Sabtu, 24 Julai 2021

Selepas Gagal Jadi Tuan Rumah Olimpik 2032, Indonesia Akan Bida Edisi 2036

Selepas Gagal Jadi Tuan Rumah Olimpik 2032, Indonesia Akan Bida Edisi 2036


Indonesia akan membida untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2036 selepas gagal untuk mendapatkan hak tuan rumah bagi edisi 2032, kata Jawatankuasa Olimpik Kebangsaannya dalam satu kenyataan.


Menurut lapor Berita Harian, hari ini, ketua jawatankuasa terbabit, Raja Sapta Oktohari berkata, mereka tidak akan berundur dan akan terus berjuang untuk Olimpik 2036 dan menjanjikan persiapan yang lebih mantap.


Oktohari berkata, Indonesia mengharapkan supaya dapat dipilih oleh dialog bersasar Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bagi bidaan edisi 2036. Indonesia berminat untuk menganjurkan Sukan Olimpik selepas berjaya menjadi tuan rumah Sukan Asia 2018.


Pada sesi tahunan IOC yang berlangsung Rabu lalu, ahli gabungan mengesahkan Brisbane akan menjadi tuan rumah 2032 selepas 'dialog bersasar' diadakan bersama bandar raya itu. Ibu negeri Queensland itu menjadi tuan rumah yang mendapat sokongan ramai dan pemilihan itu turut dipersetujui lembaga eksekutif IOC.


"Tuan rumah penganjuran Sukan Olimpik edisi ke-35 dianugerahkan kepada Brisbane. Ini kerana keghairahan dan kecintaan terhadap sukan yang ditunjukkan rakyat Australia."


"Ia selari dengan perubahan yang mahu dilakukan IOC untuk memastikan sukan ini dapat diteruskan dengan penuh penghormatan," kata Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach selepas majlis undian di Tokyo tersebut.


Brisbane mendapat 72 daripada 77 undian ahli gabungan yang layak dan pemilihan itu menyaksikan Australia menjadi negara kedua yang menganjurkan Olimpik di tiga bandar raya berbeza selepas Amerika Syarikat.


Brisbane menjadi bandar ketiga di Australia yang dipilih sebagai penganjur Sukan Olimpik, selepas Melbourne pada 1956 dan Sydney pada 2000. Pemilihan Brisbane itu sekali gus menyaksikan tiga tuan rumah Sukan Olimpik telah ditetapkan oleh IOC iaitu Paris 2024 dan Los Angeles 2028.


Pertunjukan bunga api sempena pembukaan Sukan Olimpik Tokyo 2020, semalam.
Anak Tak Mahu Kerja, Bapa Kumpul 150 Tan Sampah Selama 10 Tahun Demi Masa Depan Anak

Anak Tak Mahu Kerja, Bapa Kumpul 150 Tan Sampah Selama 10 Tahun Demi Masa Depan Anak


Seorang bapa di Seoul, Korea Selatan, sanggup kumpul sampah sejak 10 tahun lamanya demi masa depan anak bujangnya yang berusia dalam lingkungan 40-an, lapor laman berita Oddity Central 23 Julai 2021.


Anaknya yang tidak pernah keluar berkerja gemar menghabiskan masa di dalam rumah dan jarang sekali keluar membuatkan lelaki ini bimbang jika suatu hari kelak anaknya tidak mampu meneruskan hidup tanpa dia dan isterinya.


Choi, 75, dari wilayah Gwangju mengubah kediaman dua tingkatnya menjadi pusat pengumpulan sampah yang dikutip daripada tong-tong sampah dan sampah yang dibuang di tepi jalan.



Sampah-sampah ini dikumpul sebagai persediaan untuk anak bujangnya menghadapi masa depan jika ditinggalkan sendirian. Choi percaya sampah orang lain boleh menjadi sesuatu yang berharga kepada individu lain dan memenuhkan setiap inci rumahnya dengan sampah sarap.


Choi berkata dia mengutip sampah kerana mahu mengisi banyak barang di dalam rumah tersebut untuk anak lelakinya yang sudah lebih setahun tidak keluar rumah, hanya menghabiskan masanya di dalam rumah itu tanpa berbuat apa-apa dan hidup dengan wang persaraan kedua ibu bapanya. 


"Anak saya suka duduk di rumah, tidak keluar mencari kerja dan ia membimbangkan saya. Saya risau sekiranya saya dan isteri sudah tiada kelak, dia tiada tempat bergantung lalu saya menyimpan banyak barang untuk anak saya," kata Choi.



Choi, isterinya dan anak lelaki mereka tidur di dalam satu ruang kecil di rumah itu memandangkan kawasan lain semuanya dipenuhi sampah. Begitu pun, isteri Choi menderita masalah jantung yang serius dan doktor menyarankan agar dia tinggal dalam persekitaran yang bersih.


Choi akhirnya terpaksa bersetuju untuk mendapatkan khidmat sukarelawan bagi membersihkan kediamannya itu. Seramai 226 orang sukarelawan dan satu jentera pengorek digunakan bagi mengorek 150 tan sampah yang dikutip Choi. 


Sebaik sahaja melihat kediamannya bersih buat pertama kalinya selepas bertahun-tahun, lelaki itu menangis dan berkata dia tidak akan mengutip sampah lagi demi kesihatan isterinya.


Hampir setiap inci kediaman Choi dipenuhi dengan sampah yang dikutipnya sejak 10 tahun lalu. - Foto SBS.

Choi mengubah kediamannya menjadi pusat pengumpulan sampah. - Foto SBS.
Suspek Tembak Rakan Baik Ditahan Reman Tujuh Hari

Suspek Tembak Rakan Baik Ditahan Reman Tujuh Hari


Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang dipercayai menembak rakan baiknya, sehingga maut dengan menggunakan senapang patah ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini (Sabtu).


Perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 57 tahun itu dikeluarkan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Suspek yang memakai pakaian lokap oren tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Marang pada jam 10.35 pagi tadi, diiringi anggota polis.


Suspek yang juga kenalan mangsa sebelum ini ditahan selepas melarikan diri dengan menaiki sebuah jip di kawasan kebun Durian Mentangau, Dungun kira-kira jam 4.20 petang pada Jumaat.


Turut dirampas bersama suspek ialah selaras senapang patah dipercayai milik Rela yang digunakan untuk menembak mangsa.


Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang Jumaat, mangsa, Fong Swee Fuan, 65, ditemui maut dalam keadaan terduduk di atas kerusi. Manakala, anak saudaranya, Teo Hock Beng, 45, yang cedera parah di bahagian dada telah di hantar di Hospital Hulu Terengganu untuk menerima rawatan.


Terdahulu, media tempatan melaporkan suspek mengamuk dan dipercayai melepaskan dua das tembakan menggunakan senapang patah milik Rela sehingga menyebabkan rakan karibnya, Swee Huan terbunuh di Pondok Kawasan Rukun Tetangga (RT) Taman Jaya, Wakaf Tapai.


Berita Berkaitan: Lelaki Maut Manakala Anak Saudara Parah Ditembak Jiran

Jumaat, 23 Julai 2021

Pada Mei 2022, Makhluk Asing Mendarat Di Bumi Dakwa Seorang Pengguna TikTok

Pada Mei 2022, Makhluk Asing Mendarat Di Bumi Dakwa Seorang Pengguna TikTok


Tidak dinafikan, kewujudan makhluk asing masih menjadi tanda tanya orang ramai sehingga hari ini. Satu kaji selidik di Britain mendedahkan bahawa satu pertiga rakyat negara itu percaya makhluk asing itu wujud.


Kebiasaannya, makhluk asing hanya digambarkan mengikut wajah hodoh dan imaginasi pengkarya filem dan drama sahaja. Jika makhluk asing ini memang wujud, bagaimana sebenarnya wajah mereka?


Baru-baru ini seorang pengguna media sosial yang mendakwa dirinya pengembara masa, meramalkan bahawa makhluk asing setinggi 213 sentimeter (kira-kira 7 kaki) bakal mendarat di Bumi, pada Mei tahun depan.


Menurut lapor akhbar The Sun semalam, pengguna TikTok yang menggunakan akaun @Futuretimetraveller itu berkata, tarikh sebenar ketibaan makhluk asing itu adalah pada 24 Mei 2022.


"Berdasarkan masa saya, terdapat banyak makhluk asing daripada pelbagai jenis akan hidup di sini sebagai penduduk Bumi pada masa depan," katanya.


Individu yang mendakwa dirinya datang dari masa depan itu turut menamakan kumpulan makhluk asing itu sebagai 'Nirons' yang akan tiba secara aman.


"Amerika Syarikat (AS) akan menyerang makhluk asing tersebut serta memulakan 'perang antara dimensi'," ujarnya.


Video yang dimuat naik itu dikongsi lebih 90,000 kali dan menerima lebih daripada 2,300 tanda suka setakat ini. Seorang pengguna turut mengomen berkata, dakwaan luar biasa memerlukan bukti yang luar biasa.

Lelaki Maut Manakala Anak Saudara Parah Ditembak Jiran

Lelaki Maut Manakala Anak Saudara Parah Ditembak Jiran


Seorang lelaki maut manakala anak saudaranya parah selepas ditembak jirannya dipercayai menggunakan senapang patah dalam kejadian di Wakaf Tapai di Marang, hari ini.


Mangsa, Fong Swee Fuan, 65, yang juga bekas Ketua MCA Bahagian Marang cedera di dada dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala, anak saudaranya, Teo Hock Beng, 45, turut cedera di dada dan dibawa ke Hospital Hulu Terengganu.


Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan pada 2 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian.


Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek yang berusia 56 tahun melepaskan dua das tembakan menggunakan senapang patah dipercayai milik Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ke arah kedua mangsa.


"Sebelum meninggalkan lokasi kejadian, suspek didakwa mengeluarkan amaran yang dia mempunyai 75 butir peluru dan akan membunuh lebih ramai orang sebelum membunuh diri.


"Suspek yang melarikan diri dengan menaiki sebuah jip berjaya ditahan di kawasan kebun di Durian Mentangau, Dungun pada 4.20 petang tadi.


"Kita turut merampas senjata yang digunakan suspek untuk menembak kedua mangsa," kata Rohaimi ketika ditemui di lokasi kejadian.


Menurut beliau, sebelum kejadian itu, kedua mangsa bersama suspek dikatakan berada di kawasan rehat di kawasan perumahan berkenaan. Siasatan awal mendapati mangsa dan suspek adalah kawan rapat serta tinggal di kawasan sama.


Katanya, motif sebenar kejadian berkenaan masih dalam siasatan dan masyarakat diminta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini. Polis sedang mengesan saksi kejadian bagi membantu siasatan.


"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Kuala Terengganu untuk bedah siasat manakala anak saudaranya yang cedera dibawa ke Hospital Hulu Terengganu. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Apartmen Ada Hantu, 4 Sekeluarga Tidur Di Balkoni Lebih Sebulan

Apartmen Ada Hantu, 4 Sekeluarga Tidur Di Balkoni Lebih Sebulan

Gambar hiasan (getty images).

Kerana percaya bahawa rumah berhantu, sepasang suami isteri dan dua anaknya terpaksa tidur di sebuah khemah kecil yang dipasang di balkoni apartmen mereka selama lebih dari sebulan.


Lapor Oddity Central, Patricia dan David bersama anak-anak mereka berpindah ke sebuah apartmen yang terletak di taman Semcoda, Replonges di Perancis pada September tahun lalu (2020).


Bangunan apartmen itu dibina pada 2016 di atas tanah yang sebelum ini menempatkan sebuah hangar lama. Walaupun ruang rumah mereka luas dan moden, tetapi keluarga ini tidak dapat menikmati kerana ada gangguan aneh.


"Kami tidak selesa tinggal di apartmen ini kerana dapat merasakan perkara ganjil berlaku khususnya pada waktu malam. Anak perempuan kami melihat perkara aneh di sekitar rumah ini sebaik sahaja keluarga kami berpindah masuk," kata Patricia.


Katanya, dia dan keluarganya percaya terdapat aktiviti paranormal di dalam rumah mereka. Situasi menjadi teruk sehingga mereka terpaksa memasang khemah kecil di balkoni apartmen untuk tidur pada setiap malam.


"Ia dimulai dengan bayangan hitam, kemudian gangguan semakin kuat, lampu terpadam secara rawak, TV menyala dengan sendirinya, telefon 'mati' tanpa sebab dan bunyi perkakas dapur seakan diselongkar," katanya.


Bosan dengan fenomena paranormal, pasangan itu meminta kunjungan pakar yang dikenali 'magnetiseur' atau seseorang yang menggunakan tenaga magnet untuk mengesan roh.


Setelah memeriksa apartmen tersebut, mereka diberitahu bahawa keluarganya dihantui oleh semangat roh 'terperangkap' seorang wanita dari abad ke-19 yang mahu mereka pergi.


David yang cacat tidak berkemampuan membawa keluarganya berpindah ke taman perumahan lain atas faktor kewangan, apartmen yang kini mereka tinggal merupakan ihsan dari program bantuan sosial Perancis.


Syarikat yang menguruskan taman Semcoda tidak memberi penjelasan tentang kejadian paranormal itu, malah mendakwa bahawa tidak ada masalah dengan apartmen itu, dan mengatakan telah disewa dua kali sebelumnya tanpa ada kejadian aneh.


Patricia dan David meminta mereka diberikan unit lain di taman Semcoda, tetapi buat masa ini mereka tidak mempunyai pilihan lain selain bermalam di khemah di balkoni apartmen tersebut.


Apartmen yang terletak di taman Semcoda, Replonges di Perancis.
Tersilap Dengar Arahan, Wanita 'Terjun Bungee' Maut Tali Keselamatan Belum Dipasang

Tersilap Dengar Arahan, Wanita 'Terjun Bungee' Maut Tali Keselamatan Belum Dipasang


Rakaman mengerikan yang memaparkan seorang wanita pelompat bungee meninggal dunia selepas tersalah tafsir, dengan menyangka bahawa gilirannya telah tiba untuk melompat dari ketinggian sekitar 45 kaki itu semasa tali keselamatannya tidak terpasang.


Mangsa, Yecenia Morales, 25, dilaporkan terus melompat dari atas jambatan tanpa memakai tali keselamatan kerana menyangka isyarat terjunan yang ditujukan kepada kekasihnya adalah untuk dia.


Sebuah video yang menunjukkan mangsa melompat dari jambatan itu telah dirakamkan oleh pelancong yang berada di tebing berdekatan. Kira-kira 100 orang sedang menunggu untuk melakukan terjunan menjadi saksi kejadian tersebut.



Menerusi rakaman video berkenaan, Morales melakukan terjunan pada waktu yang sama dengan kekasihnya. Namun, nasib malang menimpa wanita itu apabila dia jatuh terhempas ke atas permukaan tanah.


Kekasihnya yang sedang melakukan terjunan juga berusaha untuk menyelamatkan wanita malang itu, namun gagal. Morales kemudian dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia.


Datuk Bandar Fredonia, Antioquia, Gustavo Guzman mengucapkan takziah kepada keluarga Morales disebabkan kemalangan tersebut. Ahli keluarganya turut bersedih dan menyifatkan Morales sebagai wanita yang periang, ceria dan gemar menari.


Dalam pada itu, polis turut melakukan siasatan selepas mendakwa bahawa dua syarikat yang menawarkan perkhidmatan dan membekalkan peralatan di lokasi tersebut tidak mendapat kebenaran pihak berwajib.

Khamis, 22 Julai 2021

Conor McGregor Tayang Kapal Layar Bernilai RM15 Juta Jenama Lamborghini

Conor McGregor Tayang Kapal Layar Bernilai RM15 Juta Jenama Lamborghini


Siapa yang tidak kenal dengan Conor McGregor dengan mulut celuparnya telah buatkan UFC terkenal di seluruh dunia. McGregor merupakan seorang jaguh dan bintang seni bela diri campuran (MMA) dunia.


Conor McGregor dianggap lagenda UFC oleh peminatnya kerana skill boxing yang tinggi dan telah menjuarai dua kategori berlainan dalam sukan gusti bebas tersebut.


Walaupun Conor McGregor tewas menentang Khabib Nurmagomedov pada 2018, diikuti pada tahun ini kecundang ketika menentang Dustin Poirier. Namun dia masih mendapat bayaran lumayan.


Jadi, tidak hairanlah McGregor menjadi atlet dengan penghasilan tertinggi sepanjang 2021. Terbaru, McGregor menayang sebuah kapal layar mewah jenama Lamborghini miliknya yang bernilai £2.6 juta (RM15 juta), lapor akhbar Daily Mail kelmarin.


Lelaki berusia 33 tahun itu berkongsi foto kapal layar Lamborghini Tecnomar 63 yang dibawa daripada tapak pembinaannya di Itali. McGregor membeli kapal layar itu pada Oktober lalu dan meluahkan rasa bangga kerana memiliki satu daripada 63 bot edisi khas yang dibina.



"Kapal layar Lamborghini saya sudah siap," demikian keterangan yang ditulis bersama gambar bot tersebut.


Tecnomar 63 direka dan dibina oleh syarikat Italian Sea Group bersama Tecnomar for Lamborghini. Kapal seberat 24 tan dengan panjang 19 meter itu boleh mencapai kelajuan 111 kilometer sejam.


Ia dikuasakan dengan enjin diesel 24.2 liter V-12, 4,000 kuasa kuda. Reka bentuk luarannya diinspirasikan daripada model Lamborghini Miura dan Countach daripada tahun 1960-an dan 1970-an.


Antara ciri istimewa kapal layar itu adalah bilik tidur peribadi di bahagian bawahnya yang menyediakan ruangan bersantai selesa ketika berlayar di lautan.


Hanya 63 buah kapal layar seperti ini yang dihasilkan.

Conor McGregor duduk di atas sayap jet peribadinya.
Jet Baharu Rusia Mampu Saingi Jet AS F-35, Namun Dijual 7 Kali Lebih Rendah

Jet Baharu Rusia Mampu Saingi Jet AS F-35, Namun Dijual 7 Kali Lebih Rendah


Rusia memperkenalkan sebuah jet pejuang baharu digelar sebagai 'Checkmate' yang mampu memberi saingan hebat kepada jet F-35 milik tentera Amerika Syarikat (AS). Jet pejuang jenis Sukhoi itu mampu melancarkan serangan serentak ke atas enam sasaran.


Lapor berita CNN pada 20 Julai 2021, pesawat itu dipersembahkan kepada Presiden, Vladimir Putin terlebih dahulu sebelum dilancarkan ketika pameran udara tahunan yang diadakan di luar Moscow pada Selasa lalu.


Sebelum ini, beberapa media melaporkan, jet pejuang itu dibina pada Mei tahun lalu. Berdasarkan rakaman video pelancaran, jet itu dibina dalam waktu yang singkat.


Beberapa laporan mendakwa jet pejuang itu dibina oleh syarikat pertahanan dan teknologi, Rostec bersama United Aircraft Corporation yang dikendalikan oleh negara itu.



"Tugas kami adalah untuk memastikan pesawat ini ditawarkan kepada ramai pelanggan bermula 2026," kata Pengarah United Aircraft Corporation, Yury Slyusar.


Rostec menggambarkan pesawat itu sebagai jet pejuang enjin tunggal generasi kelima yang menggabungkan penyelesaian inovatif termasuk teknologi kepintaran buatan (AI).


Jelas syarikat itu, jet pejuang itu mampu menyerang hingga enam sasaran secara serentak di darat, udara atau laut walaupun mengalami gangguan elektronik yang kuat.


Jet pejuang berharga antara AS$25 juta (RM105 juta) hingga AS$30 juta (RM127 juta), mampu membawa dron dan melancarkannya semasa penerbangan. 


Menurut Slyusar, beliau menjangkakan untuk menerima kira-kira 300 tempahan jet dalam tempoh 15 tahun akan datang, terutamanya dari Asia Barat, Asia dan Amerika Latin untuk harga tujuh kali lebih rendah berbanding jet F-35.


Prototaip jet pejuang jenis Sukhoi yang dikenali sebagai Checkmate. - Foto AFP.
Polis 'ajar' seorang penunggang motosikal guna ekzos bising

Polis 'ajar' seorang penunggang motosikal guna ekzos bising


Biarpun pelbagai operasi khas dan tindakan saman dilaksanakan bagi membendung masalah ekzos bising, namun ia bagaikan mencurah air ke daun keladi dalam segelintir pengguna motosikal.


Tanpa rasa bersalah mereka sanggup mengeluarkan kos melakukan ubah suai ekzos bagi mendapatkan bunyi bising yang dipercayai mencipta kepuasan ketika beraksi di atas jalan raya.


Impaknya, tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan ketidakselesaan terhadap penduduk khususnya yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan taman perumahan kos rendah.


Bercakap mengenai situasi berkenaan baru-baru ini tular menerusi media sosial satu rakaman video pendek memaparkan tindakan seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) 'mengajar' pengguna motosikal.


Dalam video berdurasi selama empat saat itu menunjukkan pihak berkuasa cuba meletakkan telinga pemuda terbabit berhampiran ekzos motosikal dipercayai miliknya.



Pada masa sama, anggota tersebut telah 'memerah throttle minyak' sehingga mengeluarkan bunyi yang sangat kuat.


Bagaimanapun, tidak dinyatakan lokasi sebenar kejadian itu dirakam, namun difahamkan ia mungkin berlaku di sekitar Sarawak berdasarkan nombor pendaftaran motosikal berkenaan.


Susulan tular klip video berdurasi selama empat saat itu, rata-rata pengguna laman sosial telah meninggalkan pelbagai komen dan reaksi yang menyokong tindakan yang dilakukan anggota itu.


Mereka menyifatkan langkah itu secara tidak langsung memberikan kesedaran kepada empunya diri dan pengguna motosikal lain terutamanya golongan yang obses melakukan ubah suai ekzos demi kepentingan diri tanpa memikirkan kesan pada orang sekeliling.


Tangkap layar aksi seorang penunggang motosikal yang dikenakan 'hukuman' oleh seorang anggota polis.