Jumaat, 6 Ogos 2021

Mayat lelaki ditemui tergantung di dahan pokok duku


Amat menyedihkan bila banyak kejadian kes bunuh diri dilaporkan sejak kebelakangan ini. Perihal cubaan bunuh diri bukan satu perilaku yang boleh dipandang remeh meskipun ada dalam kalangan mangsa yang berjaya diselamatkan daripada membiarkan nyawa mereka melayang secara sia-sia.


Pada 30 Julai 2021, orang ramai di gempar selepas seorang lelaki ditemukan mati tergantung pada dahan sebatang pokok di kawasan Riverfront di Pekan. Kejadian itu disedari orang awam kira-kira pukul 8 pagi yang kemudiannya menghubungi pihak polis.


Terbaru dalam kejadian hari ini (6 Ogos 2021), seorang pemuda ditemui tergantung pada dahan sebatang pokok duku di Kampung Paya Mengkuang, Gelang Patah, Iskandar Puteri. Mayat lelaki berusia 23 tahun itu ditemui pada pukul 4.26 petang dalam keadaan tergantung dengan tali.


Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan II Mohamad Anuar Mohamad Amdzah berkata, seramai 11 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.


"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar terdapat seorang mangsa lelaki berumur 23 tahun ditemui telah mengantungkan diri di dahan sebatang pokok setinggi 10 kaki.


"Anggota bertugas mengambil masa kira-kira 40 minit untuk menurunkan mangsa menggunakan tangga dan alat pengusung," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Mohamad Anuar berkata, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM). Jelasnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan pada pukul 5.53 petang hari ini.


Anggota bomba menurunkan mayat seorang lelaki yang ditemui tergantung pada dahan pokok duku dalam kejadian di Kampung Paya Mengkuang, Gelang Patah, Iskandar Puteri, Johor petang hari ini. - Foto Bomba.


EmoticonEmoticon