Khamis, 11 November 2021

Pada Tahun 2025, Saintis Ramal Ribut Matahari Dahsyat Akan Landa Bumi


Hari ini kita bergantung pada elektrik untuk segalanya, jadi mungkin kita bertanya-tanya apakah kita akan dapat menjalani kehidupan normal jika ribut Matahari melanda Bumi. Pengkaji NASA sejak dulu kerap memberikan amaran berkenaan kesan cuaca angkasa dan kesan buruknya ke atas Bumi.


Menurut Profesor Hayakawa, jika Bumi mengalami ribut solar dalam tempoh yang panjang (beberapa hari), banyak peralatan elektrik akan menghadapi kerosakan disebabkan oleh gelombang magnet, turut menyebabkan kerosakan pada sistem komunikasi, pendedahan radioaktif pada pesawat, kerosakan sistem GPS dan sebagainya.


Menerusi lapor akhbar Daily Star 7 November 2021, Saintis meramalkan fenomena ribut geomagnetik yang berlaku awal minggu lepas merupakan satu amaran kepada kejadian ribut Matahari lebih dahsyat yang dijangka berlaku pada 2025.


Fenomena ribut Matahari pada minggu lepas berlaku akibat beberapa siri ledakan pada permukaannya yang menunjukkan bahawa aktiviti solar boleh menjejaskan bukan sekadar Matahari.


Ini kerana apabila letusan tersebut sampai ke Bumi, ia boleh mewujudkan fenomena digelar cuaca angkasa lepas, yang boleh merosakkan satelit serta menghasilkan kejadian cahaya aurora. Dalam tempoh beberapa tahun lepas, hanya terdapat beberapa aktiviti solar yang minimum, namun kini fenomena tersebut semakin kerap berlaku.


"Ini telah mempercepatkan kitaran solar yang seterusnya, di mana kami meramalkan ia akan berlaku pada 2025," kata Penyelaras Program Pusat Ramalan Cuaca Angkasa Lepas, Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat, Bill Murtagh.


Tambah Murtagh, kejadian ribut geomagnetik pada minggu lepas berasal daripada Lontaran Jisim Korona (CME), yang merupakan gelombang-gelombang bahan daripada Matahari yang kadangkala meledak.


"CME merupakan awan gas plasma seberat berbilion-bilion tan yang mempunyai medan magnetik. Apabila Matahari meledakkan magnet-magnet tersebut ke angkasa lepas, ia akan dipindahkan ke Bumi.


"Bagaimanapun, Bumi mempunyai medan magnetiknya yang tersendiri dan sekiranya magnetik-magnetik ini bercampur, ia akan mengakibatkan kejadian ribut geomagnetik yang besar dan dahsyat," jelasnya.


Menurut satu kajian yang diadakan pada tahun 2008, andai ribut Matahari kuat melanda Bumi, ia akan menyebabkan kerosakan yang dianggarkan berjumlah $2 trilion (RM8.2 trilion).


EmoticonEmoticon