Khamis, 11 November 2021

Gerhana Bulan Paling Lama Abad Ini Dijangka Berlaku 19 November

Gerhana Bulan Paling Lama Abad Ini Dijangka Berlaku 19 November


Gerhana bulan separa yang dijangka berlaku pada 19 November ini bakal menjadi gerhana bulan paling lama dalam abad ini. Orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena ini yang dijangka berlaku pada petang Jumaat minggu depan.


Menurut Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA), gerhana bulan itu akan berlaku selama 3 jam dan 28 minit. Pada 2018, gerhana bulan penuh berlaku selama satu jam 42 minit dan 57 saat.


Kebiasaannya, gerhana akan berlangsung kurang dari dua jam, maka fenomena alam yang bakal berlaku pada tengah November ini disifatkan gerhana bulan paling lama.


Gerhana bulan ini juga dikenali dengan nama 'frost moon atau beaver moon'. Ini bermaksud, gerhana bulan kali ini akan menjadi 'blood moon' separa dengan warna kemerahan dapat dilihat pada permukaan bulan.


Blood moon adalah gelaran diberikan untuk fenomena gerhana bulan penuh yang berlaku ketika posisi Bumi terletak tepat antara matahari dan bulan sehingga bayang Bumi menutupi bulan.


"Fenomena gerhana bulan ini boleh dilihat dengan jelas tanpa binokular atau teleskop di beberapa kawasan di seluruh dunia namun ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar di Malaysia," kata Planetarium Negara menerusi laman Twitter rasmi mereka.


NASA turut menjangkakan sebanyak 179 fenomena gerhana akan terjadi dalam tempoh lapan dekad ini dan secara purata, gerhana mungkin terjadi dua kali dalam setahun.


Pada 19 November ini, dianggarkan hampir 97 peratus bulan akan terlindung dari Bumi. Peristiwa gerhana seterusnya dijangka akan berlaku pada 16 Mei tahun hadapan. 

Pada Tahun 2025, Saintis Ramal Ribut Matahari Dahsyat Akan Landa Bumi

Pada Tahun 2025, Saintis Ramal Ribut Matahari Dahsyat Akan Landa Bumi


Hari ini kita bergantung pada elektrik untuk segalanya, jadi mungkin kita bertanya-tanya apakah kita akan dapat menjalani kehidupan normal jika ribut Matahari melanda Bumi. Pengkaji NASA sejak dulu kerap memberikan amaran berkenaan kesan cuaca angkasa dan kesan buruknya ke atas Bumi.


Menurut Profesor Hayakawa, jika Bumi mengalami ribut solar dalam tempoh yang panjang (beberapa hari), banyak peralatan elektrik akan menghadapi kerosakan disebabkan oleh gelombang magnet, turut menyebabkan kerosakan pada sistem komunikasi, pendedahan radioaktif pada pesawat, kerosakan sistem GPS dan sebagainya.


Menerusi lapor akhbar Daily Star 7 November 2021, Saintis meramalkan fenomena ribut geomagnetik yang berlaku awal minggu lepas merupakan satu amaran kepada kejadian ribut Matahari lebih dahsyat yang dijangka berlaku pada 2025.


Fenomena ribut Matahari pada minggu lepas berlaku akibat beberapa siri ledakan pada permukaannya yang menunjukkan bahawa aktiviti solar boleh menjejaskan bukan sekadar Matahari.


Ini kerana apabila letusan tersebut sampai ke Bumi, ia boleh mewujudkan fenomena digelar cuaca angkasa lepas, yang boleh merosakkan satelit serta menghasilkan kejadian cahaya aurora. Dalam tempoh beberapa tahun lepas, hanya terdapat beberapa aktiviti solar yang minimum, namun kini fenomena tersebut semakin kerap berlaku.


"Ini telah mempercepatkan kitaran solar yang seterusnya, di mana kami meramalkan ia akan berlaku pada 2025," kata Penyelaras Program Pusat Ramalan Cuaca Angkasa Lepas, Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat, Bill Murtagh.


Tambah Murtagh, kejadian ribut geomagnetik pada minggu lepas berasal daripada Lontaran Jisim Korona (CME), yang merupakan gelombang-gelombang bahan daripada Matahari yang kadangkala meledak.


"CME merupakan awan gas plasma seberat berbilion-bilion tan yang mempunyai medan magnetik. Apabila Matahari meledakkan magnet-magnet tersebut ke angkasa lepas, ia akan dipindahkan ke Bumi.


"Bagaimanapun, Bumi mempunyai medan magnetiknya yang tersendiri dan sekiranya magnetik-magnetik ini bercampur, ia akan mengakibatkan kejadian ribut geomagnetik yang besar dan dahsyat," jelasnya.


Menurut satu kajian yang diadakan pada tahun 2008, andai ribut Matahari kuat melanda Bumi, ia akan menyebabkan kerosakan yang dianggarkan berjumlah $2 trilion (RM8.2 trilion).

Rabu, 10 November 2021

NASA Berjaya Rakam Formasi Batuan Berlapis, Bukti Baharu Hidupan Mungkin Wujud Di Marikh

NASA Berjaya Rakam Formasi Batuan Berlapis, Bukti Baharu Hidupan Mungkin Wujud Di Marikh


Sekumpulan saintis NASA sebelum ini mengatakan planet Marikh sejak bilion tahun lampau memiliki sistem tasik dan aliran air berpanjangan, sekali gus membuktikan planet merah ini pernah memiliki persekitaran lebih baik berbanding jangkaan penyelidik sebelumnya.


Baru-baru ini, kenderaan robotik NASA, Perseverance menemukan satu lagi bukti baharu menunjukkan kehidupan mungkin wujud di Planet Marikh. Perseverance merakam gambar formasi batuan berlapis yang terletak di Kawah Jezero dan kumpulan pakar berpendapat, pembentukan formasi batuan itu disebabkan oleh aliran air.


Menerusi laman berita SPACE.com pada 5 November 2021, melaporkan imej batuan tersebut dihantar ke Bumi pada minggu lepas untuk diteliti, sekali gus mengukuhkan teori terdapat kehidupan di Marikh sebelum ini.


Berkongsi imej itu dalam Twitter, NASA menjelaskan, batuan berlapis tersebut kebiasaannya terbentuk dalam air dan boleh memberi petunjuk jenis hidupan yang ada di dalam air tersebut.



Perkongsian itu mendapat perhatian pelbagai pihak yang kebanyakannya tidak sabar untuk mengetahui jika benar Marikh pernah mempunyai hidupan sebelum ini.


Seorang pengguna Twitter bertanya, adakah lapisan batuan itu boleh mengandungi fosil seperti batuan di Bumi? Ada juga pengguna Twitter berharap pasukan penyelidik akan menemukan fosil tumbuh-tumbuhan bagi menyokong teori kehidupan di Marikh.


Perseverance mendarat di Marikh pada 18 Februari 2021 dengan tujuan mengumpul sampel untuk mengkaji jika terdapat hidupan di planet tersebut. Setakat ini, kenderaan robotik tersebut sudah mengumpul dua sampel dari Marikh.


Kesemua sampel yang dikumpul dari planet merah ini akan dibawa pulang ke Bumi seawal tahun 2031 dan dihantar ke sejumlah makmal di seluruh dunia untuk diperiksa.


Formasi batuan berlapis yang terletak di Kawah Jezero di Marikh, yang disiarkan di Twitter pada 4 November 2021. - Foto NASA/JPL-Caltech.

Selasa, 9 November 2021

'Ikan Jerung Paling Lasak' Ditemui Dengan Kesan Parut Diseluruh Badan

'Ikan Jerung Paling Lasak' Ditemui Dengan Kesan Parut Diseluruh Badan


Seekor ikan jerung putih diumumkan sebagai jerung 'paling lasak' di dunia kerana mempunyai banyak kesan parut akibat gigitan diseluruh badannya selepas bertahun-tahun melawan makhluk laut yang lain, lapor akhbar Daily Star pada 7 November 2021.


Ikan jerung putih tersebut dirakam berenang berhampiran dengan Pulau Neptune di Australia Selatan yang dikatakan tempat tinggal kepada kira-kira 1000 ekor jerung putih.


Ahli sinematografi bawah air, Dean Spraakman yang mengendalikan rakaman luar biasa itu semasa pengembaraannya pada Januari lalu berkata, jerung putih jantan berukuran 3.35 meter itu 'sangat peramah'.


Dia turut mendakwa bahawa pasukannya tidak dapat mengenal pasti apa yang menyebabkan parut yang teruk pada badan jerung tersebut, kerana tiada sesiapa pun pernah terserempak dengan jerung yang cedera sebegitu teruk sebelum ini.


"Mereka pada mulanya menyangka parut itu terjadi mungkin disebabkan oleh kipas bot atau berkemungkinan jerung itu terperangkap dalam kandang tuna di kawasan itu, tetapi mereka segera menolak kedua-dua teori itu.



"Kadang-kadang kami melihat jerung putih menjejaki pari untuk memburu dan memakannya dan menyangka mereka mengejarnya ke kawasan terumbu cetek yang agak tajam dan mungkin tersangkut dan menyebabkan kesan teruk seperti itu," kata Dean.


Tambahnya, kita hanya boleh membuat spekulasi tentang apa yang berlaku di sana dan sejujurnya tiada siapa yang tahu apa yang menyebabkan kesan parut seperti itu pada jerung tetapi haiwan tersakiti itu tentu mengalami kesukaran.


Dalam pada itu, pengembara National Geografik, Profesor Yannis Papastamatiou berkata, beberapa kesan itu mungkin terjadi disebabkan pergaduhan dengan jerung lain.


"Jerung betina sering mempunyai parut kerana mengawan, tetapi jerung jantan juga boleh digigit semasa interaksi dengan jerung yang lebih besar yang mahu mendominasi jerung yang lebih kecil," katanya kepada akhbar The Sun.


Menurut Daily Star, jerung putih ini merupakan ikan pemangsa paling besar di dunia. Mereka juga dikatakan tidak mengunyah dan hanya menelan makanan mereka walaupun mempunyai 300 gigi.


Kesan parut berkemungkinan terjadi hasil pergaduhan dengan haiwan laut lain. - Foto Daily Star.
hai

Isnin, 8 November 2021

Pinjam Wang Untuk Kahwin, Lelaki Tuntut Hutang Nyaris Ditetak

Pinjam Wang Untuk Kahwin, Lelaki Tuntut Hutang Nyaris Ditetak


KLANG - Seorang tukang cuci kereta yang berhasrat menuntut semula hutang daripada adik saudaranya bukan sahaja tidak kesampaian, malah dia nyaris ditetak dalam kejadian di Taman Sentosa, kelmarin.


Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 malam ketika mangsa berusia 25 tahun bersama dua beradik sedang duduk di hadapan rumah ibunya. Hutang yang dituntut mangsa adalah sebanyak RM2,200, dipinjam suspek tahun lalu bagi menampung kos perkahwinan.


Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, sekumpulan suspek yang menaiki dua kereta jenis Proton Wira dan Hyundai kemudiannya tiba dengan seorang daripadanya adalah adik saudara mangsa.


Katanya, dua suspek telah bertindak menyerang mangsa dan adiknya menggunakan senjata parang dan pisau. Suspek juga cuba menetak mangsa namun berjaya ditahan ibu bapa dan adik beradik mangsa.


"Bantuan turut disalurkan jiran-jiran mangsa dalam menyuraikan keadaan dan menghalau kesemua suspek agar beredar," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Kata beliau, susulan kejadian tersebut hanya adik lelaki mangsa berusia 21 tahun cedera di bahagian muka akibat ditumbuk oleh suspek.


Jelas Shamsul Amar, bertindak maklumat kemudiannya berjaya menahan sembilan suspek lelaki berusia 20 hingga 28 tahun dalam tempoh lima jam sahaja di kawasan berhampiran rumah mangsa.


Beliau berkata, pihaknya turut merampas kereta jenis Proton Wira selain dua bilah parang masing-masing berukuran 69 dan 67 sentimeter serta sebilah pisau lipat.


"Punca kejadian disebabkan mangsa meminta wang RM2,200 yang dipinjam adik saudaranya sejak tahun lalu kerana tidak cukup wang kahwin.


"Hasil semakan lima daripada suspek mempunyai rekod lampau termasuk berkaitan ugutan, merompak, mencuri dan dadah," katanya.

Lelaki Panik Cari Lori Sampah, Wang Tunai RM90,000 Dibuangnya Tanpa Sengaja

Lelaki Panik Cari Lori Sampah, Wang Tunai RM90,000 Dibuangnya Tanpa Sengaja


Seorang pemilik sebuah perniagaan di pulau Lemnos di Greece, hampir berputih mata apabila tanpa sengaja telah membuang wang tunai berjumlah £16,000 (RM89,842) yang disangkanya sampah sarap, lapor Daily Star pada 5 November 2021.


Individu yang tidak didedahkan identitinya itu telah meletakkan wang tunai tersebut di dalam dua bungkus beg plastik sampah. Dia berbuat demikian kerana mahu mendepositkan wang tersebut ke dalam sebuah bank Isnin depan.


Selain mahu menyimpan wang, lelaki itu juga ingin membuang beberapa kotak berisi sampah sarap. Dia kemudiannya membuang plastik sampah yang ada padanya bersama plastik berisi wang tunai tersebut sebelum kembali semula ke kedainya.


Lelaki berkenaan kemudiannya tersedar akan kesilapannya selepas mendapati tiada wang di dalam mesin daftar tunai di kedainya.


"Saya melihat sekeliling dan menyedari beg yang penuh dengan wang itu tidak ada lagi dan tersedar akan kesilapan yang telah saya lakukan.


"Saya mula panik dan berlari ke luar untuk menahan sebuah kenderaan majlis perbandaran yang sedang melalui kawasan kedai serta memaklumkan kepada tiga orang pekerjanya tentang apa yang telah berlaku," katanya.


Pekerja majlis perbandaran itu kemudiannya menjejaki lori sampah yang membawa sampah bersama wang tunai tersebut sebelum ia tiba di kawasan pembakaran.


Mereka akhirnya berjaya menemui beg plastik sampah pertama dan kemudiannya menemui plastik sampah kedua yang berisi wang tunai tersebut.


Peniaga itu mengisi wang tunai yang mahu disimpan di bank dalam satu plastik sampah sebelum tanpa sengaja membuangnya. - Foto Daily Star / Getty Images.

Ahad, 7 November 2021

Dua Jam Tangkap Ular Sawa Seberat 80kg Kerana Bertindak Agresif

Dua Jam Tangkap Ular Sawa Seberat 80kg Kerana Bertindak Agresif


IPOH - Seekor ular sawa batik seberat 80 kilogram ditangkap oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di sebuah padang golf di Meru Raya di sini pada Jumaat lalu.


Kehadiran reptilia sepanjang 5.4 meter itu disedari oleh orang awam yang melalui lokasi itu dan melihat seekor ular sedang berlingkar dalam semak di tepi padang golf.


Ketua Shift APM Daerah Kinta, Leftenan Muda (PA) Mohd Nazri Sulaiman berkata, reptilia itu berjaya ditangkap selepas menerima panggilan daripada orang awam sekitar jam 12 tengah hari.


Menurutnya, dia bersama empat anggota mengambil masa hampir dua jam untuk menangkap ular berkenaan kerana reptilia itu bertindak agresif dipercayai kelaparan.


"Ketika kami sampai, ular itu melingkar dalam semak di tepi padang golf yang dibimbangi membahayakan pengunjung dan penduduk berhampiran.


"Reptilia itu mula bertindak agresif ketika ditangkap selain menyerang anggota dipercayai kerana lapar. Kami menggunakan alat khas untuk menangkapnya," katanya ketika dihubungi di sini.


Kata Mohd Nazri, reptilia berkenaan dibawa ke Pejabat APM Daerah Kinta dan akan dilepaskan ke habitat asal.


Ular sawa batik melingkar dalam semak di tepi padang golf di Meru Raya. - Foto APM Daerah Kinta.
NASA Uji Kapal Angkasa 'Langgar Dan Letupkan Asteroid' Demi Keselamatan Bumi

NASA Uji Kapal Angkasa 'Langgar Dan Letupkan Asteroid' Demi Keselamatan Bumi


Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) merancang menggunakan sebuah kapal angkasa yang terbang pada kelajuan 24,000 kilometer sejam untuk melanggar dan meletupkan seketul asteroid pada tahun depan.


Menerusi laporan NASA pada 5 November 2021, rancangan itu bakal dilaksanakan sebagai 'langkah pertahanan sistem planet'. Ujian Pengalihan Semua Asteroid Berganda (DART) dilakukan untuk mengenal pasti sama ada langkah itu berkesan untuk menukar laluan asteroid yang boleh mengancam Bumi pada masa akan datang.


Menurut agensi itu, walaupun buat masa ini tiada asteroid dikesan boleh membahayakan Bumi, kesan kinetik DART akan membuktikan bahawa kapal angkasa boleh secara autonomi menavigasi ke sasaran asteroid dan secara kinetis memberi kesannya.



Kata NASA, teleskop di Bumi digunakan untuk mengukur kesan impak ke atas sistem asteroid, misi itu akan meningkatkan keupayaan pemodelan dan ramalan untuk membantu kami mempersiapkan diri dengan lebih baik untuk ancaman asteroid yang sebenar sekiranya ada ditemui.


"DART akan menjadi misi penting pertama teknik 'Kinetik Impactor' di mana kapal angkasa sengaja bertembung dengan asteroid untuk mengubah laluan asteroid di angkasa.


"Biarpun kini tiada asteroid dikesan boleh membahayakan Bumi, namun masih terdapat sejumlah batu angkasa yang bila-bila masa akan mengancam planet ini.


"Tujuan utama ujian ini adalah menghancurkan asteroid berkenaan terlebih dahulu sebelum mencetuskan bahaya kepada Bumi," kata Pegawai Pertahanan Planet NASA, Lindley Johnson.


Kapal angkasan DART dijangka dilancarkan menggunakan roket Falcon 9 milik SpaceX pada pukul 10.20 malam waktu Pasifik pada 23 November ini di Pangkalan Angkasa Vandenberg di California.


Sekiranya pelancaran berjaya, letupan asteroid yang berjarak 10.1 juta kilometer dari Bumi akan berlaku antara 26 September dan 1 Oktober tahun depan.


Asteroid yang menjadi sasaran itu dinamakan Dimorphos dan mempunyai diameter 160 meter, selain mengorbit satu lagi asteroid yang lebih besar, iaitu Didymos. Dimorphos melengkapkan orbit di sekeliling Didymos dalam tempoh setiap 11 jam dan 55 minit, sama seperti 'pusingan jam'.


Kapal angkatan DART seberat 549 kilogram itu dijangka tidak memusnahkan sepenuhnya asteroid berkenaan, sebaliknya hanya 'mengalihkan sedikit kedudukannya dari orbit asteroid Didymos'.


Ilustrasi artis menunjukkan kapal angkasa DART akan 'melanggar dan meletupkan' asteroid Dimorphos. Foto NASA.

DART dibungkus dan bersedia untuk dihantar ke SpaceX. - Foto NASA.
Rakyat Berdepan Kesukaran Akibat Pandemik, Menteri Makan Stik Dalam Daun Emas

Rakyat Berdepan Kesukaran Akibat Pandemik, Menteri Makan Stik Dalam Daun Emas


Pasti ramai diantara kita kenal dengan chef selebriti, Nusret Gokce atau lebih dikenali sebagai Salt Bae yang mempunyai pengikut hampir 40 juta di Instagram. Chef dari Turki ini adalah pemilik restoran mewah Nusr-Et yang mempunyai cawangan di seluruh dunia.


Restoran ini menyajikan menu khas, stik yang dibalut dalam daun emas 24 karat dengan harga lebih AS$1,000 (RM4,160). Antara selebriti antarabangsa yang pernah berkunjung ke restoran ini ialah David Beckham, Leonardo DiCaprio dan Naomi Campbell.


Baru-baru ini, sebuah video yang menunjukkan seorang menteri dari Vietnam menikmati stik yang dibalut dengan daun emas di sebuah restoran mewah di London mencetuskan kemarahan rakyatnya.


Menteri Keselamatan Awam, To Lam dilihat menyuap menu makanan itu di Nusr-Et Steakhouse di sebuah kawasan mewah di Knightsbridge. Video membabitkan Lam pada mulanya hanya dimuatnaik oleh restoran itu sebelum dipadamkan.


Namun ia tersebar di Tiktok dan Facebook di Vietnam, sejak beberapa hari lalu. Ia kemudiannya mengundang kemarahan warganet kerana pemimpin politik itu tidak peka dengan keadaan Vietnam yang terpaksa bergelut dengan kemerosotan ekonomi selepas gelombang dahsyat Covid-19.


Covid-19 menyebabkan banyak pekerjaan hilang di Vietnam, sekali gus menyebabkan penguncupan paling teruk dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu.


Pham Viet Duc melalui Facebook menyatakan kemarahannya berikutan di saat rakyat sedang berdepan kesukaran yang teruk akibat pandemik, namun pemimpin kerajaan seronok menikmati kemudahan seperti selebriti antarabangsa.


"Kerajaan selalu menjelaskan mengenai masalah kewangan yang dihadapi negara, namun pada masa sama mencuri duit rakyat untuk menikmati kehidupan mewah seolah-olah tiada lagi hari esok," katanya.


Terdapat juga warganet yang memaparkan beberapa keping gambar membabitkan kanak-kanak miskin di wilayah paling mundur di negara itu. Menurut warganet, Tommy Lee, pihaknya percaya klip video itu hanya sebahagian daripada tindakan pemimpin yang banyak membelanjakan wang secara mewah.


"Ini hanya kebetulan rakyat dapat melihat video ini sedangkan mereka memang selalu berbelanja mewah ribuan kali lebih daripada ini," katanya di Facebook.


Menteri Keselamatan Awam Vietnam, To Lam dilihat menyuap menu stik mewah di Nusr-Et Steakhouse, di sebuah kawasan mewah di Knightsbridge, London. - Foto Facebook.

Sabtu, 6 November 2021

'Rosak Dan Rapuh' Angkasawan Di ISS Sedih Melihat Keadaan Bumi dari Angkasa

'Rosak Dan Rapuh' Angkasawan Di ISS Sedih Melihat Keadaan Bumi dari Angkasa

Gambar Hiasan.

Angkasawan Perancis, Thomas Pesquet mengakui dia berasa sedih dan kecewa ketika melihat keadaan Bumi dari luar angkasa, lapor laman berita KOMPAS.com pada 5 November 2021.


Beliau mengatakan Bumi kelihatan 'rosak dan amat rapuh' akibat perubahan iklim. Pesquet menyifatkan pemandangan itu sebagai amat menyedihkan dan tidak seharusnya berlaku.


Pesquet yang kini berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) menerusi panggilan video dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron menceritakan, kerosakan Bumi kelihatan amat jelas walaupun dalam jarak 400 kilometer.


"Sayangnya, keadaan Bumi semakin rapuh dan semakin rosak. Melalui tingkap di ISS, kami dapat melihat jelas keadaan Bumi yang semakin uzur akibat perubahan iklim," katanya.


Ditanya oleh Macron sama ada keadaan telah berubah sejak misi pertama Pesquet pada 2016, angkasawan itu menjawab, "Ya, fenomena cuaca semakin pantas pada kadar yang membimbangkan."


Selain itu, Pesquet juga memberitahu, para angkasawan di ISS boleh melihat Bumi 'terbakar' apabila beberapa kawasan hutan di Kanada dan California dijilat api baru-baru ini.


Tambah Pesquet, kemusnahan yang sama boleh dilihat di Greece dan selatan Perancis. Taufan kuat juga merosakkan Bumi dan fenomena cuaca semakin cepat meningkat daripada yang disangka.


Pesquet dijangka kembali ke Bumi dalam tempoh terdekat selepas bertugas selama enam bulan di ISS, ia merupakan kali kedua dia bertugas di stesen angkasa tersebut, lawatan pertamanya adalah lima tahun lalu.


Thomas Pesquet di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS). - Foto NASA.