Ahad, 8 Ogos 2021

Penagih Dadah Bakar Rumah Kerana Berang Ibunya Lambat Bagi Pemetik Api


Gara-gara lambat diberikan pemetik api, seorang penagih dadah naik angin lalu bertindak membakar rumahnya sendiri dalam kejadian di Kampung Selengkoh Tengah, Yan, pada Jumaat lalu (6 Ogos 2021).


Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji, berkata polis menerima panggilan pada jam 9.24 malam dari pengadu di kampung berkenaan, dan menahan suspek berusia 51 tahun sejurus selepas kebakaran.


Menurut ibu lelaki itu, Che Som Hashim, 71, berkata, anak kedua daripada lima beradik berusia 51 tahun itu tinggal berasingan di sebuah rumah di depan rumahnya yang dibina pada tahun 2004 lalu.



Katanya, anak lelakinya itu mengalami kemurungan serta dikatakan mengambil dadah dan telah bercerai dengan isterinya pada Mac lalu mempunyai empat orang anak. Selepas bercerai dia tinggal seorang diri di rumahnya itu.


"Sebelum kejadian, anak saya berada dalam rumah saya telah menjerit meminta pemetik api, namun saya tidak peduli kerana sedang membaca al-Quran bersama suami, Ibrahim Derani, 77.


"Anak saya itu kemudian keluar dari rumah saya dan balik ke rumahnya dan sekali lagi dia menjerit meminta pemetik api menyebabkan saya bergegas ke rumahnya untuk menyerahkan bahan bakar itu.



"Sebaik mendapat pemetik api itu, dia mengunci pintu rumah dua tingkat tersebut dan naik ke tingkat atas sebelum membakar sehelai kain buruk dan memasukkannya ke dalam almari yang berisi pakaian," katanya.


Che Som memberitahu, dia kemudiaan melihat api merebak membakar almari dan dinding rumah sebelum memanggil suaminya. Ketika itu, anaknya masih berada di tingkat atas dan selepas dirayu berulang kali, lelaki itu membuka pintu dan meluru keluar.


"Anak saya meluru keluar serta melarikan diri ke kawasan semak di belakang rumah. Beberapa minit kemudian api semakin marak membakar rumah tersebut sebelum anak saya dapat ditahan oleh penduduk," katanya.


Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba, Pegawai Bomba Kanan Md. Radzi Abd.Talib berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran pada pukul 9.18 malam dan berjaya mengawal kebakaran dalam masa 45 minit. Rumah separuh batu dan kayu itu musnah 70 peratus.


Ketua polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat menggunakan api.


Che Som Hashim menunjukkan rumah yang dibakar oleh anaknya di Kampung Selengkoh Tengah, Yan pada 6 Ogos 2021. - Foto Othman Yahaya.


EmoticonEmoticon