Rabu, 10 November 2021

NASA Berjaya Rakam Formasi Batuan Berlapis, Bukti Baharu Hidupan Mungkin Wujud Di Marikh


Sekumpulan saintis NASA sebelum ini mengatakan planet Marikh sejak bilion tahun lampau memiliki sistem tasik dan aliran air berpanjangan, sekali gus membuktikan planet merah ini pernah memiliki persekitaran lebih baik berbanding jangkaan penyelidik sebelumnya.


Baru-baru ini, kenderaan robotik NASA, Perseverance menemukan satu lagi bukti baharu menunjukkan kehidupan mungkin wujud di Planet Marikh. Perseverance merakam gambar formasi batuan berlapis yang terletak di Kawah Jezero dan kumpulan pakar berpendapat, pembentukan formasi batuan itu disebabkan oleh aliran air.


Menerusi laman berita SPACE.com pada 5 November 2021, melaporkan imej batuan tersebut dihantar ke Bumi pada minggu lepas untuk diteliti, sekali gus mengukuhkan teori terdapat kehidupan di Marikh sebelum ini.


Berkongsi imej itu dalam Twitter, NASA menjelaskan, batuan berlapis tersebut kebiasaannya terbentuk dalam air dan boleh memberi petunjuk jenis hidupan yang ada di dalam air tersebut.



Perkongsian itu mendapat perhatian pelbagai pihak yang kebanyakannya tidak sabar untuk mengetahui jika benar Marikh pernah mempunyai hidupan sebelum ini.


Seorang pengguna Twitter bertanya, adakah lapisan batuan itu boleh mengandungi fosil seperti batuan di Bumi? Ada juga pengguna Twitter berharap pasukan penyelidik akan menemukan fosil tumbuh-tumbuhan bagi menyokong teori kehidupan di Marikh.


Perseverance mendarat di Marikh pada 18 Februari 2021 dengan tujuan mengumpul sampel untuk mengkaji jika terdapat hidupan di planet tersebut. Setakat ini, kenderaan robotik tersebut sudah mengumpul dua sampel dari Marikh.


Kesemua sampel yang dikumpul dari planet merah ini akan dibawa pulang ke Bumi seawal tahun 2031 dan dihantar ke sejumlah makmal di seluruh dunia untuk diperiksa.


Formasi batuan berlapis yang terletak di Kawah Jezero di Marikh, yang disiarkan di Twitter pada 4 November 2021. - Foto NASA/JPL-Caltech.


EmoticonEmoticon