Khamis, 5 Ogos 2021

9 Wanita Dan 6 Lelaki Ditahan Ketika Leka Berparti Di Sebuah Kondominium


Keseronokan 15 orang termasuk seorang penjawat awam menyertai parti liar dikejutkan dengan kehadiran pihak polis dalam satu serbuan di sebuah kediaman di Jalan Ceylon, di Kuala Lumpur, awal pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, serbuan pada pukul 1 pagi itu dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) serta Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi susulan maklumat dan risikan yang dilakukan.


"Ketika serbuan dilakukan, pihak polis mendapati seramai 15 individu yang terdiri daripada sembilan wanita dan enam lelaki berusia 17 hingga 45 tahun sedang berkumpul bagi mengadakan parti liar.


"Pemeriksaan yang dilakukan telah menjumpai kesan penggunaan dadah, peralatan audio dan lampu disko, malah ujian air kencing yang dilakukan juga mendapati, seramai 11 daripada mereka iaitu tiga lelaki dan lapan perempuan adalah positif dadah," katanya.


Menurut beliau, kesemua suspek juga didapati melakukan kesalahan mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana melakukan aktiviti sosial dan akan direman sehingga 7 Ogos bagi membantu siasatan.


"Kesemua tangkapan warga tempatan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk siasatan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana terlibat dengan aktiviti sosial," katanya.


Sebahagian daripada individu yang ditahan kerana terlibat dengan aktiviti parti liar awal pagi tadi. - Foto PDRM.


EmoticonEmoticon