Sabtu, 24 Julai 2021

Suspek Tembak Rakan Baik Ditahan Reman Tujuh Hari


Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang dipercayai menembak rakan baiknya, sehingga maut dengan menggunakan senapang patah ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini (Sabtu).


Perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 57 tahun itu dikeluarkan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Suspek yang memakai pakaian lokap oren tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Marang pada jam 10.35 pagi tadi, diiringi anggota polis.


Suspek yang juga kenalan mangsa sebelum ini ditahan selepas melarikan diri dengan menaiki sebuah jip di kawasan kebun Durian Mentangau, Dungun kira-kira jam 4.20 petang pada Jumaat.


Turut dirampas bersama suspek ialah selaras senapang patah dipercayai milik Rela yang digunakan untuk menembak mangsa.


Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang Jumaat, mangsa, Fong Swee Fuan, 65, ditemui maut dalam keadaan terduduk di atas kerusi. Manakala, anak saudaranya, Teo Hock Beng, 45, yang cedera parah di bahagian dada telah di hantar di Hospital Hulu Terengganu untuk menerima rawatan.


Terdahulu, media tempatan melaporkan suspek mengamuk dan dipercayai melepaskan dua das tembakan menggunakan senapang patah milik Rela sehingga menyebabkan rakan karibnya, Swee Huan terbunuh di Pondok Kawasan Rukun Tetangga (RT) Taman Jaya, Wakaf Tapai.


Berita Berkaitan: Lelaki Maut Manakala Anak Saudara Parah Ditembak Jiran


EmoticonEmoticon