Jumaat, 6 Ogos 2021

Lelaki Ditahan Curi Dan Kumpul Pakaian Dalam Wanita

Antara pakaian dalam wanita yang ditemukan di sebuah rumah di Kampung Kemansur di Bentong, Pahang. - Foto Polis Bentong.

Tindakan seorang lelaki warga asing dipercayai gila seks mencuri pakaian dalam wanita terbongkar selepas dia ditahan dalam serbuan di rumah sewanya di Kampung Kemasur di Bentong, Pahang, kelmarin.


Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun.


Katanya, dalam serbuan kira-kira pukul 11.30 malam di rumah suspek, polis menemukan sejumlah pakaian dalam wanita yang yang dikumpul dan disimpan di beberapa bahagian di dalam biliknya. Suspek yang merupakan warganegara Vietnam difahamkan menyewa rumah bersama rakan-rakannya.


"Suspek dikesan apabila seorang lelaki membuat laporan polis selepas beberapa pakaian dalam milik anak perempuannya hilang daripada ampaian di belakang rumahnya di Kampung Kemansur.


"Bertindak atas laporan yang dibuat, sepasukan pegawai dan anggota polis Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong menahan seorang lelaki warga asing berusia 36 tahun. Lelaki itu berjaya dikesan hasil daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah jiran mangsa," katanya di sini hari ini.


Menurut Zaiham, berdasarkan siasatan awal suspek yang merupakan seorang penganggur telah tamat tempoh pasport sejak 2015. Suspek ditahan reman selama 14 hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959.


"Siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengetahui sama ada suspek turut melakukan (mencuri pakaian dalam) di kawasan lain dalam daerah Bentong dan buat masa ini hanya satu laporan polis dibuat," katanya.


Beliau menasihatkan orang ramai di daerah ini supaya sentiasa berwaspada dan menghubungi balai polis berhampiran jika terdapat maklumat berhubung perlakuan jenayah.




EmoticonEmoticon