Sabtu, 24 Julai 2021

Selepas Gagal Jadi Tuan Rumah Olimpik 2032, Indonesia Akan Bida Edisi 2036


Indonesia akan membida untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2036 selepas gagal untuk mendapatkan hak tuan rumah bagi edisi 2032, kata Jawatankuasa Olimpik Kebangsaannya dalam satu kenyataan.


Menurut lapor Berita Harian, hari ini, ketua jawatankuasa terbabit, Raja Sapta Oktohari berkata, mereka tidak akan berundur dan akan terus berjuang untuk Olimpik 2036 dan menjanjikan persiapan yang lebih mantap.


Oktohari berkata, Indonesia mengharapkan supaya dapat dipilih oleh dialog bersasar Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bagi bidaan edisi 2036. Indonesia berminat untuk menganjurkan Sukan Olimpik selepas berjaya menjadi tuan rumah Sukan Asia 2018.


Pada sesi tahunan IOC yang berlangsung Rabu lalu, ahli gabungan mengesahkan Brisbane akan menjadi tuan rumah 2032 selepas 'dialog bersasar' diadakan bersama bandar raya itu. Ibu negeri Queensland itu menjadi tuan rumah yang mendapat sokongan ramai dan pemilihan itu turut dipersetujui lembaga eksekutif IOC.


"Tuan rumah penganjuran Sukan Olimpik edisi ke-35 dianugerahkan kepada Brisbane. Ini kerana keghairahan dan kecintaan terhadap sukan yang ditunjukkan rakyat Australia."


"Ia selari dengan perubahan yang mahu dilakukan IOC untuk memastikan sukan ini dapat diteruskan dengan penuh penghormatan," kata Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach selepas majlis undian di Tokyo tersebut.


Brisbane mendapat 72 daripada 77 undian ahli gabungan yang layak dan pemilihan itu menyaksikan Australia menjadi negara kedua yang menganjurkan Olimpik di tiga bandar raya berbeza selepas Amerika Syarikat.


Brisbane menjadi bandar ketiga di Australia yang dipilih sebagai penganjur Sukan Olimpik, selepas Melbourne pada 1956 dan Sydney pada 2000. Pemilihan Brisbane itu sekali gus menyaksikan tiga tuan rumah Sukan Olimpik telah ditetapkan oleh IOC iaitu Paris 2024 dan Los Angeles 2028.


Pertunjukan bunga api sempena pembukaan Sukan Olimpik Tokyo 2020, semalam.


EmoticonEmoticon