Dua warga asing disyaki dalang geng samun dan pecah rumah membabitkan 50 kes, maut ditembak dalam Ops Aman 6, di Jalan Semerah Padi, Cheras awal pagi tadi.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, dua lelaki berkenaan dipercayai perancang utama kumpulan berkenaan yang sudah mengakibatkan kerugian lebih RM3 juta.
Menurutnya, kumpulan itu dipercayai aktif terutama di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Perak, malah dua suspek terbabit disyaki sedang mencari sasaran baharu sebelum ditembak kira-kira 3.45 pagi.
"Suspek menaiki Honda Civic berwarna putih yang dicuri pada 2023 di Subang Jaya, dan dipercayai sedang mencari sasaran di kawasan itu.
"Kita cuba pintas mereka dan berlaku halangan serta tembak-menembak menyebabkan dua suspek terbabit mati," katanya pada sidang media di lokasi kejadian awal pagi hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan dan Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Ridzuan Khalid.
Fadil berkata, kumpulan itu dipercayai mempunyai kira-kira 15 ahli dan aktif melakukan kegiatan jenayah samun, pecah rumah, dan aktiviti berkaitan dadah sejak 2022.
Katanya, pemeriksaan di dalam kenderaan suspek menemukan pelbagai peralatan pecah rumah, sejumlah dadah, dan dua senjata api revolver serta senjata api semi automatik.
"Mereka ni adalah aktif melakukan samun rumah banglo unit end-lot, corner lot, menggunakan senjata api, menggunakan parang.
"Mereka juga dipercayai terbabit dengan aktiviti dadah. Pemeriksaan awal mendapati ada sejumlah dadah di dalam kenderaan, dan peralatan pecah rumah, lengkap dengan grinder, dengan mesin, semua ada.
"Turut ditemukan, balaclava, sarung tangan dan sebagainya, jadi, Alhamdulillah, setakat ini tidak ada kecederaan di pihak polis dan dipermudahkan urusan kita," katanya.
Menurutnya, siasatan setakat ini mendedahkan bahawa mereka adalah warga asing sah yang sudah menetap lama di Malaysia.
Katanya, polis giat memburu saki-baki ahli kumpulan terbabit dan pihaknya menjangkakan akan ada beberapa tangkapan membabitkan kumpulan itu dalam masa terdekat.
EmoticonEmoticon