Rabu, 22 September 2021

Dikurung Lebih 40 Tahun, Ikan Paus Cuba Bunuh Diri Kerana Tertekan


SEPANYOL - Sebuah video memaparkan aksi seekor paus pembunuh atau dikenali sebagai paus orca dilihat menghantukkan kepalanya pada pagar kaca selepas kehilangan lima anaknya, lapor Daily Mail pada 12 September 2021 lalu.


Video itu dirakam oleh aktivis di MarineLand awal bulan ini yang menentang kurungan haiwan berkenaan, dan rakaman itu telah dimuatnaik ke media sosial bagi menggesa pembebasan haiwan tersebut.


Pada tahun 2016, satu rakaman video turut tular apabila paus bernama Morgan itu melompat keluar dari tangki gergasi dan dilihat tidak bergerak selama 10 minit ketika terdampar di tepi tangki.


Ia menjadi perdebatan hangat dalam kalangan aktivis haiwan yang mendakwa bahawa kejadian itu adalah cubaan membunuh diri. Aktivis-aktivis haiwan menyuarakan kebimbangan terhadap mamalia itu yang menurut mereka, ia tidak berasa gembira berada di Zoo.



"Ini adalah satu daripada banyak contoh yang memberitahu kita tentang apa yang tidak betul dengan aktiviti penangkapan haiwan seperti ini. Kita tidak akan melihat sikap aneh seperti ini dalam habitat semula jadi," kata pertubuhan kebajikan dan perlindungan ikan lumba-lumba, Projek Dolfin.


Sehingga kini, masih tidak dapat dijelaskan apa yang cuba dilakukan oleh Morgan, namun pakar-pakar tidak menolak kemungkinan ia cuba mencederakan dirinya. Sementara itu, pengurusan Zoo Loro Parque, Sepanyol menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan, tindakan Morgan itu adalah normal.


"Membiarkan badan terdampar seperti itu adalah tindakan normal yang sering dilakukan paus pembunuh apabila ia berburu di habitat semula jadi. Ia bukannya tidak gembira. Banyak benda yang boleh ia lihat apabila berada di luar tangki," ujar Pengarah Loro Parque, Wolfgang Rades.


Haiwan berusia 44 tahun itu ditangkap di Laut Wadden, luar pesisir pantai Belanda dipercayai telah dikurung sejak 1979, dan hidup sendirian selepas lima anak dan pasangannya mati pada tahun 2010 lalu.


Morgan dilihat tidak bergerak selama 10 minit selepas melompat keluar dari tangki air. - Foto The Sun.


EmoticonEmoticon