Tun Dr Mahathir Mohamad membidas tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menurutnya menjatuhkan hukuman secara terbuka berhubung isu Pulau Batu Puteh.
Dr Mahathir berkata, beliau bersedia disiasat dan dibicarakan sekiranya benar terdapat kesalahan yang dilakukan sepanjang pentadbirannya dan proses itu perlu menurut lunas undang-undang.
"Saya tak takut dan sanggup hadap mana-mana mahkamah, saya boleh pertahankan diri saya," itu tegas bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir membidas tindakan Perdana Menteri.
Menurut beliau, Malaysia mempunyai sistem kehakiman tersendiri dan bukannya dikendalikan oleh Perdana Menteri secara peribadi.
"Dia sendiri angkat diri dia seolah-olah sebagai hakim, negara kita ada mahkamah, ada hakim, ada pendakwa raya.
"Tapi Anwar tak guna mahkamah, tak guna pendakwa raya, dia angkat diri sendiri jadi hakim," katanya ketika berucap pada Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka hari ini.
Beliau berkata, tindakan Perdana Menteri itu jelas bertentangan dengan prinsip keadilan apabila seolah-olah bertindak sebagai pendakwa, hakim dan penguat kuasa dalam masa sama.
"Anwar angkat diri seolah dia hakim, jadi pendakwa, jadi polis, segala-galanya, ini bukan sistem keadilan.
"Banyak kesalahan dilakukan oleh Anwar, orang lain buat salah dia serbu, dia rampas," katanya.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Kabinet memutuskan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu Batu Puteh atas faktor usianya yang sudah lanjut.
Bagaimanapun, jelas Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim, kerajaan bagaimanapun berpendirian Mahathir tetap bersalah kerana keputusan beliau sebagai Perdana Menteri pada 2018 yang melepaskan Batu Puteh dengan begitu mudah kepada Singapura.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai bagaimana keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2002 berkaitan kedaulatan Pulau Ligitan dan Sipadan dapat mempengaruhi penentuan sempadan maritim antara Malaysia dan Indonesia di kawasan Laut Sulawesi termasuk kedaulatan blok ND6 (Blok Y) dan ND7 (Blok Z).
Terdahulu, laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang dinyahklasifikasi dan dikeluarkan pada Disember tahun lalu mendedahkan kerajaan di bawah pentadbiran Mahathir secara sepihak membuat keputusan menarik balik permohonan bagi menyemak semula dan mentafsir keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008 yang menganugerahkan Batu Puteh kepada Singapura.
Menurut suruhanjaya itu, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.
EmoticonEmoticon