram," katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, hasil maklumat daripada keluarga, lelaki itu dipercayai tergelincir ketika masuk ke tandas sebelum jatuh ke dalam kolah dan tidak dapat mengangkat dirinya keluar.
Ujarnya, usaha awal oleh bapa dan adik mangsa untuk mengeluarkannya gagal sebelum mereka mengambil keputusan menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.
Mohd Nazri memberitahu, seramai empat anggota dikerahkan dan operasi mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengangkat mangsa keluar dengan selamat.
"Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
EmoticonEmoticon