Ahad, 8 Ogos 2021

Penagih Dadah Bakar Rumah Kerana Berang Ibunya Lambat Bagi Pemetik Api

Penagih Dadah Bakar Rumah Kerana Berang Ibunya Lambat Bagi Pemetik Api


Gara-gara lambat diberikan pemetik api, seorang penagih dadah naik angin lalu bertindak membakar rumahnya sendiri dalam kejadian di Kampung Selengkoh Tengah, Yan, pada Jumaat lalu (6 Ogos 2021).


Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji, berkata polis menerima panggilan pada jam 9.24 malam dari pengadu di kampung berkenaan, dan menahan suspek berusia 51 tahun sejurus selepas kebakaran.


Menurut ibu lelaki itu, Che Som Hashim, 71, berkata, anak kedua daripada lima beradik berusia 51 tahun itu tinggal berasingan di sebuah rumah di depan rumahnya yang dibina pada tahun 2004 lalu.



Katanya, anak lelakinya itu mengalami kemurungan serta dikatakan mengambil dadah dan telah bercerai dengan isterinya pada Mac lalu mempunyai empat orang anak. Selepas bercerai dia tinggal seorang diri di rumahnya itu.


"Sebelum kejadian, anak saya berada dalam rumah saya telah menjerit meminta pemetik api, namun saya tidak peduli kerana sedang membaca al-Quran bersama suami, Ibrahim Derani, 77.


"Anak saya itu kemudian keluar dari rumah saya dan balik ke rumahnya dan sekali lagi dia menjerit meminta pemetik api menyebabkan saya bergegas ke rumahnya untuk menyerahkan bahan bakar itu.



"Sebaik mendapat pemetik api itu, dia mengunci pintu rumah dua tingkat tersebut dan naik ke tingkat atas sebelum membakar sehelai kain buruk dan memasukkannya ke dalam almari yang berisi pakaian," katanya.


Che Som memberitahu, dia kemudiaan melihat api merebak membakar almari dan dinding rumah sebelum memanggil suaminya. Ketika itu, anaknya masih berada di tingkat atas dan selepas dirayu berulang kali, lelaki itu membuka pintu dan meluru keluar.


"Anak saya meluru keluar serta melarikan diri ke kawasan semak di belakang rumah. Beberapa minit kemudian api semakin marak membakar rumah tersebut sebelum anak saya dapat ditahan oleh penduduk," katanya.


Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba, Pegawai Bomba Kanan Md. Radzi Abd.Talib berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran pada pukul 9.18 malam dan berjaya mengawal kebakaran dalam masa 45 minit. Rumah separuh batu dan kayu itu musnah 70 peratus.


Ketua polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat menggunakan api.


Che Som Hashim menunjukkan rumah yang dibakar oleh anaknya di Kampung Selengkoh Tengah, Yan pada 6 Ogos 2021. - Foto Othman Yahaya.
Kenderaan Membawa Mereka Yang Meninggal Dunia Ke 'Alam Akhirat' Milik Firaun Dialihkan Ke Muzium

Kenderaan Membawa Mereka Yang Meninggal Dunia Ke 'Alam Akhirat' Milik Firaun Dialihkan Ke Muzium


Mesir memindahkan kapal solar Firaun Khufu yang masih kekal utuh berusia sekitar 4,600 tahun. Kapal itu akan diletakkan di muzium terbesar di negara ini iaitu Muzium Grand Egyptian (GEM).


Menurut Lapor Daily Mail, kapal solar itu sebelum ini berada di sebuah lubang bersebelahan ruang perkuburan kerajaan Mesir kuno. Ia diletakkan di sana kerana kaum Firaun percaya bahawa kapal tersebut akan membawa mereka yang sudah meninggal dunia ke alam akhirat.


Piramid Besar Kaherah juga dikenali sebagai Piramid Cheops adalah yang terbesar dari tiga piramid di Giza yang menempatkan makam Khufu yang dimakamkan pada 2,566 sebelum Masihi.



Kapal itu 'ditugaskan' oleh Khufu yang merupakan seorang raja Dinasti Keempat yang memerintah semasa Kerajaan Kuno. Kapal solar itu merupakan satu kebanggaan kerana merupakan artifak organik terbesar dan tertua yang dihasilkan daripada kayu dalam sejarah manusia.


Kapal itu berukuran 42 meter panjang dan seberat 20 tan. Kapal itu ditemui pada 1954 di sudut selatan Piramid Besar dipamerkan selama beberapa dekad di muzium Giza Plateau.


Kapal yang sebelum ini diletak berhampiran Piramid Besar ini dibawa ke GEM dengan kawalan yang ketat dan menempuh 7.5 kilometer. Ia bakal menjadi salah satu barang pameran yang luar biasa apabila muzium itu dibuka kepada umum nanti.


Muzium GEM adalah muzium arkeologi yang menempatkan barang-barang antik paling perharga dalam penemuan sejarah Mesir. Ia dibina selama 17 tahun mengandungi lebih 100,000 artifak ketika dibuka.

Jaguh Berbasikal Negara Raih Pingat Perak Di Olimpik Tokyo

Jaguh Berbasikal Negara Raih Pingat Perak Di Olimpik Tokyo


Jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang menepati sasaran apabila menghadiahkan pingat untuk Malaysia menerusi kilauan perak dalam acara keirin di Sukan Olimpik 2020, sebentar tadi.


Saingan di Velodrom Izu, Shizuoka menyaksikan Jason Kenny mempertahankan emas selepas bijak menggunakan teknik senko iaitu serangan awal. Manakala, pingat gangsa diraih pemenang dua emas Olimpik Tokyo, Harrie Lavreysen dari Belanda selepas ketinggalan 0.773s di belakang Kenny.


Biarpun pelumba Great Britain itu melebarkan jarak dalam saingan tersebut, namun Azizulhasni yang juga Raja Keirin 2017 berupaya mendekatinya dan menamatkan saingan 0.763 saat di belakang Kenny.



Ketika penyampaian pingat kepada pemenang, Azizul yang meraih pingat perak, secara spontan mengajak pemenang pingat gangsa Harrie Lavreysen dari Belanda untuk mengangkat Kenny yang berjaya mempertahankan pingat emas dimenanginya di Rio 2016.


Pengulas stesen televisyen antarabangsa turut memuji tindakan dua pelumba itu yang mempamerkan semangat kesukanan dan setiakawan tidak kira di dalam mahupun di luar gelanggang perlumbaan.


Pelumba bergelar The Pocket Rocketman itu memperbaiki catatan peribadi pada temasya Olimpik selepas menduduki tangga ke-10 di Beijing 2008, keenam di London 2012 dan gangsa di Rio 2016 dalam acara kegemarannya keirin.


Tamatnya aksi keirin sebentar tadi bermakna, Malaysia masih belum berjaya membawa pulang emas yang dinanti-nantikan di pentas Olimpik. Malaysia menutup tirai Olimpik Tokyo dengan 1 perak selain 1 gangsa, yang diraih menerusi beregu lelaki badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.


Jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang (dua dari kiri) meraih pingat perak dalam acara keirin di Sukan Olimpik kali ini. - Foto AFP.

Sabtu, 7 Ogos 2021

Tular Aksi Pegang Pistol Sambil Minum Arak, Tiga Lelaki Ditahan

Tular Aksi Pegang Pistol Sambil Minum Arak, Tiga Lelaki Ditahan


Padah tayang aksi pegang pistol, tiga lelaki ditahan polis selepas tular rakaman video menunjukkan seorang daripada mereka memegang senjata menyerupai pistol, ketika mereka berada di hadapan sebuah rumah di Ipoh.


Polis mengesan rakaman video tular itu menerusi aplikasi WhatsApp pada Jumaat sekitar jam 1.30 petang. Kesemua mereka berusia lingkungan 20 hingga 22 tahun itu ditahan dalam dua lokasi berasingan di Ipoh pada jam 2.30 petang dan 7 malam pada hari sama.


Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya mengesan aksi yang mendatangkan kegusaran awam itu menerusi video tular di aplikasi WhatsApp pada pukul 1.30 petang.


Katanya, bertindak atas maklumat, pihaknya berjaya mengesan dan menangkap dua lelaki serta merampas senjata tiruan menyerupai pistol semi-auto.


"Ketika ditahan, kedua-dua suspek sedang menaiki motosikal mengelilingi Kampung Paloh. Seorang lagi suspek ditahan pada pukul 7 petang.


"Berdasarkan siasatan, ketiga-tiga mereka mengaku membeli senjata api tiruan itu dan berkumpul di hadapan sebuah rumah sambil minum minuman keras, kelmarin.


"Seorang daripada mereka juga mengaku mempamerkan senjata itu di mana seorang rakan telah merakam aksi tersebut sebelum ditularkan," katanya dalam kenyataan.


Menurut beliau, siasatan ke atas ketiga-tiga lelaki itu dijalankan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senjata api tiruan tanpa lesen yang sah.


Katanya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.


"Orang ramai dinasihatkan agar tidak sesekali cuba menularkan perbuatan atau aksi yang boleh mengganggu-gugat keselamatan awam dan mendatangkan kegusaran kepada masyarakat," katanya.

Akibat Disambar Kilat, 16 Wakil Rombongan Pengantin Lelaki Maut Ketika Dalam Perjalanan

Akibat Disambar Kilat, 16 Wakil Rombongan Pengantin Lelaki Maut Ketika Dalam Perjalanan


Panahan kilat yang menyambar rombongan pengantin lelaki menyebabkan sekurang-kurangnya 16 maut dan beberapa yang lain cedera dalam satu kejadian di barat Bangladesh.


Menurut pegawai kerajaan tempatan, Sakib Al-Rabby, insiden berlaku pada Rabu (4 Ogos 2021) ketika rombongan pengantin lelaki dalam perjalanan ke rumah pengantin perempuan di Shibganj dalam daerah Shapainawabganj.


Jelasnya, rombongan berkenaan baru sahaja meninggalkan bot yang dinaiki mereka untuk mendapatkan perlindungan sebelum disambar kilat. Pengantin lelaki turut cedera dalam kejadian tersebut.


Kawasan ini terletak kira-kira 245 kilometer dari barat laut Dhaka. Monsun tahunan kini sedang mendominasi sebahagian besar kawasan di Bangladesh.


Menurut lapor berita Xinhua pada awal Julai lalu, hujan lebat dan petir yang melanda Uttar Pradesh, Rajasthan dan Madhya Pradesh mengorbankan hampir 70 orang serta mencederakan ramai yang lain dalam tempoh 24 jam.


Setiap tahun lebih daripada 200 orang kebanyakan daripada golongan petani terbunuh akibat disambar kilat. Walau bagaimanapun, banyak kematian tidak pernah direkodkan secara rasmi, dan satu badan bebas menyatakan bahawa angka kematian akibat panahan kilat mungkin lebih tinggi.


Pakar mendakwa pencemaran udara dan pemanasan global menyumbang kepada peningkatan kekerapan serangan kilat di negara itu.

Lelaki Yang Disangka Maut Dalam Nahas Pesawat 45 Tahun Lalu Kembali Ke Pangkuan Keluarga

Lelaki Yang Disangka Maut Dalam Nahas Pesawat 45 Tahun Lalu Kembali Ke Pangkuan Keluarga


Seorang lelaki di India yang disangka maut dalam satu nahas kapal terbang, kembali semula ke pangkuan keluarga 45 tahun kemudian. Sajjad Thangal, 70, disangka terkorban oleh ahli keluarganya selepas pesawat yang dinaikinya terhempas pada 1976.


Menurut Hindustan Times, kepulangan Sajjad membuatkan ibunya yang berusia 91 tahun teruja setelah mengetahui berita mengenai anaknya yang masih hidup. Kepulangan lelaki itu disambut ahli keluarga, penduduk kampung, rakan dan pemimpin setempat.


Nahas tragis itu mengorbankan 95 nyawa termasuk pelakon terkenal India, Rani Chandra setelah pesawat Indian Airlines terhempas pada 1976. Sajjad berusia 25 tahun ketika kejadian bekerja dengan Rani untuk menguruskan program kebudayaan di sekitar negara Teluk.


Pemimpin sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Mumbai, K M Philip berkata, sebelum kejadian Sajjad bercadang untuk menaiki pesawat berkenaan dari Abu Dhabi pada 12 Oktober 1976, tetapi terdapat perubahan di saat akhir yang menyelamatkan nyawanya.



Philip berkata, kejadian itu memberi kesan mendalam kepada Sajjad selepas dia kehilangan ramai rakan rapat. Lelaki itu dikatakan mengalami masalah mental yang serius sehingga memaksa dia mendapatkan rawatan.


Katanya, selepas kejadian berkenaan, dia menetap di Mumbai namun dia dibawa mendapatkan rawatan di rumah kebajikan kerana trauma dialaminya. Siasatan latar belakang keluarganya dilakukan dan pihak rumah jagaan mendapati ibunya Fathima Beevi masih hidup.


Akhirnya, Sajjad dipertemukan dengan ibunya menerusi panggilan telefon sebelum dibawa ke kampung halamannya di Sathamkotta. Keluarga Sajjad menyangka dan menganggap Sajjad sudah meninggal dunia walaupun tidak menjumpai namanya di senarai penumpang yang terlibat nahas tersebut.


Sajjad Thangal (tengah) disambut ahli keluarga, rakan dan penduduk kampung. Foto Agensi.

Jumaat, 6 Ogos 2021

Lelaki Ditahan Curi Dan Kumpul Pakaian Dalam Wanita

Lelaki Ditahan Curi Dan Kumpul Pakaian Dalam Wanita

Antara pakaian dalam wanita yang ditemukan di sebuah rumah di Kampung Kemansur di Bentong, Pahang. - Foto Polis Bentong.

Tindakan seorang lelaki warga asing dipercayai gila seks mencuri pakaian dalam wanita terbongkar selepas dia ditahan dalam serbuan di rumah sewanya di Kampung Kemasur di Bentong, Pahang, kelmarin.


Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun.


Katanya, dalam serbuan kira-kira pukul 11.30 malam di rumah suspek, polis menemukan sejumlah pakaian dalam wanita yang yang dikumpul dan disimpan di beberapa bahagian di dalam biliknya. Suspek yang merupakan warganegara Vietnam difahamkan menyewa rumah bersama rakan-rakannya.


"Suspek dikesan apabila seorang lelaki membuat laporan polis selepas beberapa pakaian dalam milik anak perempuannya hilang daripada ampaian di belakang rumahnya di Kampung Kemansur.


"Bertindak atas laporan yang dibuat, sepasukan pegawai dan anggota polis Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong menahan seorang lelaki warga asing berusia 36 tahun. Lelaki itu berjaya dikesan hasil daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah jiran mangsa," katanya di sini hari ini.


Menurut Zaiham, berdasarkan siasatan awal suspek yang merupakan seorang penganggur telah tamat tempoh pasport sejak 2015. Suspek ditahan reman selama 14 hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959.


"Siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengetahui sama ada suspek turut melakukan (mencuri pakaian dalam) di kawasan lain dalam daerah Bentong dan buat masa ini hanya satu laporan polis dibuat," katanya.


Beliau menasihatkan orang ramai di daerah ini supaya sentiasa berwaspada dan menghubungi balai polis berhampiran jika terdapat maklumat berhubung perlakuan jenayah.



Mayat lelaki ditemui tergantung di dahan pokok duku

Mayat lelaki ditemui tergantung di dahan pokok duku


Amat menyedihkan bila banyak kejadian kes bunuh diri dilaporkan sejak kebelakangan ini. Perihal cubaan bunuh diri bukan satu perilaku yang boleh dipandang remeh meskipun ada dalam kalangan mangsa yang berjaya diselamatkan daripada membiarkan nyawa mereka melayang secara sia-sia.


Pada 30 Julai 2021, orang ramai di gempar selepas seorang lelaki ditemukan mati tergantung pada dahan sebatang pokok di kawasan Riverfront di Pekan. Kejadian itu disedari orang awam kira-kira pukul 8 pagi yang kemudiannya menghubungi pihak polis.


Terbaru dalam kejadian hari ini (6 Ogos 2021), seorang pemuda ditemui tergantung pada dahan sebatang pokok duku di Kampung Paya Mengkuang, Gelang Patah, Iskandar Puteri. Mayat lelaki berusia 23 tahun itu ditemui pada pukul 4.26 petang dalam keadaan tergantung dengan tali.


Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan II Mohamad Anuar Mohamad Amdzah berkata, seramai 11 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.


"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar terdapat seorang mangsa lelaki berumur 23 tahun ditemui telah mengantungkan diri di dahan sebatang pokok setinggi 10 kaki.


"Anggota bertugas mengambil masa kira-kira 40 minit untuk menurunkan mangsa menggunakan tangga dan alat pengusung," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Mohamad Anuar berkata, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM). Jelasnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan pada pukul 5.53 petang hari ini.


Anggota bomba menurunkan mayat seorang lelaki yang ditemui tergantung pada dahan pokok duku dalam kejadian di Kampung Paya Mengkuang, Gelang Patah, Iskandar Puteri, Johor petang hari ini. - Foto Bomba.

Khamis, 5 Ogos 2021

9 Wanita Dan 6 Lelaki Ditahan Ketika Leka Berparti Di Sebuah Kondominium

9 Wanita Dan 6 Lelaki Ditahan Ketika Leka Berparti Di Sebuah Kondominium


Keseronokan 15 orang termasuk seorang penjawat awam menyertai parti liar dikejutkan dengan kehadiran pihak polis dalam satu serbuan di sebuah kediaman di Jalan Ceylon, di Kuala Lumpur, awal pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, serbuan pada pukul 1 pagi itu dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) serta Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi susulan maklumat dan risikan yang dilakukan.


"Ketika serbuan dilakukan, pihak polis mendapati seramai 15 individu yang terdiri daripada sembilan wanita dan enam lelaki berusia 17 hingga 45 tahun sedang berkumpul bagi mengadakan parti liar.


"Pemeriksaan yang dilakukan telah menjumpai kesan penggunaan dadah, peralatan audio dan lampu disko, malah ujian air kencing yang dilakukan juga mendapati, seramai 11 daripada mereka iaitu tiga lelaki dan lapan perempuan adalah positif dadah," katanya.


Menurut beliau, kesemua suspek juga didapati melakukan kesalahan mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana melakukan aktiviti sosial dan akan direman sehingga 7 Ogos bagi membantu siasatan.


"Kesemua tangkapan warga tempatan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk siasatan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana terlibat dengan aktiviti sosial," katanya.


Sebahagian daripada individu yang ditahan kerana terlibat dengan aktiviti parti liar awal pagi tadi. - Foto PDRM.

Rabu, 4 Ogos 2021

Disangka Bau Mayat, Rupanya Kulat 'Rare' Tumbuh Di Halaman Rumah Berbau Seperti Bangkai

Disangka Bau Mayat, Rupanya Kulat 'Rare' Tumbuh Di Halaman Rumah Berbau Seperti Bangkai


Sepasang suami isteri menemukan sejenis kulat 'rare' yang berbau seperti bangkai di halaman rumah mereka di Berkshire. Penemuan kulat yang diberi nama Clathrus Ruber itu merupakan yang keenam kali dilaporkan di United Kingdom (UK).


Pada mulanya, Terry Driscoll dan Stephanie Slann terhidu bau busuk seperti bangkai sebelum menemukan kulat berwarna merah, yang tumbuh di halaman rumah mereka pada bulan Julai lalu, lapor BerkshireLive pada 3 Ogos 2021, semalam.


Mereka mencabut kulat tersebut dan membuangnya, kemudian Terry memotong rumput di kawasan itu. Bagaimanapun selepas melakukan pemotongan rumput, ia malah menyebabkan lebih banyak kulat itu tumbuh.


Pasangan itu telah mengira dan memaklumkan bahawa ada 13 kulat berwarna merah tumbuh di halaman rumah mereka. Pada mulanya mereka risau anjing mereka mungkin jatuh sakit jika dia memakan salah satu daripada kulat itu.



Kemudian, pasangan itu melaporkan penemuan tersebut kepada Buckinghamshire and Oxfordshire Wildlife Trust (BBOWT) dan mereka mengesahkan kulat itu adalah clathrus ruber.


Setelah mengetahui kulat tersebut dianggap tidak beracun atau berbahaya, pasangan tersebut telah memutuskan untuk membiarkannya terus tumbuh.


"Ketika mula-mula saya melihat kulat itu, saya sangkakan ia adalah permainan anjing dan pada masa yang sama mengeluarkan bau sangat busuk. Kami dimaklumkan kulat itu merupakan tumbuhan yang jarang ditemukan dan kiranya, kami bertuah kerana dapat melihatnya depan mata," kata Terry.


Bau kulat tersebut disamakan seperti bau bangkai haiwan dan keadaan itu menarik perhatian lalat untuk mengerumuninya, kemudian menyebarkan spora.


Secara umumnya, kulat itu boleh dimakan walaupun baunya busuk. Kulat itu banyak tumbuh di selatan Eropah, namun jarang ditemukan di Britain.