Khamis, 11 November 2021

Gerhana Bulan Paling Lama Abad Ini Dijangka Berlaku 19 November


Gerhana bulan separa yang dijangka berlaku pada 19 November ini bakal menjadi gerhana bulan paling lama dalam abad ini. Orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena ini yang dijangka berlaku pada petang Jumaat minggu depan.


Menurut Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA), gerhana bulan itu akan berlaku selama 3 jam dan 28 minit. Pada 2018, gerhana bulan penuh berlaku selama satu jam 42 minit dan 57 saat.


Kebiasaannya, gerhana akan berlangsung kurang dari dua jam, maka fenomena alam yang bakal berlaku pada tengah November ini disifatkan gerhana bulan paling lama.


Gerhana bulan ini juga dikenali dengan nama 'frost moon atau beaver moon'. Ini bermaksud, gerhana bulan kali ini akan menjadi 'blood moon' separa dengan warna kemerahan dapat dilihat pada permukaan bulan.


Blood moon adalah gelaran diberikan untuk fenomena gerhana bulan penuh yang berlaku ketika posisi Bumi terletak tepat antara matahari dan bulan sehingga bayang Bumi menutupi bulan.


"Fenomena gerhana bulan ini boleh dilihat dengan jelas tanpa binokular atau teleskop di beberapa kawasan di seluruh dunia namun ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar di Malaysia," kata Planetarium Negara menerusi laman Twitter rasmi mereka.


NASA turut menjangkakan sebanyak 179 fenomena gerhana akan terjadi dalam tempoh lapan dekad ini dan secara purata, gerhana mungkin terjadi dua kali dalam setahun.


Pada 19 November ini, dianggarkan hampir 97 peratus bulan akan terlindung dari Bumi. Peristiwa gerhana seterusnya dijangka akan berlaku pada 16 Mei tahun hadapan. 


EmoticonEmoticon