Jumaat, 23 Julai 2021

Apartmen Ada Hantu, 4 Sekeluarga Tidur Di Balkoni Lebih Sebulan

Gambar hiasan (getty images).

Kerana percaya bahawa rumah berhantu, sepasang suami isteri dan dua anaknya terpaksa tidur di sebuah khemah kecil yang dipasang di balkoni apartmen mereka selama lebih dari sebulan.


Lapor Oddity Central, Patricia dan David bersama anak-anak mereka berpindah ke sebuah apartmen yang terletak di taman Semcoda, Replonges di Perancis pada September tahun lalu (2020).


Bangunan apartmen itu dibina pada 2016 di atas tanah yang sebelum ini menempatkan sebuah hangar lama. Walaupun ruang rumah mereka luas dan moden, tetapi keluarga ini tidak dapat menikmati kerana ada gangguan aneh.


"Kami tidak selesa tinggal di apartmen ini kerana dapat merasakan perkara ganjil berlaku khususnya pada waktu malam. Anak perempuan kami melihat perkara aneh di sekitar rumah ini sebaik sahaja keluarga kami berpindah masuk," kata Patricia.


Katanya, dia dan keluarganya percaya terdapat aktiviti paranormal di dalam rumah mereka. Situasi menjadi teruk sehingga mereka terpaksa memasang khemah kecil di balkoni apartmen untuk tidur pada setiap malam.


"Ia dimulai dengan bayangan hitam, kemudian gangguan semakin kuat, lampu terpadam secara rawak, TV menyala dengan sendirinya, telefon 'mati' tanpa sebab dan bunyi perkakas dapur seakan diselongkar," katanya.


Bosan dengan fenomena paranormal, pasangan itu meminta kunjungan pakar yang dikenali 'magnetiseur' atau seseorang yang menggunakan tenaga magnet untuk mengesan roh.


Setelah memeriksa apartmen tersebut, mereka diberitahu bahawa keluarganya dihantui oleh semangat roh 'terperangkap' seorang wanita dari abad ke-19 yang mahu mereka pergi.


David yang cacat tidak berkemampuan membawa keluarganya berpindah ke taman perumahan lain atas faktor kewangan, apartmen yang kini mereka tinggal merupakan ihsan dari program bantuan sosial Perancis.


Syarikat yang menguruskan taman Semcoda tidak memberi penjelasan tentang kejadian paranormal itu, malah mendakwa bahawa tidak ada masalah dengan apartmen itu, dan mengatakan telah disewa dua kali sebelumnya tanpa ada kejadian aneh.


Patricia dan David meminta mereka diberikan unit lain di taman Semcoda, tetapi buat masa ini mereka tidak mempunyai pilihan lain selain bermalam di khemah di balkoni apartmen tersebut.


Apartmen yang terletak di taman Semcoda, Replonges di Perancis.


EmoticonEmoticon