Memaparkan catatan dengan label Haiwan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Haiwan. Papar semua catatan

Khamis, 21 Oktober 2021

Tayar Tersangkut Pada Leher Rusa Selama Dua Tahun Akhirnya Dikeluarkan

Tayar Tersangkut Pada Leher Rusa Selama Dua Tahun Akhirnya Dikeluarkan


Satu tayar yang tersangkut selama dua tahun pada leher seekor Rusa besar yang berkeliaran di kawasan berbukit di negeri Colorado, Amerika Syarikat akhirnya berjaya ditanggalkan baru- baru ini.


Menurut laporan laman berita TheDrive, Rusa jantan yang berusia hampir lima tahun itu dikesan berada di Pine Junction, barat daya Denver sebelum ia ditembak dengan ubat pelali.


Tanduk Rusa itu terpaksa dipotong oleh para pegawai Hidupan Liar dan Taman-Taman negeri itu untuk mengeluarkan tayar tersebut apabila besi tayar berkenaan gagal dipotong.



Rusa terbabit kali pertama dikesan pada tahun 2019 ketika rutin tinjauan Hidupan Liar dilakukan dan mendapati terdapat tayar tersangkut pada leher haiwan berkenaan.


Akibat terlalu lama membawa tayar itu, terdapat kesan kecederaan pada sekitar leher haiwan tersebut dan bulunya juga semakin menipis.


Berat Rusa itu dilaporkan ialah 270 kilogram dan direkodkan beberapa kali berjalan di antara Park County dan Jefferson County.


Gambar fail menunjukkan tayar tersangkut pada leher seekor Rusa besar di Colorado, Amerika Syarikat. - Foto Colorado Parks and Wildlife.

Selasa, 19 Oktober 2021

Pemancing Selamatkan Anak Kucing Dicampak Dari Jambatan Pulau Pinang

Pemancing Selamatkan Anak Kucing Dicampak Dari Jambatan Pulau Pinang


GEORGETOWN - Sebuah video berdurasi 18 saat yang tular di media sosial petang tadi memaparkan seorang lelaki menyelamatkan seekor anak kucing, yang dipercayai dicampak individu tidak dikenali dari atas Jambatan Pulau Pinang dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang, hari ini.


Pemandu bot pelancong, Sobri Karim, 36, berkata, dia menerima panggilan daripada seorang nelayan untuk membantu membawa anak kucing itu ke jeti nelayan Batu Uban dekat sini untuk diselamatkan kira-kira pukul 3.30 petang.


Kata Sobri, dia dimaklumkan nelayan tersebut mengatakan bahawa anak kucing berbulu hitam itu dijumpai semasa dia sedang memancing ikan di tiang 67 di bawah Jambatan Pulau Pinang.


Jelasnya, nelayan berkenaan mendakwa anak kucing itu ditemukan sedang berenang menghampiri tembok tiang itu selepas dicampak kira-kira 20 meter dari atas jambatan.


"Nelayan yang sedang memancing tersebut kemudiannya terus membawa naik haiwan tersebut dengan menggunakan penyauk ikan. Saya terus ke lokasi penemuan anak kucing itu sejurus menerima panggilan untuk membantu membawa anak kucing itu pulang ke jeti," katanya.


Dalam pada itu, video anak kucing yang diselamatkan tersebut yang berdurasi kira-kira 18 saat dan dirakam Sobri tular di media sosial hari ini, dengan rata-rata netizen memuji dan melahirkan penghargaan atas usaha murni kaki pancing berkenaan menyelamatkan haiwan terbabit.


Sementara itu Sobri menambah, dia tidak menyangka ada individu sanggup bertindak kejam terhadap haiwan perliharaan tersebut tanpa perikemanusiaan.


Tangkap layar seorang kaki pancing menyelamatkan seekor anak kucing yang dipercayai dicampak individu tidak dikenali dari atas Jambatan Pulau Pinang dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang tadi.
Pemancing Terkejut Dapat Ikan Berkepala Buaya Di Sungai Texas

Pemancing Terkejut Dapat Ikan Berkepala Buaya Di Sungai Texas


Seorang pemancing, Danny Lee Smith berjaya menangkap seekor ikan berkepala buaya di sebatang sungai di Texas. Dia memangkap ikan itu di Sungai Neosho di negeri Amerika Syarikat (AS) pada bulan lalu, lapor New York Post pada 14 Oktober 2021.


"Ketika pertama kali ikan itu keluar dari air, saya terkejut dan terpaku seketika. Walaupun sebelum ini saya telah berjaya memancing pelbagai spesies ikan, tetapi tidak seperti ini. Ia adalah pengalaman pertama seumur hidup," kata Smith.


Namun, kejayaannya menangkap hidupan air itu hanya didedahkan menerusi satu dokumentari yang disiarkan baru- baru ini di AS.


Berat ikan berkepala buaya yang berjaya ditangkap oleh Smith dengan pancingnya itu ialah 17.92 kilogram (kg) manakala panjang haiwan tersebut ialah 1.37 meter.



Menurut satu kenyataan Jabatan Hidupan Liar dan Taman Kansas (KDWP), lelaki itu berjaya memangkap haiwan itu setelah dia mengikuti tip memancing ikan di sungai berkenaan.


Menurut Perkhidmatan Hidupan Liar dan Ikan AS, haiwan itu boleh ditemui di kawasan dari barat daya Ohio dan selatan IIIinois sehingga ke Sungai Mississippi serta di Teluk Mexico.


Bagaimana haiwan itu boleh berada di Sungai Neosho masih menjadi misteri. Ini adalah kerana ikan itu bukannya haiwan yang hidup secara semula jadi di sungai itu.


Justeru, Penyelia Ikan di Jabatan Hidupan Liar dan Taman Kansas, Sean Lynott percaya ikan tersebut kemungkinan dilepaskan ke sungai itu dari sebuah akuarium.


"Terdapat juga kemungkinan bahawa seseorang individu telah melepaskan haiwan itu ke sungai tersebut," kata Sean Lynott.


Danny Lee Smith berjaya menangkap ikan berkepala buaya di Sungai Neosho, Kansas baru -baru ini. - Foto KDWP.

Jumaat, 15 Oktober 2021

Angkara Tuan Lembu Buat Tak Peduli, Penguat Kuasa Menangkap Lembu Yang Merayau

Angkara Tuan Lembu Buat Tak Peduli, Penguat Kuasa Menangkap Lembu Yang Merayau


KOTA BHARU - Operasi menangkap 12 lembu yang berkeliaran di sekitar Taman Hijrah, Padang Kala di sini selama dua hari berturut-turut bukan tugas mudah seperti disangka. Kaki terseliuh dan hampir ditanduk antara insiden yang dialami sekumpulan anggota penguat kuasa.


Dalam tempoh itu, penguat kuasa Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDKPI), menempuh ujian berdepan lembu yang naik minyak dan mahu menanduk mereka, terpaksa mengharungi paya dan hampir jatuh ke dalam perigi buta dalam operasi menangkap dua lembu yang berkeliaran.


Setiausaha MDKPI, Ahmad Fadzli Abdullah berkata, sepanjang dua hari operasi, ada dalam kalangan penguat kuasa cedera dengan rata-rata mereka mengalami lebam-lebam seluruh badan dalam usaha menangkap lembu yang pada asalnya disasarkan sebanyak 12 ekor.


Operasi Bersepadu Haiwan Merayau yang dijalankan selama dua hari bermula kelmarin itu dilakukan di Taman Hijrah Padang Kala, Melor secara bersepadu bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan.


Ahmad Fadzli Abdullah berkata, usaha menangkap 12 lembu milik penternak berusia 68 tahun yang dibiarkan berkeliaran itu dibuat selepas penduduk mengadu haiwan itu menceroboh kebun, memakan anak pokok durian Musang King serta mengotorkan kawasan rumah mereka.


"Kita menerima aduan di kawasan ini sejak beberapa bulan lalu namun tidak dapat mengambil tindakan lanjut disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


"Penduduk di kawasan ini membuat aduan berkaitan lembu yang berkeliaran di taman, makan pokok hiasan termasuk pokok durian Musang King dan terdapat najis di merata-rata tempat.


"Ini adalah kali kedua operasi dilakukan tahun ini berkaitan tangkapan haiwan yang mana pada bulan lalu, sebanyak tiga lembu di kawasan sama manakala dua kambing di Kok Lanas berjaya ditangkap," katanya.


Ahmad Fadzli berkata, sebelum lembu itu ditangkap, pihaknya memberi notis amaran terlebih dulu kepada pemilik untuk menjaga ternakan dengan baik namun jika masih menerima aduan selepas dua minggu, baru tindakan lanjut diambil.


Untuk operasi dua hari yang membabitkan 16 anggotanya dan tiga kakitangan JPV, beliau berkata, pemilik sudah membayar denda iaitu sebanyak RM1,000 setiap ekor namun untuk 10 lagi baki lembu itu akan tetap ditangkap dalam masa terdekat.


"Tindakan kompaun itu adalah di bawah Undang-Undang Kecil Haiwan Merayau-Rayau MDKPi dan jika pemilik tidak datang menuntut, jumlah denda akan bertambah setiap hari bergantung kepada kos makanan dan upah penjagaan. Jika dalam tempoh enam hari haiwan itu tidak juga dituntut, kami akan buka untuk dilelong," katanya.

Rabu, 13 Oktober 2021

Pelancong Terkejut Menyaksikan Kejadian 'Rare' Jerung Gigit Kaki Aligator

Pelancong Terkejut Menyaksikan Kejadian 'Rare' Jerung Gigit Kaki Aligator


Sekumpulan pelancong di Carolina Selatan, Amerika Syarikat terkejut apabila menyaksikan seekor jerung menggigit seekor aligator di kawasan perairan berhampiran sebuah dermaga di Pulau Hilton Head.


Menurut laporan akhbar The Sun pada 8 Oktober 2021 , detik-detik mencemaskan antara dua haiwan berbahaya itu berjaya dirakam oleh salah seorang daripada kumpulan pelancong tersebut yang sedang memberi makan kepada aligator itu.


Dalam sekelip mata, seekor jerung secara tiba-tiba muncul dari bawah air dan mengelilingi aligator tersebut sebelum menggigit kaki kiri haiwan itu dan menyebabkannya melompat.


Aligator yang mungkin berada dalam 'mood' baik itu tidak melawan dan kelihatan tidak cedera, sebaliknya terus terapung di permukaan air, sementara jerung tersebut mendekati aligator itu beberapa kali sebelum berlalu dari situ.


"Saya terkejut melihat kejadian itu, jadi saya merakamnya dengan telefon untuk ditunjukkan kepada keluarga dan rakan-rakan," kata perakam video tersebut, Cory Conlon.



Selasa, 12 Oktober 2021

Sebuah Keluarga Dikejutkan Kemunculan Seekor Beruang Dalam Rumah Mereka

Sebuah Keluarga Dikejutkan Kemunculan Seekor Beruang Dalam Rumah Mereka


Sebuah keluarga di Kanada terkejut apabila mendapati seekor beruang hitam berdiri di hadapan meja di dalam sebuah bilik kediaman mereka, lapor akhbar Daily Star pada 10 Oktober 2021.


Menurut Sean Reddy, ketika kejadian, mereka sekeluarga terdengar bunyi bising sebelum menyedari ada seekor beruang berkeliaran di sekitar bilik dalam rumah mereka.


"Anak bongsu saya keluar dari pintu hadapan dan bertanya apa yang kami sedang lakukan kerana dia terdengar seperti bunyi cakaran di dalam rumah.


"Anak lelaki sulung saya kemudiannya berlari masuk ke dalam rumah dan dia keluar semula memberitahu bahawa terdapat seekor beruang di dalam rumah," kata Reddy.


Dia kemudiannya dapat mendengar bunyi seperti beruang tersebut sedang mendengus di bahagian meja komputer di dalam bilik anaknya, di mana terdapat hidangan bijirin yang dibiarkan di dalam mangkuk.



"Kami terdengar bunyi mangkuk itu pecah kerana terjatuh di atas lantai. Saya mula berfikir bahawa beruang tersebut sedang memusnahkan bilik," katanya.


Ujar Reddy, dia kemudiannya berjaya menutup pintu bilik tersebut dengan harapan beruang itu dapat keluar menerusi tingkap.


Bagaimanapun, harapannya meleset sama sekali kerana tingkap bilik sedang tertutup, sekali gus menyebabkan mereka terpaksa menyekat bahagian laluan tengah di dalam rumah dan membiarkan beruang itu keluar melalui pintu depan.


Selepas beruang itu keluar dan menghilangkan diri, Reddy mendapati bahawa beruang tersebut masuk ke dalam rumah dengan cara memecahkan tingkap dan merangkak ke dalam.


Kawasan tempat tinggal Reddy merupakan lokasi yang sering menjadi tumpuan beruang. Pakar haiwan Alberta Fish and Wildlife telah memasang perangkap di jalan sekiranya beruang itu datang semula.


Beruang tersebut berdiri agak lama di hadapan meja di dalam bilik sebelum memecahkan sebuah mangkuk yang mengandungi bijirin. - Foto Sean Reddy.

Sabtu, 9 Oktober 2021

Kesal Suami Tidak Membersihkan Akuarium, Isteri Goreng Ikan Arowana

Kesal Suami Tidak Membersihkan Akuarium, Isteri Goreng Ikan Arowana


Tindakan seorang suami yang enggan mencuci akuarium berisi ikan arowana peliharaannya, menyebabkan dia terpaksa menanggung kerugian apabila isterinya menggoreng ikan tersebut, lapor laman Suara.com pada 8 Oktober 2021. 


Menurut satu hantaran di akaun TikTok milik @miakurniawan10, wanita itu berbuat demikian kerana geram dengan perangai suaminya. Wanita tersebut meminta suaminya untuk membersihkan akuarium tersebut, namun suami hanya berjanji kepadanya tetapi tidak melakukannya.


Oleh kerana tidak tahan melihat akuarium itu yang sudah terlalu kotor, dia kemudian membersihkannya sendiri. Namun begitu, si isteri tidak tahu cara yang tepat untuk melakukannya dan telah menyebabkan ikan tersebut menjadi mabuk.


"Gara-gara suruh suami bersihkan akuarium yang hanya tinggal janji, saya pun membersihkannya sendiri. Tetapi ikannya menjadi mabuk," demikian keterangan yang ditulis wanita itu pada foto ikan tersebut.


Oleh yang demikian, wanita itu pun membuat keputusan untuk menggoreng ikan tersebut. Dia bagaimanapun tidak menunjukkan reaksi si suami selepas mendapat tahu ikan kesayangannya telah digoreng.


Video tersebut telah menarik perhatian netizen, sehingga sudah ditonton lebih dari 2.7 juta kali dan mendapat 73,000 tanda suka, malah netizen turut meninggalkan pelbagai reaksi di ruangan komen.


"Perutnya (suami) terkejut kerana makan ikan mahal," tulis seorang netizen. "Terus dicampak isterinya ke dalam kolam," tulis netizen lain.


Ikan arowana daripada akuarium suami yang digoreng isterinya. - Foto TikTok.

Jumaat, 8 Oktober 2021

Lelaki Maut Dipatuk Tedung Peliharaan Sendiri Ketika Memandikan Haiwan itu

Lelaki Maut Dipatuk Tedung Peliharaan Sendiri Ketika Memandikan Haiwan itu

Gambar hiasan.

Seorang lelaki penduduk Dusun Tukharjo, Desa Purwoharjo, Kapanewon Samigaluh, Kabupaten Kulon Progo, Yogyakarta meninggal dunia selepas dipatuk oleh seekor ular tedung peliharaannya sendiri, lapor Suara.com pada 6 Oktober 2021.


Anggun Prabowo memelihara ular tedung tersebut dan akan memandikan haiwan berbisa itu pada setiap petang. Namun, aktiviti hariannya bersama haiwan itu memakan dirinya apabila Anggun menjadi mangsa korban akibat dipatuk ular peliharaannya.


Menurut maklumat yang diterima pihak Klinik Kesihatan Samigaluh 1, sekitar pukul 4 petang Selasa lalu, mangsa sedang memandikan ular peliharannya.


Ia bagaimanapun tiba-tiba menggigit tangan kiri mangsa. Mangsa kemudian sempat mandi sebelum datang sendiri ke Klinik Kesihatan Samigaluh 1 untuk diperiksa sekitar pukul 4.30 petang waktu tempatan.


Pusat klinik kesihatan itu kemudian memeriksa keadaan mangsa. Prosedur pengendalian haiwan berbisa juga dilakukan oleh petugas klinik tersebut. Mangsa menjalani ujian kulit untuk mengetahui sama ada terdapat alahan atau tidak.


Namun, setelah menjalani pemeriksaan kulit selama 5 minit, mangsa muntah, berbuih di mulut, dan mengalami kekejangan. Mangsa kemudian tidak sedarkan diri di bilik pemeriksaan pusat kesihatan dan disahkan meninggal dunia pada pukul 4.48 petang waktu tempatan.


Anggun Prabowo, seorang penduduk Dusun Tukharjo, Desa Purwoharjo, Kapanewon Samigaluh, Kabupaten Kulon Progo, meninggal dunia akibat ular peliharaannya, pada selasa lalu.

Rabu, 6 Oktober 2021

Diiktiraf Lembu Terpendek Dunia Selepas Haiwan Itu Mati

Diiktiraf Lembu Terpendek Dunia Selepas Haiwan Itu Mati


Seekor lembu dari Bangladesh menjadi popular selepas mendapat pengiktirafan Guinness World Records sebagai lembu terpendek di dunia. Namun, pengiktirafan tersebut hanya diberikan selepas kematiannya bulan lalu.


Lembu bernama Rani hanya mempunyai ketinggian 50.8 sentimeter (cm) menjadi selebriti segera di internet selepas ribuan orang berpusu-pusu ke ladang itu sejak awal bulan Julai lalu untuk melihat haiwan tersebut.


Pemiliknya juga sudah menghantar maklumat Rani kepada Guinness World Record bagi membuat penilaian kerana yakin lembu peliharaannya itu adalah yang terpendek di dunia. Guinness World Records dilaporkan akan memberi keputusan dalam tempoh 90 hari selepas permohonan. 


Namun, selepas pemiliknya membuat permohonan kepada Guinness World Records, kejadian menyayat hati berlaku 19 Ogos lalu, apabila lembu itu mati akibat masalah dalaman.



Pemilik lembu kerdil, Kazi Mohammad Abu Sufian berkata, dia menerima e-mel daripada badan pengiktirafan dunia itu yang memaklumkan permohonannya sudah diterima.


"Kami sudah menghantar video Rani kepada pihak tersebut. Kami juga menghantar laporan bedah siasat kepada pihak berkuasa Guinness bagi melihat sama ada berlaku perkara luar biasa berhubung kematiannya.


"Perasaan kami bercampur-baur apabila Rani mendapat pengiktirafan itu. Kami berbangga akhirnya ia mendapat penghormatan itu," katanya.


Kenyataan yang disiarkan dalam laman web rasmi Guinness mengesahkan status pengiktirafan rekod dunia itu sekali gus membenam rekod terdahulu, lembu dari India, Manikyam dengan ketinggian 61 cm.


Lembu kerdil bernama Rani di ladang Charigram, Savar. - Foto AFP.

Sabtu, 2 Oktober 2021

Ular Sawa Seberat 70kg Kenyang Telan Kambing Ditangkap

Ular Sawa Seberat 70kg Kenyang Telan Kambing Ditangkap


TANJUNG MALIM - Seekor ular sawa seberat 70 kilogram (kg) ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), selepas reptilia itu kekenyangan menelan seekor kambing di sebuah kandang di Jalan Besar, Behrang Stesen di sini semalam.


Reptilia itu ditemukan oleh salah seorang pekerja kandang kambing berusia 39 tahun ketika beliau sedang membersihkan kandang tersebut. 


Pegawai Pertahanan Awam Daerah Mualim, Kapten (PA) Shahrizal Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada pukul 2.30 petang semalam (1 September 2021).


Katanya, seramai empat anggota APM dikerahkan ke tempat kejadian bagi menangkap ular sawa berkenaan yang sedang berlingkar di kandang kambing.



"Reptilia itu baru menelan seekor kambing di kandang tersebut dan ditangkap dalam masa 10 minit menggunakan peralatan khas. 


"Ular sawa berkenaan tidak melawan ketika ditangkap kerana kekenyangan selepas menelan seekor kambing," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Menurut Shahrizal, ini merupakan kejadian pertama berlaku di kandang itu dan APM membawa ular berkenaan pulang ke pejabat terlebih dahulu. 


"Ular ini dibawa ke pejabat dahulu sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Sungkai," katanya.


Anggota APM Daerah Mualim menangkap ular sawa seberat 70kg yang menelan seekor kambing di Behrang Stesen dekat Tanjung Malim, Perak, semalam. - Foto APM.

Rabu, 29 September 2021

Saintis Temui Spesies Cicak Baharu Di Pergunungan Andes Pada Ketinggian 4,500 Meter

Saintis Temui Spesies Cicak Baharu Di Pergunungan Andes Pada Ketinggian 4,500 Meter


Beberapa saintis telah menemui spesies cicak baharu di Peru, kata sebuah agensi pemuliharaan kebangsaan pada Selasa lalu, lapor BBC News, hari ini.


Spesies itu yang diberi nama Liolaemus warjantay ditemui di kawasan pergunungan Andes pada ketinggian 4,500 meter, menurut kenyataan Perkhidmatan Kebangsaan Perlindungan Kawasan Semula Jadi negara itu.


Ia menyatakan bahawa sumbangan Peru dalam melindungi kawasan semula jadi kepada dunia adalah penemuan spesies baharu cicak.


Cicak itu mempunyai kepala yang berwarna kelabu. Spesies betina haiwan itu pula mempunyai kelopak mata berwarna kuning.


Penemuan cicak itu didaftarkan beberapa minggu lalu dengan kerjasama bersama saintis dari Argentina, Chile dan Bolivia.


Kawasan penemuan spesies baharu haiwan itu ialah di Landskap Simpanan Cotahuasi Subbasin yang merupakan kawasan perlindungan di wilayah Arequipa di barat daya Peru.


Spesies cicak baharu ditemui di kawasan Landskap Simpanan Cotahuasi Subbasin, Peru baru-baru ini. - Foto AFP.

Spesies betina haiwan ini pula mempunyai kelopak mata berwarna kuning. - Foto AFP.

Isnin, 27 September 2021

Kerapu Gergasi Seberat 160kg Ditangkap Di Perairan Labuan Dan Dijual Dengan Harga RM8,000

Kerapu Gergasi Seberat 160kg Ditangkap Di Perairan Labuan Dan Dijual Dengan Harga RM8,000


LABUAN - Ikan kerapu gergasi atau dikenali oleh penduduk tempatan sebagai 'keratang' seberat 160 kilogram (kg) berjaya ditangkap, dan dijual dengan harga RM8,000 kepada sebuah restoran makanan laut, Fishermen Harbour Restaurant di Paragon, semalam.


Menurut Dullah Latif, 64, beliau mengarahkan pekerjanya ke perairan Marine Farms (kira-kira 100 batu nautika dari Labuan) untuk memancing pada pagi Sabtu, apabila dikejutkan dengan kemunculan ikan gergasi itu semalam.


"Selepas lebih 30 minit 'bergelut' dengan joran, akhirnya barulah kelibat ikan itu kelihatan di permukaan, dan sebaik sahaja mereka (pekerja) nampak ikan itu, mereka menjerit kegembiraan.


"Tiga orang diperlukan untuk menaikkan ikan itu ke dalam bot. Kerapu yang ditangkap itu berukuran lebih dari tujuh kaki (2.1 meter) panjang dan seberat 160kg," katanya.


Dullah berkata, ini bukan kali pertama beliau mendapat 'habuan besar' kerana menurutnya pada Februari 2019, beliau pernah menangkap ikan seberat 241kg yang dijual pada harga RM13,225 dan diikuti dengan tangkapan seberat 165kg dan 135kg.


Pemilik Fishermen Harbour Dylan Chua berkata, ikan itu akan dihiris kecil dan dimasukkan ke dalam mi sup mereka yang cukup terkenal, direbus dengan sos coklat dan diadun dengan cendawan.


"Ikan itu juga boleh digunakan untuk menu popular kami. Ia akan digoreng dengan halia dan daun bawang dan digoreng dengan sos kacang hitam," katanya.


Menurut nelayan tempatan, ikan gergasi dari keluarga kerapu itu boleh hidup 30 hingga 50 tahun. - Sumber Bernama.

Ahad, 26 September 2021

Gorila Tiba-Tiba Buat 'Aksi Tidak Senonoh' Depan Pengunjung Di Zoo

Gorila Tiba-Tiba Buat 'Aksi Tidak Senonoh' Depan Pengunjung Di Zoo


Pengunjung zoo terkejut ketika mendapati sepasang gorila melakukan 'aksi tidak senonoh' di depan mereka. Kejadian itu berlaku di Zoo Bronx, New York City pada 23 September lalu, lapor Daily Star, semalam.


Sebuah rakaman dari NSFW menunjukkan dua binatang itu sedang berciuman antara satu sama lain ketika Zoo itu dipenuhi orang ramai. Tindakan haiwan itu mengejutkan pengunjung dewasa yang mengambil gambar dan video bersama anak-anak mereka.


"Saya terkejut dan tidak dapat berkata apa-apa disebabkan aksi semula jadi itu," jelas seorang pengunjung yang tidak percaya, sebelum memberitahu anaknya supaya tidak melihatnya.


Lelaki itu berkata, dia mengunjungi zoo di bandar itu bersama keluarga dan saudaranya. Mereka kemudian mendekati dua ekor gorila yang pada mulanya sedang duduk, manakala seekor lagi sedang berbaring.


Tiba-tiba, seekor gorila mendorong pasangannya ke arah kemaluannya dan melakukan 'seks oral' sehingga membuatkan pengunjung tergamam dan menjauhkan anak mereka segera.


Rakaman video itu dikongsi di Twitter telah mendapat pelbagai reaksi pengguna. Kebanyakan netizen meletakkan emoji ketawa, salah seorang pula mengatakan bahawa gorila tidak mempunyai tempat untuk melakukan hubungan seks ketika mereka disimpan di kandang kaca.


Seorang pengunjung sempat merakam aksi gorila bercumbuan di Zoo Bronx, New York. - Foto New York Post.
Beruang Hitam Memeluk Dan Mengucup Patung Disangka Beruang Betina

Beruang Hitam Memeluk Dan Mengucup Patung Disangka Beruang Betina


Mengambil gambar haiwan yang sempurna dalam habitat semulajadi mereka bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Apatah lagi mengambil gambar saat mereka melakukan perkara lucu dan comel yang anda tidak akan percaya kecuali anda melihatnya sendiri.


Baru-baru ini, seorang lelaki berjaya merakam detik-detik seekor beruang jantan yang memeluk dan mengucup sebuah patung di belakang rumahnya kerana disangka beruang betina, lapor Daily Mail pada 24 September lalu.


Doug Yarrow, 75, berada di kediamannya di Wyoming, Amerika Syarikat apabila dia terlihat seekor beruang hitam yang berjalan-jalan di bahagian kolam rumahnya sebelum memeluk patung beruang yang diletakkan di situ.



Beruang tersebut memeluk dan cuba bermesra dengan patung beruang itu namun dilihat kecewa kerana ia tidak memberikan sebarang reaksi.


"Beruang itu kelihatan seperti sedang mencari pasangan baharu. Ia menggeselkan tubuhnya pada patung tersebut. Selepas melihat aksinya itu, saya tidak dapat menahan ketawa," kata Yarrow.


Beruang itu bukanlah satu-satunya haiwan yang mempercayai patung itu asli, kerana sebelum ini ada seekor anjing yang keliru bahawa patung itu disangka manusia dan cuba bermain dengannya.


Menurut Yarrow, memandangkan dia tinggal berdekatan dengan Taman Negara Grand Teton, laman belakang rumahnya sering dikunjungi haiwan liar. Justeru, dia memasang kamera penjejak untuk merakam penemuan yang menarik.


Beruang hitam tersebut memeluk dan mengucup patung yang ditemuinya. - Foto Doug Yarrow.
Kru Kapal Tidak Sedar Ikan Paus Tersangkut Pada Busur Kapal

Kru Kapal Tidak Sedar Ikan Paus Tersangkut Pada Busur Kapal


Seekor bangkai ikan paus ditemui tersangkut pada sebuah kapal tangki Jepun yang berlabuh di sebuah pelabuhan di negara itu baru-baru ini, lapor Daily Mail pada 23 September 2021.


Bangkai ikan paus sepanjang hampir 10 meter itu tersangkut di bahagian depan yang berbentuk bonggol pada kapal tersebut.


Beberapa penduduk tempatan yang melihat bangkai ikan paus itu telah membuat laporan kepada pihak berkuasa sehingga pasukan pengawal pantai bergegas ke tempat kejadian.


Kejadian itu berlaku di Pelabuhan Mizushima, bandar Kurashiki. Kapal tangki itu dilaporkan telah belayar di Lautan Pasifik ketika ia menuju ke pelabuhan tersebut.



"Saya telah memancing di sini selama bertahun-tahun. Tetapi ini adalah kali pertama saya melihat ikan paus," kata seorang saksi.


Jurucakap Pengawal Pantai Mizushima bersetuju dengan saksi itu, menyatakan bahawa ini juga pertama kalinya mereka melihat ikan paus mati di busur kapal.


Kru-kru kapal itu mendakwa mereka tidak mengetahui bahawa kapal berkenaan telah melanggar seekor ikan paus. Berdasarkan maklumat dari institut penyelidikan hidupan laut Jepun, haiwan itu dipercayai spesies ikan paus sirip yang tergolong dalam keluarga Rorqual.


Menurut Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN), ikan paus sirip dikategorikan sebagai spesies pelbagai. Haiwan itu adalah yang kedua terbesar selepas ikan paus biru, dengan panjang boleh mencecah hingga 27.3 meter dan berat 74 tan.


Bangkai seekor ikan paus tersangkut pada bahagian hadapan sebuah kapal tangki di Pelabuhan Mizushima, Jepun. - Foto Mizushima Coast Guard Station Ne.

Rabu, 22 September 2021

Dikurung Lebih 40 Tahun, Ikan Paus Cuba Bunuh Diri Kerana Tertekan

Dikurung Lebih 40 Tahun, Ikan Paus Cuba Bunuh Diri Kerana Tertekan


SEPANYOL - Sebuah video memaparkan aksi seekor paus pembunuh atau dikenali sebagai paus orca dilihat menghantukkan kepalanya pada pagar kaca selepas kehilangan lima anaknya, lapor Daily Mail pada 12 September 2021 lalu.


Video itu dirakam oleh aktivis di MarineLand awal bulan ini yang menentang kurungan haiwan berkenaan, dan rakaman itu telah dimuatnaik ke media sosial bagi menggesa pembebasan haiwan tersebut.


Pada tahun 2016, satu rakaman video turut tular apabila paus bernama Morgan itu melompat keluar dari tangki gergasi dan dilihat tidak bergerak selama 10 minit ketika terdampar di tepi tangki.


Ia menjadi perdebatan hangat dalam kalangan aktivis haiwan yang mendakwa bahawa kejadian itu adalah cubaan membunuh diri. Aktivis-aktivis haiwan menyuarakan kebimbangan terhadap mamalia itu yang menurut mereka, ia tidak berasa gembira berada di Zoo.



"Ini adalah satu daripada banyak contoh yang memberitahu kita tentang apa yang tidak betul dengan aktiviti penangkapan haiwan seperti ini. Kita tidak akan melihat sikap aneh seperti ini dalam habitat semula jadi," kata pertubuhan kebajikan dan perlindungan ikan lumba-lumba, Projek Dolfin.


Sehingga kini, masih tidak dapat dijelaskan apa yang cuba dilakukan oleh Morgan, namun pakar-pakar tidak menolak kemungkinan ia cuba mencederakan dirinya. Sementara itu, pengurusan Zoo Loro Parque, Sepanyol menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan, tindakan Morgan itu adalah normal.


"Membiarkan badan terdampar seperti itu adalah tindakan normal yang sering dilakukan paus pembunuh apabila ia berburu di habitat semula jadi. Ia bukannya tidak gembira. Banyak benda yang boleh ia lihat apabila berada di luar tangki," ujar Pengarah Loro Parque, Wolfgang Rades.


Haiwan berusia 44 tahun itu ditangkap di Laut Wadden, luar pesisir pantai Belanda dipercayai telah dikurung sejak 1979, dan hidup sendirian selepas lima anak dan pasangannya mati pada tahun 2010 lalu.


Morgan dilihat tidak bergerak selama 10 minit selepas melompat keluar dari tangki air. - Foto The Sun.

Sabtu, 18 September 2021

Suami Isteri Jadi 'Hero' Berjaya Sambut Kucing Terjatuh Dari Tingkat Atas Stadium

Suami Isteri Jadi 'Hero' Berjaya Sambut Kucing Terjatuh Dari Tingkat Atas Stadium


Seekor kucing yang tergelincir dari tingkat atas sebuah stadium menarik perhatian ramai selepas terjatuh di atas kain bendera bersaiz besar yang dipegang beberapa penonton di Miami, Amerika Syarikat (AS) pada 11 September 2021 lalu.


Kucing itu tidak mengalami sebarang kecederaan selepas haiwan itu terlebih dahulu bergayut pada wayar yang terletak pada dinding tingkat atas stadium untuk menyelamatkan diri.


Sejumlah penonton yang menyedari haiwan itu sedang bergayut kemudian merakamkan video mengenai kejadian berkenaan. Seorang penonton pula dilihat menghulurkan sebelah tangannya sebagai usaha untuk mencapai kaki kucing itu tetapi dia gagal berbuat demikian.


Menerusi rakaman video yang tular, haiwan itu dilihat cuba untuk mengelak daripada terjatuh namun kaki kirinya kemudian melepaskan pautan pada wayar berkenaan. Beberapa penonton yang berada di bahagian bawah stadium itu bersiap sedia menyambutnya.


Craig Cromer dan isterinya Kimberly yang sedang menonton perlawanan antara Miami University dan Appalachian State, memegang kain bendera AS bersaiz besar berjaya menyambut kucing berkenaan.


Cromer kemudian memegang kucing itu untuk ditunjukkan kepada para penonton bahawa ia masih lagi hidup. Difahamkan kucing tersebut tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda kecederaan dan dibawa keluar oleh pengawal keselamatan.


Kucing yang cuba diselamatkan penonton berpaut pada wayar sebelum terjatuh.

Khamis, 16 September 2021

Dakwa Kebal Bisa Ular, Lelaki Meletakkan Tedung Hitam Di Lehernya Keliling Kampung Maut Dipatuk

Dakwa Kebal Bisa Ular, Lelaki Meletakkan Tedung Hitam Di Lehernya Keliling Kampung Maut Dipatuk


Seorang penangkap ular yang mengaku dirinya kebal daripada bisa reptilia itu maut selepas dipatuk seekor tedung hitam baru-baru ini, lapor akbar The Sun pada 14 September 2021.


Penjinak ular yang dikenali sebagai Pamma Ahirwar dipatuk tedung hitam di Kampung Jaitpur di Maharastra, utara India ketika cuba membawa ular itu 'bersiar-siar' selepas menangkapnya di rumah salah seorang penduduk di situ.


Ular tedung berwarna hitam itu memasuki rumah penduduk tempatan bernama Brajesh Rajak. Kehadiran reptilia berbisa tersebut telah mengejutkan Brajesh lalu memanggil Pamma untuk mengeluarkan haiwan itu dari dalam rumahnya.



Pamma yang mempunyai pengalaman 20 tahun mengendalikan ular berbisa pernah mendakwa dirinya kebal bisa ular apabila sudah beberapa kali dipatuk, namun bisa itu gagal memasuki sistem darahnya.


Pamma dirakam meletakkan tedung hitam di leher selepas berjaya menangkapnya dan berjalan mengelilingi kampung. Kejadian malang bermula apabila ular itu secara tiba-tiba membelit lengan kanan lalu mematuk tapak tangannya.


Pamma dilihat terus duduk mencangkung di atas tanah dan cuba menghisap bisa itu, lalu meludahnya keluar. Dia kemudiannya dibawa ke hospital berdekatan untuk menjalani rawatan lanjut.


Bagaimanapun Pamma gagal diselamatkan kerana bisa itu sudah merebak ke seluruh badan dan merosakkan organ-organ pentingnya. Dia disahkan mati akibat gigitan reptilia berbisa itu pada hari Ahad lalu.


Pamma cuba menghisap keluar bisa ular tedung hitam selepas dipatuk secara tiba-tiba. - Foto Jam Press.
Lebih 1,400 Ikan Lumba-Lumba Dibunuh, Tradisi Tahunan Di Kepulauan Faroe

Lebih 1,400 Ikan Lumba-Lumba Dibunuh, Tradisi Tahunan Di Kepulauan Faroe


Sekumpulan pemburu di sebuah kepulauan terpencil di Denmark dikatakan telah membunuh 1,428 ekor ikan lumba-lumba pada minggu ini, merupakan pembunuhan terbesar pernah direkodkan dalam perburuan tahunan tradisional negara itu.


Beberapa keping imej mengerikan menunjukkan beribu-ribu bangkai ikan lumba-lumba yang dipenuhi darah dibiarkan terdampar di tepi pantai di kepulauan Faroe. Darah dari mamalia itu turut 'mengubah' warna air laut menjadi merah.


Menurut laporan akhbar Mirror UK pada 14 September 2021, Festival tahunan itu dipanggil 'grindadrap' atau 'grind' dan telah bermula semenjak zaman Viking. Menurut data yang disimpan oleh kepulauan Faroe, lebih 1,000 ekor mamalia laut dibunuh setiap tahun dalam acara tersebut.



Sebagai sebahagian daripada tradisi itu, kapal-kapal akan membawa ikan lumba-lumba 'Atlantic White Sided' ke pelabuhan di pulau Skalafjorour. Di situ, pemburu-pemburu akan membunuh haiwan-haiwan tersebut dengan menggunakan cangkuk, pisau dan tombak.


Amalan tersebut dikecam oleh kumpulan hak asasi haiwan dengan menyifatkannya sebagai 'tidak berperikemanusiaan' namun penduduk tempatan mendakwa ia adalah bahagian penting dalam tradisi tempatan.


Amalan tersebut berlaku semenjak zaman ketika penduduk tempatan bergantung kepada daging ikan lumba-lumba sebagai sumber makanan. Pun begitu, satu kajian baru-baru ini mendapati daging mengandungi merkuri dan tidak digalakkan untuk dimakan secara berkala.


Imej mengerikan menunjukkan ikan lumba-lumba yang ditangkap dan dibunuh di kepulauan Faroe. - Foto SWNS.

Rabu, 15 September 2021

Perhilitan Rampas 50 Sumbu Badak Bernilai RM30 Juta

Perhilitan Rampas 50 Sumbu Badak Bernilai RM30 Juta


Jabatan Taman Negara dan Hidupan Liar Semenanjung Malaysia (Perhilitan) menumpaskan cubaan menyeludup 50 sumbu badak yang dianggarkan bernilai RM30 juta, selepas menahan dua orang suspek pada 9 September, Khamis lalu.


Dua orang suspek warga tempatan itu ditahan di bulatan Masjid Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Zon Tengah, kerana melakukan jenayah melibatkan penyeludupan hidupan liar.


Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, suspek ditahan dalam operasi tersebut berikutan hasil risikan berterusan oleh unit khas jabatan berkenaan. Rampasan itu adalah yang terbesar dalam tempoh lima tahun bagi sitaan sumbu badak.


"Melalui operasi itu, turut dirampas adalah sebuah lori dan dokumen berkaitan penyeludupan sumbu badak. Operasi tangkapan ini dijalankan anggota Perhilitan hasil risikan secara berterusan oleh unit khas," katanya.


Abdul Kadir berkata, sumbu badak berkenaan disyaki diseludup dari luar negara namun analisis Deoxyribonucleic Acid (DNA) akan dijalankan Makmal Forensik Jabatan Perhilitan bagi mengenal pasti sumber asal bahagian hidupan liar itu.


Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 68, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) iaitu menyimpan mana-mana hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya. Jika disabit kesalahan, hukuman denda boleh dikenakan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.


Sementara itu, katanya, dalam tempoh sedekad kebelakangan ini, pihaknya mencatatkan sebanyak lima kes berkaitan kegiatan penyeludupan melibatkan 96 batang sumbu badak.


"Spesies badak dan bahagiannya adalah dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). Ia juga disenaraikan dalam apendik I Akta Perdagangan Antarabangsa iaitu spesies ini tidak boleh diperdagangkan," ujarnya.


Perhilitan merampas 50 sumbu badak bernilai RM30 juta dalam Operasi Bersepadu Khazanah ( OBK) Zon Tengah pada 9 September lalu. - Foto Perhilitan.